(Majalah Rasmi SBM)
Diterbitkan tiga kali setahun
September - Disember 2008
NO. Permit KDN 10066/9/2009
Presiden: Mah Hassan bin Hj. Omar
Penyunting: Saifuddin bin Mohamad PPN
Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia
(Society of the Blind in Malaysia)
40A, Jalan Padang Belia, 50470 KUALA LUMPUR
Telefon: 03 - 22746162
Fax: 03 - 22743818
E-Mail: admin@sbm.org.my
Laman Web: http://www.sbm.org.my
Ahli-ahli Lembaga Penyunting Sokonglah Perjuangan Kami Dari Meja Penyunting Petikan Ucapan Presiden Aktiviti SBM:- Aktiviti Jawatankuasa Pembangunan Wanita Dan Sosial Oleh: Nurul Aini binti Abdullah Aktiviti SBM Kawasan Johor Oleh: Zamri Bin Ishak Aktiviti SBM Cawangan Kelantan Oleh: Mat Darus Bin Sulaiman, Pengerusi Aktiviti Cawangan KL/Selangor Oleh: Mohd Jais Bin Ismail, Setiausaha Fokus:- Kecacatan Pelbagai/Kecacatan Berganda Oleh: Norhashimah Hashim Menghadapi Dunia Gelap dan Sepi Oleh: Dr. Zakaria bin Osman Forum:- OKU Penglihatan Dan Pekerjaan Oleh: Raimah Binti Mat Lazin Dunia ICT:- Teknologi pengucapan ke teks Oleh: Dr. Zakaria bin Osman Rencana:- Kraf Tangan Rotan Mampu Berikan Pulangan Untuk Golongan Oku Penglihatan Oleh: Roslan Bidin. Metod berkomunikasi dengan OKU penglihatan Oleh: Iran Shah Ramatullah Berita dan Peristiwa:- Penyampaian Anugerah Pelajar OKU Penglihatan Cemerlang 2007 Dan Bantuan Penuntut Buta di IPT Kursus Komputer Untuk Ahli-ahli SBM Penyampaian Bantuan Penuntut Buta Mesyuarat Agung Luar Biasa SBM Simposium Pekerjaan OKU penglihatan 2008 Sambutan Hari Kasih Sayang Kursus Peningkatan Bahasa Malaysia Untuk Ahli SBM Bersama Ahli SBM:- Sebutir bintang kerdil di langit biru. Oleh: Nazri Haji Nawi Sudut Karya:- Drama Mencari Sinar Dalam Kegelapan Oleh: Norhashimah Hashim Cerpen Ko Lumpur Oleh: Roslan Bidin. Sajak Doa Pengemis Oleh: Fadzilah Aziz Pendidikan:- Pelajari Tulisan Braille Cermin Mutiara:- Doktor dan Mat Rempit - Petikan dari Laman Web http://iluvislam.com/v1/readarticle.php?article_id=1280 Senarai Ahli Majlis Presiden SBM Bagi Penggal Jun 2008 Hingga Jun 2010 Alamat Pejabat Cawangan dan Kawasan SBM
Pengerusi - Encik Mohamed (Zaki) bin Ismail PJK, Pengerusi JPLK
Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM) adalah sebuah organisasi sukarela kebangsaan yang ditubuhkan dan diterajui sendiri oleh warga cacat penglihatan yang mencakupi semua bangsa dan pelbagai lapisan masyarakat.
Objektif pertubuhan adalah untuk meningkatkan taraf kedudukan sosioekonomi orang cacat penglihatan di negara ini serta membimbing mereka supaya menjadi warganegara Malaysia yang berguna dan produktif.
Untuk mencapai matlamat tersebut, kami memerlukan bantuan kewangan yang banyak bagi menampung segala kos yang berhubung dengan pentadbiran, pemberian bantuan, penganjuran pelbagai kegiatan dan aktiviti yang dijalankan di peringkat kebangsaan dan menerusi cawangan-cawangan pertubuhan ini yang terdapat hampir di setiap negeri di Malaysia.
Semua sumbangan kewangan dalam bentuk cek hendaklah ditulis atas nama Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia dan dihantar ke alamat yang berikut:-
Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia
(Society of the Blind in Malaysia)
40A, Jalan Padang Belia, 50470 KUALA LUMPUR
Telefon: 03 - 22746162
Faks: 03 - 22743818
E-Mail: admin@sbm.org.my
Salam sejahtera.
Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pembaca Majalah Wawasan Orang Cacat Penglihatan kerana terus mendapat tempat di hati anda. Saya berharap majalah ini akan membantu anda dalam menyediakan maklumat tentang Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM) secara khusus dan golongan kurang upaya penglihatan umumnya.
Antara lain, perkara penting yang dipaparkan dalam isu keluaran kali ini ialah tentang kecacatan pelbagai yang dialami di samping kurang upaya penglihatan. Terdapat juga kesah pelakon OKU penglihatan yang menghidap masalah kecacatan pelbagai. Isu peluang pekerjaan kepada OKU penglihatan turut diberi tumpuan. Pembaca juga akan mendapat maklumat aktiviti-aktiviti SBM bagi suku tahun terakhir 2008 ini.
Sedapat mungkin, kami sentiasa inginkan yang terbaik untuk dipersembahkan. Namun ruang lingkup pengetahuan kami berhubung dengan sebarang kegiatan yang melibatkan golongan OKU Penglihatan adalah sangat terhad. Justeru sila maklumkan kepada kami sebarang berita dan peristiwa yang berlaku di sekeliling anda yang boleh dikongsi bersama.
Sehubungan dengan itu, jika anda mempunyai sebarang maklumat, cadangan dan artikel untuk dikongsi bersama, sila e-mailkan artikel tersebut kepada ustazdin@streamyx.com atau melalui pos ke Ibu Pejabat SBM di 40A Jalan Padang Belia, 50470 KUALA LUMPUR. Anda juga boleh fakskan karya berkenaan ke talian 03-22743818. Setiap bahan yang terpilih untuk diterbitkan akan menerima bayaran sewajarnya.Sedapat mungkin, kami sentiasa inginkan yang terbaik untuk dipersembahkan. Namun ruang lingkup pengetahuan kami berhubung dengan sebarang kegiatan yang melibatkan golongan OKU Penglihatan adalah sangat terhad. Justeru sila maklumkan kepada kami sebarang berita dan peristiwa yang berlaku di sekeliling anda yang boleh dikongsi bersama.
Terima kasih atas sokongan yang berterusan.
“B E R S A T U M E M B A W A K E J A Y A A N”
Kembali Ke ISI KANDUNGAN![]() |
Petikan Ucapan Encik Mah Hassan bin Haji Omar, Presiden SBM, semasa Simposium Pekerjaan OKU Penglihatan Di Hotel Grand Pacific, Kuala Lumpur |
Hubungan yang sihat antara majikan dengan pekerja sesungguhnya kunci utama kemakmuran sesebuah syarikat atau organisasi. Majikan yang masih belum menggaji OKU penglihatan juga boleh mendapat maklumat tentang galakan yang disediakan oleh kerajaan apabila mereka menggaji OKU penglihatan.
Kita berbangga dengan inisiatif Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan ini dalam menjana peluang pekerjaan untuk OKU penglihatan. Ia selaras dengan matlamat pertubuhan ini untuk melahirkan masyarakat cacat penglihatan yang mampu hidup berdikari, menjadi warga negara yang produktif dan turut menyumbang ke arah kesejahteraan negara kita. Meski pun cacat di mata, mereka boleh menjadi aset kepada negara dan masyarakat hanya sekiranya mereka diberi peluang yang sewajarnya. Sebagai sebuah pertubuhan yang didokong oleh orang cacat penglihatan di seluruh negara, dan dilengkapi infrastruktur pejabat-pejabat cawangan di semua negeri, saya percaya SBM mampu berperanan lebih berkesan ke arah menggalakkan peluang pekerjaan kepada golongan cacat penglihatan ini. SBM tidak sepatutnya pasif atau menjadi pengguna sahaja, tetapi hendaklah melibatkan diri secara aktif dalam usaha membangunkan aspek pekerjaan masyarakat OKU penglihatan. Lebih daripada itu, kita ingin melihat NGO seperti kita ini mampu bertindak sebagai badan penggesa, perancang program malah sebagai penyedia perkhidmatan atau majikan. Kita dapat saksikan selepas 44 tahun SBM didaftarkan telah berjaya mendorong penyertaan ahli-ahlinya dalam bidang pekerjaan, bukan sahaja dalam sektor awam malah ramai juga di sektor swasta dan di NGO sendiri pun, SBM memain peranan untuk memberi peluang OKU penglihatan mendapat pekerjaan.
Satu fenomena baru yang dapat dilihat dalam arus pembangunan peluang pekerjaan kepada OKU umumnya ialah wujudnya para majikan yang terdiri daripada OKU sendiri setelah SBM mengadakan seminar antarabangsa yang melibatkan pengamal urut refleksologi daripada negara-negara luar seperti dari Jepun, Cina dan Korea, datang ke Kuala Lumpur berkongsi pengalaman mereka dan bagaimana menjayakan industri urut itu suatu yang menguntungkan. Kita dapat lihat fenomena yang berlaku di kalangan ahli SBM yang melahirkan ramai pengusaha urut. Dan yang istimewanya, klinik-klinik urut ini yang bercambah di seluruh negara adalah dikendalikan oleh orang cacat penglihatan, dan mereka mewujudkan peluang pekerjaan untuk rakan-rakan mereka yang juga cacat penglihatan. Saya difahamkan sebuah pusat urut di Brickfields dapat mewujudkan 25 peluang pekerjaan kepada OKU penglihatan yang lain sama ada sepenuh masa atau sambilan. Ini merupakan satu aspek yang harus diberi perhatian bagaimana hubungan perindustrian yang melibatkan pekerja cacat penglihatan beserta majikan mereka yang juga cacat penglihatan. Pada setiap tahun iaitu 3 Disember, negara kita menyertai negara-negara lain dalam Bangsa-Bangsa Bersatu untuk meraikan Hari OKU Antarabangsa. Pada tahun lepas tema yang dipilih untuk sambutan hari tersebut ialah “Hak Kepada OKU”. Sesungguhnya OKU penglihatan juga mempunyai hak untuk mendapatkan pekerjaan yang bagus. Ia bermaksud pekerjaan yang produktif dalam keadaan kebebasan, kesetaraan, keselamatan dan “human dignity”. Ada 4 pra syarat untuk kita mewujudkan pekerjaan yang bagus atau produktif kepada mereka, bukan sekadar memberi pekerjaan hanya untuk mengisi kekosongan tetapi tidak diberi peluang kepadanya menjalankan kerja secara produktif.
Kebebasan dalam erti kata sebenar ialah seseorang itu perlu diberi pilihan menggunakan pemikirannya atau intelektual mereka untuk menyempurnakan tugas-tugas yang diberi.
Kesetaraan bermaksud peluang dan layanan yang sama perlu diberikan oleh majikan kepada para pekerja OKU penglihatan seperti mana yang diberi kepada pekerja lain.
Keselamatan – langkah-langkah keselamatan perlu diberi bagi menjamin pekerja OKU tidak terdedah kepada bahaya di tempat kerja atau dalam perjalanan pergi dan balik kerja.
Digniti ialah kehormatan dan maruah pekerja OKU penglihatan. Ada kes yang mana OKU penglihatan diambil bekerja sebagai juru urut bagi mengaburi pihak penguatkuasa tentang kegiatan sebenar perniagaan mereka dalam aktiviti tidak bermoral. Hal ini telah menjejaskan kehormatan dan maruah pekerja OKU penglihatan. “Human Digniti juga bersangkutan penerimaan atau penilaian masyarakat tentang keupayaan OKU penglihatan melaksanakan tugas mereka. Umpamanya seorang OKU penglihatan mempunyai kelayakan akademik yang tinggi seperti Doktor falsafah, tetapi diberi tugas hanya sebagai Operator Telefon sahaja. Dalam pejabat, dia mungkin boleh menerima keadaan ini, tetapi bila berhadapan dengan masyarakat umum, perkara ini telah menjejas kehormatan dirinya hanya kerana dia kurang upaya. Majikan tidak boleh mengambil kesempatan terhadap OKU berkenaan hanya dengan sekadar memberi pekerjaan bagi mendapat insentif atau galakan yang disediakan oleh kerajaan sahaja tanpa mengambil kira maruah oku penglihatan itu. Majikan harus memberi pekerjaan yang membolehkan OKU itu melaksanakan tugas sepenuhnya secara produktif dalam keadaan kebebasan, kesamarataan dan akhirnya dapat mewujudkan suasana pekerjaan yang membanggakan dirinya, keluarganya dan masyarakat.
Pekerja OKU penglihatan memerlukan peluang pendidikan atau latihan malah dalam keadaan tertentu peluang perniagaan yang sama sebagaimana disediakan kepada masyarakat lain. Mungkin ada di kalangan mereka yang memerlukan perkhidmatan sokongan yang istimewa, misalnya Jurulatih Kerja (job coaching); atau alat bantu contohnya mesin Braille; atau pun modifikasi tugas yang perlu disesuaikan dengan keupayaan mereka. Percayalah sebarang perbelanjaan ke arah menyempurnakan ini merupakan satu pelaburan kecil berbanding dengan jangka hayat produktiviti dan sumbangan pekerja OKU penglihatan itu kepada masyarakat. Nilai mereka menjadi warga negara yang produktif itu adalah lebih tinggi daripada pengorbanan kewangan yang majikan lakukan untuk menjadikan mereka produktif.
