WAWASAN ORANG CACAT PENGLIHATAN

(Majalah Rasmi SBM)

Diterbitkan tiga kali setahun

Mei - Ogos 2007

NO. Permit KDN 10066/9/2008

Presiden: Mah Hassan bin Hj. Omar

Penyunting: Mohd Fekkeri bin Mat Jusoh

Logo SBM

Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia
(Society of the Blind in Malaysia)
40A, Jalan Padang Belia, 50470 KUALA LUMPUR
Telefon: 03 - 22746162
Faks: 03 - 22743818
E-Mail: admin@sbm.org.my

ISI KANDUNGAN

Ahli-ahli Lembaga Penyunting

Sokonglah Perjuangan Kami

Dari Meja Penyunting

Aktiviti SBM:-
Kursus Pengeluaran Buku Bersuara Daisy Oleh: Taslim bin Kosni, Pengerusi JIKA SBM
Aktiviti SBM Cawangan Terengganu Oleh: Mohamed bin Ismail PJK, Pengerusi
Aktiviti SBM Cawangan Kelantan Oleh: Mat Darus bin Sulaiman, Pengerusi
Aktiviti SBM Cawangan Sarawak Oleh: Untam Ak Buah, Pengerusi JSR SBM Cawangan Sarawak
Aktiviti SBM Cawangan Pahang Oleh: Harun Awang Ngah, Pengerusi

Fokus:-
Implikasi Kehilangan Penglihatan Terhadap Seseorang Kanak-kanak Oleh: Khairuddin bin Wahab, UKM, Bangi
Guru Pendidikan Khas Memerlukan Minat dan Kesabaran Oleh: Saifuddin bin Mohamad PPN

Forum:-
Masalah Kekurangan Buku Teks dan Bahan Rujukan Untuk Pelajar Cacat Penglihatan, Bagaimana SBM Dapat Membantu? Oleh: Saifuddin bin Mohamad PPN

Berita IT:-
Mengekalkan Warna Pilihan dan Reka Bentuk Paparan Komputer Mengikut Cita rasa Sendiri Oleh: Mohd Fekkeri bin Mat Jusoh
Pentingnya Mengetahui No Siri Telefon Bimbit Oleh: Mohd Hisham Hashim, Pulau Pinang

Berita dan Peristiwa:-
Kursus Pengucapan Awam dan Protokol Oleh: Mohamed (Zaki) bin Ismail PJK, Pengerusi JPLK

Bersama Ahli SBM:-
Bakhri, Usahawan OKU Penglihatan Yang Berjaya Oleh: Mohd. Nazri bin Nawi
Penubuhan Tabung Pembangunan Usahawan SBM

Sudut Karya:-
Cerpen -Sekeping Papan, Pembaris Besi dan Paku Oleh: Yong Chwan Fwu, Kuching, Sarawak
Sajak - Gadisku Oleh: Raihan binti Makhtar, Kelantan.
Sajak - Ada Udang di Sebalik Batu Oleh: Yong Chwan Fwu, Kuching, Sarawak

Cermin Mutiara:-
Kera Dengan Tukang Gunting

Senarai Ahli Majlis Presiden SBM Bagi Penggal Jun 2006 Hingga Jun 2008

Alamat Pejabat Cawangan dan Kawasan SBM

LEMBAGA PENYUNTING

Pengerusi - Encik Mohamed (Zaki) bin Ismail PJK, Pengerusi JPLK

Kembali ke ISI KANDUNGAN

SOKONGLAH PERJUANGAN KAMI

Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM) adalah sebuah organisasi sukarela kebangsaan yang ditubuhkan dan diterajui sendiri oleh warga cacat penglihatan yang mencakupi semua bangsa dan pelbagai lapisan masyarakat.

Objektif pertubuhan adalah untuk meningkatkan taraf kedudukan sosioekonomi orang cacat penglihatan di negara ini serta membimbing mereka supaya menjadi warganegara Malaysia yang berguna dan produktif.

Untuk mencapai matlamat tersebut, kami memerlukan bantuan kewangan yang banyak bagi menampung segala kos yang berhubung dengan pentadbiran, pemberian bantuan, penganjuran pelbagai kegiatan dan aktiviti yang dijalankan di peringkat kebangsaan dan menerusi cawangan-cawangan persatuan ini yang terdapat hampir di setiap negeri di Malaysia.

Semua sumbangan kewangan dalam bentuk cek hendaklah ditulis atas nama Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia dan dihantar ke alamat yang berikut:-
Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia
(Society of the Blind in Malaysia)
40A, Jalan Padang Belia, 50470 KUALA LUMPUR
Telefon: 03 - 22746162
Faks: 03 - 22743818
E-Mail: admin@sbm.org.my

Kembali ke ISI KANDUNGAN

DARI MEJA PENYUNTING

Salam sejahtera.

Majalah Wawasan Orang Cacat Penglihatan Isu Mei - Ogos 2007 merupakan keluaran kedua bagi tahun ini. Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pembaca Majalah Wawasan Orang Cacat Penglihatan kerana majalah ini tidak akan diterbitkan tanpa adanya permintaan daripada para pembaca. Terima kasih juga kepada semua penjawat-penjawat SBM sama ada di peringkat pusat mahupun di peringkat Cawangan dan Kawasan serta semua warga kerja SBM kerana sokongan dan kerjasama yang telah diberikan. Tanpa sokongan dan dorongan semua pihak, pasti Majalah Wawasan isu kali ini mustahil untuk direalisasikan.

Setelah berjaya menerbitkan beberapa isu sebelum ini, kita menjadi semakin matang dan yakin akan tahap kualiti yang dipersembahkan. Jika pada mulanya kita merasakan penerbitan ini sebagai sesuatu yang kurang bermakna masa telah memberi peluang kepada kita untuk menjadikan ia sebahagian dari diri kita. Penerbitan ini yang dahulunya cuma dipandang sebagai suatu kehendak kini mula menjadi suatu keperluan dan kita menjadi semakin sebati dengannya.

Kami sentiasa inginkan yang terbaik untuk dipersembahkan. Justeru, kami akan terus melaporkan berita, peristiwa dan perkembangan terkini yang ada hubung kaitnya dengan OKU penglihatan amnya dan Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM) khususnya yang telah menganjurkan pelbagai program, aktiviti dan projek bagi faedah ahli-ahlinya. Namun memandangkan ruangan yang terhad, maka hanya sebahagian daripada program dan aktiviti yang dijalankan dapat kami laporkan.

Majalah Wawasan diterbitkan antara lain bertujuan untuk memberi ruangan dan sebagai medan pencetus idea para penulis. Sehubungan dengan itu, jika anda mempunyai sebarang maklumat, cadangan dan artikel untuk dikongsi bersama, sila e-mailkan artikel tersebut kepada admin@sbm.org.my Yang pasti, setiap bahan yang terpilih untuk diterbitkan akan menerima bayaran sewajarnya.

