(Majalah Rasmi SBM)
Diterbitkan tiga kali setahun
Mei - Ogos 2008
NO. Permit KDN 10066/9/2009
Presiden: Mah Hassan bin Hj. Omar
Penyunting: Saifuddin bin Mohamad PPN
Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia
(Society of the Blind in Malaysia)
40A, Jalan Padang Belia, 50470 KUALA LUMPUR
Telefon: 03 - 22746162
Fax: 03 - 22743818
E-Mail: admin@sbm.org.my
Laman Web: http://www.sbm.org.my
Pengerusi - Encik Mohamed (Zaki) bin Ismail PJK, Pengerusi JPLK
Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM) adalah sebuah organisasi sukarela kebangsaan yang ditubuhkan dan diterajui sendiri oleh warga cacat penglihatan yang mencakupi semua bangsa dan pelbagai lapisan masyarakat.
Objektif pertubuhan adalah untuk meningkatkan taraf kedudukan sosioekonomi orang cacat penglihatan di negara ini serta membimbing mereka supaya menjadi warganegara Malaysia yang berguna dan produktif.
Untuk mencapai matlamat tersebut, kami memerlukan bantuan kewangan yang banyak bagi menampung segala kos yang berhubung dengan pentadbiran, pemberian bantuan, penganjuran pelbagai kegiatan dan aktiviti yang dijalankan di peringkat kebangsaan dan menerusi cawangan-cawangan pertubuhan ini yang terdapat hampir di setiap negeri di Malaysia.
Semua sumbangan kewangan dalam bentuk cek hendaklah ditulis atas nama Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia dan dihantar ke alamat yang berikut:-
Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia
(Society of the Blind in Malaysia)
40A, Jalan Padang Belia, 50470 KUALA LUMPUR
Telefon: 03 – 22746162
Faks: 03 – 22743818
E-Mail: admin@sbm.org.my
Salam sejahtera.
Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pembaca Majalah Wawasan Orang Cacat Penglihatan kerana terus mendapat tempat di hati para pembaca. Mulai 1 Ogos 2008 saya ditugaskan sebagai penyunting Majalah Wawasan ini menggantikan Encik Mohd. Fekkeri Bin Mat Jusoh kerana beliau telah dilantik sebagai salah seorang Ahli Majlis Presiden SBM. Dengan tunjuk ajar beliau, saya akan terus meningkatkan kualiti penerbitan Majalah Wawasan ini dengan sokongan semua pihak.
Antara lain, perkara menarik yang dipaparkan dalam isu keluaran kali ini ialah pengalaman pelajar di sekolah pendidikan khas untuk golongan cacat penglihatan; perkembangan ICT di kalangan OKU penglihatan dan satu ruangan baru yang saya perkenalkan ialah "Pendidikan". Ruangan ini adalah bertujuan memperkenalkan tulisan Braille dan pendidikan mobiliti kepada masyarakat umum.
Sedapat mungkin, kami sentiasa inginkan yang terbaik untuk dipersembahkan. Namun ruang lingkup pengetahuan kami berhubung dengan sebarang kegiatan yang melibatkan golongan OKU Penglihatan adalah sangat terhad. Justeru sila maklumkan kepada kami sebarang berita dan peristiwa yang berlaku di sekeliling anda yang boleh dikongsi bersama.
Sehubungan dengan itu, jika anda mempunyai sebarang maklumat, cadangan dan artikel untuk dikongsi bersama, sila e-mailkan artikel tersebut kepada ustazdin@streamyx.com atau melalui pos ke Ibu Pejabat SBM di 40A, Jalan Padang Belia, 50470 KUALA LUMPUR. Anda juga boleh fakskan karya berkenaan ke talian 03-22743818. Setiap bahan yang terpilih untuk diterbitkan akan menerima bayaran sewajarnya.
Terima kasih atas sokongan yang berterusan.
"B E R S A T U M E M B A W A K E J A Y A A N"
Kembali Ke ISI KANDUNGAN
Tuan-tuan dan puan-puan, sesungguhnya SBM adalah sebuah organisasi sukarela peringkat kebangsaan yang dianggotai oleh individu-individu cacat penglihatan di Malaysia, tanpa mengira perbezaan bangsa, agama mahupun fahaman politik atau pun perbezaan taraf sosial ekonomi. Ia bermatlamat untuk memperoleh hak dan peluang yang saksama untuk mereka yang cacat penglihatan di negara ini melalui usaha secara kolektif dan dengan penuh semangat persaudaraan demi kemajuan sosial ekonomi mereka dengan tujuan untuk membolehkan mereka menjadi warganegara yang bertanggungjawab, berguna dan produktif. Bagi mencapai matlamat tersebut, SBM telah merangka berbagai program dan aktiviti ke arah membela kebajikan ahli-ahli dan mempertingkatkan sosial ekonomi mereka agar dapat berdikari malah dapat pula turut sama menyumbang ke arah kemajuan masyarakat serta kemakmuran negara.
Sebagai tanda komitmen kita, untuk tahun 2008 ini sahaja, SBM telah memperuntukkan belanjawan untuk membiayai program-program tersebut berjumlah keseluruhannya 2.024 juta ringgit. Antara aspek pembangunan yang diberi keutamaan ialah bidang pendidikan. Jelas, pendidikan dilihat sebagai suatu pelaburan masa depan yang mampu menjadi agen pengubah atau pembaiki tahap sosio ekonomi diri serta keluarga. Sejumlah 154 ribu ringgit disediakan untuk aktiviti pendidikan bagi faedah ahli-ahli di seluruh negara. Keutamaan bantuan adalah untuk pelajar-pelajar cacat penglihatan di sekolah samada untuk membeli peralatan, pembayaran yuran tuisyen atau pun untuk menterjemahkan buku rujukan mereka ke dalam tulisan Braille. Pelajar-pelajar cacat penglihatan yang berjaya memasuki IPT pula boleh memohon bantuan wang saku sementara menunggu biasiswa atau pinjaman atau untuk membeli peralatan-peralatan khas yang diperlukan untuk pelajaran mereka. Setiap tahun pula SBM memberi anugerah insentif kepada pelajar-pelajar cacat penglihatan yang mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan masing-masing. Di samping itu, 56 ribu ringgit diberikan kepada ahli-ahli untuk meringankan beban mereka membiayai persekolahan anak-anak.
Untuk Jawatankuasa Pekerjaan dan Pembangunan Komputer pula, sejumlah 152 ribu ringgit disediakan. Aktiviti pekerjaan lebih menjurus kepada program kesedaran terhadap peluang pekerjaan untuk golongan cacat penglihatan yang mana usaha-usaha secara khusus termasuklah:
Pertama, kempen kesedaran mengenai peluang pekerjaan yang telah disertai oleh bakal-bakal majikan dari sektor awam mahupun swasta yang berkesempatan untuk mendengar dan menyaksikan sendiri keupayaan hasil dari pengalaman sebenar pekerja-pekerja cacat penglihatan.
Usaha yang kedua ialah program kesedaran melalui slot temubual di TV yang memberi fokus kepada isu dan cabaran pekerjaan untuk golongan cacat penglihatan.
Dan usaha yang ketiga ialah majlis makan tengah hari bersama media, di mana media-media yang hadir membuat liputan tentang masalah pengangguran di kalangan graduan cacat penglihatan
Kita juga menganjurkan dialog bersama Persekutuan Majikan-majikan Malaysia yang bertujuan untuk mempertingkatkan kefahaman supaya mengikis tanggapan negetif terhadap golongan cacat penglihatan dalam bidang pekerjaan.
Bagi maksud pengembangan kemahiran diri pula, usaha-usaha berikut telah dijalankan.
Pertama, kursus telemarketing;
Kedua, Kursus Asas Perhubungan Awam;
Ketiga, Kursus Kemahiran Komunikasi;
Keempat, khas untuk pekerja barisan hadapan juga dianjurkan kursus Bahasa Inggeris serta berbagai modul kursus komputer.
Di samping itu, suatu skim khas pembiayaan peralatan kerja serta komputer bagi tujuan pekerjaan telah turut disediakan. Dengan adanya peralatan tersebut, diharap akan dapat mempertingkatkan produktiviti dan efisien kerja mereka.
Sesungguhnya SBM amat prihatin terhadap sebahagian besar ahlinya yang tidak mempunyai pekerjaan tetap. Tanpa pendapatan yang stabil, bagaimana mungkin untuk mereka menggiatkan diri dalam persatuan. Manakala segala bantuan serta program persatuan pula tidak akan sampai kepada mereka sekiranya mereka tidak mendampingi persatuan mereka. Fenomena ini akan berterusan sekiranya tidak diberi perhatian. Untuk menanganinya, beberapa langkah penting telah diambil. Dari perspektif Jawatankuasa Pembangunan Usahawan umpamanya telah mewujudkan satu program latihan intensif dalam bidang urut. Berbagai modul telah ditawarkan bermula dengan urut refleksologi, urut badan, urut kepala, urut tengkok dan bahu, urut perbidanan dan yang terkini saya difahamkan rawatan mati pucuk. Program ini telah mendapat sambutan yang sangat menggalakkan. Ahli-ahli yang dahulunya tidak ada pekerjaan, tidak ada kemahiran, tidak ada sumber pendapatan tetap, tapi setelah menjalani latihan ini, kini mereka boleh berdikari dengan menawarkan perkhidmatan secara freelans atau melalui 'home' servis atau pun bekerja sebagai pengamal urut sepenuh masa. Malah ada yang bergabung tenaga dan modal untuk menubuhkan klinik urut sendiri. Dianggarkan lebih 200 orang telah mendapat manfaat dari program ini. Hasil usaha kita di SBM, industri urut telah berkembang pesat dan adalah menjadi suatu yang biasa situasi di mana pengusaha klinik urut adalah cacat penglihatan, majikan cacat penglihatan, malah pekerjanya cacat penglihatan. Idea Pengerusi JPU, Encik Abd. Khadir, tidak terhenti di situ sahaja. Untuk maksud memelihara standard dan kualiti amalan urut dalam SBM, beliau telah mewujudkan sekumpulan tenaga-tenaga pengajar terlatih dan sekarang ini saya telah difahamkan telah terdapat 17 orang guru yang pergi mengajar dan menjalankan ujian di seluruh negara.
Sebenarnya lebih banyak lagi program yang dijalankan oleh SBM bagi faedah ahli-ahlinya. Saya tidak bermaksud menghuraikan kesemuanya di sini. Bagaimana pun, kerana isu semasa yang hangat berkaitan kenaikan harga barangan keperluan, ada baiknya saya sentuh sepintas lalu bantuan wang tunai yang diberikan kepada ahli-ahli SBM untuk maksud-maksud berikut.
Yang pertama, apabila mereka ditimpa bencana yang menjejaskan tempat tinggal atau hilang mata pencarian, mereka boleh memohon bantuan daripada SBM.
Kedua, apabila dimasukkan ke wad hospital.
Ketiga, apabila bersalin.
Keempat, khusus untuk warga emas, bayaran rawatan perubatan serta tambang perjalanan pergi balik ke klinik atau hospital.
Kelima, bayaran rawatan kepada ahli-ahli biasa SBM.
keenam, sakit yang berpanjangan atau melarat.
Ketujuh, kematian ahli atau saudara terdekat.
Kelapan, bantuan juga boleh dipohon untuk rawatan penyakit kronik atau kritikal yang meliputi penyakit-penyakit seperti yang berkaitan jantung, buah pinggang, darah tinggi, kencing manis, barah, lukimia atau juga yang berkaitan dengan AIDS atau HIV.
Kami sedar bahawa tidak boleh selamanya SBM bergantung kepada sumbangan derma orang ramai untuk mendapatkan dana bagi membiayai program-program yang dirancangkan itu, maka diwujudkan sebuah Jawatankuasa Pelaburan yang dipengerusikan oleh saya sendiri. Pengalaman lebih 12 tahun dalam Bursa Saham, saya manfaatkan untuk SBM. Pelaburan utama ialah dalam bentuk 8 unit rumah kedai yang menghasilkan pendapatan dari sewa berjumlah hampir 100 ribu ringgit setahun. Dalam pada itu, nilai pasaran semasa pelaburan hartanah kita itu tidak kurang dari 2.5 juta ringgit.
Pelaburan yang kedua adalah dalam bentuk saham amanah yang kini berada dalam urusan potfolio Public Islamic Asia Dividen Fund yang dikendalikan oleh Public Mutual Berhad. Nilai semasa yang diberitahu kelmarin, lebih 1.547 juta ringgit.
SBM juga telah mencapai kejayaan, apabila kita telah menghantar memorandum kepada kerajaan untuk memperuntukkan 5 juta ringgit sebagai bantuan modal untuk peniaga-peniaga cacat penglihatan dan hasilnya kerajaan telah memperuntukkan sebagai geran perniagaan kepada OKU berjumlah 22 juta ringgit bagi tempoh empat tahun atau lebih kurang lima setengah juta ringgit setahun. Sesungguhnya kejayaan SBM adalah kejayaan kita bersama. Pencapaian SBM bukan pencapaian individu, tetapi saling bertindak secara kolektif.
Adalah menjadi amalan tradisi kita, semua pemimpin tidak kira tahap kedudukan masing-masing adalah bebas untuk menyuarakan pendapatnya dalam mesyuarat. Saya sesungguhnya berterima kasih di atas kesetiaan, kerjasama dan sokongan padu yang telah diberikan oleh puan Naib Presiden, Setiausaha Agung, Bendahari dan lain-lain Ahli Majlis Presiden. Saya percaya SBM akan terus maju, makmur dan mampu mencapai lebih banyak lagi kejayaan sekiranya kekal diterajui barisan pemimpin yang bertanggungjawab berwibawa serta berinovatif. Pemimpin-pemimpin yang bakal anda pilih nanti hendaklah mampu menguruskan SBM dengan penuh tanggungjawab dan amanah khususnya dari aspek pengurusan kewangan kerana ini mengambil kira kedudukan wang yang ada dalam simpanan kita buat masa ini berjumlah lebih 4.355 juta ringgit, manakala aset dan harta kita pula, sekarang bernilai lebih 3.388 juta ringgit. Di samping itu pemimpin hendaklah berwibawa dan berketerampilan khususnya apabila berkomunikasi atau mengemukakan pendapatnya kepada pemimpin-pemimpin negara atau pegawai-pegawai tinggi kerajaan, syarikat-syarikat korporat atau pun secara berucap di khalayak ramai. Kriteria seterusnya yang juga penting iaitu ia hendaklah berinovatif, mampu mencari jalan penyelesaian yang berkesan untuk pembangunan serta kebajikan ahli dan mampu mencari idea-idea baru demi untuk kemajuan SBM khususnya dan masyarakat cacat penglihatan amnya. Saya berharap dalam proses pemilihan kepemimpinan baru yang akan diadakan nanti, ahli-ahli sekalian yang layak mengundi akan membuat keputusan yang bijak demi untuk mempertahankan kemakmuran SBM serta kesejahteraan ahli-ahli keseluruhannya. Dengan harapan itu, saya akhiri ucapan saya ini. Sekian, terima kasih.