Dalam RMK 9, salah satu penekanan yang diberikan ialah tentang pembangunan modal insan. Sesungguhnya OKU penglihatan mempunyai kemampuan untuk menyumbang kepada kemakmuran negara. Ramai di kalangan golongan kurang upaya ingin turut serta memakmurkan negara, bagaimana pun sukar untuk mereka mendapat peluang bagi menyumbang kepada kemakmuran negara melalui pekerjaan, bukan kerana kecacatan mereka tetapi lebih kepada sikap dan pemikiran negatif yang wujud di kalangan masyarakat Malaysia terhadap kebolehan OKU penglihatan.
Kita berterima kasih kepada kerajaan hari ini yang telah memberi pendekatan yang memeransangkan ke arah mewujudkan peluang pekerjaan kepada OKU penglihatan. Kita merujuk kepada rancangan Kementerian Sumber Manusia melalui Jabatan Tenaga Kerja yang telah mewujudkan satu garis panduan dasar penggajian OKU dalam sektor swasta. Kita juga merujuk kepada komitmen pihak kerajaan menyediakan RM22 juta untuk membantu OKU menjayakan program perniagaan. Kita juga meraikan usaha Jabatan Kebajikan Masyarakat dalam banyak aktiviti mereka, khususnya dalam melahirkan dasar OKU negara. Dan yang terakhir ini, kita berterima kasih kepada kerajaan kerana telah mengadakan Akta OKU buat pertama kalinya yang telah berkuatkuasa pada 7 Julai 2008.
Suka saya mengambil kesempatan di akhir ucapan saya ini untuk mengucapkan terima kasih kepada kerajaan juga kerana telah mengadakan suatu dasar iaitu Dasar kuota 1% peluang pekerjaan dalam sektor awam harus diperuntukkan kepada oku dan pelaksanaan dasar ini telah berkuatkuasa mulai 1 April 2008. Dengan adanya pekeliling ini pihak kerajaan telah menjanjikan melalui Jabatan Perkhidmatan Awam yang tersiar dalam akhbar akan mewujudkan 10 ribu peluang pekerjaan yang akan dikenal pasti kelak dan akan disediakan untuk OKU. Bagaimana pun kita juga mengenal pasti bahawa dasar ini bukan baru, tetapi ia mula diperkenalkan sejak tahun 1988 dan walau pun sudah 20 tahun berlalu, ianya masih belum mencapai matlamat 1% itu. OKU tidak mampu menunggu 20 tahun lagi untuk pelaksanaan dasar ini. OKU sangat mengharapkan satu tindakan yang agresif dan proaktif diambil ke arah merealisasikan apa yang disebutkan dalam pekeliling ini. Kita menggesa pihak media untuk membantu OKU dalam hal membangkitkan kesedaran awam agar OKU yang ada pada hari ini mempunyai peluang yang lebih baik pada masa hadapan untuk mendapatkan pekerjaan supaya mereka menjadi warga negara yang produktif. Sebenarnya undang-undang dan dasar sahaja tidak mampu untuk mengubah keadaan ini, tetapi ia lebih bergantung kepada kesedaran masyarakat dan penerimaan majikan ke arah mewujudkan peluang pekerjaan dan suasana kerja yang kondusif bagi membela nasib OKU dengan lebih baik lagi.
Kembali Ke ISI KANDUNGANOleh Nurul Aini binti Abdullah
Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Sosial Pertubuhan orang Cacat Penglihatan Malaysia (JPWS) telah menganjurkan Ceramah Rawatan dan Urutan Mata, Permata Hijrah. Ia bertujuan untuk memberi sedikit sebanyak ceramah berkaitan dengan rawatan dan urutan mata dari Permata Hijrah. Selain daripada menyedari akan kepentingan ceramah ini, ianya juga memberi peluang kepada setiap ahli yang hadir untuk sama-sama menjalani sesi rawatan dan bersama mencari ikhtiar rawatan untuk memulihkan mata.
Ceramah ini berlangsung pada 27 Disember 2008, jam 3.00 petang bertempat di Pejabat SBM Kawasan Johor. Seramai 40 orang ahli telah menyertai ceramah tersebut. Ceramah telah disampaikan oleh Ustaz Zulkifli dari Permata Hijrah Kelantan. Beliau telah menerangkan cara-cara melakukan urutan dan rawatan mata. Beliau juga telah memperkenalkan produknya iaitu Toner Mata untuk membuat rawatan mata.
Secara keseluruhan, ceramah ini berjaya memberi ilmu pengetahuan kepada semua ahli, tentang kaedah rawatan dan urutan mata menggunakan produk Permata Hijrah. Adalah dicadangkan program ini diadakan secara berterusan mengikut giliran di peringkat Kawasan Selatan. ianya penting sebagai asas, bimbingan dan pendedahan untuk masalah mata yang dialami.
JPWS percaya bahawa ceramah seumpama ini sememangnya berkesan, bermanfaat dan memberi peluang positif kepada para ahli SBM keseluruhan. Usaha berterusan akan dilakukan bagi memupuk minat ahli SBM supaya melibatkan diri dalam ceramah yang akan datang.
Kembali Ke ISI KANDUNGANOleh Zamri Bin Ishak
Kembali Ke ISI KANDUNGANPada 23 September satu taklimat pembangunan usahawan telah diadakan di Pejabat SBM Kawasan Johor. Penceramah yang dijemput ialah Tuan Presiden SBM, En. Latif Muhamad Pegawai Eksekutif TPU, dan En. Muhamad Pegawai Jabatan Tenaga Kerja Negeri Johor. Sambutan daripada ahli amat menggalakkan iaitu seramai 29 orang ahli biasa dan seorang ahli bersekutu telah hadir. Taklimat ini diadakan bagi memberi maklumat kepada ahli berkaitan dengan kemudahan yang disediakan oleh SBM melalui Tabung Pembangunan Usahawannya. Selain itu, ahli-ahli turut diberi maklumat tentang bantuan kerajaan kepada usahawan OKU melalui Gran Bantuan Usahawan OKU di bawah Jabatan Tenaga Kerja (JTK).
Pada 25 hingga 26 Oktober 2008, satu pertandingan pingpong peringkat SBM Kawasan Johor telah berlangsung di Pejabat SBM Kawasan Johor. Seramai 7 orang peserta lelaki dan 4 orang peserta wanita telah mengambil bahagian. Dalam pertandingan ini tempat pertama bagi kategori lelaki telah dimenangi oleh En. Saim Rashidi, tempat kedua En. Ramli Talib dan tempat ketiga telah dimenangi oleh En. Ismail Judin. Manakala kategori wanita tempat pertama dimenangi oleh Pn. Hamizah bt. Muhamad dan tempat kedua telah dimenangi oleh Pn. Nurul Aini bt. abdullah. Hadiah hanya diberikan kepada tempat pertama dan kedua bagi kategori wanita kerana jumlah penyertaan hanya 4 orang. Pengadil bagi pertandingan tersebut seramai dua orang iaitu En. Ahmad Awang dari SBM Pusat dan En. Noh A. Rahman dari SBM Kawasan Johor dan dibantu oleh seorang penjaga garisan iaitu En. Ismail Hassan serta seorang pemungut bola iaitu adik Norafizah. Perlawanan ini diadakan secara liga. Jumlah perbelanjaan adalah sebanyak RM1,322.00 sahaja.
Pada 30 Oktober 2008 seramai 5 orang Ahli Jawatankuasa SBM Kawasan Johor telah menghadiri Majlis Penyampaian Gran Tahunan Jabatan Kebajikan Masyarakat di Hotel New York, Johor Bahru. Mereka ialah En. Khusaini Bin Saimon (pengerusi), Pn. Siti Rothia Bt. Ikwan (Naib Pengerusi), En. Zamri Bin Ishak (Setiausaha), Pn. Nurul Aini Bt. Abdullah (Bendahari) dan Pn. Siti Bedah/Mas Bt. Salleh (JPLK). Jumlah gran yang diterima oleh SBM Kawasan Johor adalah sebanyak RM10,000.00 sahaja.
Mesyuarat Jawatankuasa Bilangan 14, (4/2008) SBM Kawasan Johor telah diadakan pada 15 November 2008 di Pejabat SBM Kawasan Johor. Semua ahli jawatankuasa telah hadir dalam mesyuarat ini. Terdapat beberapa perkara yang telah dibincangkan dalam mesyuarat ini antaranya berkaitan dengan Mesyuarat Agung Luar Biasa SBM (EGM), Mesyuarat Agung SBM Kawasan Johor, kursus refleksologi, Ceramah Usahawan, dan Majlis Makan Malam Akhir Tahun/penyampaian bantuan/hadiah.
Pada 14 Disember 2008 Mesyuarat Agung Luar Biasa SBM telah diadakan di Hotel Grand Pasific, Kuala Lumpur. Seramai 4 orang ahli SBM Kawasan Johor telah menghadiri mesyuarat tersebut. Mereka ialah En. Khusaini, En. Zamri, En. Kifli dan En. Norhar.
Simposium Pekerjaan Orang Cacat Penglihatan Peringkat Kebangsaan telah dianjurkan oleh Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM) pada 15 hingga 16 Disember 2008 di Hotel Grand Pasific, Kuala Lumpur. Seramai 4 orang telah mewakili SBM Kawasan Johor dalam simposium tersebut.
Pada 20 Disember hingga 22 Disember bertempat di Hotel Grand Pasific telah berlangsung satu Kursus Peningkatan Bahasa Malaysia anjuran SBM. SBM Kawasan Johor telah menghantar dua orang wakil untuk menyertai kursus tersebut iaitu En. Zamri bin Ishak dan En. Rahim bin Samad. Mereka telah menginap di hotel tersebut. Segala perbelanjaan ditanggung oleh SBM. Yuran penyertaan untuk mengikuti kursus tersebut adalah sebanyak RM10.00 sahaja.
Pada 20 Disember hingga 26 Disember 2008, satu Kursus Refleksologi fasa IV peringkat SBM Kawasan Johor telah diadakan. Kursus ini telah dijalankan di Pejabat SBM Kawasan Johor. Seramai 8 orang terlibat dalam kursus tersebut. Kursus tersebut telah dikendalikan oleh En. Ahmad Awang dan dibantu oleh En. Ismail Hassan dan Pn. Siti Bedah/Mas Bt Salleh. Yuran sebanyak RM50.00 telah dikenakan bagi setiap peserta kursus. Jumlah perbelanjaan adalah sebanyak RM1,981.00 sahaja.
Kursus refleksologi ini telah memberi banyak manfaat kepada peserta. Dengan ilmu yang diperoleh dalam kursus ini, peserta bolehlah menjalankan kegiatan refleksologi ini bagi menambah pendapatan mereka. Selain itu, mereka boleh menceburi bidang refleksologi ini secara serius dengan membuka perniagaan di masa hadapan.
Pada 27 Disember satu program keusahawanan telah diadakan di Pejabat SBM Kawasan Johor. Dua sesi ceramah telah dibuat dalam program tersebut. Ceramah pertama telah disampaikan oleh En. Alsidik Mohd Ali dari Qualiti Konsultan. Manakala ceramah kedua pula telah disampaikan oleh En. Zainor Bin Jawahir Ahli SBM Kawasan Johor yang bergiat dalam bidang keusahawanan. Seramai 30 orang telah hadir dalam program tersebut.
Satu Majlis Makan Malam Akhir Tahun SBM Kawasan Johor 2008 telah diadakan pada 27 Disember 2008 untuk ahli-ahli SBM Kawasan Johor. Majlis makan malam ini telah diadakan di Pejabat SBM Kawasan Johor. Majlis bermula pada 8.15 malam. Seramai 30 ahli telah hadir dalam majlis tersebut. Yuran sebanyak RM3.00 untuk ahli dan RM5.00 untuk bukan ahli telah dikenakan untuk menghadiri majlis makan malam tersebut.
Dalam majlis tersebut, pihak SBM Kawasan Johor turut menyampaikan bantuan pendidikan untuk anak-anak ahli SBM Kawasan Johor. Penyampaian bantuan pendidikan ini telah disempurnakan oleh Pn. Siti Bedah/Mas Bte. Salleh, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Latihan Dan Kepimpinan. Selain itu, majlis penyampaian hadiah Pertandingan Ping Pong Peringkat SBM Kawasan Johor turut diadakan dalam majlis makan malam tersebut. Hadiah telah disampaikan oleh En. Karno Bin Hj. Abd. Hadi, Pengerusi Jawatankuasa Belia Dan Sukan, SBM Kawasan Johor. Perbelanjaan majlis Makan Malam Akhir Tahun 2008 ini adalah sebanyak RM789.00. Majlis ini juga telah mempereratkan lagi silaturahim antara ahli dan perpaduan di kalangan ahli SBM Kawasan Johor.
Kembali Ke ISI KANDUNGANoleh: MAT DARUS BIN SULAIMAN, PENGERUSI
Warga emas adalah golongan yang paling istimewa di mata masyarakat. Memandangkan hakikat inilah, setiap tahun, SBM Cawangan Kelantan mengadakan majlis khas bagi meraikan mereka. Majlis tersebut telah diadakan pada hari Sabtu 10 Oktober 2008, bermula jam 10.00 pagi. Satu pasukan perubatan telah didatangkan khas dari pusat kesihatan Bachok untuk membuat pemeriksaan kesihatan secara percuma terhadap ahli-ahli di cawangan ini. Sebanyak RM 990.00 telah diberikan kepada 33 orang warga emas sebagai mengingati jasa mereka terhadap masyarakat. Seramai 90% ahli telah menghadirkan diri. Semua ahli pulang ke rumah masing-masing setelah selesai menikmati jamuan tengah hari.