Atas kesedaran itulah, sidang editor Majalah Wawasan Orang Cacat Penglihatan begitu komited dalam usaha merealisasikan penerbitan majalah berkala ini. Semoga usaha ini dapat menjadi tatapan kita bersama di kemudian hari. Ia adalah sebuah kenangan dan sumber rujukan.

Terima kasih atas sokongan yang berterusan.

"BERSATU MEMBAWA KEJAYAAN"

Kembali ke ISI KANDUNGAN

AKTIVITI SBM

Kursus Pengeluaran Buku Bersuara Daisy

Oleh: Taslim bin Kosni, Pengerusi JIKA SBM

Pada 20 hingga 22 Ogos 2007, Jawatankuasa Informasi dan Kesedaran Awam (JIKA) SBM telah mengadakan Kursus pengeluaran buku bersuara Daisy, bertempat di Bilik Mesyuarat, Majlis Kebangsaan Bagi Orang Buta Malaysia (NCBM, No. 94B, Jalan Tun Sambanthan, Brickfields, Kuala Lumpur.

Kursus selama dua hari ini telah dikendalikan sepenuhnya oleh dua orang tenaga pengajar yang pakar dalam bidang tersebut iaitu Encik Moses Choo dari NCBM dan Miss Chok Siew Lee dari SBM. Bagi mendapatkan pemahaman yang maksimum, hanya lima orang peserta sahaja dipilih untuk menyertai kursus ini yang semuanya terdiri daripada ahli-ahli SBM.

Daisy merupakan perisian yang membolehkan buku dibina dalam bentuk audio dan mempunyai kemudahan penanda bacaan yang membolehkan pengguna mencari mengikut halaman, tajuk/bab atau bahagian. Buku yang dihasilkan boleh diterbitkan juga dalam bentuk teks dan audio. Perisian yang digunakan ialah My StudioPC dan Perisian AMIS.

Kursus ini diadakan bagi menyediakan ahli-ahli SBM yang akan membantu SBM menyediakan buku bersuara apabila bilik kedap bunyi yang dirancang pembinaannya di Ibu Pejabat SBM siap kelak. Selain daripada itu, SBM juga merancang membeli dua buah komputer untuk tujuan pembinaan Buku Daisy ini.

Pembinaan Buku Daisy dijangka akan dapat menambahkan lagi bahan bacaan bagi golongan OKU Penglihatan kerana penyediaan Buku Daisy jauh lebih cepat dan sangat menjimatkan banyak kos jika dibandingkan dengan menyediakan bahan bacaan dalam bentuk cetakan braille. Selain daripada itu, ia juga dijangka dapat membantu dalam menyediakan Buku Teks kepada pelajar-pelajar OKU Penglihatan di sekolah rendah dan menengah pada masa yang diperlukan.

Sebenarnya, di negara-negara maju seperti Unaited Kingdom dan Unaited States, bahan bacaan Daisy telah digunakan dengan meluas. Sehubungan dengan itu, semua pihak yang berkemampuan diseru untuk membantu dengan apa cara sekalipun dalam merealisasikan cita-cita dan hasrat murni SBM ini.

Kembali ke ISI KANDUNGAN

Aktiviti SBM Cawangan Terengganu

Oleh: Mohamed bin Ismail PJK, Pengerusi

Lawatan Ke Pulau Langkawi

Jawatankuasa Belia dan Sukan SBM Cawangan Terengganu telah menganjurkan lawatan ke Pulau Langkawi pada 26 hingga 28 Mei 2007 (Sabtu hingga Isnin), yang telah disertai oleh 40 orang ahli SBM Cawangan Terengganu serta keluarga.

Rombongan telah bertolak dari pejabat SBM Cawangan Terengganu pada 25 Mei 2007, jam 9.00 malam. Setelah menempuh perjalanan yang memakan masa lebih kurang 11 jam, kami selamat tiba di Jeti Kuala Perlis jam 8.20 pagi, pada 26 Mei 2007.

Atas sebab pengurusan yang tidak profesional, peserta rombongan terpaksa menunggu sekian lama disebabkan masalah teknikal, di mana tiket feri yang telah ditempah awal untuk perjalanan jam 9.00 pagi telah ditunda hingga jam 11.30 pagi. Setelah perjalanan dengan feri yang mengambil masa selama satu setengah jam, kami akhirnya sampai jua ke destinasi yang dituju dan seterusnya di bawa ke tempat penginapan iaitu di Pulau Motel, pada jam 1.00 petang. Setelah membersihkan diri dan berehat seketika, rata-rata peserta rombongan telah mengambil kesempatan untuk membeli belah di Pekan Kuah hingga lewat malam.

Pada hari kedua kami di Langkawi, iaitu pada hari Ahad, 27 Mei 2007, dengan menggunakan perkhidmatan bas sewa khas, kami telah di bawah ke beberapa tempat seperti ke kilang gamat, Under Water World, Makam Mahsuri, Padang Matsirat dan Kereta Kabel. Walau bagaimanapun, ahli-ahli sedikit terkilan kerana tidak dapat menaiki kereta kabel kerana bilangan peserta rombongan yang lain terlalu ramai, dan masa yang tidak mengizinkan.

Di sebelah malam, tiada acara khusus yang disediakan oleh pihak penganjur. Justeru ramai daripada peserta rombongan telah mengambil kesempatan untuk berkunjung ke rumah saudara-mara masing-masing yang berada di Langkawi dan ada juga yang keluar membeli-belah atau berehat di tempat penginapan sahaja.

Setelah berada selama dua hari di Langkawi, pada hari berikutnya, lebih kurang jam 11.00 pagi, kami telah meninggalkan tempat penginapan untuk ke Jeti bagi menaiki feri untuk meneruskan perjalanan meninggalkan Langkawi. Kami merasa gembira kerana perjalanan balik tidak mengalami sebarang masalah dan pihak kastam telah memberi keistimewaan kepada kami dengan tidak mengenakan sebarang cukai ke atas barangan yang telah kami beli.

Sampai di Jeti lebih kurang jam 2,00 petang, bas telah sedia menunggu untuk membawa peserta rombongan ke Padang Besar. Perjalanan ke Padang Besar hanya mengambil masa satu jam sahaja. Memandangkan masa yang terhad, kami hanya meluangkan masa selama 2 jam untuk membeli-belah dan bersiar-siar di pekan Padang Besar.