Kembali Ke ISI KANDUNGANoleh Rosham Bin Sidek, Pengerusi JBS
Sebagai memastikan kesinambungan kepada kegiatan-kegiatan sukan yang pernah dianjurkan oleh Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM), Jawatankuasa Belia Dan Sukan (JBS) SBM sekali lagi menganjurkan ‘Pertandingan Ten-pin Bowling Berpasukan Dan Bergu Peringkat Kebangsaan SBM 2008’. Pertandingan yang dianjurkan pada setiap tahun ini telah diadakan pada 26 - 27 Mei, 2008 (2 hari) bertempat di Pyramid Megalane Sunway Pyramid, Bandar Sunway, Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan.
Pertandingan peringkat kebangsaan kali ke-8 ini dianjurkan bertujuan untuk mencungkil bakat-bakat baru di kalangan ahli-ahli SBM di samping menjadikan sukan ini sebagai sesuatu yang berdaya saing sepertimana yang dimainkan di peringkat antarabangsa. Pertandingan yang dilangsungkan selama 2 hari ini telah mendapat kerjasama daripada pihak pengurusan Pyramid Megalane yang telah memberikan subsidi 50% terhadap bayaran permainan dan mengendalikannya tanpa menimbulkan sebarang masalah.
Pihak JBS selaku jawatankuasa penganjur pertandingan ini telah memutuskan bahawa format pertandingan pada tahun ini telah dipecahkan kepada 3 kategori iaitu kategori berpasukan (4 orang sepasukan) dan 2 kategori acara bergu (bergu B2 - B2 dan bergu B1 - B3).
Seramai 64 orang peserta (16 pasukan) telah terlibat menyertai pertandingan ini yang terdiri daripada 42 orang lelaki dan 22 orang ahli wanita.
Pihak jawatankuasa telah menghantar surat-surat hebahan maklumat pertandingan kepada media cetak dan elektronik. Walau bagaimanapun hanya wartawan daripada akhbar Sin Chew Jit Po dan The Star yang telah hadir dan membuat liputan seterusnya telah memberikan publisiti kepada SBM.
Majlis ini telah disempurnakan pada jam 2.00 petang oleh En. Amirullah Bin Ahmad Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan Sukan, Jabatan Belia Dan Sukan Negara yang mewakili Tuan Haji Kamarulzaman Hasan Bin Mansor, Pengarah Cawangan Pembangunan Sukan Minoriti, Jabatan Belia Dan Sukan Negara, Kementerian Belia Dan Sukan Malaysia (KBS) yang tidak dapat hadir atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan. Turut sama hadir pada majlis ini ialah Tuan Haji Mohammed Nazari Bin Haji Othman, Setiausaha Agung SBM dan En. Abdullah Bin Harun daripada Pyramid Megalane.;p>
Sebelum merasmikan upacara penutup, En. Amir mengucapkan syabas kepada SBM di atas inisiatif mengadakan pertandingan ini dan beliau berharap agar pertandingan ini dapat dimajukan hingga ke peringkat antarabangsa. Jabatan Belia dan Sukan Negara akan berusaha menyokong dan membantu SBM di dalam apa jua bidang yang diperlukan ke arah memartabatkan sukan orang kurang upaya agar prestijnya setanding dengan sukan yang diceburi oleh masyarakat normal. Beliau juga turut memaklumkan akan memberikan perhatian terhadap permohonan bantuan program yang dikemukakan oleh SBM bagi tahun 2008 dengan sewajarnya.
Pada keseluruhannya pertandingan ini yang berlangsung selama 2 hari dapat dijalankan dengan licin, lancar dan teratur. Walau bagaimanapun pihak JBS ingin merakamkan jutaan terima kasih tidak terhingga dan setinggi-tinggi penghargaan kepada mana-mana ahli SBM dan kepada semua yang terlibat yang telah turut sama membantu menjadikan pertandingan ini berjalan dengan lancar samada secara langsung dan tidak langsung.
Oleh Hanisah Binti Ismail
SBM telah menerima jemputan dari Persatuan Orang Kerdil Malaysia untuk menyertai Kem Jati Diri yang diadakan di kaki bukit Gua Kelam, Wang Kelian, Perlis pada 20 - 23 Ogos 2008. Ini adalah kali pertama SBM dijemput untuk turut serta dalam aktiviti sebegini. Seramai 7 orang ahli SBM telah menyertai program ini.
20 Ogos 2008 Para peserta tiba di tapak perkhemahan lebih kurang pukul 11.00 pagi selepas bertolak dari Kuala Lumpur pada pukul 10.30 malam 19 Ogos 2008. Untuk sampai ke tapak perkhemahan para peserta haruslah merentasi Gua Kelam kerana jalanrayanya tidak boleh dilalui oleh bas yang membawa para peserta.
Setibanya di tapak perkhemahan tersebut para peserta disambut oleh pihak SUR yang diketuai oleh En. Shawatul Fazli. Seterusnya beliau memberi serba sedikit taklimat dan penerangan mengenai aktiviti-aktiviti yang akan dijalankan. Selesai segala taklimat dan penerangan para peserta dibahagikan kepada 4 kumpulan. Setiap kumpulan dianggotai seramai 8 orang. Para peserta kemudiannya diajar cara-cara memasang khemah mengikut kumpulan masing-masing. Setiap kumpulan dikehendaki memasang 2 khemah iaitu 1 untuk lelaki dan 1 lagi untuk perempuan.
Pada sebelah petangnya para peserta diberi taklimat dan pengenalan kepada alat-alat yang akan digunakan untuk aktiviti flying fox dan abseilling pada keesokan harinya. Setelah selesai taklimat tersebut para peserta diberi masa untuk berehat dan bersedia untuk aktiviti malam pula. Pada sebelah malam lebih kurang pukul 11.00 malam para peserta sudah bersiap sedia menjelajah gua yang dahulunya adalah bekas lombong dan juga merupakan laluan para pelombong bijih timah. Sebelum penjelajahan bermula terlebih dahulu taklimat diberikan kepada semua. Untuk penerokaan gua ini ianya mengambil masa lebih kurang 4 jam untuk masuk dan keluar. Keadaan di dalam gua tersebut sememangnya gelap namun pihak SUR telah menyediakan lampu suluh kepada semua peserta. Laluan sepanjang gua ini agak sukar kerana dipenuhi air yang agak deras mengalir umpama air sungai. Di samping itu batu-batu di dalam gua ini adalah jenis batu tersusun di mana kalau kurang berhati-hati batu-batu ini akan jatuh. Sesungguhnya penerokaan gua ini agak mencabar dan benar-benar menguji ketahanan mental dan fizikal peserta. Alhamdulillah penerokaan gua ini berjalan dengan lancar tanpa sebarang kemalangan. Penerokaan gua ini selesai lebih kurang pukul 4.30 pagi.
21 Ogos 2008: Aktiviti hari ini adalah flying fox dan abseilling. Walaupun masih kepenatan disebabkan aktiviti semalam namun para peserta tetap bersemangat untuk meneruskan aktiviti hari ini. Kebanyakan para peserta agak gerun untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti ini kerana ianya merupakan perkara baru bagi mereka. Namun demikian ianya berjalan lancar tanpa sebarang kemalangan dan mereka pada awalnya agak takut dan gerun bertukar menjadi seronok setelah mencubanya.
Pada sebelah malam pula satu ceramah motivasi diri diberikan. Selesai ceramah aktiviti berikutnya ialah sesi pengamatan malam. Setiap kumpulan dikehendaki berjalan di dalam gua kelam tanpa sebarang cahaya. Setiap peserta tidak dibenarkan keluar dari kumpulan walaupun ianya diganggu oleh orang tertentu. Setelah selesai berjalan hingga ke hujung gua dalam penjalanan pulang para peserta ditinggalkan seorangan dalam jarak tertentu di dalam gua tersebut selama lebih kurang 45 minit ke 1 jam dalam keadaan gelap gelita. Berbagai cerita lucu yang diceritakan oleh para peserta pada keesokan harinya. Aktiviti ini selesai lebih kurang pukul 3.30 pagi.
22 Ogos 2008: Aktiviti hari ini dimulakan dengan para peserta diminta untuk membuat persediaan untuk malam kebudayaan pada malam ini. Setelah masa yang diberikan selesai aktiviti berikutnya ialah ‘Compas roaming’ iaitu setiap kumpulan diminta bergerak dengan panduan kompas. Selesai compass roaming diadakan pula pertandingan tarik tali dalam air. Pada sebelah petangnya pula diadakan ceramah pengurusan persatuan. Ceramah tersebut diberikan oleh Jabatan Belia dan Sukan Negeri Perlis.
Oleh kerana cuaca yang tidak mengizinkan aktiviti berkayak tidak dapat diadakan. Ianya digantikan dengan aktiviti yang lain iaitu kesemua peserta diminta berjalan menutup mata kecuali ketua kumpulan sahaja dibenarkan tidak menutup mata dan beliau dikehendaki memberi arahan atau memaklumkan kepada kumpulannya akan halangan-halangan yang berada di hadapan mereka.
Seperti yang dimaklumkan dari awal tadi, malam ini adalah malam kebudayaan atau malam perpisahan. Setiap kumpulan diminta untuk membuat persembahan. Para jurulatih juga membuat persembahan. Malam kebudayaan juga berakhir agak lewat.
23 Ogos 2008: Hari ini adalah hari terakhir para peserta berada di Wang Kelian ini. Majlis penutupan dan penyampaian sijil yang disempurnakan oleh Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Perlis iaitu En. Haris bin Ishak.
Peserta bertolak meninggalkan kem perkhemahan lebih kurang pukul 3 petang dan singgah sebentar di Padang Besar untuk membeli-belah. Para peserta tiba di Kuala Lumpur lebih kurang pukul 2.30 pagi 24 Ogos 2008.
Kesimpulannya kem jati diri ini berjaya memupuk persahabatan terutama antara orang-orang kerdil dan ahli-ahli SBM sendiri. Sifat kerjasama dan saling tolong menolong sentiasa wujud sepanjang tempoh perkhemahan itu. Kem ini juga benar-benar menguji jati diri peserta. Aktiviti sentiasa padat hingga ke awal pagi dan semestinya para peserta agak keletihan kerana kurang tidur, namun masih tetap bersemangat untuk meneruskan aktiviti-aktiviti berikutnya. Besarlah harapan agar program sebegini akan dapat diteruskan pada masa akan datang kerana ianya dapat mewujudkan semangat setiakawan di kalangan kelompok OKU ini dan mungkin juga diteruskan dengan kumpulan OKU lain.
Kembali Ke ISI KANDUNGANOleh: Nurul Aini Binti Abdullah
Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Sosial Pertubuhan orang Cacat Penglihatan Kawasan Johor (JPWS) telah menganjurkan Seminar Wanita Peringkat Zon Selatan. Ia meliputi tiga buah negeri iaitu SBM Kawasan Melaka, SBM Kawasan Negeri Sembilan dan SBM Kawasan Johor selaku tuan rumah. Jawatan kuasa ini juga telah bersetuju memilih tema yang bertajuk "Wanita sihat minda cermelang" selaras dengan motif seminar iaitu kesedaran, kesihatan dan keselamatan.
Seminar ini berlangsung pada 11 hingga 13 Julai 2008, bertempat di Dewan Anggerik Rumah Alumni, UTM Skudai Johor. Seminar tersebut dirasmikan oleh Puan Rosmawati bte Hj. Muhammad, Pengarah dari Pejabat Pembangunan Wanita Negeri Johor. Majlis perasmian tersebut juga telah dihadiri oleh Timbalan Pendaftar Kanan Canselori UTM iaitu En. Ismaal bin Samat, Pengurus Koprat dan Sumber Manusia dari Unit Teknologi Sdn Bhd, Cik Hamizan bte Mohd Amin. Manakala majlis penutupan rasmi dan penyampaian Sijil telah disempurnakan oleh Puan Maziah @Jamilah bte Abu Bakar, Naib Presiden merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Sosial SBM Pusat.
Seramai 23 orang peserta telah menyertai seminar ini. Ia turut melibatkan peserta-peserta dari SBM Kawasan Negeri Johor, SBM kawasan Negeri Melaka dan SBM Kawasan Negeri Sembilan. Sejumlah rm6,358 telah dibelanjakan. Peserta seminar telah menginap di Blok R02 Rumah Universiti UTM Skudai. Pihak kami juga telah menerima sumbangan berbentuk barangan daripada beberapa syarikat iaitu Syarikat Jalen, Southern Lion Sdn Bhd, Yeo’s Sdn Bhd, Cres Exotic Sdn Bhd dan Ekuiti Niaga Sdn Bhd.
Empat orang penceramah telah dijemput untuk memberi ceramah di sepanjang seminar ini. Penceramah yang dijemput ialah Tuan Hj. Hashim dari Klinik Kaunseling Fakulti Pendidikan UTM Skudai, Dr. Hayati Pakar Mata dari Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru, Inspektor Juraimah dari Ibu pejabat Daerah Johor Bahru Utara Skudai Johor dan Tuan Hj. Mohammed Nazari Hj. Othman, Setiausaha Agung dari SBM Pusat. Pendaftaran bermula pada pukul 4.00 petang 11hb. Julai 2008. Pada malam tersebut telah diberi taklimat mengenai Seminar yang akan diadakan sepanjang 3 hari.
Pada sesi pertama Seminar, penceramah dari Klinik Kaunseling telah memberikan seminarnya yang bertajuk "Cara-cara Pengurusan dan Menangani Stress". Dalam slot tersebut para peserta telah diajarkan berapa jenis aroma terapi bagi menangani stress.