Kembali Ke ISI KANDUNGANOleh: Mohd Jais Bin Ismail, Setiausaha SBM Cawangan KL/Selangor
Acara tahunan ini telah berlangsung pada 25 Oktober 2008 bertempat di Dewan Utama Kompleks MAB. Pertandingan seni suara ini ditaja sepenuhnya oleh Kementerian Kebudayaan dan Warisan (KEKWA) dengan peruntukan sebanyak RM4,500.00. Pertandingan bermula pada jam 8.00 malam. Aktiviti ini telah dikendalikan oleh tiga orang AJK iaitu Encik Abian Jambot, Encik Mohamad Ali Ahmad dan Encik Esa Taib. Seramai 10 orang peserta telah terpilih ke pertandingan akhir. Setiap penyertaan dikenakan bayaran RM5.00 seorang.
Encik Che Omar Ahmad telah bertindak sebagai pengacara pertandingan dan skrip disediakan oleh pihak penganjur. Pertandingan bakat ini telah diadili oleh dua orang yang sangat berpengalaman dalam bidang nyanyian iaitu Encik Johari Rezeki dari Kumpulan BPR dan Encik Nasriza dari Syarikat Comulti. Johan telah dimenangi oleh Puan Nurul Syakinah Tay Abdullah. Naib johan disandang oleh Encik Hamar @ Ahmad Abdullah dan tempat ketiga dimenangi oleh Puan Rosmaria Ahmad. Penyampaian hadiah-hadiah telah disempurnakan oleh tetamu kehormat Nik Faizul Ikhwan dari KEKWA. Acara tamat tepat pada jam 11.00 malam.
Acara tahunan yang dikhususkan kepada ahli-ahli yang berumur 60 tahun ke atas ini telah diadakan pada 8 November 2008 bertempat di Dewan Makan, Kompleks MAB. Seramai 34 ahli warga emas yang turut serta. Acara ini telah diselia oleh Puan Penny Choi. Majlis bermula pada jam 3.00 petang dan ia berlangsung dalam suasana meriah serta sempurna. Aktiviti ini melibatkan perbelanjaan sebanyak RM1,890.00 yang disumbangkan oleh pihak ibu pejabat.
Majlis bermula dengan ucapan alu-aluan oleh Pengerusi cawangan, diikuti dengan jamuan ringan. Seterusnya pihak penganjur mengadakan percambahan fikiran antara ahli-ahli warga emas dengan barisan AJK cawangan. Dalam sesi ini ahli-ahli telah mengemukakan cadangan dan meluahkan rasa tidak puas hati mereka terhadap aktiviti-aktiviti yang telah dilangsungkan dan perkhidmatan yang disediakan oleh SBM. Setiap peserta juga diberi saguhati dan tambang berjumlah RM25.00 seorang. Majlis bersurai pada jam 4.30 petang.
Pertandingan ini terbuka kepada ahli-ahli wanita SBM Cawangan KL/Selangor. Hanya lima peserta sahaja yang mendaftar untuk menyertai pertandingan ini. Pertandingan tersebut telah berlangsung pada 22 November 2008 bertempat di premis SBM Cawangan KL/Selangor. Ia telah diuruskan oleh Puan Penny Choi. Pertandingan ini melibatkan peruntukan sebanyak RM720.00. Setiap penyertaan dikenakan bayaran sebanyak RM5.00 seorang. Pertandingan telah diadili oleh Puan Kalsom dan Puan Jamilah @ Maziah Abu Bakar. Setiap peserta diberi kebebasan untuk membentuk apa saja benda daripada manik. Pemenang pertama telah disandang oleh Puan Hanipah Abdul Ghani. Pemenang kedua pula ialah Puan Azlenen Mat Zali dan pemenang ketiga ialah Puan Zainah Awang Mat Salleh. Acara penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Pengerusi Cawangan iaitu Encik Mohd Ghazali Tocheh. Seperti biasa, agenda terakhir sebelum majlis bersurai, semua peserta, tetamu jemputan, pengadil dan barisan AJK Cawangan dipelawa menikmati jamuan ringan yang disediakan oleh pihak penganjur. Acara bersurai pada jam 4.30 petang.
Lawatan yang dirancang pada hujung tahun ini telah dilaksanakan pada 21 Disember 2008. Seramai 39 orang ahli dan 5 orang AJK yang turut serta dalam rombongan ini. Setiap penyertaan dikenakan bayaran RM30.00 seorang. Bas bertolak dari premis cawangan pada jam 8.30 pagi dan selamat tiba di Air Keroh, Melaka pada jam 11.15 pagi. Aktiviti ini telah dikendalikan oleh Pengerusi cawangan, Encik Esa Taib dan Encik Yusof Abdullah. Pihak cawangan menggunakan peruntukan wang sumbangan aktiviti sebanyak RM300.00.
Para peserta berkesempatan melawat Zoo Melaka, Kota A Famosa dan berpeluang menaiki perahu. Pihak penganjur juga memberi peluang kepada ahli-ahli untuk membeli-belah di sekitar Bandar Melaka. Setelah melawat-lawat di sekitar negeri Melaka akhirnya peserta rombongan selamat tiba di premis cawangan pada jam 8.00 malam.
Acara tahunan ini telah dilaksanakan dengan jayanya pada 27 Disember 2008 bertempat di Dewan Makan Kompleks MAB. Seramai 65 orang ahli yang hadir termasuk barisan AJK dan tetamu undangan. Wakil ibu pejabat yang hadir ialah Presiden SBM, Encik Mah Hassan bin Haji Omar. Setiap penyertaan dikenakan bayaran RM5.00 seorang. Untuk tujuan ini pihak ibu pejabat telah meluluskan peruntukan sebanyak RM600.00. Aktiviti ini telah dikendalikan oleh Pengerusi cawangan Naib pengerusi dan Bendahari cawangan.
Acara dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Pengerusi cawangan, Seterusnya Presiden menyampaikan ucapan perasmian. Semua peserta dihidangkan dengan makanan yang sangat menyelerakan. Setelah selesai makan semua peserta berpeluang memenangi hadiah dengan menjawab beberapa soalan yang berkaitan dengan SBM. Pihak penganjur juga mengadakan sumbang saran di mana ahli-ahli berpeluang mengemukakan cadangan dan meluahkan rasa tidak puas hati terhadap aktiviti-aktiviti dan perkhidmatan yang disediakan oleh cawangan selama ini. Majlis berakhir pada jam 11.00 malam.
Kembali Ke ISI KANDUNGANOLEH NORHASHIMAH HASHIM
Sudah lebih setengah abad Malaysia mencapai kemerdekaan. Dalam tempoh itu, pemimpin Negara ini telah Berjaya membuktikan mereka mampu mentadbir Negara ini dengan cekap dan penuh tanggungjawab. Peredaran masa telah menyaksikan Malaysia terus mencapai kemajuan dalam segenap bidang. Lanjutan daripada itu, taraf hidup telah meningkat. Mutu pendidikan bertambah baik. Penyelidikan dan pembangunan yang dilakukan secara berkala telah membawa penambahbaikan yang ketara dalam aspek kesihatan, pertanian, sains dan teknologi dan sebagainya.
Bagaimanapun, satu hal yang agak kurang menyenangkan ialah fenomena kecacatan pelbagai atau kecacatan berganda yang semakin berleluasa dewasa ini. Suatu ketika dahulu, kita sering menemui anak-anak di sekolah-sekolah khas atau institusi-institusi kebajikan mengalami hanya satu jenis kecacatan. Situasi ini berbeza sekarang. Guru-guru pendidikan khas dan petugas-petugas di rumah-rumah kebajikan kini kerap berdepan dengan murid yang buta sekaligus pekak; atau, cacat anggota beserta dengan masalah pembelajaran; atau, mengalami tiga atau lebih ketidakupayaan pada masa yang sama. Apa yang lebih menyedihkan ialah sebahagian daripada anak-anak malang ini turut mengidap penyakit-penyakit merbahaya seperti penyakit barah, leukemia dan penyakit jantung.
Ini merupakan cabaran yang terpaksa didepani oleh semua pihak dengan bijaksana. Perubatan tradisional masih terus diamalkan. Perubatan moden juga telah dapat menyembuhkan banyak penyakit kronik. Malangnya, baik perubatan tradisional mahupun perubatan moden masih gagal menyelesaikan masalah kecacatan pelbagai ini. Apakah punca sebenar yang telah membawa kepada berlakunya gejala ini?
Sebahagian daripada kes kecacatan berganda ini terjadi sejak lahir lagi. Ini mungkin ekoran daripada komplikasi yang dihadapi oleh ibu-ibu sewaktu mengandung dan sewaktu proses kelahiran itu sendiri. Anak-anak ini juga mungkin dilahirkan oleh ibu-ibu yang telah menjangkau usia lewat empat puluhan dan berisiko tinggi untuk melahirkan anak-anak dengan lebih daripada satu jenis kecacatan.
Dalam kes-kes yang lain pula, anak-anak ini lahir dengan anggota dan pancaindera yang sempurna. Pun begitu, kesempurnaan itu kemudiannya telah diragut oleh penyakit atau kemalangan hingga menyebabkan mereka kehilangan fungsi beberapa deria dan anggota sepanjang hayat mereka.
Faktor pemakanan turut menyumbang kepada gejala ini. Penyelidikan-penyelidikan yang telah dibuat oleh persatuan pengguna dan beberapa pihak lain telah mendapati bahan-bahan pengawet dan bahan-bahan pewarna dalam makanan mempunyai kesan sampingan kepada orang yang memakannya. Antara kesan sampingan tersebut ialah melemahkan daya ingatan dan mengurangkan daya tahan badan. Beberapa langkah wajar diambil untuk menangani masalah kecacatan pelbagai ini. Mengamalkan budaya hidup sihat dan menjaga pemakanan adalah antara tip penting ke arah mencapai hasrat tersebut. Ibu-ibu yang sedang mengandung juga harus segera mendapatkan rawatan andainya mereka merasakan ada sesuatu yang tidak kena pada kandungan mereka. Kajian dan tindakan juga harus terus dijalankan bagi mendepani fenomena ini.
Apa hal sekalipun, kita harus akur yang tadbir manusia tidak mungkin dapat mengatasi takdir Tuhan. Oleh itu, kita harus redha menerima ketentuan-Nya sekiranya anak-anak atau orang-orang yang kita sayang disuratkan mengalami kecacatan berganda meskipun setelah pelbagai usaha pencegahan dilaksanakan. Mungkin, kehadiran mereka sekadar untuk menguji keimanan dan kesabaran kita. Dari itu, tunaikanlah hak-hak mereka dengan saksama.
Kembali Ke ISI KANDUNGANOleh Dr. Zakaria bin Osman
Apabila kita bercakap tentang alam yang gelap dan sepi, seringkali kita akan teringat akan alam kubur. Sama ada benarkah alam kubur itu gelap dan sepi, hanya si mati sahajalah yang dapat menjelaskannya. Di alam kehidupan ini masih banyak yang boleh diperkatakan.
Oleh yang demikian, apabila kita bercakap tentang dunia “gelap” dan “sepi” dalam alam kehidupan ini, kita akan teringat kepada orang-orang seperti Helen Keller, yang bukan sahaja tidak dapat melihat, bahkan juga tidak dapat mendengar. Malah lebih malang lagi jika kedua-dua kecacatan ini dialami sejak lahir, kerana bukan sahaja seseorang tidak akan dapat melihat dan mendengar, bahkan kemungkinan besar juga tidak dapat bertutur. Ini disebabkan dalam proses pembesarannya kanak-kanak sebegini tidak pernah mendengar pertuturan kerana tidak dapat mendengar pertuturan daripada orang lain.
Di Negara-negara maju seperti di Amerika Syarikat dan di Eropah, pelbagai program telah dijalankan bagi pemulihan golongan ini. Antaranya adalah seperti The Helen Keller Centre For The Deaf-Blind, Alabama Organization For The Deaf-Blind Home, The British Organisation Of Deaf-Blind, Anne Sullivan, Malah berpuluh-puluh lagi persatuan, pertubuhan, organisasi dan pusat pemulihan untuk golongan yang mengalami kedua-dua kecacatan ini. Di Asia, terdapat beberapa buah Negara yang sudah pun memiliki program-program untuk golongan ini seperti di Hong Kong, iaitu The Hong Kong Centre For The Deaf-Blind dan juga di Jepun.
Walau bagaimanapun, di Negara kita golongan ini masih tidak mendapat perhatian yang sewajarnya. Buat masa ini hanya St. Nicholas Home di Pulau Pinang yang sudah memiliki satu program untuk golongan ini. Walau bagaimanapun, bilangan kanak-kanak yang menjalani pemulihan masih kecil. Itu pun ia dikendalikan oleh mereka yang kurang pengetahuannya dalam mengadakan pemulihan bagi golongan ini. Pada pandangan saya, sebagaimana kita yang kurang upaya penglihatan ini mendapat pembelaan, maka sewajarnyalah juga golongan kurang upaya penglihatan dan pendengaran ini juga perlu diberi kesempatan yang sama demi kehidupan yang lebih bermakna. Saya merasakan satu usaha perlu dilakukan untuk pendidik-pendidik di negara kita menguasai ilmu-ilmu pemulihan bagi golongan ini demi membantu golongan OKU penglihatan dan pendengaran ini mendapat tempat yang sewajarnya dalam masyarakat.