Tepat jam 5.15 Petang, kami telah bertolak pulang ke Kuala Terengganu, dan tiba semula dengan selamat di Pejabat SBM Cawangan Terengganu pada jam 4.00 pagi. Sesungguhnya kami berasa amat bertuah menjadi ahli SBM kerana dengan menyertai SBM pelbagai aktiviti yang dapat kami sertai yang mana mungkin tidak berpeluang untuk disertai oleh orang normal yang lain.

Lawatan Ke Pengkalan Kubor dan Rantau Panjang

SBM Cawangan Terengganu telah berjaya menganjurkan satu program tahunan iaitu lawatan sehari ke Pengkalan Kubor dan Rantau Panjang pada hari Jumaat, 27 Julai 2007.

Sebelum bertolak pada jam 9.40 pagi, peserta rombongan telah disediakan dengan sarapan pagi di Pejabat SBM Cawangan Terengganu. Selepas empat jam perjalanan tanpa henti, akhirnya kami sampai ke Pangkalan Kubor lebih kurang jam 1.00 tengah hari. Peserta rombongan telah diberi masa selama dua jam untuk melawat sekitar pekan Pengkalan Kubor dan membeli-belah.

Tanpa banyak masalah, selepas dua jam menghabiskan masa di Pekan Pangkalan Kubur, semua peserta rombongan telah kembali menaiki bas dan meneruskan perjalanan ke pekan Rantau Panjang. Perjalanan ke pekan Rantau Panjang hanya mengambil masa selama hampir satu jam. Memandangkan masa sudah lewat petang, kami tidak mempunyai banyak masa untuk bersiar-siar dan membeli belah di pekan Rantau Panjang.

Oleh kerana Rantau Panjang ini lebih luas kawasannya, ahli-ahli diberi masa sehingga jam 6.30 petang untuk membeli belah. Di sini terdapat berbagai gerai jualan seperti pakaian, peralatan rumah, perhiasan rumah, kasut, beg serta berbagai lagi. Ahli-ahli telah berpecah mengikut kumpulan masing-masing. Setiap kumpulan disediakan dengan seorang ahli bersekutu bertindak sebagai pembantu.

Sedang sibuk membeli-belah, tiba-tiba angin bertiup kencang diikuti dengan hujan lebat. Ramai di antara peniaga telah menutup kedai dengan lebih awal. Ada juga di antara ahli-ahli telah terperangkap di dalam ribut dan hujan.

Walau bagaimana pun, selepas lebih kurang setengah jam terperangkap, hujan dan ribut makin reda dan ahli-ahli dapat kembali ke bas. Lebih kurang jam 6.40 petang, kami bertolak pulang, dan sampai ke SBM Cawangan Terengganu dengan selamat pada jam 10.00 malam.

Selain daripada dapat mengenali dengan lebih dekat lagi tempat orang, penganjuran lawatan ini juga memberi manfaat kepada peserta rombongan menimba pengalaman tentang pelbagai barangan yang boleh diniagakan yang kebanyakannya adalah hasil usaha individu dan industri kecil yang boleh juga boleh diusahakan sendiri oleh ahli-ahli SBM sebagai menambahkan sumber pendapatan.

Kembali ke ISI KANDUNGAN

Aktiviti SBM Cawangan Kelantan

Oleh: Mat Darus bin Sulaiman, Pengerusi

Karnival Sukan.

Sukan merupakan satu acara tahunan yang dianjurkan oleh SBM Cawangan Kelantan. Ia bertujuan melahirkan ahli-ahli yang berbakat dalam bidang tersebut. Pada 16, 17 & 18 Jun 2007, SBM Cawangan Kelantan telah mengadakan karnival sukan khusus untuk ahli dan anak-anak ahli bertempat di SBM Cawangan Kelantan. Karnival sukan kali ini dibahagikan kepada dua kategori, iaitu sukaneka dan pingpong.

Pada hari pertama iaitu 16 Jun 2007, ramai ahli dan anak ahli yang hadir memeriahkan dan mengambil bahagian dalam pertandingan sukaneka yang diadakan. Seramai lebih kurang 70 orang ahli termasuk anak ahli telah hadir pada hari tersebut.

Pada hari kedua dan ketiga pula, iaitu pada 15 & 16 Jun 2007, cuma lebih kurang 20 orang ahli termasuk peserta yang hadir mengambil bahagian dalam pertandingan pingpong.

Bagi kategori sukaneka, berbagai pertandingan sukan tradisional telah dipertandingkan untuk ahli dan anak-anak ahli. Antaranya kupas dan kukur kelapa, congkak, tiup tepung, cucuk jarum, dominos, dart dan memasukkan air ke dalam botol untuk ahli, manakala untuk anak ahli pula diadakan pertandingan melukis dan mewarna, kupas telor, tiup tepung dan tiup belon untuk anak-anak ahli.

Pertandingan pingpong telah berlangsung selama dua hari iaitu pada 16 & 17 Jun 2007. Perlawanan terbahagi kepada dua kategori iaitu bahagian perseorangan dan regu. Selama dua hari berturut-turut para peserta menunjukkan bakat masing- masing dalam bidang tersebut.

Majlis berakhir pada jam 2.00 petang, setelah semua para pemenang menerima hadiah masing-masing daripada pengerusi jawatankuasa sukan dan rekreasi SBM Cawangan Kelantan, iaitu En. Mustapha Jusoh. Sebelum bersurai, ahli dipersilakan menikmati makan tengah hari

Pertemuan Tertutup Dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)

Demi merapatkan lagi hubungan SBM Cawangan Kelantan dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Kelantan (JKM), pada 19 Julai 2007 bermula jam 10.00 pagi, satu pertemuan khas di antara AJK SBM Cawangan Kelantan dengan JKM Negeri Kelantan telah di adakan bertempat di Pejabat SBM Cawangan Kelantan. Pertemuan itu telah dihadiri oleh Timbalan Pengarah JKM Negeri Kelantan, Tuan Hj. Rusmi bin Mahmood. Enam dari tujuh orang Ahli jawatankuasa telah hadir pada hari tersebut.

Dalam pertemuan yang diadakan selama lebih daripada 3 jam itu, beberapa perkara yang berkait rapat dengan OKU penglihatan telah dibincangkan, termasuk meminta jasa baik pihak JKM supaya tidak mengambil tindakan terhadap peniaga tisu atau ubat di tepi-tepi jalan. SBM juga menaruh harapan supaya seluruh kakitangan JKM biarlah bersikap mesra OKU.

Pihak SBM Kelantan telah mendapat kerjasama yang sewajarnya hasil daripada pertemuan tersebut.

Kunjungan Hormat Ke Pejabat Exco Kerajaan Negeri Kelantan.

Pada 19 Jun 2007, semua ahli jawatankuasa SBM cawangan Kelantan telah melakukan kunjungan hormat ke pejabat EXCO Kerajaan Negeri Kelantan, Y.B. Dato’ Paduka Hj. Husam Musa, merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Pembangunan Masyarakat.