Pada sesi kedua pula penceramah dari Hospital Sultanah Aminah telah memberi penerangan mengenai cara-cara penjagaan mata. Beliau juga telah memberi penerangan tentang rawatan awal sekiranya mata mengalami kecederaan sebelum mendapat rawatan selanjutnya di klinik atau hospital. Para peserta juga telah dimaklumkan bahawa penyakit glaukoma adalah penyakit keturunan. Doktor tersebut juga menggalakkan supaya membuat pemeriksaan mata di peringkat awal di mana-mana klinik mata bagi mengesan glaukoma.
Pada sesi ketiga Inspektor Juraimah telah memberi ceramah mengenai tip-tip penjagaan diri dari ancaman jenayah. Beliau juga telah memaklumkan apakah tindakan yang boleh diambil terhadap penjenayah? Beliau juga memberi maklumat tambahan tentang pengisian borang pengawasan rumah di sepanjang ketiadaan penbghuni di rumah, contohnya pada musim perayaan. Borang ini boleh diperolehi di setiap balai polis yang berdekatan.
Pada malam tersebut pula telah diadakan acara bermesra bersama ahli. Kami telah mengadakan majlis suai kenal, sambutan hari lahir kepada peserta yang tarikh lahirnya jatuh pada 11 hingga 13 julai. Cabutan bertuah (ladys draw) dan penyampaian sumbangan berbentuk barangan kepada semua para peserta juga telah diadakan.
Penceramah sesi keempat iaitu hari terakhir seminar ialah Tuan Hj. Mohammed Nazari Hj. Othman yang telah memberi penerangan mengenai peranan kepimpinan wanita dalam SBM. Beliau juga menerangkan tentang perlembagaan dalam SBM. Sebagai penutup Seminar para peserta telah dibahagikan kepada tiga kumpulan dengan Tajuk tertentu diberikan kepada setiap kumpulan. Berdasarkan pembentangan yang dibuat oleh setiap kumpulan, peserta-peserta lain diminta memberi ulasan dan pandangan samada positif atau negatif.
Secara keseluruhan,Seminar selama tiga hari berjaya mengeratkan lagi silaturahim, memberi ilmu pengetahuan, menggalakkan peserta lebih berdikari dan menjadi seorang yang berwibawa serta berkeyakinan diri. Maklum balas daripada peserta amat menggalakkan yang memberi impak yang positif terhadap seminar tersebut.
Seminar ini dirasakan sesuai untuk diadakan secara berterusan mengikut giliran di peringkat Kawasan Selatan. Ianya penting sebagai asas bimbingan dan pendedahan terbuka di kalangan wanita OKU.
JPWS penuh percaya bahawa seminar seumpama ini sememangnya berkesan, bermanfaat dan memberi kesan positif kepada ahli-ahli SBM keseluruhannya. Usaha berterusan akan dilakukan bagi memupuk minat ahli SBM supaya melibatkan diri dalam setiap aktiviti yang diadakan.
Oleh Zamri Bin Ishak
pada 7hb. dan 8hb. Jun 2008 satu program telah diadakan iaitu Temasya Sukan Dalaman Peringkat Zon Selatan. Temasya sukan ini telah diadakan di Universiti Teknologi Malaysia, Skudai, (UTM). Seramai 18 Orang peserta dari SBM Kawasan Johor, 11 Orang peserta dari SBM Kawasan Melaka dan 14 orang peserta dari SBM Kawasan Negeri Sembilan terlibat dalam temasya sukan ini. Perbelanjaan untuk sukan tersebut adalah sebanyak RM6,842. Syarikat Nestle Malaysia telah menyumbangkan 10 katun air kotak MILO dan Restoran Kasim Taman Seri Pulai Johor Bahru turut menaja makan tengahari untuk peserta-peserta. Temasya Sukan Dalaman Peringkat Zon Selatan ini telah dirasmikan oleh Encik Ismaal Bin Samad Timbalan Pendaftar Kanan canselori UTM. Mesyuarat Post-mortem penganjuran temasya sukan ini telah diadakan pada 28hb. Jun 2008 di Melaka.
Pertandingan Pingpong Peringkat Kebangsaan telah diadakan pada 8hb. dan 9hb. Ogos 2008 di Kompleks Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia. SBM Kawasan Johor telah menghantar satu pasukan yang dianggotai seramai 5 orang atlet. Mereka ialah En. Noh A. Rahman sebagai ketua pasukan, En. Khusaini Bin Saimon, En. Halim, Pn. Hamizah dan seorang atlet import yang mewakili SBM Kawasan Johor iaitu En. Ahmad Shaha.
Dalam pertandingan tersebut pasukan Johor telah diletakkan dalam kumpulan B bersama dengan Pulau Pinang, Kedah, Negeri Sembilan dan Melaka. Pasukan Johor telah menginap di Hotel New Winner dan segala perbelanjaan makan, penginapan dan pengangkutan ditanggung oleh pihak penganjur. Pertandingan tersebut telah memberi manfaat kepada pasukan Johor bagi mengeratkan hubungan antara ahli SBM seluruh Malaysia dan menggalakkan perpaduan dan kesatuansesama ahli.
Kembali Ke ISI KANDUNGANOleh: Musa Bin Abdul Rahman, Pengerusi SBM Kawasan Kedah
Kelas masakan intensif telah diadakan pada setiap minggu ketiga setiap bulan bermula dari Januari 2008. Para peserta didedah dengan pelbagai jenis masakan seperti kuih lapis, krim puff, nasi beriani, mi rebus dan sebagainya. Tenaga pengajar untuk kelas masakan ini adalah seorang yang berkebolehan dalam bidang masakan bertaraf hotel.
Kursus ini telah diadakan pada 1hb. Hingga 3hb. Mei 2008 dan disertai oleh 9 orang peserta. Tenaga pengajar adalah dari Jawatankuasa Pembangunan Usahawan SBM.
Peperiksaan penilaian urut refleksologi telah diadakan pada 17 Mei 2008. Seramai 6 orang peserta yang selesai mengikuti kursus tersebut telah menjalani peperiksaan ini. 2 orang pemeriksa iaitu En. Mohd Asri dan En. Mohd Ismail telah menjalankan peperiksaan tersebut. Keenam-enam peserta yang mengambil peperiksaan kali ini telah lulus dengan 3 daripadanya mendapat cemerlang.
Kembali Ke ISI KANDUNGANOleh: Lim Kooi Yong, Setiausaha SBM Cawangan Pulau Pinang
Pada 11hb. Mei satu majlis meraikan hari ibu telah diadakan. Seramai 20 orang ibu dan 10 orang ahli serta anak-anak telah meraikan majlis tersebut. Setiap orang ibu telah mendapat Sehelai tuala mandi sebagai cenderahati.
Satu pertandingan catur telah diadakan pada 8hb. Jun. Seramai 5 orang peserta telah menyertai pertandingan tersebbut. Tempat pertama telah dimenangi oleh En. Md Akhir Bin Embi, tempat kedua oleh En. Johari Bin Saad Dan tempat ketiga telah dimenangi oleh En. Asri Bin Saad.
Satu kelas (internet) sesi pertama telah diadakan pada 22hb. Jun dan sesi kedua pula pada 20hb. Julai. Seramai 2 orang ahli biasa dan seorang ahli jawatankuasa telah menyertai kelas tersebut.
Pada 27hb. Julai satu aktibiti kelas masakan telah diadakan. Seramai 3 orang ahli telah menyertai kelas tersebut.
Satu kelas asas komputer telah diadakan pada 27hb. Julai dan 3hb. Ogos. Seramai 2 orang ahli jawatankuasa dan 2 orang ahli biasa telah menyertai kelas tersebut.
Satu kursus Sports Massage telah diadakan pada 23 dan 24hb. Ogos. Seramai 12 orang peserta telah menyertai kursus tersebut.
Cawangan Pulau Pinang telah mengadakan satu lawatan ke padang besar pada 24hb. Ogos. Seramai 44 orang ahli biasa, ahli bersekutu serta anak-anak mereka telah menyertai rombongan tersebut. Rombongan tersebut juga telah singgah ke pekan rabu untuk membeli-belah.
Kembali Ke ISI KANDUNGANoleh: MAT DARUS BIN SULAIMAN, PENGERUSI
Pertandingan karaoke masih merupakan satu aktiviti yang digemari oleh ahli SBM Cawangan Kelantan. Menyedari hakikat itulah, pada 19 Julai 2008, SBM Cawangan Kelantan telah mengadakan pertandingan karaoke bersekali dengan Majlis Perhimpunan Ahli, bertempat di Dewan SBM Cawangan Kelantan, Jalan Bekelam, Jelawat, Kelantan, bermula jam 10.00 pagi.
Kehadiran ahli amatlah menggalakkan. Seramai 80 orang ahli telah menghadirkan diri bagi memeriahkan pertandingan yang diadakan. Bilangan peserta yang mengambil bahagian dalam pertandingan tersebut ialah seramai 11 orang.
Pertandingan karaoke bermula jam 10.30 pagi. Sebelum diumumkan nama-nama pemenang pertandingan, para jemputan dipersilakan menikmati minuman ringan. Hadiah kepada pemenang telah disampaikan oleh pengerusi Jawatankuasa Sukan & Rekreasi SBM Cawangan Kelantan, En. Mustapha Jusoh. Johan telah disandang oleh Mohd Nazri bin Nawi, tempat kedua Syed Sharifudin bin Syed Muhamad (ahli bersekutu) dan tempat ketiga dimenangi oleh Siti Rahmah binti Yaacob (ahli bersekutu). Setelah pertandingan berakhir, semua yang hadir dijemput menikmati hidangan tengah hari. Majlis berakhir kira-kira jam 1.00 tengah hari.
Aktiviti berjalan kaki adalah salah satu kegiatan rekreasi yang begitu popular di kalangan ahli di negeri ini. Pada 23 Ogos 2008, SBM Cawangan Kelantan telah mengadakan aktiviti berjalan kaki sejauh tiga kilometer dari pejabat SBM Kelantan Jalan Bekelam Jelawat hingga ke Kg. Padang Pak Amin, juga dalam kawasan Jelawat, kemudian berpatah balik semula ke pejabat SBM Cawangan Kelantan. Seramai 25 orang ahli termasuk ahli bersekutu dan pembantu telah ikut serta dalam aktiviti ini. Aktiviti bermula pukul 10 pagi, mengambil masa 1 jam 10 minit. Semua peserta dalam keadaan selamat di sepanjang aktiviti dijalankan.
Kembali Ke ISI KANDUNGANOleh: Mohd Jais Bin Ismail, Setiausaha SBM Cawangan KL/Selangor
Dari 7 hingga 8 Jun 2008, Jawatankuasa Rekreasi SBM Cawangan KL/Selangor telah menganjurkan lawatan bermalam ke Cameron Highlands. Seramai 40 peserta termasuk 4 orang Ahli Jawatankuasa Cawangan yang terlibat dalam rombongan ini. Setiap penyertaan dikenakan bayaran RM35.00 seorang. Mereka bertolak dari premis cawangan pada jam 8.30 pagi dan selamat tiba di sana pada jam 1.30 tengah hari.
Segala yang dirancang telah dapat dilaksanakan dengan sempurna. Peserta rombongan telah dibawa melawat ke Pusat Penyelidikan MARDI. Di situ peserta rombongan tidak melepaskan peluang untuk membeli buah strawberi, epal, sayur-sayuran dan beraneka jenis bunga. Seterusnya, peserta rombongan telah dibawa ke Pusat Penternakan Lebah. Di situ peserta rombongan berpeluang membeli madu, minum madu asli dan makan telur pindang. Peserta rombongan juga berpeluang membeli-belah di pasar Cameron Highlands, strawberry Park, kebun teh dan beberapa tempat menarik yang lain.
Secara keseluruhannya, lawatan ini melibatkan perbelanjaan sebanyak RM1,600.00. Ahli-ahli jawatankuasa SBM Cawangan KL/Selangor berjaya mengendalikan lawatan dengan sempurna kerana semua peserta berpuashati dan tiada sebarang aduan yang diterima. Peserta rombongan selamat tiba di premis cawangan pada jam 10.00 malam, 8 Jun 2008.
Hasil idea Pengerusi Cawangan dan kerjasama semua AJK Cawangan, julung-julung kalinya pihak cawangan berjaya menganjurkan Pertandingan Lagu-Lagu Puisi SBM Cawangan KL/Selangor Tahun 2008 dengan kerjasama yang padu daripada Dewan Bahasa Dan Pustaka. Pertandingan ini melibatkan 13 orang peserta dan setiap peserta dikenakan bayaran RM5.00 seorang. Semua peserta diiringi oleh pancaragam Melodi Mas. Pertandingan ini melibatkan perbelanjaan sebanyak RM2,875.00.
Pertandingan ini telah diadili oleh dua orang yang berpengalaman dalam bidang sastera iaitu Prof. Dr. Rahman Shari dan Prof. Madya Dr. Lim Swee Tin. Johan pertandingan telah disandang oleh Encik Shamsuri Hitam, naib johan Encik Abdul Rahman Chong dan tempat ketiga ialah Encik Zulkarnain Abu Bakar.
Fokus kali ini ingin menarik perhatian pembaca kepada kepentingan pendidikan awal untuk kanak-kanak OKU penglihatan. Zaman kanak-kanak merupakan saat penting bagi pembinaan pemikiran dan tingkah laku mereka kerana pendidikan yang sesuai dengan keperluan mereka akan mewujudkan jati diri yang lebih sempurna. Berikut ialah pengalaman kanak-kanak dan bekas pelajar di sekolah pendidikan khas cacat penglihatan untuk kita melihat perbezaan dan persamaan sistem pendidikan yang digunakan dahulu serta sekarang.
oleh: MUHAMMAD HANIF BIN JAAFAR, Pelajar tahun 6, Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (CP) Jalan Batu, Kuala Lumpur
Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Cacat Penglihatan Jalan Batu merupakan sekolah saya yang terletak di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur. Saya telah memulakan sesi persekolahan pada tahun 2002. Saya memilih untuk menuntut ilmu di sini memandangkan ianya sekolah yang mempunyai banyak keistimewaan.
Di antara keistimewaan sekolah ini ialah sering menganjurkan pelbagai aktiviti kokurikulum seperti kelas Braille bertujuan untuk membantu murid-murid yang cacat penglihatan supaya boleh membaca, menulis dan mengira seperti murid-murid normal yang lain. Selain itu, aktiviti kokurikulum juga turut dianjurkan supaya murid-murid bukan sahaja memperoleh ilmu dan meningkatkan IQ mereka, malah mempunyai kemahiran yang pelbagai.