Kita juga harus sedar bahawa sudah ramai dari kalangan kita yang dulunya hanya menghadapi kurang upaya penglihatan tetapi kini juga terpaksa kehilangan deria pendengaran pula. Antara mereka adalah seperti Cik Wan Zainun, Mohd Fauzi Abd. Rahman dan juga Encik Ismail Safawi. Tidak mustahil juga mungkin kita akan menyertai mereka suatu hari kelak. Oleh itu, saya merasakan sudah tiba masanya kita sama-sama memikirkan bagaimana kita perlu bertindak bagi berdepan dengan situasi yang bukan lagi suatu igauan bahkan sudah menjalar di kalangan komuniti kita.
Antara langkah-langkah yang mungkin dilakukan sekarang adalah dengan menyediakan tenaga kerja yang mampu memberi latihan dan pemulihan kepada golongan ini dan juga memberi pendedahan kepada pemimpin-pemimpin kita tentang latihan-latihan serta pemulihan-pemulihan yang sudah dilakukan di Negara-negara maju supaya mereka akan kembali ke Negara kita dengan persepsi baru terhadap golongan yang saya kira jauh lebih daif daripada kita. Kita juga harus mengadakan perancangan serta program bagi menyediakan diri kita untuk menempuh kehidupan “gelap” dan “sepi” sekiranya itu ditakdirkan berlaku kepada kita sebagaimana ia sudah pun berlaku kepada rakan-rakan kita. Eloklah kita menyediakan payung sebelum hujan.
Kembali Ke ISI KANDUNGANOleh Raimah binti Mat Lazin
OKU penglihatan juga seperti manusia lain yang ingin hidup berdikari, berkeluarga dan mempunyai kerjaya yang sesuai dengan keupayaan mereka. Namun pancaindra penglihatan yang bermasalah menyebabkan peluang pekerjaan menjadi terhad untuk mereka.
Ada di kalangan OKU penglihatan menjadikan faktor pekerjaan yang dapat menjamin keselesaan hidupnya dan orang yang bakal ditanggungnya dalam memikirkan soal mendirikan rumah tangga dan seterusnya membina keluarga sendiri. Ini menyebabkan mereka yang tidak mempunyai pekerjaan bergaji tetap, memilih untuk hidup membujang walau pun beliau sudah mempunyai pilihan untuk dijadikan pasangan hidup.
Dalam Agama Islam telah dijelaskan bahawa 9 daripada 10 punca rezeki adalah melalui perniagaan. Namun bila ramai OKU penglihatan yang ingin bergiat dalam bidang perniagaan dengan menjual tisu di tepi jalan atau menjual barangan dari rumah ke rumah, ada pula pendapat yang menganggap perniagaan jenis itu sebagai meminta sedekah, atas alasan ia banyak bergantung kepada belas kasihan orang ramai.
Dilema ini menyebabkan ramai OKU penglihatan berpindah pula ke industri urut dan refleksologi. Limpahan pekerja dalam bidang urut dan refleksologi ini ditambah pula dengan kedatangan rakyat asing yang menawarkan perkhidmatan yang sama, maka banyak kedai urut yang diusahakan oleh golongan cacat penglihatan terpaksa ditutup. Akibatnya OKU penglihatan terpaksa membuat pelbagai kerja seperti bermain muzik atau menjual tisu di jalanan, menjaja barangan dari rumah ke rumah atau memberi perkhidmatan urut secara “on call”. Pekerjaan yang tidak menentu begini tidak menjamin pulangan yang baik terutamanya bagi mereka yang sudah berkeluarga dan mempunyai anak yang bersekolah. Bantuan yang disediakan oleh kerajaan tentunya tidak mencukupi terutama kepada mereka yang tinggal di bandar seperti Kuala Lumpur dan lembah kelang, Johor Bahru, Kuantan, Kota kinabalu atau Kuching.
Di masa kemelesetan ekonomi global ini, peluang pekerjaan bergaji tetap kepada OKU penglihatan semakin sukar. Adalah diharapkan NGO, kerajaan dan para majikan dapat bekerjasama secara bersepadu dalam menangani masalah peluang pekerjaan kepada OKU penglihatan. Sebagai contoh, Kerajaan dan penderma wajar menyediakan dana yang boleh digunakan oleh NGO untuk memberikan latihan yang sesuai dan perlu kepada OKU penglihatan melalui maklumat tentang jenis dan bentuk kemahiran yang diperlukan oleh bakal majikan.
Ibarat orang yang hampir kelemasan, pastinya OKU penglihatan sanggup melakukan apa sahaja tindakan yang boleh menyelamatkan sevaival hidup mereka. SBM yang merupakan satu-satunya pertubuhan kebangsaan yang ditubuhkan oleh orang-orang cacat penglihatan sendiri untuk OKU penglihatan tanpa mengira kaum atau agama adalah organisasi yang tepat bagi menyalurkan bantuan dana latihan kemahiran kerja kepada OKU penglihatan. Dengan adanya semangat dan ikhtizam para pemimpin, SBM mampu menyalurkan bantuan kepada golongan cacat penglihatan di seluruh Malaysia secara efektif dan menyeluruh.
Kembali Ke ISI KANDUNGANOleh Dr. Zakaria bin Osman
Bagi golongan OKU penglihatan yang menggunakan komputer tentunya teknologi teks ke pengucapan “Text to Speech (TTS)” merupakan teknologi yang sudah tidak asing lagi. Komputer yang kita gunakan tentunya dilengkapi dengan mana-mana perisian pembaca skrin yang menggunakan teknologi teks ke pengucapan ini.
Seiringan dengan pembangunan teknologi teks ke pengucapan, turut juga dibangunkan teknologi pengucapan ke teks yang, saya kira, tidak banyak didedahkan kepada golongan kita OKU penglihatan di Negara ini. Barangkali ini disebabkan sama ada kita tidak mengetahui akan kewujudannya ataupun mungkin juga kita tidak dapat melihat kepentingannya kepada golongan kita.
Dalam teknologi teks ke pengucapan, teks-teks yang sama ada dimasukkan mahupun yang tertera pada skrin akan diubah menjadi pengucapan. Sebaliknya, dalam teknologi pengucapan ke teks pula, setiap patah perkataan yang diucapkan akan ditukarkan menerusi proses pengkomputeran kepada teks. Walau bagaimanapun, proses penukaran pengucapan ke teks itu tidaklah semudah penukaran teks ke pengucapan selagi teks itu merupakan abjad dan nombor yang lazim diguna pakai. Ini disebabkan perisian yang dibina bagi tujuan pengucapan ke teks itu akan hanya menerima pengucapan mengikut sistem bunyi bahasa yang diprogramkan. Sebahagian besar daripada perisian pengucapan ke teks buat masa ini dibina untuk pengucapan bahasa Inggeris. Oleh itu, hanya pengucapan dalam bahasa Inggeris sahajalah yang dapat ditukarkan ke teks dengan tepat. Jika bahasa Melayu umpamanya diucapkan, teks yang diterjemahkan daripada pengucapan itu tentunya tidak tepat kerana wujudnya perbezaan sistem bunyi antara bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris. Bagaimanapun, saya yakin perisian yang sesuai untuk kegunaan penutur bahasa Melayu akan dapat dibangunkan jika ada keperluan dan permintaan terhadapnya.
Persoalannya, apakah kepentingan teknologi ini kepada golongan OKU penglihatan? Bagi saya teknologi ini dapat membantu kita setidak-tidaknya meringankan dua perkara; iaitu menterjemahkan tulisan cetak ketulisan Braille dan menjadi alat yang efektif bagi golongan OKU penglihatan dan pendengaran. Meskipun teknologi pengimbasan kian maju, namun sehingga kini ketepatan outputnya masih banyak bergantung kepada kejelasan dan keseragaman teks yang diimbas. Ini menyebabkan kegunaannya masih terhad, malah kadangkala masih memerlukan masa yang agak lama untuk menyunting dan kemudiannya mencetaknya ke dalam tulisan Braille. Kegunaan teknologi pengucapan ke teks tentunya dapat menjadi alternatif yang baik kerana teks-teks cetak hanya perlu dibacakan ke dalam komputer dan melalui teknologi ini, pengucapan itu akan lansung diterjemahkan ke dalam teks lansung dapat dicetak ke dalam tulisan Braille . Beberapa perisian yang ada dalam pasaran hari ini sudah menjanjikan 99 peratus ketepatan. Sekalipun buat masa kini teknologi ini masih terhad bagi kegunaan dalam bahasa Inggeris, namun sudah pasti pengucapan dalam Bahasa Melayu tentunya dapat dibangunkan. Proses menterjemahkan teks ke Braille sudah tidak lagi terbatas kepada teks-teks cetak tertentu. Malah, semua jenis teks termasuk tulisan tangan boleh diterjemahkan ke Braille tanpa banyak menghadapi kesulitan lagi.
Golongan OKU penglihatan dan pendengaran pula akan mendapati teknologi ini mampu memudahkan mereka untuk berkomunikasi. Mesej yang kita ucapkan melalui komputer akan keluar dalam bentuk teks dan dengan kemudahan paparan Braille “Braille Display”, seseorang yang OKU penglihatan dan pendengaran akan dapat mengakses setiap perkataan yang kita tuturkan kepada mereka. Kaedah ini saya kira amat berguna kepada rakan-rakan OKU penglihatan kita yang kehilangan deria pendengaran. Mereka ini masih lagi dapat bertutur walaupun mereka sudah tidak lagi mendengar. Dengan penggunaan teknologi ini tentunya akan lebih memudahkan perbualan kita dengan golongan ini.
Saya kira teknologi ini tentunya besar sumbangannya kepada golongan kita. Ia akan menjadi satu alternatif bagi mereka yang tidak mampu atau kurang mahir menaip. Mereka yang biasanya menggunakan alat perakam untuk merakam kuliah, ceramah dan seumpamanya untuk kemudian didengar kembali, kini sudah ada alternatif lain iaitu membaca balik apa yang telah dirakamkan apabila output teks hasil daripada rakaman tersebut dicetakkan ke dalam tulisan Braille. Apa pun, sudah tiba masanya kita golongan OKU penglihatan meneroka teknologi ini bagi manfaat kita bersama.
Kembali Ke ISI KANDUNGANOleh Roslan Bidin
SEBUT tentang seni kraf rotan, sudah pasti kita akan membayangkan kerja tersebut ialah menganyam bakul. Atau kalau ada orang bertanya akan pekerjaan kita, sudah pasti kita akan menjawab, “Buat bakul aje,”
Namun tahukah anda betapa tingginya permintaan terhadap seni kraf anyaman rotan di pasaran?
Kassim bin Hamzah seorang pengusaha kraf tangan rotan dari Kampung Permatang Pauh Simpang Empat Perlis pernah menceritakan pengalamannya bahawa beliau tidak menang tangan menerima tempahan dari pelbagai pelanggan. Ada yang datang dari luar. Terutamanya dari Pulau Langkawi dan Pulau Pinang. Ada juga yang sanggup datang dari Kuala Lumpur semata-mata ingin membuat tempahan dari Pak Kassim.
Begitu juga dengan Abang Mustaffa bin Dahaman dari Kampung Sena Jalan Tok Paduka Kangar. Panggilan mesranya Abang Mus pula menceritakan sejak beliau diberikan peluang berniaga di Pasar Tani di Taman Sena Indah Kangar, beliau tidak terlayan dengan tempahan dari pelanggan dan pernah dia tidak dapat menunaikan tempahan mereka. Bagi Kak Ani atau Noorjasmee bt. Osman dari Kampung Padang Pauh Kangar serta Che Zainah Che Ibrahim serta tiga orang saudaranya dari Kampung Titi Besi Arau pula berterima kasih kepada Encik Roslan Bidin (pengarang) yang sering mengambil barang mereka untuk dijual pada setiap kali dijemput menyertai ekspio jualan kraf anjuran Perbadanan Kemajuan Kraf tangan Malaysia Cawangan Perlis selain tidak kurang banyaknya menerima tempahan dari pelanggan.
Pihak Perbadanan Kemajuan Kraf tangan Malaysia tidak jemu-jemu mencari jalan untuk membantu usahawan kraf rotan mempromosikan produk. Mengadakan kursus serta khidmat nasihat dan sebagainya. Antara promosi yang popular yang sering diadakan di Kompleks Kraf Jalan Conlay Kuala Lumpur ialah seperti Promosi Kraf Nusantara yang dijadualkan berlangsung sekitar bulan Julai, Promosi kraf sempena Hari Kraf Kebangsaan yang dijadualkan berlangsung pada penghujung februari dan bulan mac setiap tahun.
Sehubungan itu, nah! Inilah peluang kepada anda yang sedang menghasilkan produk seni kraf rotan. Berusahalah demi untuk masa depan anda. Kerana pintu rezeki di dalam dunia seni kraf sememangnya terbuka amat luas untuk anda golongan OKU penglihatan.