Kunjungan tersebut adalah untuk mewujudkan perhubungan erat dengan kerajaan negeri untuk memudahkan segala perkara yang berkaitan hal ehwal orang cacat penglihatan di Kelantan. Dalam pertemuan hampir satu jam itu, banyak perkara telah dibincangkan, semuanya menyentuh perkara yang berkaitan dengan golongan cacat penglihatan, termasuklah menyerahkan 2 surat permohonan, satu untuk bantuan kemudahan komputer dan mesin pendua serta satu lagi adalah memo berkenaan dengan kebajikan serta kemudahan orang cacat penglihatan di Kelantan.

Dalam pertemuan itu, Y.B. menyatakan cadangan-cadangan yang dikemukakan oleh SBM Cawangan Kelantan sangat baik dan bernas. Kerajaan Negeri pula akan cuba sedaya upaya untuk membantu setakat yang mampu untuk merealisasikan hasrat SBM Cawangan Kelantan. Menurut Y.B. lagi, di antara cadangan-cadangan yang akan diberi perhatian ialah, lampu isyarat bersuara di persimpangan utama bandar-bandar seluruh negeri, longkang-longkang bandar yang bertutup untuk keselamatan orang cacat penglihatan serta penurunan harga rumah untuk perumahan baru bagi orang cacat penglihatan yang mempunyai keluarga, manakala bagi permohonan untuk mendapatkan sumbangan komputer dan mesin pendua telah diluluskan serta-merta dan akan disampaikan sedikit masa lagi.

Kembali ke ISI KANDUNGAN

Aktiviti SBM Cawangan Sarawak

Oleh: Untam Ak Buah, Pengerusi JSR SBM Cawangan Sarawak

Pertandingan Pingpong

SBM Cawangan Sarawak telah mengadakan pertandingan pingpong peringkat Cawangan pada 16 Jun 2007, bertempat di Dewan Sarawak Society for the Blind, Jalan Ong Tiang Swee, Kuching.

Seramai 8 orang ahli SBM telah mengambil bahagian dalam pertandingan tersebut. Mereka termasuklah:
a. En Siau Ging Lock
b. En Hardini
c. En Yong Chwan Fwu
d. En James Bandang
e. Pn Voon
f. Cik Lim
g. En Lasan Rengayung
h. En Maoh Janting

Pertandingan tersebut telah bermula pada pukul 10.00 pagi hingga pukul 4.00 petang. Dalam pertandingan tersebut, pemenangnya adalah seperti berikut:
a. Tempat pertama - En Yong Chwan Fwu
b. Tempat kedua - En James Bandang
c. Tempat ketiga - En Siau Ging Lock

Pertandingan tersebut telah dianjurkan dengan jayanya tanpa sebarang kesulitan.

Parti Gawai "Ngiling Tikar"

SBM cawangan Sarawak telah mengadakan Parti Gawai “Ngiling Tikar” pada 17 Jun 2007 (Ahad), bertempat di Dewan Sarawak Society for The Blind, Jalan Ong Tiang Swee, Kuching. Seramai 40 orang ahli SBM berserta keluarga masing-masing telah menghadiri parti tersebut. Mereka telah membayar RM 5.00 seorang sebagai sumbangan untuk menampung sebahagian daripada perbelanjaan selain daripada peruntukan yang telah diluluskan oleh pihak SBM.

Majlis telah bermula pada pukul 12 tengah hari. Semasa majlis diadakan pihak penganjur telah menjemput En Una Wan bermain alat muzik dan menyanyi untuk menghiburkan para hadirin yang datang.

Pihak penganjur juga telah menyediakan kemudahan pengangkutan bas kepada ahli–ahli untuk menghadiri majlis tersebut. Parti Gawai tersebut telah berjalan dengan jayanya tanpa sebarang kesulitan.

Kembali ke ISI KANDUNGAN

Aktiviti SBM Cawangan Pahang

Oleh: Harun Awang Ngah, Pengerusi

Kelas Anyaman Mengkuang.

Kelas anyaman mengkuang yang telah diadakan pada 17 Jun 2007 adalah kesinambungan aktiviti yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Wanita yang pernah diadakan sebelum ini bertempat di pejabat SBM Cawangan Pahang. Program ini disertai oleh 13 orang wanita warga SBM

Untuk program kali ini, Che Mah bt Salleh yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Wanita SBM Pahang, merupakan seorang yang berkemahiran dalam bidang anyaman telah menjadi tenaga pengajar.

Hanya sebanyak RM 100.00 sahaja yang diperlukan bagi penganjuran kelas anyaman ini iaitu bagi membeli bahan mentah, sagu hati kepada tenaga pengajar dan menyediakan jamuan ringan. Pada keseluruhannya, aktiviti yang dianjurkan berjalan lancar seperti dirancang. Peserta kursus sangat berterima kasih kepada Jawatankuasa Pembangunan Wanita SBM yang telah menampung segala perbelanjaan bagi menjayakan aktiviti ini.

Lawatan Ke Kedah dan Perlis

Aktiviti lawatan jarak jauh selama tiga hari dua malam ke Kedah dan Perlis telah diadakan pada 19 hingga 21 Ogos 2007, adalah aktiviti bermalam pertama seumpamanya yang dianjurkan oleh SBM Cawangan Pahang ke destinasi tersebut. Program ini telah disertai oleh seramai 53 orang warga SBM Cawangan Pahang.

Pada hari pertama, peserta telah dibawa melawat Gua Kelam, iaitu suatu tempat yang indah dan menarik. Pada sebelah petangnya pula, rombongan telah berkesempatan untuk membeli belah di Padang Besar, Sementara pada sebelah malamnya pula, peserta rombongan telah di bawa bersiar-siar dan makan malam di sekitar Jeti Kuala Perlis Peserta rombongan telah bermalam di Homestay Taman Serindik.

Pada hari kedua, peserta rombongan telah dibawa melawat Muzium Padi, Pekan Rabu dan akhirnya ke Pantai Tanjung Dawai sebelum bertolak pulang ke Pahang. Selain daripada dapat bersiar-siar di tempat-tempat yang dilawati, peserta rombongan juga tidak melepaskan peluang untuk membeli pelbagai barangan mengikut selera masing-masing sebagai buah tangan untuk di bawa pulang.

Penganjuran lawatan ini telah melibatkan perbelanjaan sebanyak RM 3,840.00 yang mana sebahagian besarnya adalah datangnya daripada peruntukkan yang diluluskan oleh pihak SBM di samping sebahagiannya daripada sumbangan ahli-ahli yang dikutip sebagai bayaran penyertaan.