Di samping itu, sekolah ini turut menyediakan pelbagai kemudahan asas seperti pusat sumber, makmal komputer dan sebagainya selaras dengan prosedur yang disyaratkan oleh pihak kementerian. walaupun sekolah ini merupakan sekolah orang-orang kurang upaya atau lebih dikenali sebagai OKU, pihak kementerian selalu membuat lawatan ke sini untuk memberi motivasi supaya murid-murid sekolah ini lebih bersemangat untuk belajar dan akhirnya berjaya seperti murid-murid normal yang lain.
Tenaga pengajar di sini juga semuanya baik-baik belaka dan sentiasa komited dengan tugas masing-masing. Sekolah ini juga turut menganjurkan lawatan-lawatan sambil belajar kepada murid-murid supaya mereka mendapat pengalaman dan sekaligus memperoleh ilmu yang berguna untuk masa hadapan. Selain daripada itu, saya juga dapat melibatkan diri dan bergerak aktif dengan menyertai aktiviti keagamaan seperti tilawah Al-Quran, nasyid, program amali solat dan lain-lain yang telah dianjurkan dan secara tidak langsung ia dapat memberi saya ilmu yang sangat berguna di dunia mahupun di akhirat.
Itulah di antara keistimewaan sekolah saya. Sebenarnya, sekolah ini sama sahaja dengan sekolah-sekolah yang terdapat di Malaysia ini. Namun, ianya tetap lain daripada yang lain dan istimewa bagi mereka yang pernah dan sedang menuntut ilmu di sini seperti saya.
Oleh Sari Ms, Batu Caves
Pada 3 Januari 1975 Saya Mula belajar di Sekolah Pendidikan Khas (Buta) Puteri Elizabeth, Johor Bahru. Sekolah ini menempatkan pelajar-pelajar yang kurang upaya penglihatan dari negeri-negeri Sabah, Sarawak, Pantai Timur, Kawasan selatan dan tengah Semenanjung Malaysia. Ketika itu terdapat lebih 100 orang pelajar yang berumur 7 hingga 14 tahun menuntut di sekolah ini. Tujuh tahun menuntut ilmu di sini merupakan pengalaman manis yang tidak mungkin saya lupa. Di sinilah saya mengenal huruf Braille, menghargai erti kasih sayang keluarga dan menjadikan para guru serta rakan sebagai saudara rapat hingga sekarang.
Saya masih ingat bagaimana ketika saya berusia 9 tahun, saya terpaksa meninggalkan keluarga untuk ke Johor Bahru bagi meneruskan pelajaran di sekolah pendidikan khas yang tiada di kampung halaman saya. Sepanjang dalam perjalanan dengan keretapi saya menangis mengenangkan keluarga saya. Ibu terus memujuk saya agar tabah di sekolah nanti dan belajar bersungguh-sungguh. Ibu begitu yakin dengan kemudahan yang disediakan oleh kerajaan dan pihak Persatuan, saya akan mampu hidup berdikari kelak.
Saya mula belajar tulisan Braille daripada Cikgu Sharifah Kamaliah. Selaku kanak-kanak yang pernah menuntut di sekolah harian biasa, saya amat hairan dan tidak yakin boleh menguasai tulisan Braille. Oleh itu saya cuba membaca Braille menggunakan sisa penglihatan yang ada. Cikgu Sharifah telah menutup mata saya dengan kain khas dan memaksa saya membaca braille dengan menggunakan jari. dengan kegigihan dan pelbagai teknik, kaedah serta strategi yang digunakan, akhirnya saya mahir membaca braille menggunakan jari. Saya sering berada di perpustakaan untuk membuat latihan bacaan di samping mengulangkaji pelajaran. Perpustakaan merupakan tempat istimewa bagi saya di sekolah ini kerana ianya menjadi tapak permulaan kejayaan saya seterusnya iaitu apabila dipilih sebagai pelajar cemerlang bagi dua tahun berturut-turut semasa di darjah lima dan enam. Sebenarnya saya bukan pelajar yang pintar dalam pelajaran tetapi strategi pendidikan yang dilaksanakan oleh guru-guru telah berjaya meningkatkan tahap pencapaian. akademik saya. Pelajaran yang saya paling minat ialah Bahasa Inggeris manakala pelajaran yang saya tidak suka ialah Sains. Satu peristiwa yang masih kekal dalam ingatan saya ialah apabila kelas Sains bermula, saya menjadi sangat mengantuk. Saya tidak dapat memberi tumpuan terhadap pengajaran guru. Malang bagi saya, kerana bila cikgu bertanyakan soalan, saya tidak dapat menjawabnya. Saya telah didenda supaya merangkak di dalam kelas. Saya menangis kerana dendaan itu. Sejak kejadian itu, saya berazam untuk belajar Sains bersungguh-sungguh. Akhirnya, bila keputusan Peperiksaan Penilaian Tahun Enam diumumkan, saya mendapat "A" dalam subjek Sains.
Bagi membina semangat dan ketahanan diri, pihak sekolah telah melatih saya dalam bidang sukan, permainan catur, seni nyanyian dan tarian yang mana ianya memberi peluang untuk saya berinteraksi dengan rakan-rakan normal penglihatan. Semasa di Darjah lima, saya berjaya menjadi juara pertandingan catur dan terpilih sebagai kanak-kanak terbaik dalam sukan. Saya juga diberi kesempatan untuk menyanyi dan mendeklamasi sajak di Radio Johor Bahru. Saya pernah bercita-cita untuk menjadi penyanyi terkenal bila saya besar nanti. Bagi meluaskan pengalaman saya, pihak sekolah telah membawa saya menaiki kapal laut TLDM untuk mengelilingi Pulau Singapura.
Sekolah Pendidikan Khas Puteri Elizabeth menyimpan banyak kenangan buat saya. Sewaktu mula-mula menjejakkan kaki di sekolah ini, saya merasa amat pelik menyaksikan para pelajar yang tidak dapat melihat langsung. Saya sering mengusik mereka dengan menyembunyikan kasut agar mereka mencarinya. Saya akan tertawa apabila mereka meraba-raba mencari kasut atau selipar yang saya sembunyikan atau alihkan itu. Kenakalan saya itu berubah setelah saya dihukum rotan kerana suka menyembunyikan barang-barang pelajar lain. Seorang pengasuh asrama yang saya panggil Akak Rohana telah banyak menasihati saya dan memberi tunjuk ajar kerja-kerja rumah tangga yang perlu diketahui oleh kanak-kanak perempuan sehingga saya pandai memasak nasi goreng kegemaran dan menjahit sendiri baju gown merah kesayangan saya. Dia juga yang memulihkan perasaan saya yang sedih setelah doktor mengesahkan bahawa penglihatan saya tidak normal. Akhirnya beliau berjaya merubah kelakuan saya menjadi pelajar yang ceria dan berbudi bahasa. Sesudah berkelakuan baik, ketika saya di dalam darjah 3, saya dilantik menjadi pengawas sekolah dan seterusnya menjadi ketua pengawas semasa di darjah enam.
Kini setelah saya bekerja, saya masih mengimpikan untuk kembali ke sekolah rendah tempat saya belajar dahulu bagi mengembalikan kenangan masa-masa indah saya dan mencurah bakti kepada sekolah yang telah berjaya membina saya menjadi insan yang berguna kepada bangsa dan negara. Saya berdoa semoga Allah akan menunaikan impian murni saya itu.
Oleh: Siti Huraizah Binti Ruslan
Cinta lahir dari sekeping hati yang tulus. Lalu, mengalirlah air kasih yang sentiasa segar dan mendamaikan sesebuah perhubungan. Namun, di sebalik cinta terselindung seribu satu rasa yang mendorong seseorang untuk mencintai. Malah, cinta yang lahir ada kalanya bukan bertunjang dari rasa tulus dan ikhlas.
Dalam siri yang lalu, Antara Cinta Dan Kesempatan telah mengutarakan kepada anda isu perkahwinan antara lelaki normal dan perempuan OKU penglihatan. Kali ini, isu ini akan dikupas dari aspek berbeza.
Kita sering kali mendengar berita lelaki OKU penglihatan memperisterikan perempuan normal. Dalam masyarakat OKU penglihatan, fenomena ini kerap berlaku jika dibandingkan perkahwinan antara perempuan OKU penglihatan dengan lelaki normal. Peratusnya juga agak tinggi. Apakah faktor utama yang mendorong lelaki OKU penglihatan untuk memperisterikan perempuan normal dan perempuan normal memilih lelaki OKU penglihatan untuk dijadikan suami?
Ramai lelaki OKU penglihatan berpendapat, sekiranya memilih perempuan normal menjadi isteri, hidup akan lebih senang memandangkan keadaan diri yang kekurangan. Isteri yang normal pada pandangan mereka dapat membantu mereka dalam semua segi terutama dalam kerja-kerja membeli-belah dan memandu kereta. Apakah ini merupakan alasan kukuh bagi mereka untuk memperisterikan perempuan normal? Jika benar, ke manakah hilangnya sikap berdikari mereka? Mengapa lelaki yang sepatutnya lebih tinggi rasa berdikari kalah dengan perempuan lemah yang sentiasa yakin hidup tidak akan susah jika berkahwin dengan kaum senasib?? Apakah dengan menamatkan zaman bujang bersama perempuan normal itu menjamin kebahagiaan? Apakah kebahagiaan itu terletak pada kesenangan lahiriah semata-mata? Betul? Tepatkah jawapan tersebut apabila terdapat rungutan-rungutan daripada lelaki OKU penglihatan yang berkahwin dengan perempuan normal sendiri mengatakan pasangan mereka tidak memahami cara hidup OKU penglihatan dan mereka sering dikawal (control). Keadaan ini mungkin berpunca daripada kebergantungan lelaki OKU penglihatan terhadap pasangan normal mereka. Jika kita perhatikan, ada sebilangan lelaki OKU penglihatan yang berkahwin dengan perempuan normal tidak tahu berdikari lantaran daripada sering mengharapkan segala-galanya disediakan oleh isteri. Keadaan ini berbeza dengan lelaki OKU penglihatan yang menjadi suami dalam erti kata sebenar apabila memperisterikan perempuan yang juga dari kalangan OKU penglihatan.
Mari kita fikirkan sejenak, mengapa ada lelaki OKU penglihatan yang berkahwin dengan perempuan normal berasa tidak puas lantas memutuskan untuk berkahwin bagi kali kedua dengan perempuan dari golongan senasib? Ini bermakna, kesempurnaan zahir pasangan bukan jaminan untuk kita mengecapi kebahagiaan. Ianya berbalik kepada ketulusan hati yang mencintai dan penerimaan terhadap pasangan walau apa adanya diri pasangan tersebut. Penerimaan kekurangan dan kelemahan pasangan bukanlah "cinta buta" seperti dakwaan sesetengah pihak tetapi, ia satu langkah ke arah kebahagiaan dan ketenangan yang hakiki. Memikirkan masa depan yang baik lalu memilih pasangan normal pula bukan satu langkah bijak kerana cinta itu sendiri menuntut kita untuk menerima setiap kebaikan dan kekurangan pasangan. Apakah kesenangan luaran itu lebih tinggi nilainya berbanding ketenangan hati? Maka, renung-renungkanlah.
Kembali Ke ISI KANDUNGANOleh Zakaria bin Osman
Kita biasa mendengar tentang kaki palsu atau gigi palsu. Hari ini sains mengorak langkah dengan menerokai kemungkinan untuk mencipta apa yang disebut sebagai &quaot;mata palsu": atau "bionic eyes".
Usaha-usaha yang dijalankan kini tertumpu kepada dua pendekatan, iaitu pendekatan "kejuruteraan manusia" (human engineering) dan pendekatan biologi. Antara kaedah-kaedah yang menggunakan pendekatan kejuruteraan manusia yang juga disebut sebagai "neuroprosthetic" termasuklah
Manakala pendekatan biologi tertumpu terhadap terapi genetik. Dalam keluaran ini saya akan hanya membicara tentang pendekatan kejuruteraan manusia dan itu pun secara umum sahaja.
Sejak tahun-tahun 20-an lagi ahli sains telah cuba mengenalpasti fungsi-fungsi pada setiap bahagian otak manusia. Bahagian Kortex yang terletak di bahagian belakang kepala didapati berfungsi untuk penglihatan. Bahagian ini apabila diransangkan dengan kuasa elektrik pada kadar yang sangat rendah dan terkawal telah meransang penglihatan seseorang untuk melihat titik-titik cahaya yang disebut phosphenes. Ahli-ahli sains seperti Wilder Penfield dan Rasmussen merupakan antara mereka yang terawal membuat kajian tentang keupayaan elektrik untuk meransang penglihatan apabila dirangsangkan pada bahagian-bahagian tertentu di bahagian kortex ini. Lewat tahun 60-an dan awal 70-an menyaksikan perkembangan kejuruteraan manusia ini maju setapak lagi apabila Ahli-ahli sains berjaya menghubungkan kamera video melalui komputer langsung ke bahagian kortex dengan menekap bahagian berkenaan dengan elektrods. Hasilnya, pemakainya dapat melihat imej-imej meskipun pada peringkat awal ini masih lagi samar-samar. Pakar-pakar sains neuro seperti Brindley, Dobelle dan Pollen bersama-sama dengan pasukan mereka telah mengenalpasti bahagian-bahagian kortex yang khusus untuk penglihatan dan bagaimana elektrod yang, jika ditanam, mampu menghasilkan penglihatan yang lebih jelas.
Kemajuan ICT lewat lapan puluhan dan sembilan puluhan telah memungkinkan terciptanya kamera video bersaiz mikro dan penciptaan komputer bimbit yang bersaiz lebih kecil. Ini telah memungkinkan pendekatan ini semakin relistik. Kamera-kamera video mikro sudah boleh dipasangkan kepada cermin mata yang dihubungkan kepada sebuah komputer bimbit dan kemudian dihubungkan pula ke bahagian belakang kepala untuk di sambung kepada terminal-terminal elektrod yang sudah sedia dilekapkan ke bahagian Kortex otak. Beberapa orang yang dipakaikan dengan peralatan ini mampu berjalan dan menentukan objek-objek yang terdapat di persekitarannya. Malah, ada juga yang mampu membawa kereta secara perlahan.