Kembali Ke ISI KANDUNGANoleh Iran Shah Ramatullah
Masyarakat umum sering memberikan alasan bahawa mereka tidak tahu mengendalikan orang kurang upaya penglihatan. Sedangkan mereka juga seperti manusia normal lain. Mereka juga makan nasi yang terhasil daripada beras dan mereka juga makan beger dan mereka juga meminum air putih. Masyarakat hari ini selalu bimbang untuk berhadapan dengan golongan kurang upaya penglihatan terutama untuk berkomunikasi. Orang cacat penglihatan boleh berinteraksi dengan menggunakan komunikasi verbal dan ada kalanya boleh menggunakan koomunikasi non-verbal. Orang cacat penglihatan Cuma tidak boleh melihat berbanding dengan orang yang bermasalah pendengaran dan bisu. Mereka yang menghadapi masalah pendengaran dan bisu perlu menggunakan bahasa isyarat atau boleh dikelaskan dalam kategori non-verbal communication. Orang cacat penglihatan lebih menggunakan verbal communication berbanding dengan non-verbal communication.
Verbal dan non-verbal merupakan pecahan kaedah komunikasi dalam bimbingan dan kaunseling. Komunikasi verbal ialah komunikasi lisan dan non-verbal ialah komunikasi yang menggunakan kod isyarat yakni pergerakan anggota badan. Kedua-dua jenis komunikasi ini mempunyai impak kepada pembimbing dalam mengendalikan aktiviti bimbingan dan kaunseling. Dalam rencana ini akan dibicarakan berkaitan metod atau kaedah dan kesan yang wujud akibat daripada penggunaan komunikasi ini. suasana ini akan wujud kerana fokus perbincangan dapat difahami dengan jelas kerana pembimbing menggunakan kedua-dua jenis komunikasi dalam melakukan aktiviti perbincangan tersebut. Hal ini adalah kerana mereka menggabungkan kedua-dua jenis komunikasi bagi membentuk komunikasi dua hala. Keadaan ini juga dapat membantu kepada pembimbing dan pelajar menggunakan salah satu bentuk komunikasi bagi melakukan komunikasi jika mereka sukar untuk melafazkan dalam kata ataupun isyarat. Keadaan ini sekaligus akan mewujudkan sikap harmonis.
Apabila pembimbing dan pelajar dapat menggunakan kedua-dua bentuk komunikasi dengan baik dan boleh difahami oleh kedua-dua pihak, masalah ketidakfahaman dapat dielakkan. Keadaan ini juga membantu memudahkan komunikasi dua hala. Hal ini adalah kerana kedua pihak mampu melakukan satu komunikasi yang berkesan tanpa mewujudkan keraguan dalam komunikasi. keadaan ini akan melahirkan satu signifikan yang menarik dan jalinan perhubungan yang mesra. Malahan keadaan ini dapat mengelakkan sebarang masalah yang tidak diingini berlaku. Hal ini kerana jika salah seorang tidak mampu menggunakan komunikasi yang berkesan, bimbingan yang dijalankan tidak boleh mencapai hasrat.
Komunikasi lisan dan bukan lisan yang berkesan juga menghasilkan gagasan dan harapan yang diharapkan oleh pembimbing dan pelajar. Penggunaan bahasa yang tepat memudahkan komunikasi kedua-dua belah pihak. Apabila kedua-dua pihak memahami pemikiran yang dibincangkan, mesej yang hendak disampaikan dapat dinilai dan difahami. Keadaan ini juga akan mengelakkan sebarang masalah yang tidak diingini malah menyebabkan masalah yang dipikul dikurangkan dan membantu individu terbabit memilih jalan yang terbaik dalam membuat keputusan.
Seorang yang boleh menggunakan kedua-dua bentuk komunikasi dalam perbualan bermakna seorang yang kreatif kerana boleh membentuk satu bentuk isyarat yang baik dan mudah difahami oleh pelajar yang mengikuti program tersebut. Keadaan ini menunjukkan guru tersebut berjaya mencari satu jalan yang boleh mengelakkan sebarang masalah malah berjaya memahamkan dengan kaedah tersebut iaitu kaedah non-verbal. Hal ini kaedah tersebut sukar dikendalikan jika seorang tidak mampu membentuk isyarat yang tepat kerana akan membentuk istilah tertentu. Jika seorang silap memgberikan istilah yang tidak tepat boleh membawa padah kepada pembimbing tersebut.
Metod yang boleh dalam berkomunikasi dengan mereka yang berhadapan dengan masalah penglihatan ialah dengan menggunakan interaksi verbal (verbal communication). interaksi verbal ini bermaksud menggunakan isyarat suara agar boleh didengar oleh komunikator tersebut. komunikasi secara isyarat tidak boleh memberikan kesan komunikasi kepada komunikator melainkan disentuh anggota badan untuk memberitahu kehadiran seseorang itu.
komunikasi arahan pula perlu disertakan dengan bearing kedudukan iaitu dengan menyatakan kanan tangan, kiri tangan, belakang, depan, sisi atau boleh menggunakan bearing arah utara, timur, selatan dan barat. Selain kaedah itu menggunakan petunjuk jam seperti jam 12, jam 3, jam 6, dan jam 9. sebagai contoh, nasi kamu berada di arah jam 6, sayur berada pada jam 3, ayam berada pada jam 9 dan buah berada jam 12. penerangan lebih jelas berbanding dengan penjelasan yang biasa dibuat seperti dengan menyatakan secara umum. Keadaan akan menyukarkan komunikator atau OKU itu untuk memahami penerangan tersebut. Contoh lain, anda jalan terus ke hadapan, belok kanan, sehingga berjumpa dengan bukit kemudian anda belok kiri, anda akan berjumpa dengan tangga, anda boleh mengambil tangga tersebut ke kaunter tiket Monorail. OKU yang biasa dengan arahan seumpama itu akan rasa lega dan boleh sampai pada destinasi tersebut. keadaan ini juga memberikan hubungan intim di antara komunikator tersebut malah akan memudahkan perjalanan orang kurang penglihatan itu tiba pada destinasi yang dicari itu.
Komunikasi guru dengan murid dalam melaksanakan pengajaran dengan murid penglihatan pula ialah dengan menggunakan komunikasi Non-verbal dan verbal. Komunikasi verbal dalam bilik darjah banyak digunakan untuk murid KBSR iaitu terutama murid pada tahap satu yang menggunakan deria rasa untuk mempelajari tulisan braille. Guru juga akan menggunakan ini untuk mendekatkan murid dengan pembelajaran sains, matematik, dan beberapa mata pelajaran yang memerlukan teknikal pelajar iaitu pada peringkat KBSM. Hal ini kerana kebanyakan guru yang baru berhadapan dengan masalah untuk mengelola bilik darjah. Keadaan ini sepatutnya tidak berlaku dalam masyarakat kerana seseorang individu itu seharusnya berfikir untuk berhadapan orang cacat penglihatan.
Oleh yang demikian, berdasarkan penerangan tersebut, dapatlah disimpulkan bahawa kedua-dua bentuk komunikasi iaitu Non-verbal dan verbal sememangnya memberikan satu impak yang bagus kepada pembimbing jika mereka dapat mengendalikannya dengan baik.
Oleh Saifuddin Bin Mohamad - ppn
Kembali Ke ISI KANDUNGAN
Pada 11 Oktober 2008 SBM telah menyampaikan anugerah pelajar cemerlang cacat penglihatan kepada empat orang pelajar kurang upaya penglihatan yang telah mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM). Majlis penyampaian anugerah berkenaan diadakan di Ibu Pejabat SBM di 40A, Jalan Padang Belia, Brickfields, Kuala Lumpur. Para penerima adalah terdiri daripada NUR ADILAA BINTI ZAMRI, UPSR; AHMAD ZAIRI BIN ZAIDI, PMR; MUHAMMAD IDIL BIN IDRIS, SPM; dan NOOR IZATI BINTI MEOR SAMSUDDIN, STPM. Anugerah adalah berbentuk sijil dan wang tunai berjumlah RM500.00 STPM, RM400.00 SPM, RM300.00 PMR dan RM200.00 UPSR. Anugerah telah disampaikan oleh Encik Mah Hassan bin Haji Omar, Presiden SBM.
Dalam majlis berkenaan, turut disampaikan bantuan kewangan kepada 16 orang penuntut cacat penglihatan yang sedang belajar di pelbagai universiti awam seluruh negara. Setiap pelajar tersebut menerima RM300.00 setahun. Pada tahun 2008 ini SBM memperuntukkan sebanyak RM10,000.00 untuk tujuan membantu pelajar kurang upaya penglihatan di universiti.
Kembali Ke ISI KANDUNGAN
Seramai 15 orang ahli menyertai kursus ini. Mereka didedahkan dengan perisian Pengenalan Kepada Komputer, Windows XP, MS Word, Internet Explorer dan PC Maintenance. Dua orang tenaga pengajar yang bertungkus-lumus melatih mereka ialah Cikgu Mohd. Fekkeri bin Mat Jusoh dari Sekolah Menengah Khas (Cacat Penglihatan), Setapak, Kuala Lumpur dan Cikgu Saifuddin bin Mohamad – PPN dari Program Khas Masalah Pembelajaran, Sekolah Kebangsaan Sentul Utama, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.
Kursus ini telah berjaya membantu ahli-ahli pertubuhan ini meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam bidang ICT mereka untuk digunakan semasa mereka bertugas di tempat kerja masing-masing.
Kembali Ke ISI KANDUNGAN
Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM), melalui Jawatankuasa Pendidikan dan Latihan Kepimpinan (JPLK) yang dipengerusikan oleh Encik Mohamed Zaki bin Ismail PJK telah meluluskan bantuan kewangan kepada 16 orang pelajar cacat penglihatan dari Sekolah Menengah Pendidikan Khas (Cacat Penglihatan), Setapak, Kuala Lumpur.
Majlis penyampaian bantuan berkenaan telah diadakan semasa perhimpunan pagi di sekolah tersebut pada 28 Oktober 2008. Encik Saifuddin bin Mohamad yang mewakili JPLK turut hadir di majlis berkenaan bagi menyaksikan penyampaian bantuan itu yang dibuat oleh Encik Mohd. Hanafiah bin Mohd. Nor, Guru Penolong Kanan Kurikulum sekolah berkenaan.
Seramai 16 orang pelajar dari tingkatan 1 hingga tingkatan 5 menerima bantuan sebanyak RM150.00 seorang. Bantuan berkenaan diharap dapat digunakan oleh para pelajar untuk membeli peralatan tambahan yang mereka perlukan.
Pada tahun 2008 ini, SBM memperuntukkan RM10,000.00 untuk skim bantuan kepada penuntut buta dengan kadar maksimum Rm100.00 bagi pelajar sekolah rendah dan RM150.00 bagi pelajar sekolah menengah.
Kembali Ke ISI KANDUNGANPada Ahad 14 Disember 2008 SBM telah mengadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa bertempat di Hotel Grand Pacific Kuala Lumpur. Agenda utama mesyuarat ini adalah untuk membincang dan meluluskan peruntukan perbelanjaan pertubuhan bagi tahun 2009.
Encik Mah Hassan bin Haji Omar, selaku Presiden pertubuhan telah merasmikan mesyuarat agung berkenaan. Dalam ucapan perasmian, beliau meminta ahli-ahli agar mengambilkira masalah kemerosotan ekonomi global sekarang ini dalam membuat keputusan bagi menentukan peruntukan perbelanjaan 2009. Beliau akan mempastikan pada tahun 2009, perbelanjaan akan dibuat secara berhemah tanpa menjejaskan kepentingan para ahli. Dana yang disumbangkan oleh masyarakat umum akan digunakan dengan sebaik mungkin untuk pembangunan dan faedah OKU penglihatan tanpa sebarang pembaziran.
Seramai 300 orang ahli dari seluruh negara hadir ke mesyuarat ini. Di akhir mesyuarat, ahli-ahli bersetuju meluluskan peruntukan lebih RM1.3 juta untuk digunakan pada tahun 2009.
Bagi meningkatkan peluang-peluang pekerjaan kepada golongan OKU penglihatan, SBM telah mengadakan satu Simposium Pekerjaan OKU Penglihatan pada 15 dan 16 Disember 2008 bertempat di Hotel Grand Pacific, Kuala Lumpur. Lebih 90 orang peserta daripada kalangan pekerja OKU penglihatan, Majikan dan wakil-wakil jabatan kerajaan serta NGO yang terlibat dengan golongan OKU penglihatan seluruh negara telah turut hadir ke simposium dua hari berkenaan.
Antara agensi yang turut membentang kertas kerja dalam simposium tersebut termasuklah wakil dari Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Tenaga Kerja, Jabatan Perkhidmatan Awam, Bahagian Pendidikan Khas, Universiti Malaya, Universiti Kuala Lumpur, Universiti Terbuka Malaysia dan Percetakan Nasional Berhad serta Majlis Kebangsaan Orang Buta Malaysia. Hasil daripada perbincangan oleh para peserta bersama dengan penceramah, di akhir simposium tersebut, satu draf kertas cadangan berjaya disediakan bagi dikemukakan kepada pihak kerajaan untuk tindakan lanjut.
Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Pahang telah menganjurkan sambutan Hari Kasih Sayang pada 20 Disember 2008 di Dewan Orang Ramai Majlis Perbandaran Mentakab. Ahli-ahli SBM telah dijemput hadir ke majlis tersebut.
Antara aktiviti yang diadakan adalah pameran dan jualan hasil kerja golongan OKU di sekitar negeri Pahang. Program berkenaan telah dirasmikan oleh wakil Pengarah Kebajikan Negeri Pahang. SBM Cawangan Pahang telah mempamerkan hasil rotan dan membuka gerai urut serta Refleksologi.