Secara amnya aktiviti ini telah dapat dilaksanakan dengan jayanya. Ucapan terima kasih diucapkan kepada Jawatankuasa Belia & Sukan SBM kerana menyokong dan meluluskan penganjuran lawatan ini. Sebenarnya, secara tidak langsung, SBM dan ahli-ahlinya turut sama menyahut seruan kerajaan untuk “Cuti-cuti Malaysia” sempena Tahun Melawat Malaysia 2007.

Hari Terbuka SBM Pahang

Pada 25 Ogos 2007, SBM Pahang telah mengadakan hari terbuka SBM Pahang bertempat di perkarangan Pejabat SBM Cawangan Pahang. Penganjuran Hari Terbuka SBM Pahang ini mempunyai tujuan “Serampang dua mata” iaitu pertamanya ingin mempromosi dan memperkenalkan SBM kepada orang ramai dan keduanya adalah memberi peluang kepada ahli-ahli SBM Pahang khususnya untuk mencari pengalaman bagaimana untuk memulakan perniagaan.

Hari terbuka dan aktiviti jualan ini telah dirasmikan oleh En. Taslim bin Kosni, Pengerusi JIKA SBM. Beberapa buah gerai jualan telah disediakan termasuklah gerai-gerai yang menjual kuih-kuih kering, gerai yang menjual songkok, gerai minuman, gerai pakaian, gerai bunga dan hiasan serta kraf tangan, gerai ikan masin dan juga gerai pameran aktiviti-aktiviti SBM. Semua gerai-gerai ini adalah dikendalikan oleh ahli-ahli SBM sendiri. Aktiviti ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan bukan hanya daripada ahli-ahli SBM tetapi juga dikunjungi oleh masyarakat setempat.

Secara keseluruhannya, program ini berjaya mempromosi dan memperkenalkan SBM kepada penduduk setempat. Selain daripada itu, daripada pelbagai aktiviti yang dijalankan, ia juga telah mula memupuk minat untuk berniaga dalam kalangan ahli SBM.

Kembali ke ISI KANDUNGAN

FOKUS

Implikasi Kehilangan Penglihatan Terhadap Seseorang Kanak-kanak

Oleh: Khairuddin bin Wahab, UKM, Bangi

Nota: Khairuddin bin Wahab adalah seorang guru bermasalah penglihatan yang terpilih untuk mengikuti Program Khas Pengsiswazahan Guru (PKPG) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, dalam bidang Pendidikan Khas Masalah Penglihatan.

Mata adalah deria yang sangat berharga kepada manusia. Jika mata tidak lagi berfungsi, segala keindahan alam tidak lagi dapat dinikmati. Beberapa istilah telah digunakan bagi menghuraikan kanak-kanak yang cacat penglihatan. Pelbagai definisi telah dicadangkan seperti orang buta, penglihatan terhad, rabun, separuh celik, penglihatan lemah, penglihatan bawah lazim dan penglihatan sisa yang kesemuanya boleh dianggap sebagai sinonim.

Masalah penglihatan boleh terjadi apabila terdapat kerosakan pada satu atau lebih bahagian mata atau otak yang diperlukan dalam proses membentuk imej daripada mata. Ini menyebabkan seseorang itu tidak dapat melihat dengan baik. Terdapat ramai orang yang menganggap bahawa buta bermaksud tidak dapat melihat semua. Ia adalah tidak benar kerana terdapat juga kanak-kanak yang didapati buta tetapi masih boleh melihat cahaya atau bayang-bayang tetapi ianya tidak jelas.

Kita dapat mengenal pasti seseorang kanak-kanak yang menghadapi masalah penglihatan dengan memerhatikan ciri-ciri dan perlakuan yang ditunjukkan oleh mereka. Antara ciri-ciri dan perlakuan tersebut termasuklah seperti yang berikut:

  1. Kanak-kanak bersungut tentang sakit kepala dan sakit mata.
  2. Mata berair, gatal-gatal dan merah.
  3. Rasa tidak selesa dalam cahaya yang terang.
  4. Tidak dapat melihat dengan jelas pada waktu malam.
  5. Sering membuat kesilapan apabila mencatat sesuatu dari papan hitam.
  6. Sering terlanggar barangan yang berada di sepanjang laluan apabila berjalan.
  7. Menonjolkan kepala dan menutup sebelah mata apabila ingin melihat sesuatu.
  8. Memegang buku terlalu dekat apabila membaca.
  9. Sering mengelipkan mata apabila melakukan sesuatu tugas yang memerlukan penglihatan.
  10. Tidak dapat melihat ekspresi pada muka orang lain.

Pada dasarnya tiada perbezaan perkembangan terhadap psikomotor kanak-kanak cacat penglihatan dengan kanak-kanak normal apabila mereka dilahirkan. Hanya selepas itu ia akan memberi kesan sama ada secara langsung atau tidak langsung ‘direct / indirect’ dalam proses pertumbuhan dan perkembangan. Ianya ada kaitan dengan bilakah seseorang kanak-kanak itu menghadapi masalah penglihatan.

Mereka yang menghadapi masalah penglihatan sebelum berusia empat tahun akan mendapat kesan yang lebih nyata berbanding dengan mereka yang menghadapi masalah penglihatan selepas berusia empat tahun. Mereka yang menghadapi masalah penglihatan selepas berusia empat tahun tidak menghadapi banyak masalah dalam aspek perkembangan sosial, emosi, intelek dan lain-lain. Masalah yang mereka hadapi ialah masalah penyesuaian di mana selama ini banyak bergantung kepada deria penglihatan tetapi kini perlu berubah kepada deria pendengar dan deria sentuhan.

Kecacatan penglihatan sejak lahir akan memberi kesan yang ketara kepada perkembangan psikomotor. Bagi kanak-kanak normal, penglihatan akan memberikannya rangsangan kepada perkembangan psikomotor yang menyebabkan seseorang bayi atau kanak-kanak itu ingin bergerak. Kecacatan penglihatan akan mengurangkan motivasi untuk kanak-kanak itu bergerak kerana tiadanya ‘visual stimulation’. Dengan sebab itu juga, mereka tidak dapat belajar dengan cara meniru ‘imitative learning’. Pertumbuhan ini akan menjadi lebih terbantut apabila ibu bapa mereka mengamalkan sikap perlindungan melampau ‘overprotection’. Dengan sikap ini, kanak-kanak tersebut tidak berpeluang untuk melakukan sesuatu bagi mendapatkan pengalaman yang sebenar.