Walau bagaimanapun, kaedah melekapkan elektrod ke permukaan bahagian kortex hanya mampu mencetuskan penglihatan yang amat terbatas. Bagi golongan yang tidak dapat melihat sama sekali "total blindness", kaedah ini didapati tidak memberi kesan langsung. Oleh yang demikian, penanaman elektrod-elektrod halus ke dalam kortex didapati mampu mencetuskan penglihatan yang lebih jelas. Kajian yang dilakukan oleh Schmidt Et Al terbukti kaedah ini mampu menghasilkan penglihatan yang bukan sahaja lebih jelas bahkan juga turut memungkinkan golongan yang tidak mempunyai penglihatan sama sekali "total blindness" mampu untuk melihat juga. Di samping itu, kaedah ini tidak memerlukan penggunaan kuasa elektrik yang tinggi langsung membantu untuk mengurangkan sebarang risiko kerosakan terhadap bahagian kortex.
Kini, pakar-pakar sains neuro khususnya dari Universiti Utah sudah berhasil menghasilkan elektrod yang cukup halus namun kukuh untuk ditanam ke dalam tisu-tisu kortex tanpa menyebabkannya bengkok atau patah. Di samping itu, elektrod-elektrod ini yang dikenali sebagai "Utah Electrode Arrays" atau "UEA" mempunyai jangka hayat yang cukup panjang, iaitu boleh bertahan sepanjang jangka hayat seseorang manusia tanpa menimbulkan kesan biologi terhadap bahagian otak ini. Pakar sains neuro mengharapkan kaedah ini bakal menyaksikan penciptaan dan penggunaan mata "palsu" yang selamat digunakan dan berfungsi pada kadar yang memuaskan.
Selain daripada kaedah penanaman elektrod pada bahagian kortex otak untuk meransangkan penglihatan, ahli-ahli sains turut juga menggunakan cip-cip mikro elektrod untuk meransang bahagian-bahagian mata seperti bahagian retina dan saraf optik. Setakat ini percubaan-percubaan yang dilakukan belum lagi membuahkan hasil yang memberangsangkan. Ini disebabkan kaedah ini memerlukan pemedahan yang rumit yang melibatkan bahagian-bahagian saraf mata yang sangat kecil dan sensitive.
Dalam kaedah penanaman cip untuk merangsang retina, cip mikro akan dilapiskan di bawah retina. Cip ini kemudiannya akan dirangsangkan dengan menggunakan gelombang elektrik dari sebuah kamera mikro yang dipasangkan dalam kanta cermin mata yang dipakai oleh individu yang menggunakan alat ini. Kamera mikro ini juga berfungsi untuk merakam imej-imej yang berada di hadapan pemakainya. Imej yang dirakamkan oleh kamera mikro ini akan disalurkan kepada cip yang berada di bawah retina yang kemudian akan merangsangkan rod dan kon yang terdapat pada retina. Hasilnya, imej ini akan dilihat dan diterjemahkan oleh otak sebagaimana yang berlaku dalam proses penglihatan biasa. Walau bagaimanapun, kaedah ini hanya berguna kepada mereka yang retinanya masih lagi berfungsi.
Bagi mereka yang retinanya sudah tidak lagi berfungsi, percubaan telah dilakukan untuk merangsang saraf optik dengan menanam Elektrod-elektrod dalam saraf-saraf optik yang sangat halus. Dengan perantaraan kamera mikro, imej yang dirakamkan akan disalurkan melalui elektrod-elektrod berkenaan dengan gelombang elektrik yang terkawal. Hasilnya gelombang-gelombang elektrik ini akan merangsang saraf optik penglihatan dan pemakai peralatan ini akan dapat melihat imej-imej berkenaan.
Namun begitu, dua kaedah ini masih lagi pada peringkat kajian dan percubaan. Ahli-ahli sains tetap optimis bahawa kaedah ini juga akan menjadi kaedah alternative yang tidak mustahil dapat mengembalikan penglihatan seseorang individu pada suatu masa nanti.
Apa pun, perkembangan ini tentunya memberi sinar baru kepada golongan kita yang kehilangan penglihatan ini. Kita kini boleh mengimpikan sesuatu harapan yang dulunya dianggap mustahil. Bersama-samalah kita berdoa agar usaha-usaha para saintis ini akan membuahkan hasil dalam masa terdekat.
Kembali Ke ISI KANDUNGANOleh Jusmeh Binti Basrin
Di serata dunia orang bercakap tentang kehebatan IT dan kesannya terhadap kemajuan manusia. Sesungguhnya para OKU penglihatan juga tidak terkecuali mengikuti arus perkembangan ini. Di hati mereka terdetik juga keinginan untuk menguasai pengetahuan serta kemahiran di bidang ini. Golongan OKU di Negara kita sentiasa peka dengan kemajuan teknologi. Lebih-lebih lagi ianya berkait rapat dengan kemudahan dan hidup yang lebih selesa. Maka dengan itu, ilmu perlu dicari dan dipelajari, kemahiran mesti dikuasai dan digunakan sebaik-baiknya.
Adapun di negeri Sabah, suasana agak lengang. Saingan tidak sengit di kalangan golongan OKU penglihatan untuk menguasai bidang IT. Antara 1994 hingga 2007 beberapa kursus telah dianjurkan oleh berbagai pihak. Perpustakaan negeri Sabah dan Pertubuhan Orang-orang Buta Sabah adalah antara badan-badan yang pernah mengendalikan kursus dalam bidang tersebut. Dianggarkan lebih kurang 60 orang OKU penglihatan telah mendapat pendedahan dan memperoleh sedikit maklumat mengenai apa yang dikatakan sebagai Teknologi Maklumat dan Komunikasi.
Selain daripada kursus yang dijalankan di peringkat Negeri Sabah, beberapa peserta juga telah berpeluang mengikuti kursus-kursus di St. Nicholas dan juga Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia SBM di Semenanjung Malaysia. Kursus-kursus yang diikuti di sini memang mengambil masa yang lebih panjang dan semestinya meliputi lebih banyak topik. Berbanding dengan apa yang dilalui dalam negeri, kursus-kursus kadang-kadang hanya dijalankan dalam masa 2 hingga 5 hari. Dalam masa sesingkat itu, mereka yang tidak mempunyai sebarang asas menaip akan menghadapi masalah apa lagi jika mereka ditempatkan serentak dengan orang-orang yang sedia mahir.
Walau bagaimanapun, jalan sudah dibuka. Pengajaran pun sudah diberi. cuma mencari cara paling sesuai dapat memanfatkan apa yang telah dipelajari. Jika tidak semuanya akan dianggap sia-sia belaka. Kerugian yang akan sangat-sangat disesalkan. Belanja besar namun hasilnya tidak memuaskan. Belanja besar namun hasilnya tidak ada. Adalah diharapkan Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan dapat membantu golongan OKU penglihatan di Sabah mempertingkatkan kemahiran dalam bidang teknologi komputer. Walau pun di Negeri Bawah Bayu ini tidak mempunyai Cawangan SBM, namun dengan kerjasama Majlis Kebangsaan Orang Buta Malaysia (NCBM) dan individu-individu yang sedia aktif, OKU penglihatan di Sabah berpeluang menikmati kemudahan seperti yang diperoleh oleh OKU penglihatan di Semenanjung.
Lebih 10 tahun sudah berlalu, rasanya tidak adillah pula jika dikatakan usaha-usaha pelbagai pihak yang berkenaan ini tidak berbaloi. Asas bermula dengan Appolo, HAL dan Wordperfect. Kini berbagai aplikasi dan perisian telah dipertingkatkan demi memenuhi kehendak pengguna. Namun begitu, sehingga ke hari ini golongan OKU penglihatan yang memiliki komputer peribadi masih boleh dihitung dengan jari. Jelas belum dapat dibuktikan bahawa di negeri Sabah peribahasa yang berbunyi di mana ada kemahuan di situ ada jalan setanding hebat di Semenanjung Malaysia. Marilah kita semua bekerjasama untuk meningkatkan kadar celek IT OKU penglihatan di Sabah dan seterusnya merealisasikan hasrat kerajaan bagi mewujudkan integrasi Nasional antara Sabah dan Semenanjung Malaysia.
Bagaimana pun bagi kemudahan telefon mudah alih, golongan OKU penglihatan di Sabah telah berjaya menguasai teknologi ICT ini. Sebilangan besar OKU penglihatan telah menggunakan telefon yang dilengkapi perisian "Talk" bagi mendapat maklumat secara bersuara. Ada juga OKU penglihatan yang dahulunya tidak berminat untuk menggunakan telefon mudah alih, kini telah menjadi pengguna aktif yang terawal mendapatkan perisian "Talk" versi terbaru. Ini membuktikan golongan OKU penglihatan di Sabah mahu turut berubah ke arah dunia berteknologi, sekiranya ada pihak yang sanggup mengambil inisiatif untuk membimbing mereka menuju ke dunia berteknologi itu.
Adalah dicadangkan agar SBM dapat turut serta membantu golongan OKU penglihatan di Negeri Sabah ini untuk mempromosikan bidang ICT di sini dengan mengadakan pameran dan latihan penggunaan ICT. OKU penglihatan di Sabah juga berharap supaya satu hari nanti SBM cawangan Sabah dapat diwujudkan bagi merealisasikan impian OKU penglihatan di Sabah untuk lebih ke hadapan dalam perkembangan ICT.
Oleh: Iran Shah Bin Ramatullah
kehadiran komputer telah memberikan nafas baru kepada umat manusia dalam melakukan kerja-kerja harian. Kehadiran teknologi perkomputeran ini bukan sahaja mengubah nasib orang sempurna tetapi juga memberikan satu nafas baru kepada golongan kurang upaya seluruh dunia. Kehadiran teknologi komputer ini memudahkan golongan kurang upaya melakukan pengaksesan dalam kehidupan seharian mereka khususnya golongan kurang upaya penglihatan. Umum hanya mengetahui golongan kurang upaya penglihatan hanya boleh menggunakan peralatan tradisional seperti mesin Braille, pita rakaman dan lain-lain. Namun demikian pada hari ini dunia teknologi komputer telah mengubah nasib kehidupan orang kurang upaya penglihatan. senario ini memberikan satu nafas baru kepada golongan kurang upaya penglihatan terutama dalam dunia pendidikan kerana guru boleh mengaplikasikan alat-alat teknologi dalam menyediakan bahan pengajaran dan pembelajaran mereka.
Pembelajaran melalui komputer boleh membantu guru meningkatkan mutu pengajaran. Sebelum kehadiran teknologi Komputer, guru yang mengajar murid-murid cacat penglihatan hanya menggunakan mesin Braille bagi menyediakan bahan pembelajaran dalam bilik darjah mahupun luar bilik darjah bagi menguji kefahaman murid terhadap pembelajaran yang dilakukan dalam bilik darjah dan bagi menyingkatkan masa, ada guru merakam bahan tersebut dalam pita rakaman bagi murid yang mengalami cacat penglihatan untuk mengulangkaji pelajaran yang telah dipelajari. Namun demikian hari ini guru yang mengajar murid cacat penglihatan tidak perlu lagi bersusah payah kerana boleh menjadikan bahan interaktif bagi melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran. keadaan ini akan melahirkan satu pengajaran yang menarik dan melahirkan perasaan riang di kalangan pelajar. Mereka tidak perlu lagi memikul buku-buku yang berat dan berjilid-jilid pergi dan balik sekolah atau pusat sumber.
Manfaat kehadiran alat bantu dalam bentuk komputer ini juga boleh meningkatkan prestasi murid cacat penglihatan kerana mereka boleh melakukan pembelajaran sendiri menggunakan skrin pembaca untuk mengakses kandungan dalam bahan tersebut. Pengaksesan kandungan bahan tersebut boleh dilakukan oleh murid cacat penglihatan dengan mudah jika murid tersebut diberikan pendedahan komputer. Jadi, guru tidak perlu lagi membuang masa untuk menyediakan bahan berulang kali. Guru boleh menyimpan bahan tersebut dalam cakera keras untuk diberikan kepada murid. Bahan-bahan ini juga boleh diaplikasikan oleh murid yang mengalami masalah penglihatan terhad. Bahan ini tidak ada batasan penggunaannya. Hal ini kerana murid yang menggunakan tulisan besar tidak perlu lagi membesarkan tulisan bagi murid yang menghadapi masalah penglihatan terhad. Mereka boleh membesarkan tulisan tersebut sendiri dalam komputer. Keadaan ini memberikan ruang dan kesempatan kepada murid untuk melakukan pembelajaran pengukuhan mereka sendiri di rumah dengan menggunakan komputer. Murid tidak perlu lagi mencari pembaca bagi membantu mereka untuk melihat kandungan nota atau soalan yang diberikan oleh guru.>/p>
Faktor ini juga dapat mengurangkan keciciran murid bermasalah penglihatan dalam pendidikan kerana murid bermasalah penglihatan terhad yang rata-rata mengalami masalah untuk melakukan pembacaan pantas. Namun demikian dengan kehadiran alat bantu berkomputer ini murid rabun boleh mengakses bahan tersebut dengan lebih pantas. Mereka akan berasa menarik dan perasaan ingin belajar akan menebal. Hal ini kerana menurut Basiron dalam kajian beliau bahawa murid rabun kurang menyerlah berbanding dengan murid buta kerana masalah penguasaan pembelajaran yang berpunca daripada masalah penglihatan mereka. mereka tidak perlu lagi membesarkan tulisan dengan menggunakan mesin pendua tetapi mereka boleh membesarkan terus menerusi komputer. Guru juga tidak perlu menyediakan buku yang mempunyai tulisan besar.
Guru juga boleh melakukan pembelajaran masteri (penguasaan) dalam proses pengajaran dan pembelajaran mereka. guru boleh mengarahkan murid mengakses internet untuk mendapatkan maklumat bagi pembelajaran pada masa tersebut. Hal ini kerana murid boleh mengakses bahan dalam komputer tersebut. Melainkan murid itu tidak ada pengetahuan tentang komputer. Keadaan ini akan menggalakkan murid untuk belajar dan mereka akan rasa tercabar malah perasaan ingin tahu akan menebal. Pengalaman ini akan membantu murid menjadi seorang yang matang dan berdikari dalam melakukan pembelajaran dalam memperoleh kejayaan masa depan mereka.