Pengerusi Jawatankuasa Informasi dan Kemudahan Awam, Ibu Pejabat SBM iaitu Encik Maznan bin Mohd Zain turut hadir di program berkenaan. Menurut beliau, program seperti ini berjaya memberi kesedaran kepada orang ramai peri pentingnya menyokong usaha-usaha kerajaan dan pertubuhan kebajikan untuk membantu golongan kurang upaya di Malaysia. Beliau turut mengedarkan Majalah Wawasan dan risalah SBM kepada para pengunjung.
Program sehari ini telah mendapat sambutan yang memeransangkan daripada para ahli. Beberapa NGO lain juga turut sama menyertai program yang julung-julung kalinya diadakan di daerah mentakab. Rata-rata hadirin yang hadir dalam program ini amat berpuas hati dengan aktiviti yang dijalankan.
Kembali Ke ISI KANDUNGANJawatankuasa Pendidikan dan Latihan Kepimpinan yang dipengerusikan oleh Encik Mohamed Zaki bin Ismail PJK telah menganjurkan satu Kursus Peningkatan Bahasa Malaysia untuk ahli-ahli biasa SBM pada 20 - 22 Disember 2008 di Hotel Grand Pacific, Kuala Lumpur. Seramai 26 orang golongan kurang upaya penglihatan telah menyertai kursus berkenaan.
Kursus tersebut dikendalikan oleh dua orang penulis berpengalaman iaitu Cik Norhashimah binti Hashim seorang penulis Drama RTM dan Dr. Zakaria bin Osman, Pensyarah Bahasa Malaysia dan Budaya, Universiti Kuala Lumpur yang bertindak sebagai fasilitator. Tiga orang penceramah undangan lain ialah Puan Selina Lee Sai Fa dari Dewan Bahasa Dan Pustaka;. Dr. Haji Ali bin Mahmood dari Institut Bahasa Melayu Malaysia; dan Dr. Hamiza serta Cik Ashikin Alias dari Institut Terjemahan Negara Malaysia. Para peserta yang menyertai kursus tersebut telah dianugerahkan Sijil Penyertaan yang disampaikan oleh Encik Mah Hassan bin Hj. Omar, presiden SBM semasa upacara penutupan rasmi kursus berkenaan.
Oleh Nazri Haji Nawi
Sebutir bintang kerdil itu berkerdipan di celah gugusan bintang lain di langit biru. Biarpun kurang terserlah sinar cahayanya dik kekerdilannya, namun
dia adalah bintang yang turut sama mewarnai dan menghiasi cakrawala seni yang halus mulus, itulah dia Mohd Husabni Bin Che’ Rashid atau lebih dikenali dengan panggilan Husin.
Dilahirkan pada 28 Oktober 1976 di Kampung Sungai Hala Machang, Kelantan. Mendapat pendidikkan awal di Sekolah Kebangsaan Morak, dan meneruskan pelajarannya ke Sekolah Menengah Ugama Bustanushaadah Tumpat Kelantan hingga tamat tingkatan lima.
Anak seorang peneroka tanah rancangan Cheni dua Pahang Darul Makmur ini telah dibela oleh mak saudaranya sejak berusia empat hari. Ketika itu ayah dan ibunya meneruskan penghidupan sebagai peneroka. sewaktu berusia enam tahun ibunya telah kembali ke Rahmatullah. Namun hidup ini harus diteruskan jua. Dia dan ibu saudaranya berhijrah ke Kampong Mesera, Tumpat, manakala ayahnya meneruskan penghidupannya dengan membentuk keluarga baru bersama dua orang abangnya dan isteri baru. Berpisahlah ia dengan ayah dan abang-abangnya hingga menempuh alam kedewasaan. Tak siapa pun menduga anak bongsu daripada tiga beradik ini telah ditakdirkan sebagai insan kurang upaya.
Mohd Husabni atau Husin bukan sahaja OKU Penglihatan dalam kategori rabun, malah mengalami masalah pendengaran, bukan itu sahaja fizikalnya juga telah mengalami masalah pembesaran terbantut. Tingginya hanyalah lebih kurang dua kaki setengah sahaja, suaranya tidak segarau jejaka, halus seperti kanak-kanak, kulitnya halus, wajahnya tidak ditumbuhi misai, janggut mahupun jambang. Sifat sedemikian pada kebiasaan tidak berlaku ke atas seseorang lelaki yang menjangkau usia tiga puluh dua tahun. Sesiapa saja terkeliru bila berhadapan dengannya, sesiapa yang belum mengenalinya pasti menyangkakan beliau adalah kanak-kanak, ternyata bila berintraksi dengannya beliau bukanlah seperti yang disangkakan, terserlah minda kedewasaannya. Dengan kata lain, beliau adalah golongan insan kerdil, namun kekerdilannya adalah luar biasa daripada insan kerdil yang lain. Inilah kebesaran dan kekuasaan Tuhan yang maha esa, menentukan sesuatu yang luar biasa kepada hambanya yang dikehendaki.
Tidak dinafikan, hidup dalam keadaan tiga kategori kurang upaya amatlah menyulitkan. Lebih-lebih lagi dalam keadaan diri yang kerdil luar biasa, untuk mendapat peluang kerja tetap amalah susah, apalah kerja yang dia boleh buat pada tanggapan kebanyakan majikan. Nak ke sana sini bersendirian amatlah menyulitkan, kenderaan awam seperti bas dan teksi yang beroperasi di luar bandar terutamanya kawasan kampungnya tak mahu menerimanya sebagai penumpang kerana disangkakan beliau kanak-kanak. Bila perlu beliau terpaksa mengupah orang lain yang dikenali untuk membawanya ke mana sahaja untuk menjalani urusan hidup. Roslanlah yang sering membawanya ke mana-mana. Hal sedemikian sudah tentu memerlukan kos pembiayaan yang tinggi. Biarpun perit jerih kehidupannya, bagi Husin terpaksa ditempuhi dengan tabah. Biarpun kerdil, jiwanya besar. Cita-citanya tinggi menggunung.
Cita-citanya bukanlah hanya tinggal hayalan semata, cita-citanya telah terbukti hari ini. Mohd Husabni Bin Che’ Rashid atau lebih mesra dengan panggilan Husin adalah seorang seniman OKU dalam bidang lakonan. Mula berlakon pada tahun 1999 menerusi lakonan pertamanya dalam Telemovie, ceritanya berjudul Pontianak Jibam arahan M Jamil. Dalam cerita tersebut beliau digandingkan dengan Allahyarham Nasir P Ramlee sebagai watak utama dengan nama Jibam, dan beliau hanyalah watak sampingan dengan nama husin, sempena nama timbangannya. Cerita ini dibuat penggambarannya di Jerantut Pahang Darul Makmur dan dipasarkan pada awal tahun 2000. Menurut beliau, inilah pengalaman suka duka yang tak dapat dilupakan semasa menjayakan cerita telemovie ini. Lokasi penggambarannya suatu tempat yang keras dan menyeramkan, tambahan pula dia seorang yang OKU tiga kategori dan merupakan pengalaman pertama berlakon.
Selain daripada itu, beliau juga berlakon dalam sebuah drama terbitan RTM yang berjudul Korban pertama yang disiarkan di TV 1 jam 9.00 pagi pada hari raya kedua Aidil Adha pada tahun 2001. Seterusnya berlakon pula dalam slot drama seram berjudul Puaka Niyang Rapik. Drama swasta sepuluh siri itu diterbitkan oleh Excellent Picture Production arahan Ahmad Idham yang mula disiarkan pada November 2008 di TV 3 setiap Khamis jam 9.30 malam. Menerusi cerita tersebut, beliau memegang watak seram yang muncul sebagai gelibat lembaga, lembaga itu telah diperalat oleh pasangan bomoh suami isteri yang jahat.
Menyentuh tentang bagaimana penglibatan beliau dalam dunia lakonan, katanya Encik Zukifli Zulkanain seorang wartawan majalah Mustika yang memperkenalkannya dengan pengarah M Jamil anak kepada seniwati Sarimah, seorang pelakon veteran yang tak asing lagi di Negara kita. Setelah setahun menjadi ahli Persatuan Seniman Malaysia barulah beliau ditawarkan berlakon seterusnya. Menerut pengalaman beliau bukan senang untuk menjadi seorang pelakon, lebih-lebih lagi pelakon yang dilabelkan sebagai OKU. Selain daripada bakat yang ada, dia harus bersabar dan perlu banyak belajar untuk meningkatkan mutu lakonannya. Manalah tahu suatu hari nanti beliau dapat menggantikan seniman Allahyarham Ibrahim Pendek yang telah membintangi banyak filem Melayu jika diberi peluang. Di ketika itu, kehadirannya sebagai bintang kerdil kian terserlah dan disedari akan kemunculan bintang kerdil di mata semua insan yang bergelar peminat. Itulah harapannya.
Husin sedar, seorang pelakon sepertinya tidak selalu ada tawaran berlakon, ada kalanya ketandusan tawaran tersebut, beliau terpaksa membuat kerja sampingan untuk menambahkan pendapatan. Jika tidak berlakon beliau dibawa oleh rakan karibnya berniaga di pasar-pasar malam atau pekan sehari di ceruk rantau Negeri Kelantan sebagai pembantu jurujual. Dengan sikapnya yang peramah serta pandai berjenaka gerainya ramai dikunjungi pelanggan. Di antara barangan yang diniagakan ialah kain baju, seluar dan kain tudung. Beliau diberi upah oleh rakan karibnya sebanyak tiga puluh ringgit sehari.
Selain daripada itu, beliau adalah ahli SBM Cawangan Kelantan yang aktif. Seiap kali aktiviti diadakan beliau tidak lepas peluang untuk menghadirinya walau terpaksa membawa pengiring bersamanya. Dengan sikapnya yang peramah, beliau senang didampingi. Mendengar suaranya yang halus nyaring di mana sahaja program yang dianjurkan oleh SBM terutamanya di mesyuarat agung peringkat kebangsaan, ramai ahli-ahli tak mengira cawangan atau kawasan mana ingin berkenalan dan bermesra dengannya, lebih-lebih lagi bila mengetahui beliau adalah seorang pelakon, ada yang bertanya itu dan ini hingga tak terlayan, ada pula mengambil kesempatan untuk bergambar dengannya sebagai kenangan. Kini Husin lebih dikenali ramai, daripada pucuk pimpinan SBM hinggalah kepada ahli biasa mahupun ahli bersekutu.
Itulah Mohd Husabni Bin Che’ Rashid, seorang pelakon OKU, ahli SBM, ahli Persatuan Orang Kerdil Malaysia dan ahli Persatuan Seniman Malaysia. Bagi ahli-ahli SBM Cawangan Kelantan, beliau dikenali dengan panggilan Husin Kecil.
Kembali Ke ISI KANDUNGANOLEH NORHASHIMAH HASHIM
PERWIRA: (MENGELUH SAYU SENDIRIAN) Tuhan! Aku sedar dosaku banyak. Aku sedar aku sering mengingkari suruhan-Mu dan melakukan larangan-Mu. Tapi, kenapa begini balasan yang kau timpakan kepadaku? Kenapa kau campakkan aku ke sini? Ke tempat yang gelap dan sunyi ini? Tempat ini menyeramkan. Aku takut. Aku keseorangan di sini.
SURIA: (MENDEKAT) Anak muda, kau tidak keseorangan di sini.
PERWIRA: (TAKUT, GUGUP) Siapa … siapa kau? Manusia … atau … atau hantu?
SURIA: (MESRA) Aku manusia biasa seperti kau. Namaku Suiria. Dan nama kau?
PERWIRA: (GUGUP) Namaku … namaku Perwira.
SURIA: (KETAWA MENGEJEK) Nama kau Perwira? Tapi, kenapa tindak-tanduk kau macam pengecut?
PERWIRA: (HAIRAN) Kau mmasih boleh ketawa di tempat yang gelap gelita ini?
SURIA: (KETAWA) Kenapa tidak, Perwira? Kita masih boleh bergembira di sini. Tempat ini bukan tempat untuk meratap tangis, mengeluh nestapa dan menyanyi hiba. Tempat ini untuk menghimpun kekuatan baru.
PERWIRA: (MARAH) Kau jangan mengarut, Suria. Mana mungkin kita dapat bergembira dan menghimpun kekuatan baru di tempat gelap pekat ni? Kita tak dapat lihat apa-apa di sini.
SURIA: (KETAWA) Ya, memang kita tak dapat lihat apa-apa. Tapi, Tuhan Maha Kaya, Perwira. Walaupun deria melihat kita sudah tidak dapat berfungsi di sini, deria-deria kita yang lain kini akan lebih peka. Deria dengar … deria sentuh … deria bau …
PERWIRA: (MARAH) Sudah, Suria. Kau jangan gula-gulakan aku dengan kata-katamu. Aku bukannya budak kecil.
SURIA: (TEGAS) Tidak, Perwira. Aku bukan nak gula-gulakan kau. Aku bercakap yang benar. Cuba kau dengar itu.
PERWIRA: (GUGUP) Siapa yang sedang berbual-bual dan bergelak ketawa itu? Apakah mereka juga sedang berada di tempat ini?
SURIA: (TEGAS) Mereka kawan-kawan kita, Perwira. Mereka juga sedang ada bersama kita di sini.