Di peringkat awal kelahiran, sekiranya seseorang kanak-kanak itu menghadapi masalah penglihatan, ianya memberi sedikit kesan kepada aspek perkembangan intelek atau kognitifnya. Ini adalah kerana kanak-kanak tersebut kurang atau tiada stimulasi dari deria penglihatan. Sehubungan dengan itu, kanak-kanak ini tidak dapat mempelajari sesuatu secara meniru ‘imitative’ daripada sumber-sumber di sekelilingnya. Walau bagaimanapun kelewatan ini tidaklah memberi kesan dari aspek kecerdasan. Kekurangan penglihatan boleh mempengaruhi perkembangan kognitif pelajar sebab maklumat yang diterima daripada deria sentuhan dan deria pendengaran tidak begitu terperinci atau begitu kaya berbanding dengan maklumat dari deria penglihatan. Penglihatan yang berkurangan menghadkan pengalaman seseorang dan sekaligus mempengaruhi pembelajaran.

Biasanya kanak-kanak normal dalam usia 16 minggu telah dapat memberikan respons kepada senyuman ibu atau persekitarannya. Kemudian minta sesuatu dengan ‘nonverbally’ hinggalah secara ‘verbal’. Ianya merupakan kekurangan kepada kanak-kanak bermasalah penglihatan. Dengan kata lain, tiadanya ‘eye contact’ menyebabkan mereka sukar meniru, memberi respons dan juga menggunakan ‘non-verbal communication’.

Pemahaman sesuatu konsep atau pembelajaran konsep melalui deria sentuhan dan pendengaran mungkin tidak begitu terperinci atau mendalam kerana bukan setiap kata yang diungkap itu boleh diterjemahkan kepada sesuatu bentuk yang dapat dipegang atau rasa tetapi hanya dapat difahami apabila dilihat. Contohnya seperti konsep warna, biru, merah, kuning dan sebagainya hanya dapat dikenal pasti dengan cara melihat. Demikian juga apabila kita katakan ‘Besar seperti gunung’. Kerana gunung itu terlalu besar dan terlalu tinggi, ianya tidak dapat diukur secara fizikal. Pemahaman yang sebenar diperoleh hanya dengan pengalaman melihat. Walau bagaimanapun masalah penglihatan tidak menghadkan penggunaan bahasa sebagaimana yang digunakan oleh orang normal untuk berkomunikasi. Penguasaan bahasa ini dapat dipertingkatkan melalui pengalaman dan pembacaan yang meluas.

Kajian menunjukkan pelajar bermasalah penglihatan mengalami perkembangan tertangguh dalam domain sosial berbanding dengan pelajar yang boleh melihat. Mobility (pergerakan) yang terhad serta kemiskinan dalam pengalaman mempengaruhi perkembangan sosial mereka yang bermasalah penglihatan. Hal ini demikian kerana mereka yang bermasalah penglihatan khususnya kanak-kanak tidak boleh melihat ‘sosial cues’. Ada juga pelajar bermasalah penglihatan yang menunjukkan tingkah laku ‘stereotypic’ (blind mannerisms) seperti ‘body rocking’ menggosok mata dan mencucuk mata semasa berhadapan dengan orang lain. Hal ini berlaku kerana semasa berkomunikasi tumpuan hanya diberikan kepada aspek pendengaran tanpa perlu memerhatikan apa yang orang lain buat. Ekspresi muka juga tidak dapat memberi kesan kepada seseorang yang bermasalah penglihatan. Walau bagaimanapun, intonasi suara dapat memberikan kesan yang mendalam semasa berkomunikasi dengan mereka yang bermasalah penglihatan.

Sebagai kesimpulan, kanak-kanak yang cacat penglihatan biasanya normal seperti kanak-kanak biasa cuma mereka hanya kekurangan dari segi kebolehan melihat sahaja. Namun yang menimbulkan masalah adalah cacat penglihatan yang disertai dengan beberapa kecacatan lain seperti pekak, autisme dan kecacatan anggota badan. Bagi kanak-kanak yang mempunyai kecacatan pelbagai ini, ia menimbulkan masalah terutamanya dalam penerimaan pendidikan.

Sehubungan dengan itu, semua pihak mestilah mengambil berat dan berfikiran positif dalam pergaulan mereka dengan golongan istimewa ini dan ini akan membentuk persekitaran sosial yang lebih baik. Oleh itu, ingin ditegaskan bahawa masyarakat sekitar amat penting dalam mendorong kejayaan individu ini selain daripada ibu bapa dan guru.

Kembali ke ISI KANDUNGAN

Guru Pendidikan Khas Memerlukan Minat dan Kesabaran

Oleh: Saifuddin bin Mohamad PPN

Pelajar bermasalah penglihatan dan bermasalah pembelajaran sedang diajar dengan bantuan komputer

Nota: Saifuddin ialah pemenang naib johan pertandingan menulis cerita untuk bacaan kanak-kanak peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sempena sambutan hari guru tahun 2007 dan penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, Kementerian Pelajaran Malaysia bagi perkhidmatan pada tahun 2006. Kini sedang mengikuti Kursus Setahun Pendidikan Khas di Institut Perguruan Ilmu Khas (IPIK), Kuala Lumpur.

Hari pertama saya berada di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (Cacat Penglihatan) Jalan Batu Kuala Lumpur, untuk menjalani latihan mengajar selama enam minggu, saya amat terperanjat apabila seorang pelajar tahun 3 menjerit dan mengamuk secara tiba-tiba.

Walau pun beberapa orang guru dan ibu pelajar tersebut yang cuba untuk menenangkannya tetapi tetap gagal. Saya difahamkan bahawa pelajar berkenaan mengalami masalah emosi yang tergolong dalam masalah pembelajaran.

Setelah saya cuba mengenali sebilangan besar pelajar di sini, saya dapati hampir setiap kelas mempunyai pelajar buta / rabun dan juga bermasalah pembelajaran. Saya telah menemu bual guru pemulihan sekolah ini untuk mendapatkan maklumat tentang pelajar buta dan bermasalah pembelajaran ini. Saya dimaklumkan bahawa pelajar yang mempunyai masalah pembelajaran dari tahun 2 hingga 5 masuk ke kelas pemulihan untuk belajar Bahasa Melayu, Matematik dan Bahasa Inggeris.

Untuk memberi pendidikan akademik kepada pelajar yang mempunyai dua masalah ini, guru kelas terpaksa bekerja keras dengan menyediakan bahan bantu mengajar yang sesuai untuk pelajar buta, rabun dan bermasalah pembelajaran. Terdapat juga pelajar yang buta dan hiper aktif yang mana guru terpaksa memberi perhatian yang lebih kerana pelajar bermasalah sedemikian hanya mampu memberi konsentrasi terhadap pembelajaran bagi tempoh 5 hingga 10 minit sahaja. Setelah itu mereka akan mula mengganggu pelajar lain sekiranya tidak diberi tugasan yang sesuai.