Oleh yang demikian, kehadiran teknologi komputer memberikan satu senario baru dalam kehidupan golongan kurang upaya penglihatan dalam meneruskan rencana kehidupan mereka terutama dunia pendidikan dan pekerjaan. Pihak guru harus menjadikan komputer sebagai sebahagian daripada alat bantu mengajar dalam bilik darjah supaya boleh membantu meringankan beban dalam melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah.
Kembali Ke ISI KANDUNGANOleh Saifuddin bin Mohamad – PPN
Pada 17 Mei 2008 Unit Tabung Pembangunan Usahawan SBM telah mengadakan Pelancaran Tabung Pembangunan Usahawan SBM dan konsert amal yang bertujuan mengumpul dana bagi membolehkan lebih ramai ahli mendapat manfaat pinjaman tanpa faedah yang disediakan oleh SBM. Majlis tersebut diadakan di Auditorium Dewan Bandaraya, Kuala Lumpur (DBKL) mulai jam 8.30 malam.
Majlis pelancaran telah dibuat oleh Ketua pengarah Jabatan kebajikan Masyarakat Malaysia. Para penderma turut memberi sumbangan kewangan pada majlis pelancaran itu. Majlis kemudiannya diteruskan dengan konsert amal dan cabutan nombor bertuah. Encik Jaafar Onn dan Puan rohana jalil telah menghiburkan para hadirin di samping pertunjukan pancaragam, Permainan harmonika dan nyanyian oleh ahli-ahli SBM.
Pada 25-26 Mei 2008 Jawatankuasa Pembangunan Usahawan, SBM telah menganjurkan Simposium Halatuju Industri Urut di Kalangan OKU Penglihatan bertempat di Hotel Grand Pacific Kuala Lumpur. Lebih 40 orang kurang upaya penglihatan yang terlibat dengan industri urut hadir untuk berbincang dan mendengar taklimat hal-hal yang berkaitan urut di Malaysia.
Antara agensi yang hadir untuk berkongsi maklumat dalam simposium tersebut ialah daripada Kementerian Kesihatan Malaysia, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Jabatan Tenaga Kerja, Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia dan Lembaga Kemajuan Bandar (UDA). Kementerian Kesihatan Malaysia memberi penerangan tentang aspek pengiktirafan kerajaan terhadap amalan urut dan refleksologi dari sudut peraturan kesihatan. Wakil DBKL pula, memberi maklumat tentang permit dan perlesenan untuk aktiviti kedai urut yang sah dan bermoral. Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia menjelaskan prosedur permohonan bantuan gran pelancaran perniagaan. Jabatan Tenaga Kerja lebih menumpukan kepada skim pemberian bantuan wang tunai untuk orang kurang upaya bagi menjalankan perniagaan. Manakala UDA pula memaklumkan tentang penyediaan ruang niaga industri urut untuk OKU penglihatan.
Pada 13-15 Jun 2008 SBM telah mengadakan Mesyuarat Agung Dwi Tahunan bertempat di Seri Cempaka Service Suites, Menara PGRM, Cheras Kuala Lumpur bagi memilih Ahli Majlis presiden yang baru. Perasmian mesyuarat ini telah disempurnakan oleh Puan Fatimah Zuraidah yang mewakili Ketua Pengarah, Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia.
Ahli-ahli SBM telah memilih pemimpin mereka seperti yang berikut :-
| Presiden: | ENCIK MAH HASSAN BIN HJ. OMAR |
| Naib Presiden: | PUAN MAZIAH BINTI ABU BAKAR |
| Setiausaha Agung: | TUAN HJ MOHAMMED NAZARI BIN HJ OTHMAN |
| Bendahari Kehormat: | PUAN JASMINE KHOO |
| Ahli Majlis Presiden: | ENCIK ABDUL KHADIR BIN HJ. OSMAN ENCIK ROSHAM BIN SIDEK ENCIK MOHAMED (ZAKI) BIN ISMAIL PJK Encik Mohd. Fekkeri Bin Mat Jusoh ENCIK Maznan Bin Mohd Zain |
Pada 23 Julai 2008 Encik Mohamed Zaki Bin Ismail PJK selaku Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Latihan Kepimpinan telah menyampaikan bantuan tuisyen berkelompok kepada Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (Cacat Penglihatan) Jalan Batu, Kuala Lumpur. Bantuan sebanyak RM1,600.00 itu bertujuan membiayai kos tuisyen kepada pelajar-pelajar tahun 6 yang akan menduduki UPSR pada 9 hingga 11 September 2008.
Pada 28 Julai 2008 pula, Jawatankuasa Pendidikan dan latihan Kepimpinan, SBM sekali lagi telah menyampaikan bantuan tuisyen berkelompok sebanyak RM2,000.00 kepada Program Pendidikan Khas Masalah Penglihatan, Sekolah menengah Maktab Sultan Abu Bakar, Johor Bahru, Johor. Bantuan tersebut adalah bagi membiayai kos tuisyen pelajar PMR, SPM dan STPM yang kurang upaya penglihatan di sekolah berkenaan.
Bantuan berkenaan disampaikan oleh Encik Saifuddin bin Mohamad yang mewakili Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Latihan Kepimpinan SBM, Encik Mohamed . Zaki bin Ismail PJK. Majlis penyampaian tersebut diadakan di Bilik Sumber para pelajar. Turut hadir ke majlis berkenaan ialah Guru-guru kanan sekolah berkenaan. Pada tahun 2006, SBM telah memberikan RM400.00 kepada pelajar kurang upaya penglihatan terbaik SBM peringkat kebangsaan dari sekolah ini.
Jawatankuasa Pendidikan dan Latihan Kepimpinan yang dipengerusikan oleh Encik Mohamed Zaki bin Ismail PJK telah menganjurkan satu Kursus Penulisan Skrip Drama untuk ahli-ahli biasa SBM pada 16 - 18 Ogos 2008 di Hotel Grand Pacific, Kuala Lumpur. Seramai 26 orang golongan kurang upaya penglihatan telah menyertai kursus berkenaan.
Kursus tersebut dikendalikan oleh dua orang penulis berpengalaman iaitu Cik Norhashimah binti Hashim seorang penulis Drama RTM dan Dr. Zakaria bin Osman, Pensyarah Bahasa Malaysia dan Budaya, Universiti Kuala Lumpur yang bertindak sebagai fasilitator. Dua orang penceramah undangan lain ialah Encik Norhalim bin Ismail, penulis drama TV dan Encik Sabri Bin Mohd. zin @ SAMOZA, penulis drama teater.
Para peserta yang menyertai kursus tersebut telah dianugerahkan Sijil Penyertaan yang disampaikan sendiri oleh Encik Mohamed Zaki bin Ismail PJK, yang mewakili presiden SBM semasa upacara penutupan rasmi kursus berkenaan.
Pada 22 dan 23 Ogos SBM Cawangan Terengganu telah mengadakan Hari Terbuka SBM Cawangan itu di hadapan pejabat mereka mulai jam 10.00 pagi hingga 10.00 malam. Hari terbuka Tersebut telah dirasmikan oleh Encik Maznan bin Mohd. Zain, Pengerusi Jawatankuasa Informasi dan Kemudahan Awam, SBM. Beliau juga telah menyampaikan sijil Urut kepada beberapa orang ahli SBM Cawangan Terengganu dalam majlis berkenaan.
Antara aktiviti yang dijalankan ialah pembukaan gerai pameran dan jualan hasil tangan ahli-ahli SBM, Pertandingan dikir barat dan pemeriksaan kesihatan secara percuma. Hari terbuka SBM Cawangan Terengganu ini telah berjaya menarik ramai pengunjung dari kawasan sekitar bagi memperkenalkan golongan OKU penglihatan kepada masyarakat umum.
Beliau menyambut hari kelahirannya yang ke sekian kali pada 18 Jun 2008 ini. Dilahirkan di Kg Buluh Gading, Manir Kuala Terengganu dan merupakan anak keenam dalam lapan adik beradik.
Mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Princess Elizabeth Johor Bahru. Kemudian pada tahun 1972, meneruskan pelajaran ke peringkat menengah di Sekolah Menengah Convent HIJ Johor bahru sehingga ke tingkatan tiga. Seterusnya berhijrah ke Kuala Lumpur pada tahun 1975, meneruskan pelajaran ke tingkatan 4 dan 5 di Sekolah Menengah Perempuan Ayer Panas.
Seterusnya telah memasuki Pusat Latihan Gurnye dari tahun 1977 - 1979 untuk mengambil kursus Jurutrengkas (Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris). Belum pun sempat dilamar oleh sebarang pekerjaan, beliau terlebih dahulu telah dilamar oleh seorang jejaka. Beliau mendirikan rumah tangga pada tahun 1980. Rezeki anak yang di dalam kandungannya, beliau mendapat pekerjaan pada tahun 1981 sebagai Jurutrengkas di Kementerian Pertahanan Malaysia KEMENTAH, Kuala Lumpur. Setakat ini, belia telah dikurniakan dua orang anak, seorang putera dan seorang puteri. Setelah berkhidmat hamper 27 tahun, atas pilihan sendiri, pada awal 2008, beliau telah mula bersara daripada perkhidmatan kerajaan atas sebab dan tujuan yang dirahsiakan.
Walaupun masih bergelar sebagai seorang pelatih, beliau telah mendaftarkan diri sebagai ahli biasa SBM pada tahun 1978 dan melibatkan diri secara aktif. Atas dorongan rakan-rakan dan galakan daripada suami, pada tahun 1984, beliau telah berjaya memegang jawatan sebagai Ahli Jawatankuasa KL/Selangor selama dua tahun. Seterusnya, beliau menempa kejayaan demi kejayaan apabila dilantik pula untuk memegang jawatan sebagai Naib Pengerusi KL/Selangor dari tahun 1986 - 1990.
Mulai tahun 1991, beliau telah terpilih untuk menjadi Ahli Jawatankuasa Pusat (CenCo) dan sehingga ke hari ini masih menganggotai Ahli Majlis Presiden SBM (MP). Selain pernah menjadi pengerusi beberapa Jawatankuasa Utama SBM, beliau juga pernah mewakili SBM ke NCBM dalam Jawatankuasa Perkhidmatan Perpustakaan dan Informasi. Kini mewakili SBM ke Jawatankuasa Eksekutif dan Council dalam NCBM. Suka juga dinyatakan di sini bahawa beliau jugalah orang yang bertanggungjawab dalam menghasilkan teks Braille bagi Kamus Dewan DBP yang sehingga kini masih diguna pakai sebagai rujukan oleh pembaca-pembaca Braille dan juga digunakan dalam perisian Duxbury bagi terjemahan Kod Braille Bahasa Melayu.
Di peringkat antarabangsa pula, beliau pernah mewakili SBM ke Toronto, Canada ke Perhimpunan Kesatuan Orang Buta Sedunia (WBU) pada bulan Oktober 1996. Pada tahun 2000, mengikuti rombongan Malaysia ke Negara Brunei Darussalam untuk menyertai Seminar Pekerjaan. Pada bulan Oktober 2002 pula, mewakili SBM bagi membentangkan "Country Report" ke Seminar Pekerjaan di Osaka, Jepun. Pada tahun 2004, mewakili Malaysia melalui "disable people with disabilities" ke seminar pekerjaan di Bangkok, Thailand atas tajaan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
Atas jasa, sumbangan dan perkhidmatan cemerlang yang telah diberikan, maka SBM dengan bangganya menganugerahkan "Anugerah Kualiti Cemerlang 2008" kepada beliau. Beliau yang dimaksudkan ialah Puan Maziah @ Jamilah Abu Bakar.
Kembali Ke ISI KANDUNGANMalang tidak berbau. Itulah nasib yang menimpa beliau. Dalam usia 9 tahun, tidak siapa sangka, keindahan penglihatan yang di kecapi selama ini hilang dalam sekelip mata akibat demam panas melampau yang menimpa. Namun beliau masih bernasib baik kerana berkesempatan untuk mendapat pendidikan setakat darjah tiga di sekolah biasa.
Selebihnya, beliau hanya menerima pendidikan tidak formal daripada keluarga sehingga pada suatu hari pada tahun 1963, dalam usia 18 tahun, beliau telah bertemu dengan seorang Pegawai JKM dan membantunya untuk diberi penempatan di Taman Harapan Temerloh, Pahang. Iaitu sebuah Pusat Latihan Bagi orang-orang Buta. Antara latihan yang diterima termasuklah latihan anyaman rotan kasar, pertanian dan menternak ayam. Beliau menamatkan latihan pada tahun 1965 setelah berada selama dua tahun di pusat latihan tersebut. Setelah pulang ke kampung halaman untuk meneruskan kehidupan beliau mula memanfaatkan ilmu yang dipelajari dengan membuat bakul di samping mengusahakan ternakan ayam dan perkebunan demi untuk berdikari.
Memandangkan bakatnya yang terserlah dalam bidang anyaman, pada tahun 1970 beliau sekali lagi memasuki Taman Harapan, Temerloh Pahang dan kemudian telah di hantar ke Seremban, Negeri Sembilan bagi mengikuti Kursus Anyaman Rotan halus selama 1 tahun 10 bulan.
Pada tahun 1972, belia kembali semula ke Pahang dan mendapat pekerjaan untuk menghasilkan barangan berasaskan rotan di bawah tajaan JKM. Pada masa yang sama, beliau juga merupakan tenaga pengajar dalam bidang tersebut kepada rakan-rakan senasib yang lain khususnya ahli-ahli SBM di Negeri Pahang. Hasilnya, ramai menjadikan bidang anyaman ini sebagai suatu punca pendapatan suatu masa dahulu. Akhirnya pada tahun 1989. beliau meninggalkan JKM kerana mendapat tawaran yang lebih baik.
Atas usaha gigih beliau, pada tahun 1991, pihak JKM telah memberi kemudahan bengkel untuk beliau dan 5 orang rakan kongsi mengusahakan bengkel bagi menghasilkan barangan berasaskan rotan. Kewujudan bengkel ini merupakan suatu lagi kejayaan yang boleh dibanggakan kerana pada masa yang sama telah memberi peluang pekerjaan dan pendapatan kepada beberapa keluarga cacat penglihatan. Setelah lebih 10 tahun, permintaan terhadap barangan rotan semakin merosot ekoran adanya persaingan dengan barangan plastik yang jauh lebih murah. Akhirnya pada pertengahan tahun 2005, bengkel tersebut terpaksa ditutup. Seterusnya, demi mencari sesuap nasi, beliau telah beralih kepada bidang urutan tradisional dan refleksologi sehingga sekarang.