PERWIRA: (MARAH) Kau tipu. Aku tak percaya. Tentu mereka berada di luar sana; di tempat yang terang-benderang; di tempat yang penuh dengan keceriaan dan penuh dengan berbagai kenikmatan.
SURIA: (TEGAS) Tidak, Perwira. Aku tidak berbohong. Mereka memang berada bersama kita di sini.
PERWIRA: (MARAH) Tidak! Aku tak percaya. Di sini, tidak ada apa-apa yang menarik untuk dibualkan. Tidak ada apa-apa yang lucu untuk diketawakan.
SURIA: (LEMBUT) Kau salah, Perwira. Kehidupan kita di sini sama sahaja dengan kehidupan mereka di luar sana. Kita masih boleh bergembira seperti mereka. Dunia gelap kita mempunyai daya tarikannya yang tersendiri.
PERWIRA: (KETAWA SINIS Daya tarikan? Daya tarikan apa yang ada di tempat yang gelap pekat ni?
SURIA: (LEMBUT) Banyak, Perwira. Kalau kau tak percaya, mari aku bawa kau jumpa kawan-kawan kita yang lain.
PERWIRA: (MARAH) Kau nak bawa aku jumpa mereka? Macam mana kita nak jalan dalam keadaan gelap ni?
SURIA: (LEMBUT) Boleh, Perwira. Kalau aku dan rakan-rakan lain boleh bergerak lincah dalam kegelapan ini, tentu kau juga boleh. Mari, biar aku pimpin kau.
PERWIRA: (RAGU-RAGU) Kau … kau nak pimpin aku? Tapi, jangan … jangan laju sangat, ya? Aku takut terpijak duri … atau terlanggar tembok … atau terjatuh ke dalam gaung.
SURIA: (LEMBUT) Kau mesti yakin pada diri kau sendiri dan kau mesti yakin pada kekuasaan Tuhan, Perwira. Kalaupun kau tak dapat melihat, kau akan dapat mengesan halangan-halangan yang mendatang dengan pancaindera kau yang lain.
PERWIRA: (RAGU-RAGU) Aku … aku masih …
SURIA: (LEMBUT) Kegelapan yang menyerkup kehidupan kita tidak boleh dijadikan alasan untuk berhenti melangkah, Perwira. Kegelapan ini hanya bertujuan untuk menguji kesabaran, ketabahan dan keimanan kita. Kenapa kau diam?
PERWIRA: (LEMBUT) Ya, aku harus akur. Semua ni dugaan Cuma. Aku tidak wajar untuk terus berpeluk tubuh.
SURIA: (GIRANG) Bagus! Itu yang aku nak dengar. Nampaknya, kau sudah mula berani melangkah. Ayuh! Teruskan. Sebetulnya, ini adalah bukti yang menunjukkan kau adalah seperwira nama kau.
PERWIRA: (CERIA) Dan kau juga telah membuktikan yang kau mampu menjadi suria yang menerangi kegelapan hidupku.
Kembali Ke ISI KANDUNGANOleh Roslan Bidin.
"KAU pernah dengar tak nama Salim MZ?" Tanya Mak Lang Melor ketika bertandang ke rumahnya pagi rabu lalu.
Mak Lang Melor memang begitu, lepas pergi ke Pasar Sehari di Balai Baru Beseri kalau dia ada masa dia akan langsung ke rumah kakaknya di Kampung Belukar. 16 Kilometer dari Kangar. Bersembang sejam dua baru balik. Maklumlah, anak-anaknya perempuan ada dua orang. Soal memasak rasanya tak menjadi masalah sangatlah baginya.
"Siapa yang tak pernah dengar namanya Seorang pelakon yang sering muncul di tv. Anak jati Perlis sendiri," ulasnya sambil tangannya ligat menganyam sebuah bakul menggunakan rotan. Sebuah beg berkelah yang ditempah oleh Kak Murni dari Kangar.
"Dia adik beradik kita tau?"
"Ya ke?"
"Anak Haji Mat Zain dari Kampung Paya Ayahnya adik tok kau," sampuk mak. Mak juga sibuk membantu menyiapkan tempahannya yang bertimbun-timbun itu.
"Ya Allah … Kalau macam tu kita ni adik beradik rapat sangatlah dengan dia ya?" ujarnya penuh bangga. ‘Memang benar kata tok wan, keluarga kita ni banyak adik beradik kita dari kalangan orang seni,’ bisik kecilnya. "Ya! Memang pun," tambah Mak Lang Melor.
"Kenapa yang kau keluarkan cerita tentang dia?" Tanya mak, merancakan lagi perbualan hari itu.
"Dia jemput kita makan kenduri kahwin anak lelakinya di rumahnya di Ko Lumpur," Mak Lang Melor membuka punca cerita sebenarnya. "Adik-beradik kita di belah Paya dan belah Padang melangit tengah kumpul orang nak buat rombongan ke majlis tu," sambung Mak Lang Melor lagi.
"Jadi?" mak ingin segera mengetahui tujuan sebenar Mak Lang Melor membuka cerita tersebut.
"Itulah saya datang ni nak Tanya, akak nak pergi tak?"
Mak diam saja. Biar pun penglihatannya terhad, namun dia tahu benar akan isi hati mak. Dia tahu benar akan hasrat mak. Hasrat mak hasrat dirinya juga. Kak Ramlah tak pernah pergi ke mana-mana pun. Paling jauh pun ke Pulau Pinang. Itu pun waktu dia berurusan mengambil rotan di Kedai Siang Heong Leong di Lebuh Pantai. Lepas ambil rotan terus balik.
"Kalau ada rombongan ke mana-mana, kita bawak kak kau sekali," kata mak sewaktu di dalam perjalanan balik dari Kompleks Kraf selepas menyertai ekspo jualan kraf sempena sambutan Hari Kraf Kebangsaan di Kuala Lumpur. Bulan disember tahun lepas kami pergi lagi ke Kuala Lumpur kerana urusan persatuan. Dapat lagi mak tengok bangunan bangunan yang bagaikan tersenyum menerima kunjungan mereka. Nun di sudut hati, dia bangga kerana dapat bawak mak merasai nikmat di kota Ko Lumpur kata orang Utara. Tapi akak '''
"Bila tu?"
Suara mak memeranjatkan lamunanya.
"27, Disember ni,"
Lama juga dia termenung. 27 Disember terlalu dekat sangat. Sempatkah dia mengumpul duit?
"Insya Allah … Simpankan untuk saya empat tempat duduk," pintanya tiba-tiba.
"Tapi Man … kita tak ada duit lagi," sampuk mak.
"Tak apa mak … Macam mana pun kita mesti pergi juga," katanya lembut.
"Kalau ada tiga empat ratus ringgit dah cukup, … Kalau nak membeli belah. Kalau tak nak membeli belah tiga ratus pub dah cukup," sokong Mak Lang Melor. "Kita pergi cuma sehari aje," cerita Mak Lang Melor.
"Kalau empat orang mana nak cukup empat ratus," mak menyuarakan pendapatnya.
"Mak! Jangan kita lepaskan peluang ni … Akak tu sakit. Kalau kita tak bawak dia waktu ni, harus dia susah nak pergi lagi," katanya. "Kalau nak pergi dengan bas ekspres tu, dia kena jalan jauh. Kalau dengan bas sewa khas macam ni senang," tambahnya lagi. "Lagi pun bukankah saya tengah buat tempahan Kak Murni ni. Duit tu bolehlah kita tampung perbelanjaan tu nanti,"
Mak hanya membisu. Dia amat faham dengan keadaan keluarganya. Kak Ramlah seorang peneroka. Harapkan dari rezeki menoreh getah saja. Anak-anaknya membawa haluan bersama keluarga masing-masing. Tapi dia ada cucu yang dipeliharanya sejak kecil. Hasil perkongsian hidup anaknya yang kecil. Ani namanya. Anak yang dilahirkan itu diserahkan kepada Kak Ramlah kerana mereka terpaksa merantau di Langkawi mengikut suaminya Wadee mencari kerja. Sekarang harga getah menjunam amat rendah dan duit simpanannya habis digunakan untuk belanja makan dan persekolahan Sazwan tahun depan.
Malam itu dia menghubungi Kak Ramlah menyuarakan hasratnya hendak Kak Ramlah dan Sazwan makan kenduri di Kuala Lumpur. Dari hasil percakapan serta reaksi suaranya, jelas terbayang betapa naluri seorang kakak yang tak pernah melihat dunia luar ingin ikut sama di dalam rombongan itu. Tapi …
Dia faham perasaan kakak. Kakak mengidap sakit jantung. Kakak takut penyakitnya menyerang sewaktu di Kuala Lumpur nanti. Kakak juga kena fikirkan pasal duit. Tahun depan Sazwan kena guna duit banyak sebab dia bakal melangkah ke darjah satu.
"Man! Apa yang kau menungkan tu? Sampai telefon berbunyi pun kau tak sedar," suara mak mencantas lamunanya. Dia sedikit terperanjat. Mak menghulurkan handset ke tangannya.
"Helo! Encik Azman ya?" tegur suara tersebut. Azman kenal benar suara tersebut. Adakah Kak Murni nak ambil barangnya sekarang sedangkan dia masih belum siap lagi bakul yang ditempahnya sebanyak sepuluh biji itu?
"Oh! Kak Murni! … Ada apa kak?" tanyanya. Dalam hati biarlah dia hanya bertanyakan tentang bakul itu bukannya hendak mengambilnya.
"Begini Man! Akak terpaksa tangguhkan dulu untuk mengambil bakul tu sebab akak nak guna duit untuk anak anak akak masuk sekolah tahun depan," kata Kak Murni. Dia kaku bagai dipukau. "Mulanya akak ingatkan duit akak cukup ''' Rupanya anak akak yang nak masuk ke tingkatan lima tu banyak nak guna duit. Sampai dua ribu ringgit," jelasnya lagi.
"Tak bolehkah akak bayar separuh dulu ''' Saya dah banyak buat bakul tu," terlompat juga akhirnya ayat itu. Harap-harap permintaanya tertunai.
"Minta maaf banyak-banyaklah Azman ''' akak memang tak dapat membayarnya. Akak pun benar-benar terdesak sekarang ni,"
Bagai hendak terlepas handset dari genggaman bila mendengar kata-kata dari Kak Murni. Memang permintaan terhadap kraf tangan rotan ini amat tinggi. Tapi dalam keadaan begini, ke mana dia harus menjualkan bakul-bakul tersebut untuk mendapatkan sejumlah wang tersebut. Empat ratus lima puluh ringgit.
"Ke mana hendak ku cari wang sebanyak itu?"
"Siapa tu Man?" suara mak yang datang dari belakang memeranjatkan lamunanya.
"Kak Murni!"
"Pelanggan yang kau maksudkan tu?"
"Ya!"
"Dia nak ambil bakul tu ke?"
Azman bagaikan ingin menangis. Adakah hasratnya akan terkubur begitu sahaja? Adakah impiannya ingin membawa kakak dan Sazwan akan hancur? Dan dalam diam-diam dia bertekad akan cuba dengan apa jua cara untuk mendapatkan duit untuk belanja mereka. Haruskan dia memberi tahu mak akan hal ini?
"Eh! Kau ni semacam aje ''' Apa halnya?"
"Tak ada apa mak,"
Dia bangun dari tempat duduk di ruang bengkel tersebut. Sesekali angin timur berhembus lembut. Bagai memujuk dirinya. Merasakan masih ada jalan untuknya. Masih ada jalan untuk menyelesaikan masalahnya.
"Ini bil telefon ''' posmen hantar," kata mak. Mak menghulurkan sekeping surat dari Telekom Malaysia.
"Berapa jumlahnya mak?"
Mak gagap-gagap membelek jumlahnya. Dieja satu persatu. Jumlah yang amat memeranjatkannya. RM 386.00.
"Ya Allah! Di mana nak aku cari duit?" keluhnya. Sememangnya boleh dibayar ansur-ansur. Tapi '''
"Apa halnya dengan kau ni?" mak sedaya upaya ingin mencungkil isi hatinya.
"Tuan Haji Ibrahim tak ada di office. Dia ke Indonesia," beri tahu kerani di kaunter pejabat Syarikat pengeluar kosmetik Islam di Jejawi.
"Bila dia akan balik?" tanyanya.
"Hujung bulan ini bang," jawab gadis tersebut sopan.
Dia membisu. Hancur lagi harapannya setelah semalaman dia tidak dapat melelapkan matanya memikirkan bagai mana cara untuk dia mendapatkan kewangan untuk tujuan itu? Lantas dia teringatkan Tuan Haji Ibrahim. Seorang ahli koperat yang banyak membeli barangan darinya. Hasratnya, dia ingin menjualkan bakul-bakul yang dihasilkannya. Tapi nampaknya dia kecewa.
"Tak apalah," jawabnya.
Langkahnya longlai menuju ke arah pintu luar. Disambut kedinginan bayu pagi. Sementara dia menunggu teksi yang akan membawanya balik ke rumah, otaknya ligat memikirkan masalah ini. Teringat akan sebuah amplifier di rumahnya. Abang Mus pernah meminta untuk membelinya.
"Helo Abang Mus!"
"Helo! Eh! Man! ''' Apa hal?" Tanya Abang Mus agak terperanjat.
"Abang Mus benar-benar nak beli amplifier saya?"
"Hah! Kau nak jual?"