Diakui bahawa memang sukar mengajar pelajar yang mempunyai dua kecacatan. Walau bagaimana pun atas kegigihan guru-guru, maka pelajar-pelajar yang begini tetap diajar dengan semaksimum yang terdaya diterima oleh pelajar itu sendiri. Guru-guru terpaksa menyediakan dua aras pembelajaran iaitu untuk pelajar yang tidak bermasalah pembelajaran dan satu lagi aras bagi pelajar yang terlalu lemah dan bermasalah pembelajaran. Ini bermakna guru-guru di sini perlu sentiasa kreatif untuk membina bahan yang sesuai digunakan bagi mengajar kedua-dua aras kebolehan murid di samping penggunaan dua bentuk penulisan iaitu dalam tulisan Braille dan dalam tulisan cetakan besar. Cabaran sebegini tidak dirasakan oleh guru-guru di sekolah biasa. Justeru, wajarlah guru-guru di sekolah khas ini diberi insentif tambahan kerana tugas mereka yang lebih mencabar berbanding tugas di sekolah biasa.

Dari segi disiplin pula, guru-guru yang mengajar pelajar pendidikan khas sentiasa perlu memperhatikan mereka kerana tahap disiplin pelajar ini tidak stabil. Perbuatan atau tingkah laku mereka tidak menentu dan sukar diramal iaitu satu masa patuh kepada arahan guru, namun sebentar kemudian tingkah laku mereka serta-merta berubah kepada bengis, ingkar suruhan guru dan berdiam diri.

Difahamkan bahawa Jabatan Pendidikan Khas kini sedang merangka satu kurikulum khas untuk pelajar yang mempunyai dua atau lebih kecacatan ini. Jika ini terjadi, satu lagi cabaran kepada guru-guru pendidikan khas ini yang mana tugas mereka akan bertambah dengan menyediakan persediaan mengajar bagi dua kurikulum dalam satu pengajaran.

Walau pun bilangan pelajar dalam kelas khas adalah antara tiga hingga lapan orang, bukan suatu pekerjaan yang mudah untuk mengendalikan kelas yang mempunyai dua tahap yang berbeza, apatah lagi menguruskan pelajar yang mempunyai emosi dan tingkah laku yang sering berubah dalam masa yang singkat.

Walau pun banyak tekanan mengajar pelajar yang mempunyai dua masalah ini, tiada guru yang bertukar kerana bebanan kerja. Ini menunjukkan bahawa guru-guru di sini ikhlas mendidik para pelajar tidak kira apa masalah yang dihadapi. Saya amat kagum dengan sikap guru-guru di sini yang sungguh tabah mendidik para pelajar yang buta / rabun dan bermasalah pembelajaran ini tanpa sebarang rungutan dan rasa kecewa yang mereka luahkan.

Semasa minggu akhir latihan mengajar, saya bersama semua guru Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (Cacat Penglihatan) Jalan Batu ini berpeluang mengadakan lawatan ke sebuah sekolah bertaraf klaster iaitu Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (Cacat Penglihatan) Alma, Bukit Mertajam, Pulau Pinang. Kami diberitahu bahawa di sekolah ini juga mempunyai beberapa orang pelajar yang mengalami dua kecacatan iaitu bermasalah penglihatan dan bermasalah pembelajaran.

Sekolah ini telah dibekalkan dengan pelbagai peralatan teknologi seperti komputer dan alat audio visual yang lain, namun cabaran untuk para guru tetap ada dan menagih kegigihan guru yang maksimum. Jika guru kurang memberi perhatian, pelajar berkenaan mampu merosakkan peralatan yang serba canggih tersebut.

Memandangkan SKPK (CP) Alma ini dilengkapi asrama, maka Warden dan pembantu murid serta guru-guru yang menjaga pelajar yang mempunyai dua kecacatan ini perlu sentiasa memberi perhatian kepada tingkah laku mereka agar tidak berlaku pergaduhan dan pergaulan melampau batasan antara pelajar lelaki dan pelajar perempuan. Bagi memastikan tidak berlakunya sebarang perkara yang tidak diingini, para guru dan petugas telah memberikan lebih masa mereka terhadap keselamatan pelajar berbanding urusan rumah tangga sendiri.

Memandangkan bebanan dan cabaran yang besar kepada guru-guru di sekolah pendidikan khas yang mempunyai pelajar dua masalah, adalah wajar jika pihak kementerian pelajaran dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengenal pasti kaedah terbaik untuk mengatasi situasi yang ada supaya guru tidak terlalu dibebankan dan semua para pelajar mendapat pendidikan yang terbaik.

Kesimpulannya pembelajaran untuk semua tetap diamalkan di sekolah ini walau pun terdapat pelajar di sini yang mempunyai masalah untuk menerima pelajaran. Keikhlasan guru-guru mendidik pelajar yang mempunyai dua masalah ini perlu dihargai dan ibu bapa serta pertubuhan bukan kerajaan seharusnya memberikan kerjasama agar dapat membantu guru-guru mengurangkan cabaran untuk mendidik pelajar buta / rabun dan bermasalah pembelajaran ini.

Kembali ke ISI KANDUNGAN

FORUM

Masalah Kekurangan Buku Teks dan Bahan Rujukan Untuk Pelajar Cacat Penglihatan, Bagaimana SBM Dapat Membantu?

Oleh: Saifuddin bin Mohamad PPN

Bagi guru-guru dan para pelajar di sekolah normal, penggunaan buku teks hanya sekadar panduan isi pelajaran, tetapi bagi pelajar pendidikan khas masalah penglihatan, buku teks adalah merupakan sumber utama rujukan mereka. Sejak dahulu lagi kekurangan atau kelewatan bekalan buku teks dalam tulisan Braille wujud tanpa sebarang penyelesaian. Pada tahun lima puluhan hingga pertengahan tahun lapan puluhan, buku-buku teks dalam tulisan Braille disediakan oleh Persatuan Bagi Orang-orang Buta Malaysia (MAB). Namun dengan Penubuhan Unit Penerbitan dan Percetakan Braille Kementerian Pendidikan pada tahun 1984, pengeluaran buku-buku teks dalam tulisan Braille telah diambil alih oleh pihak kerajaan sepenuhnya. Walau pun buku-buku teks dicetak oleh unit tersebut, namun masalah kekurangan dan kelewatan bekalan buku teks kepada sekolah-sekolah dan program-program intergrasi pendidikan khas masalah penglihatan tetap terjadi. Kini penyediaan buku teks dibuat secara kerjasama antara kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat swasta.