Penglibatan beliau secara aktif dengan SBM bermula sejak tahun 1979 lagi. Beliau adalah antara orang yang bertanggungjawab merealisasikan penubuhan SBM Kawasan Pahang. Semenjak penubuhannya, beliau telah memegang pelbagai jawatan seperti pengerusi, naib pengerusi, bendahari, dan AJK kecuali jawatan setiausaha.
Dalam memperjuangkan cita-cita SBM dan kesejahteraan ahli-ahli SBM Pahang khususnya, serta golongan cacat penglihatan di negeri Pahang umumnya, beliau tidak kenal penat lelah sehingga mengabaikan kepentingan peribadi. Ini terbukti apabila beliau hanya mendapatkan pasangan hidupnya beberapa tahun yang lalu. Melalui SBM, berbagai-bagai projek dan usaha telah dilakukan seperti mendapatkan tanah, mendapatkan penempatan, mengusahakan projek penanaman dan penternakan serta lain-lain usaha pembangunan. Kerana usaha beliau jugalah SBM Cawangan Pahang sekarang mempunyai sebidang tanah yang masih belum dibangunkan. Hanya ahli-ahli SBM Pahang sahajalah yang lebih mengetahui segala-galanya berhubung dengan jasa dan bakti yang telah beliau curahkan selama ini.
Sehubungan itu, atas jasa, bakti dan perkhidmatan berkualiti yang telah beliau curahkan, maka dengan ini, Pertubuhan Orang-orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM) dengan ini menganugerahkan kepada beliau "Anugerah Kualiti Cemerlang SBM 2008". Beliau yang dimaksudkan ialah Encik Mansur bin Alias.
Kembali Ke ISI KANDUNGANOleh: Iran Shah Bin Ramatullah
hari pertama aku dihantar ke sini,
aku datang dengan segak,
dipakaikan kostium baru,
biarpun serba kekurangan,
namun telah diterapkan dengan semangat,
aku yang konvensional,
tidak tahu beramah mesra,
yang murung,
hina disisi insan.
namun,
bila kujejakkan telapak kaki disini,
aku mendapat sinar baru,
aku bertekat dan mengazamkan diri,
aku mesti berani,
aku juga seperti mereka,
kamu kena ingat ssetiap kekurangan nescaya ada pancaran hikmah,
jangan longlaikan pohon yang hendak meninggi,
jangan kendurkan ranting,
teguhkan sehingga ia teguh,
jadi,
mari mari,
lakarkan inspirasi,
lelapkan kefanaan,
asah gilap
dan,
semarakan dunia.
anggaplah kamu dia,
dia adalah kamu.
tiada benda yang kamil,
dia minum susu,
kamu minum susu,
dia makan nasi,
dorongan dan galakan,
panduan dan tunjuk ajar,
dari dia,
aku insan kerdil,
mendapat ilham,
tidak jangka akan berada di sini,
semuanya kerana dia,
dia mengajarku menekan butang 6,
mengajar masukan kertas,
sehinggalah aku kemari dengan tai,
baju berkolar biru, itulah guru
yang bergelar cikgu "kamu makan nasi".
Oleh: Zuraina Harris, Kuala Lumpur
Hujan masih belum reda. Aku termangu di jendela sambil memerhatikan rintik jernih hujan menitis dari cucur bumbung lalu jatuh berderai menitik di helaian daun pokok bunga halaman teratak nenek. Aku mengimbau kenangan lalu di mana aku masih jelas melihat keindahan dunia fana ciptaan Allah SWT. Alangkah indahnya jika aku dapat melihat seperti sedia kala.
Semasa di kolej, aku antara pelajar yang mempunyai mata yang tajam di mana aku boleh membaca tulisan cacing kerawit pensyarah dari barisan belakang lagi. Tetapi tidak lagi sekarang. Segalanya bermula ketika aku mula mengandungkan zuriat pertama.
Setelah selesai belajar aku ditawarkan bekerja di kota metropolitan ini di salah sebuah agensi kerajaan yang terkenal di seantero dunia. Setahun bekerja, aku ditawarkan bekerja di pejabat cawangan iaitu di Taiper, Taiwan. Setahun bertugas, aku telah menemui jodohku dengan orang dari negeri cik siti Wan Kembang. Suamiku juga mengikut aku ke sana. Tidak lama selepas itu, aku disahkan hamil. Pada bulan ketiga kehamilanku, terdapat tompok-tompok merah di seluruh mukaku. Antara gejala-gejala lain yang ada adalah seperti rambut gugur, bintik-bintik merah di tapak tangan dan demam yang berpanjangan. Ramai yang mengatakan ini alahan pembawa budak ataupun alahan mengandung.
Tregedinya terjadi pada suatu pagi di mana aku dan suamiku bangun awal pagi untuk menyediakan juadah rumah terbuka. Aku rasakan terdapat sesuatu berterbangan di dalam mataku. Kata suamiku, itu mungkin sebab bangun awal pagi. Tapi benda tersebut masih berterbangan pada hari berikutnya dan semakin merebak ke seluruh mata. Mulai hari itu, mataku sentiasa sakit yang teramat sangat dan kurasakan seperti mahu dicungkil biji mata itu. Hari ketiga makin terasa sakitnya lalu suamiku membawaku ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Menurut doktor, aku perlu berjumpa doktor pakar untuk rawatan seterusnya. Bila bertemu pakar, beliau menyatakan pemeriksaan selanjutnya perlu dilakukan dan aku dimasukkan ke wad. Seminggu di wad aku disahkan menghidap sejenis penyakit yang dikenali sebagai SLE (Sistemis Lupus Eritematosus).
Mulai dari tarikh itu, penglihatanku semakin kabur dan setelah dua bulan berlalu pandanganku sudah tidak boleh membaca lagi. Akibat dari itu, aku pun memohon untuk kembali ke Malaysia dan aku masih di dalam cuti sakit. Seepanjang cuti sakit itu, aku berada di kampungku di Pulau Pinang dan ibuku yang menjagaku. Sejak dari itu aku menjadi orang kurang upaya penglihatan dan aku dinasihatkan oleh doktor agar mendaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Hanya Allah sahaja yang tahu bagaimana hatiku dalam menghadapi ujian yang maha hebat ini. . Bayangkan selama 25 tahun celik tiba-tiba hilang penglihatan begitu sahaja. Kini aku tabah menghadapi hari-hari mendatang. Hidup harus diteruskan dan aku perlu kuat semangat untuk menempuh segala dugaan dari Yang Maha Esa. Aku dikurniakan seorang putera dan itulah satu-satunya cahaya mata dalam hidupku dan anakku juga tergolong dalam orang kurang upaya anggota. Kini aku mula mencari ketenangan melalui pelbagai aktiviti yang dianjurkan oleh Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM) di Brickfields agar aku tidak lagi menanti sinar yang kelam, tetapi sebaliknya berfikiran positif untuk menghadapi masa depan yang cerah.
Hujan di luar telah reda. Tiba-tiba aku terdengar suara melaung namaku. Nenekku rupanya mengajakku menjamah ubi rebus bersama air kopi kesukaannya. Aku bingkas bangun menuju ke dapur sambil mengesat setitik dua air jernih di pipiku.
Apa yang aku mampu sekarang hanya terus berdoa Di sini, aku masih mengharapkan agar suatu hari akan ada sinar yang menantiku sebagaimana yang aku fikirkan sekarang berkat soikongan dan khidmat bantu daripada SBM yang sentiasa bergerak aktif menolong para ahlinya di seluruh Malaysia termasuk diriku.
Kembali Ke ISI KANDUNGANOLEH: ROMAINUM BINTI ZAKARIA
Tubuhku yang lurus,
pasti mudah, senang untuk diurus.
warnaku yang putih,
adalah lambang hatiku yang bersih,
menzahirkan warna pada malam gelap yang sedih,
suatu simbolik untuk para pemandu yang letih,
perihal dirimu yang tidak berupaya bertatih.
Nun! jauh di atas angin aku datang,
menjunjung bersama amanatku yang panjang,
sedia berkhidmat agar kau tidak keseorangan di jalanan.
Kini! akulah temanmu nan sejati,
sudi memimpinmu agar lebih berhati-hati,
meredah belantara manusia penuh misteri,
mengharungi ombak pembangunan bergelombang ngeri,
berbekalkan doa agar "kau lambat mati".
Tak! tik! tak! tik! rentak irama langkahku berlagu,
mengheret langkahmu setapak demi setapak untuk maju,
tak! tik! tak! tik! hayunan langkahku terus menyanyi,
dengan berani menyapa rakanmu di kejauhan yang sepi.
tak! tik! tak! tik! hayunan langkahku mesra bergaya,
meniupkan nafas pada langkahmu yang goyah,
mudah-mudahan kau tidak tersembam berdarah.
Sekali-sekala, ingin juga aku menjadi senjata,
bisa dihunus menangkis malapetaka tak disangka,
agar kau pantang terbujur tanpa pembela.
Oleh itu layananilah daku dengan penuh rasa kasih,
biarpun kau dipaksa berkaki tiga diusia remaja,
langkah hidupmu pasti terbela,
ikhlas dariku, sebatang tongkat putih.
Oleh Fazilah Binti Aziz
Sejak aku berusia lima tahun, ayah dan ibuku telah meninggal dunia akibat ditembak oleh sekumpulan penjahat yang merompak rumah kami. Aku yang berpenglihatan terhad telah dijaga oleh ibu dan bapa saudara di kampung. Aku memulakan persekolahan di Program Integrasi Pendidikan Khas Sekolah Kebangsaan Ayer Batu, Bukit Rambai, Melaka. Setiap kali bila pulang dari sekolah, pak cik akan datang menjemputku dengan motosikal tuanya. Bila sampai di rumah, selepas makan tengah hari seperti biasa mak cik akan menyuruh aku membantu pak cik, menjemur getah-getah yang telah dimesin pagi tadi. Setelah selesai membuat kerja tersebut, aku mengulangkaji pelajaran di serambi rumah.
"Aim!" tiba-tiba mak cik menjerit memanggil aku. "Mari sini, kau jangan nak duduk adap buku saja, tolong sapu sampah di laman tu".
"Baik mak cik" Aku terus melakukan seperti apa yang disuruh.
"Awak ni buat anak kita macam hamba". Aku terdengar suara pak cik membela aku.
"Awak diam. Saya tahu apa yang saya buat. Dia ingat dia duduk rumah ni nak makan tanggung aja", bentak mak cik.
"Dah lah tu dia-kan masih budak lagi" jawab pak cik. Aku tahu pak cik seorang yang lembut. Dia tidak suka melawan kata-kata mak cik dengan kekerasan. Nanti jadi gaduh besar. Pak cik memang dah masak dengan kerenah mak cik yang bengis itu. Aku rasakan masa itu ibarat pak cik berdepan dengan singa lapar. Sejak kejadian itu aku sentiasa, Melakukan kerja-kerja rumah mengikut perintah mak cik. Aku tidak mahu lagi pak cik dipersalahkan. Seperti biasa pak cik menghantar aku ke sekolah dengan motosikalnya. Pada satu pagi dalam perjalanan menghantar aku ke sekolah, tiba-tiba kami berdua mendapat kemalangan. Sebuah kereta datang dari arah hadapan telah melanggar kami. Aku tercampak ke tepi jalanraya. Aku rasakan seperti mimpi. Aku ternampak pak cik turut tersungkur di tengah jalanraya. Orang ramai yang lalu lalang datang menolong kami.
Kami berdua dihantar ke hospital dengan kereta oleh salah seorang pengguna jalanraya yang berada di tempat kejadian. Sampai di hospital doktor memberitahu kecederaan yang ku alami tidak teruk sangat. tapi pak cik mengalami kecederaan parah di bahagian pinggang dan kaki. Anggota badannya di sebelah bawah telah lumpuh. Aku sangat terharu mendengar berita tersebut. Dalam ingatan ku terbayang penderitaan yang akan dihadapi oleh pak cik. Apatah lagi dengan perangai mak cik yang sering memarahi pak cik. Setelah kami pulang Dari hospital mak cik mula menunjukkan kebenciannya yang teramat sangat, Dia menjaga pak cik dengan tiada sikap belas kasihan.
Setiap kali bila hendak memandikan pak cik, mak cik akan mengheretnya seperti binatang. Alangkah pilunya hati ini bila mengetahui pak cik yang ku sayang dibuat begitu. Ya Allah apakah dosanya, adakah itu merupakan dugaan untuknya. Aku cuma melihat dengan linangan air mata. Aku tidak berdaya untuk menolong. kerana mak cik tidak mahu aku mencampuri urusannya. Kadang-kadang bila mak cik sibuk di dapur, aku cuba menghampiri pak cik dan mengusap kepalanya. Pak cik cuma memandang wajahku dengan perasaan sayu. Sesekali air matanya membasahi pipi. Dia tidak dapat berkata apa-apa. Sejak kemalangan tempuh hari dia tidak boleh bercakap. bila aku memegang badan dan tubuhnya dia mengerang kesakitan. aku membisikkan ke telinganya sambil berkata "sabarlah pak cik". Mulutnya bergerak-gerak seolah-olah ingin menyatakan sesuatu. Aku cuba memalingkan badannya ke arah lain agar dia merasa selesa. tiba-tiba aku terpegang kesan lebam dan calar di bahagian punggung pak cik. Baru aku mengerti selama ini mak cik mencuci najis pak cik dengan menggunakan benda kasar. Betapa terharunya aku melihat keadaan pak cik yang lemah itu. Sungguh aku tidak menyangka perangai mak cik yang bengis iaitu masih tidak berubah. Tiada sedikit pun rasa simpatinya terhadap suaminya yang sedang uzur. dengan linangan air mata aku mengucup pipi pak cik yang berkerut. Selang beberapa bulan kemudian, penyakit pak cik bertambah tenat. Suatu hari keadaan pak cik mula menampakkan tanda-tanda dia semakin nazak,lalu aku menghampirinya dan memegang erat tubuhnya.
"Mak cik" Aku menjerit sekuat hati.
"pak cik sakit, cepatlah mak cik". Mak cik pun bergegas datang, dia cuma memerhatikan apa yang berlaku.
"Aim, kau pergi beritahu bilal suruh beli kain kapan orang tua ni dah nak mati".