"Tak ''' Saya nak sandar sekejap aje," katanya. "Saya nak guna duit dalam masa terdekat ni,"
"Kalau sekadar kau nak sandar aje ''' Aku tak naklah," kata Abang Mus. "Eh! Engkau kan ada sebuah lagi amplifier baru ''' Buat apa kau simpan banyak-banyak," pujuk Abang Mus.
Dia serba salah. Namun sekali dia memikirkan, ada benar juga akan kata-kata dari Abang Mus. Dia ada dua buah amplifier. Lebih baik dia menjualkan amplifier lamanya yang menjadi kegilaan Abang Mus.
"Baiklah Abang Mus! Saya setuju!"
Sejurus sebuah teksi yang dipanggilnya tadi datang. Dia lebih senang menggunakan khidmat teksi dari bas. Bukan kerana banyak duit. Tapi di Perlis khidmat bas adalah sangat berkurangan. Dia tersenyum puas. Impiannya tercapay jua untuk membawa Kak Ramlah dan Sazwan ke Ko Lumpur.
Kak Ramlah tentu gembira. Dia menekan jam robot di tangannya. Sudah pukul dua belas tengah hari. Hanya berberapa jam sahaja lagi mereka akan bertolak ke Kuala Lumpur. Dia memegang sebuah bakul yang dibuat khas untuk dihadiahkan kepada Abang Salim MZ setibanya ke sana nanti.
"Patutlah aku tengok kau ni macam orang ketagihan dadah aje sejak akhir-akhir ini," kata mak.
"Ini Azman mak! Selagi saya bernama Azman ''' Anak mak dan adik kepada kakak saya, saya akan tunaikan apa yang saya kata," katanya tersenyum puas.
Deru bas Ekspres Persiaran yang disewa khas lembut sekali diiringi hawa dingin sejuk. Jam di tangan menunjukkan sudah pukul dua pagi. Entah kenapa matanya tidak dapat terlelap walau pun hawa dingin memb5:56 PM 4/17/2009elai lembut ke tubuhnya. Yang pastinya, dia tidak sabar hendak menunjukkan kepada Kak Ramlah akan keindahan bangunan-bangunan pencakar langit yang sering Kak Ramlah tengok di kaca tv biar pun penglihatanya terhad.
Kembali Ke ISI KANDUNGANOleh Fadzilah Aziz
Bajumu koyak, Hatimu senang, Menyanyi gembira bersama burung, Melompat girang. Tapi, Tanganmu masih menongkat, Menadah rezeki, Sambil berdoa menjadi kaya, Dan memberi pula, Rezekimu pada insan-insan lain, Yang sepertimu dulu. Betapa saat-saat itu berlalu Kerana, Ianya sebuah mimpi, Mimpi dalam doamu. Sebenarnya Kau harus meneroka, Segala pemberian tuhan ini, Kerana, Di dalamnya terdapat, Segala apa yang dikehendaki, Di dalam doamu itu. Marilah bersama, Berdoa, bekerja dan berusaha Tuhan pasti tunaikan doa hambanya.Kembali Ke ISI KANDUNGAN
Petikan dari Laman Web
http://iluvislam.com/v1/readarticle.php?article_id=1280
Sebagai seorang doktor yang tugasnya menyelamatkan nyawa manusia, tentulah saya merasa bangga dengan profesion saya ini. Sememangnya inilah cita-cita sebenar saya selama ini. Etika dan sikap profesionalisme sering saya amalkan. Apatah lagi saya juga seorang pensyarah di Pusat Pengajian Perubatan di salah sebuah universiti terkemuka. Saya sering menanamkan dan menekankan aspek insaniah dalam diri bakal-bakal doktor yang merupakan pelajar saya. Suatu hari yang ditakdirkan Allah, saya di ajar tentang suatu nilai yang saya terlupa oleh seorang mat rempit.
Saya menoleh jam loceng saya. "Ah! baru 3am dan saya baru terlena hanya 2jam sahaja." Tapi, apakan daya kerana tugas, saya terus mencuci muka dan terus menggapai kunci kereta saya. Inilah rutin seorang doktor yang kita kenali sebagai `on call`.
Setelah memecut kenderaan saya, akhirnya saya tiba di bilik kecemasan. Ada satu kes kemalangan. Seorang penunggang cedera parah dan pemboncengnya meninggal dunia di tempat kejadian.
"Tolong doktor ''' Tolong selamatkan kawan saya," rayu seorang lelaki muda berseluar jean yang koyak di bahagian lututnya. Inilah trend pakaian mat rempit. Setelah 4 jam di bilik pembedahan, mangsa berjaya diselamatkan dan kaki kanannya terpaksa dipotong. Entah mengapa hari itu, terlintas bisikan syaitan dalam hati saya yang menyatakan "you deserve to get it". sebagai seorang doktor, saya tidak harus meletakkan prejudis saya sebagai prioriti dalam merawat pesakit. Melihat pesakit saya dari sudut siapa dia sebenarnya adalah salah. Hal ini kerana, dalam merawat dan menyelamatkan pesakit, nyawa setiap manusia begitu bernilai walau pun pada pandangan kita atau sesiapa, dia bukanlah apa-apa.
Keesokan harinya, saya pulang dari hospital agak lewat malam. Kepenatan benar-benar menyebabkan saya tidak sabar untuk tiba di rumah.
"Ah ''' lampu merah pula!!" Maka saya terus menekan pedal brek dan menunggu giliran sambil mata saya tertumpu pada suatu peristiwa yang menarik. Saya melihat seorang lelaki yang koyak jeannya di lutut menunggang dengan laju melanggar lampu merah tanpa rasa bersalah. Dalam hati saya berdetik "sah mat rempit lagi. Tak ada kerja lain ke selain menyusahkan orang lain." Tiba-tiba saya melihat pemuda itu berhenti, menongkat motornya dan berjalan ke depan.
Saya benar-benar malu pada diri saya sendiri melihat pemuda itu mengambil anak kucing yang sakit, saya kira kerana baru saja dilanggar, mengalihkannya ke tepi jalan agar tidak dipijak hina oleh kenderaan lain.
Saya benar-benar tersedak dengan bisikan hati kecil sendiri. Saya rasakan diri ini sangat mulia apabila menyelamatkan nyawa manusia, tapi tidak terlintas dan tidak sanggup membela haiwan itu pada hal ia juga suatu nyawa yang harus dihargai dan dimuliakan. Sedangkan dia seorang mat rempit yang mungkin tidak menghargai nyawanya sendiri boleh meletakkan nilai harga nyawa seekor binatang pada aras yang tinggi. Sesungguhnya Tuhan sedang mengajar saya sesuatu.
Sesungguhnya saya telah belajar sesuatu dari seorang mat rempit. Kemuliaan seseorang itu bukan terletak pada berapa besar dan tingginya jasa dan sumbangan pada sesuatu tetapi dinilai dari berapa besar seseorang itu mengerti makna kewujudan sesuatu dan menghargai.
Ini bukan kisah yang memberi pengajaran bahawa kita juga boleh menjadi mulia walaupun seorang mat rempit, lantas menanam cita-cita untuk menjadi kaki rempit. Namun cerita ini membawa pengajaran bahawa kita tidak boleh terlalu berbangga dengan diri sendiri dan membiarkan prejudis membezakan diri kita dengan golongan lain. Sikap prejudis akan mengurangkan etika dan meruntuhkan sikap profesinalisme yang ada dalam diri kita.
Kembali Ke ISI KANDUNGANENCIK MAH HASSAN BIN HJ. OMAR
Presiden
Pengerusi Jawatankuasa Penasihat & Pengurusan Pelaburan
Pengerusi Lembaga Tabung Pembangunan Usahawan SBM
PUAN MAZIAH BTE ABU BAKAR
Naib Presiden
Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita & Sosial
TUAN HAJI MOHAMMED NAZARI BIN HJ OTHMAN
Setiausaha Agung
Pengerusi Jawatankuasa Kewangan
PUAN JASMINE KHOO
Bendahari Kehormat SBM
ENCIK ABDUL KHADIR BIN HJ. OSMAN
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan
ENCIK ROSHAM BIN SIDEK
Pengerusi Jawatankuasa Belia & Sukan
ENCIK MOHD FEKKERI BIN MAT JUSOH
Pengerusi Jawatankuasa Pekerjaan & Pembangunan Komputer
ENCIK MAZNAN BIN MOHD ZAIN
Pengerusi Jawatankuasa Informasi & Kemudahan Awam
ENCIK MOHAMED (ZAKI) BIN ISMAIL PJK
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan & Latihan Kepimpinan
Pengerusi Lembaga Penyunting Majalah Wawasan Orang Cacat Penglihatan
ENCIK MOHD GHAZALI BIN TOCHEH
Pengerusi SBM Cawangan KL/Selangor
ENCIK MAOH ANAK JANTING
Pengerusi SBM Cawangan Sarawak
ENCIK MOHAMMAD ABDUL NASIR BIN MALEK
Pemangku Pengerusi SBM Cawangan Terengganu
ENCIK TAN AH BAH
Pengerusi SBM Cawangan Pulau Pinang
TUAN HAJI MOHD SAIDI BIN HARUN
Pengerusi SBM Cawangan Perak
ENCIK MAT DARUS BIN SULAIMAN
Pengerusi SBM Cawangan Kelantan
ENCIK HARUN BIN AWANG NGAH
Pengerusi SBM Cawangan Pahang
ENCIK KHUSAINI BIN SAIMON
Pengerusi SBM Kawasan Johor
ENCIK AIZROL ALFAZ BIN ABDULLAH
Pengerusi SBM Kawasan Negeri Sembilan
ENCIK RAZALI BIN SUDIN
Pengerusi SBM Kawasan Melaka
ENCIK MUSA BIN ABD RAHMAN
Pengerusi SBM Kawasan Kedah
PERTUBUHAN ORANG CACAT PENGLIHATAN MALAYSIA
CAWANGAN PULAU PINANG
29 Lorong Inang Dua
Taman Bunga Raya, Jalan Baru
14000 Bukit Mertajam
Pulau Pinang
Tel./Fax: 04 - 3971649
E-mail: sbmpg@streamyx.com
PERTUBUHAN ORANG CACAT PENGLIHATAN MALAYSIA
CAWANGAN KL/SELANGOR
123A Jalan Sultan Abdul Samad
50470 Kuala Lumpur.
Tel./Fax: 03 - 22742794
PERTUBUHAN ORANG CACAT PENGLIHATAN MALAYSIA
CAWANGAN PAHANG
G46G Jalan Mentakab, Kg. Batu 1
28000 Temerloh
Pahang Darul Makmor
Tel./Fax: 09 - 2964197
E-mail: sbmphg@tm.net.my
PERTUBUHAN ORANG CACAT PENGLIHATAN MALAYSIA
CAWANGAN SARAWAK
Lot 7887 Sublot 61
Tingkat 2. Blok A Queen Court
Jalan Wan Alwi
93350 Kuching,
Sarawak.
Tel./Fax: 082 - 571486
E-mail: pocpm@tm.net.my
PERTUBUHAN ORANG CACAT PENGLIHATAN MALAYSIA
CAWANGAN TERENGGANU
Wisma Promacatera
Lot PT 5970, Kg. Teluk Ketapang
Seberang Takir
21300 Kuala Terengganu
Terengganu Darul Iman
Tel./Fax: 09 - 6661320
E-mail: hbmtrgnu@streamyx.com
PERTUBUHAN ORANG CACAT PENGLIHATAN MALAYSIA
CAWANGAN KELANTAN
Jalan Bekelam
16070 Jelawat
Kelantan Darul Naim
Tel.: 09 - 7780741
Fax: 09-7780861
E-mail: sbmkltan@tm.net.my
PERTUBUHAN ORANG CACAT PENGLIHATAN MALAYSIA
CAWANGAN PERAK
No. 22B & C, Jalan Medan Kidd
30200 Ipoh
Perak Darul Ridzuan
Tel.: 05 - 2533029
Fax: 05-2535197
E-mail: sbmcawpk@tm.net.my
PERTUBUHAN ORANG CACAT PENGLIHATAN MALAYSIA
KAWASAN JOHOR
24A Jalan Meranti 2
Taman Sri Pulai
81110 Kangkar Pulai,
Johor Darul Takzim
Tel./Fax: 07 - 5211635
PERTUBUHAN ORANG CACAT PENGLIHATAN MALAYSIA
KAWASAN NEGERI SEMBILAN
56-1/F Jalan Toman 4
Kemayan Square
70200 Seremban
Negeri Sembilan Darul Khusus
Tel./Fax: 06 - 7628548
PERTUBUHAN ORANG CACAT PENGLIHATAN MALAYSIA
KAWASAN KEDAH
No. 221A Kompleks Shahab Perdana,
Jalan Shahab 4,
Off Jalan Sultanah Sambungan
05150 Alor Star, Kedah Darul Aman
Tel./Fax: 04 - 7302568
PERTUBUHAN ORANG CACAT PENGLIHATAN MALAYSIA
KAWASAN MELAKA
No. 35-D-1 Jalan Kenanga 3/25
Taman Kenanga Sek 3
75200 Kampung Lapan, Bachang
Melaka.
Tel./Fax: 06 - 2828710
Dicetak Oleh:Meteor Doc. Sdn. Bhd.
Lot 47-48 Jalan SR 1/9
Seksyen 9 Jalan Serdang Raya
Taman Serdang Raya
43300 Seri Kembangan, Selangor.