Aku terkejut dengan kata-kata itu. Lalu aku menjawab, "mak cik tak baik kata begitu kan pak cik belum mati lagi. cubalah mak cik minta ampun darinya. dan ajarkan pak cik mengucap".<;p>
"Kau diam. Aku tahu apa yang aku buat". lalu mak cik beredar dari situ. Mak cik turun dari rumah untuk memanggil orang kampung. Dengan kesedihan yang amat sangat, aku membacakan Kalimah Syahadat ke telinga pak cik. Dia mengerak-gerakan bibirnya. Lalu pak cik pun menghembuskan nafasnya yang terakhir di depan mata aku. Kini pak cik yang aku sayang telah pergi buat selamanya. Mak cik kembali dengan beberapa orang kampung bagi menguruskan jenazah pak cik. Setelah selesai pengebumian jenazah pak cik aku kembali ke rumah. Aku dapati mak cik sedang meraung di muka pintu sambil menghantukkan kepalanya ke dinding. Dia seolah-olah kesal di atas segala perbuatannya yang lalu. Barulah mak cik terasa sunyi dengan ketiadaan pak cik. Sejak kejadian itu mak cik tidak lagi mengulangi perangai bengisnya terhadap aku. Mulai peristiwa itu mak cik telah banyak berubah. Dia telah benar-benar bertaubat di atas kesalahannya yang lalu. Motosikal arwah pak cik yang telah rosak kini menjadi kenangan buat kami berdua. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya Dan dia ditempatkan di dalam golongan orang-orang yang soleh. AMIN.
Kembali Ke ISI KANDUNGANDipetik Dari Laman Web http://mannster.wordpress.com/2008/05/10/ bagi-balik-tangan-ita-citer-sedey-ni/
Abah, bagi balik tangan Ita...
Sepasang suami isteri, seperti pasangan lain di kota-kota besar meninggalkan anak-anak diasuh pembantu rumah semasa keluar bekerja. Anak tunggal pasangan ini, perempuan berusia tiga setengah tahun. Bersendirian di rumah. Dia kerap dibiarkan pembantunya yang sibuk bekerja bermain di luar, tetapi pintu pagar tetap dikunci. Bermainlah dia sama ada berbuai-buai di atas buaian yang dibeli bapanya, ataupun memetik bunga raya, bunga kertas dan lain-lain di laman rumahnya. Suatu hari dia terjumpa sebatang paku karat. Dia pun melakar simen tempat letak kereta ayahnya tetapi kerana diperbuat daripada marmar, lakaran tidak kelihatan. Dicubanya pada kereta baru ayahnya. Ya… kerana kereta itu bewarna gelap, lakarannya jelas.
Apa lagi kanak-kanak ini pun melakarlah melahirkan kreativitinya. Hari itu bapa dan ibunya bermotosikal ke tempat kerja kerana laluannya sesak sempena perayaan Thaipusam. Penuh sebelah kanan dia beredar ke sebelah kiri kereta. Dilakarnya gambar ibu dan ayahnya, gambarnya sendiri, lukisan ayam, kucing dan sebagainya mengikut imaginasinya. Kejadian itu langsung tak disedari si pembantu rumah.
Pulang petang itu, terkejut badaklah pasangan itu melihat kereta yang baru setahun dibeli dengan bayaran ansuran, berbatik-batik. Si bapa yang belum pun masuk ke rumah terus menjerit, "Siapa punya kerja ni?" Pembantu rumah yang tersentak dengan jeritan itu berlari keluar. Dia juga beristighfar. Mukanya merah padam ketakutan tambah-tambah melihat wajah bengis tuannya. Sekali lagi diajukan pertanyaan keras kepadanya, dia terus mengatakan "Tak tahu… !" "Duduk di rumah sepanjang hari tak tahu, apa kau buat?" herdik si isteri lagi. Si anak yang mendengar suara ayahnya, tiba-tiba berlari keluar dari bilik. Dengan penuh manja dia berkata "Ita buat ayahhh. cantik kan ?!" katanya menerkam ayahnya ingin bermanja seperti selalu.
Si ayah yang hilang sabar merentap ranting kecil pokok bunga raya di depannya, terus dipukul bertalu-talu tapak tangan anaknya. Si anak yang tak mengerti apa-apa terlolong-lolong dan menangis kesakitan sekaligus ketakutan. Puas memukul tapak tangan, si ayah memukul pula belakang tangan anaknya. Si ibu cuma mendiamkan diri, mungkin setuju dan berasa puas dengan hukuman yang dikenakan. Pembantu rumah melopong, tak tahu nak buat apa-apa. Si bapa cukup rakus memukul-mukul tangan kanan dan kemudian tangan kiri anaknya. Selepas si bapa masuk ke rumah dituruti si ibu, pembantu rumah menggendong anak kecil itu, membawanya ke bilik.
Dilihatnya tapak tangan dan belakang tangan si anak kecil calar balar. Pembantu rumah memandikan anak kecil itu. Sambil menyiram air sambil dia menangis. Anak kecil itu pula terjerit-jerit menahan kepedihan sebaik calar-balar itu terkena air. Si pembantu rumah kemudian menidurkan anak kecil itu. Si bapa sengaja membiarkan anak itu tidur bersama pembantu rumah.
Keesokkan harinya, kedua-dua belah tangan si anak bengkak. Pembantu rumah mengadu. "Sapukan minyak gamat tu!" balas tuannya, bapa si anak. Pulang dari kerja, dia tidak melayan anak kecil itu yang menghabiskan masa di bilik pembantu. Si bapa konon mahu mengajar anaknya. Tiga hari berlalu, si ayah langsung tidak menjenguk anaknya sementara si ibu juga begitu tetapi setiap hari bertanya kepada pembantu rumah.
"Ita demam… " jawap pembantunya ringkas.
"Bagi minum panadol tu," balas si ibu. Sebelum si ibu masuk bilik tidur dia menjenguk bilik pembantunya. Apabila dilihat anaknya Ita dalam pelukan pembantu rumah, dia menutup semula pintu. Masuk hari keempat, pembantu rumah memberitahu tuannya bahawa suhu badan Ita terlalu panas. "Petang nanti kita bawa ke klinik. Pukul 5.00 siap" kata majikannya itu.
Sampai waktunya si anak yang longlai dibawa ke klinik. Doktor mengarahnya ia dirujuk ke hospital kerana keadaannya serius. Setelah seminggu di wad pediatrik doktor memanggil bapa dan ibu kanak-kanak itu. "Tiada pilihan." katanya yang mencadangkan agar kedua-dua tangan kanak-kanak itu dipotong kerana gangren yang terjadi sedah terlalu teruk.
"Ia sudah bernanah, demi nyawanya kedua-dua tangannya perlu dipotong dari siku ke bawah" kata doktor. Si bapa dan ibu bagaikan terkena halilintar mendengar kata-kata itu. Terasa diri tunggang terbalik, tapi apalah dapat dikatakan. Si ibu meraung merangkul si anak. Dengan berat hati dan lelehan air mata isterinya, si bapa terketar-ketar madandatangani surat kebenaran pembedahan selepas diberi penerangan terperinci tentang keadaan sebenar anaknya. Keluar dari bilik pembedahan, selepas ubat bius yang dikenakan habis, si anak menangis kesakitan. Dia juga terpinga-pinga melihat kedua-dua tangannya berbalut putih. Direnung muka ayah dan ibunya. Kemudian ke wajah pembantu rumah. Dia mengerutkan dahi melihat mereka semua menangis. Dalam seksaan menahan sakit, si anak yang keletah bersuara dalam linangan air mata.
"Abah.. Mama… Ita tak buat lagi. Ita tak mau ayah pukul. Ita tak mau jahat. Ita sayang abah.. sayang mama." katanya berulang kali membuatkan si ibu gagal menahan rasa. "Ita juga sayang Kak Narti.." katanya memandang wajah pembantu rumah, sekaligus membuatkan gadis dari Surabaya itu meraung seperti histeria.
"Abah.. bagilah balik tangan Ita. Buat apa ambil.. Ita janji tak buat lagi! Ita nak makan macam mana? Nak main macam mana? Ita janji tak conteng kereta lagi," katanya bertalu-talu. Bagaikan gugur jantung si ibu mendengar kata-kata anaknya. Meraung dia sekuat hati namun takdir yang sudah terjadi, tiada manusia dapat menahannya.
Kembali Ke ISI KANDUNGANENCIK MAH HASSAN BIN HJ. OMAR
Presiden
Pengerusi Jawatankuasa Penasihat & Pengurusan Pelaburan
Pengerusi Lembaga Tabung Pembangunan Usahawan SBM
PUAN MAZIAH BTE ABU BAKAR
Naib Presiden
Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita & Sosial
TUAN HAJI MOHAMMED NAZARI BIN HJ OTHMAN
Setiausaha Agung
Pengerusi Jawatankuasa Kewangan
PUAN JASMINE KHOO
Bendahari Kehormat SBM
ENCIK ABDUL KHADIR BIN HJ. OSMAN
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan
ENCIK ROSHAM BIN SIDEK
Pengerusi Jawatankuasa Belia & Sukan
ENCIK MOHD FEKKERI BIN MAT JUSOH
Pengerusi Jawatankuasa Pekerjaan & Pembangunan Komputer
ENCIK MAZNAN BIN MOHD ZAIN
Pengerusi Jawatankuasa Informasi & Kemudahan Awam
ENCIK MOHAMED (ZAKI) BIN ISMAIL PJK
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan & Latihan Kepimpinan
Pengerusi Lembaga Penyunting Majalah Wawasan Orang Cacat Penglihatan
ENCIK MOHD GHAZALI BIN TOCHEH
Pengerusi SBM Cawangan KL/Selangor
ENCIK MAOH ANAK JANTING
Pengerusi SBM Cawangan Sarawak
ENCIK MOHAMMAD ABDUL NASIR BIN MALEK
Pemangku Pengerusi SBM Cawangan Terengganu
ENCIK TAN AH BAH
Pengerusi SBM Cawangan Pulau Pinang
TUAN HAJI MOHD SAIDI BIN HARUN
Pengerusi SBM Cawangan Perak
ENCIK MAT DARUS BIN SULAIMAN
Pengerusi SBM Cawangan Kelantan
ENCIK HARUN BIN AWANG NGAH
Pengerusi SBM Cawangan Pahang
ENCIK KHUSAINI BIN SAIMON
Pengerusi SBM Kawasan Johor
ENCIK AIZROL ALFAZ BIN ABDULLAH
Pengerusi SBM Kawasan Negeri Sembilan
ENCIK RAZALI BIN SUDIN
Pengerusi SBM Kawasan Melaka
ENCIK MUSA BIN ABD RAHMAN
Pengerusi SBM Kawasan Kedah
PERTUBUHAN ORANG CACAT PENGLIHATAN MALAYSIA
CAWANGAN PULAU PINANG
29 Lorong Inang Dua
Taman Bunga Raya, Jalan Baru
14000 Bukit Mertajam
Pulau Pinang
Tel./Fax: 04 - 3971649
E-mail: sbmpg@streamyx.com
PERTUBUHAN ORANG CACAT PENGLIHATAN MALAYSIA
CAWANGAN KL/SELANGOR
123A Jalan Sultan Abdul Samad
50470 Kuala Lumpur.
Tel./Fax: 03 - 22742794
PERTUBUHAN ORANG CACAT PENGLIHATAN MALAYSIA
CAWANGAN PAHANG
G46G Jalan Mentakab, Kg. Batu 1
28000 Temerloh
Pahang Darul Makmor
Tel./Fax: 09 - 2964197
E-mail: sbmphg@tm.net.my
PERTUBUHAN ORANG CACAT PENGLIHATAN MALAYSIA
CAWANGAN SARAWAK
Lot 7887 Sublot 61
Tingkat 2. Blok A Queen Court
Jalan Wan Alwi
93350 Kuching,
Sarawak.
Tel./Fax: 082 - 571486
E-mail: pocpm@tm.net.my
PERTUBUHAN ORANG CACAT PENGLIHATAN MALAYSIA
CAWANGAN TERENGGANU
Wisma Promacatera
Lot PT 5970, Kg. Teluk Ketapang
Seberang Takir
21300 Kuala Terengganu
Terengganu Darul Iman
Tel./Fax: 09 - 6661320
E-mail: hbmtrgnu@streamyx.com
PERTUBUHAN ORANG CACAT PENGLIHATAN MALAYSIA
CAWANGAN KELANTAN
Jalan Bekelam
16070 Jelawat
Kelantan Darul Naim
Tel.: 09 - 7780741
Fax: 09-7780861
E-mail: sbmkltan@tm.net.my
PERTUBUHAN ORANG CACAT PENGLIHATAN MALAYSIA
CAWANGAN PERAK
No. 22B & C, Jalan Medan Kidd
30200 Ipoh
Perak Darul Ridzuan
Tel.: 05 - 2533029
Fax: 05-2535197
E-mail: sbmcawpk@tm.net.my
PERTUBUHAN ORANG CACAT PENGLIHATAN MALAYSIA
KAWASAN JOHOR
24A Jalan Meranti 2
Taman Sri Pulai
81110 Kangkar Pulai,
Johor Darul Takzim
Tel./Fax: 07 - 5211635
PERTUBUHAN ORANG CACAT PENGLIHATAN MALAYSIA
KAWASAN NEGERI SEMBILAN
56-1/F Jalan Toman 4
Kemayan Square
70200 Seremban
Negeri Sembilan Darul Khusus
Tel./Fax: 06 - 7628548
PERTUBUHAN ORANG CACAT PENGLIHATAN MALAYSIA
KAWASAN KEDAH
No. 221A Kompleks Shahab Perdana,
Jalan Shahab 4,
Off Jalan Sultanah Sambungan
05150 Alor Star, Kedah Darul Aman
Tel./Fax: 04 - 7302568
PERTUBUHAN ORANG CACAT PENGLIHATAN MALAYSIA
KAWASAN MELAKA
No. 35-D-1 Jalan Kenanga 3/25
Taman Kenanga Sek 3
75200 Kampung Lapan, Bachang
Melaka.
Tel./Fax: 06 - 2828710
Dicetak Oleh:Meteor Doc. Sdn. Bhd.
Lot 47-48 Jalan SR 1/9
Seksyen 9 Jalan Serdang Raya
Taman Serdang Raya
43300 Seri Kembangan, Selangor.