Kerjasama yang dijalankan ini telah sedikit sebanyak mempercepatkan bekalan buku teks kepada sekolah-sekolah, namun belum menyelesaikan masalah kekurangan buku teks dalam tulisan Braille. Bagi membantu menyediakan bahan bacaan kepada pelajar cacat penglihatan, SBM dicadangkan menyediakan buku-buku teks atau rujukan dalam bentuk audio. Buku-buku berkenaan boleh dibuat menggunakan perisian “MyStudio PC” dan dibaca menggunakan perisian “Daisy” atau pemain MP3. SBM boleh menggunakan tenaga sukarela mereka untuk membuat bacaan audio atau menulis teks menggunakan komputer. Teks yang ditulis juga boleh dipindahkan kepada bentuk audio dan dibaca menggunakan suara komputer yang mudah difahami oleh para pelajar terutama mereka yang biasa dengan suara perisian “Jaws”.

SBM kini telah mempunyai ramai ahli yang mahir menggunakan “Daisy” memandangkan pada 20 hingga 22 Ogos 2007 yang lalu SBM telah berjaya menganjurkan satu Kursus Pengeluaran / Penghasilan Buku Bersuara Daisy di bangunan Majlis Kebangsaan Bagi iOrang Buta Malaysia (NCBM), Brickfields, Kuala Lumpur. Kursus ini dibuat khusus untuk ahli-ahli SBM secara percuma yang akan memberi perkhidmatan mereka untuk menyediakan buku-buku berbentuk audio yang akan memberi manfaat kepada bukan sahaja ahli-ahli SBM yang lain malah dapat membantu menyediakan bahan rujukan audio kepada para pelajar cacat penglihatan di sekolah-sekolah pendidikan khas masalah penglihatan dan kelas-kelas integrasi masalah penglihatan di seluruh Malaysia.

Untuk menyediakan buku-buku dalam tulisan Braille memerlukan kos kewangan yang banyak, iaitu kos bahan mentah seperti kertas, Brailon untuk gambar rajah dan peralatan membuatnya. Jika ditambah dengan kos upah untuk petugas, maka perbelanjaan menyediakan sebuah buku Braille adalah amat mahal. Daisy hanya menggunakan CD atau DVD untuk membuat rakaman audio. Dari segi masa pula, sebuah Buku bersuara Daisy boleh disiapkan dalam tempoh satu bulan manakala buku-buku braille mengambil masa lebih setengah tahun untuk disiapkan.

Jawatankuasa Informasi dan Kesedaran Awam (JIKA), Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia kini sedang merancang untuk membina dua buah bilik kedap bunyi di bangunan Ibu Pejabatnya yang lengkap dengan komputer dan sesuai untuk membuat rakaman audio dan pastinya dapat menghasilkan banyak buku bersuara terutama buku rujukan untuk para pelajar cacat penglihatan.

Sementara itu satu kajian juga turut boleh dibuat bagi melihat kesesuaian penggunaan buku teks dalam bentuk audio. Jika kajian berkenaan menunjukkan ada kesesuaian penggunaan buku teks bersuara, maka SBM wajar memainkan peranan sebagai pembekal buku-buku teks bersuara bagi menampung keperluan buku-buku teks di sekolah-sekolah atau program-program percantuman pendidikan khas masalah penglihatan di seluruh Malaysia.

Sekiranya SBM dapat berperanan sebagai pembekal buku-buku rujukan dan teks bersuara, maka hasrat ahli-ahli SBM untuk menjadikan pertubuhan ini sebagai sebuah organisasi utama yang membantu ahli, kerajaan dan masyarakat cacat penglihatan yang terbaik di Malaysia dapat tercapai.

Kesimpulannya, usaha perlu sentiasa dilipat gandakan bagi memastikan pelajar-pelajar pendidikan khas masalah penglihatan menerima buku pelajaran mereka dalam tempoh pengajian dan bukan di saat akhir mereka yang akan menghadapi peperiksaan terutama bagi pelajar di tingkatan lima atau enam atas. Peranan yang disumbangkan oleh SBM ini dapatlah membantu meningkatkan pencapaian pelajar bermasalah penglihatan dalam peperiksaan penting mereka.

Kembali ke ISI KANDUNGAN

BERITA IT

Mengekalkan Warna Pilihan dan Reka Bentuk Paparan Komputer Mengikut Cita rasa Sendiri

Oleh: Mohd Fekkeri bin Mat Jusoh

Pada kebanyakan situasi khususnya di tempat kerja, kita perlu berkongsi penggunaan komputer. Jika hal ini yang berlaku, ini tidak bermakna anda juga perlu berkongsi cita rasa anda tentang kertas dinding dan warna paparan pada komputer yang perlu dikongsi penggunaannya. Sebenarnya melalui penggunaan kata laluan “Password” anda boleh mengekalkan warna pilihan dan reka bentuk paparan komputer agar warna pilihan dan reka bentuk yang anda serasi tetap akan muncul apabila anda menggunakan komputer tersebut..

Untuk tujuan tersebut, anda terlebih dahulu perlu mewujudkan kata laluan. Bagi mewujudkan kata laluan peribadi anda, langkah pertama ialah pastikan semua program dan fail anda ditutup. Kemudian klik dua kali pada ikon “Passwords” dalam control panel dan pilih tab User Profiles. Pilih “User can customize their preferences”, dan pastikan kedua-dua pilihan dalam bahagian “User profile settings” dipilih. Klik pada OK. Mesej akan muncul menyoal sama ada anda mahu memulakan semula “restart” komputer. Klik pada boleh terus menggunakan komputer<

Apabila komputer anda dimulakan semula, petak “welcome” akan muncul. Taipkan nama anda dalam petak User name dan kemudian klik dalam petak “Password” ingat. Klik pada Ok setelah anda menaipnya.

Anda kemudian diarah menaip sekali lagi kata laluan anda untuk memastikannya tepat. Taip dengan hati-hati dalam petak “confirm new passwords” dan klik pada Ok. Mesej akan bertanya sama ada anda mahu mengekalkan latar anda sendiri. Klik pada Yes. Dengan melakukan sedemikian, setiap kali anda mahu menggunakan komputer tersebut dengan “setting” yang sama, anda hanya perlu memasukkan kata laluan yang telah anda wujudkan.

Sebaliknya, pengguna lain yang mencapai komputer itu juga perlu memasukkan kata laluan peribadi masing-masing bagi mendapatkan paparan mengikut aturan kesukaan sendiri atau boleh juga meneruskan penggunaan komputer tanpa memasukkan sebarang kata laluan dengan menekan butang “escape” tanpa menjejaskan latar anda.

Selain daripada itu, anda juga boleh mengatur jadual peribadi anda dengan berkesan menggunakan diari komputer. Jika anda pelupa diari ini akan menjadi pengingat. Sebenarnya, terdapat pelbagai program yang membolehkan anda mengikuti peristiwa dan janji temu seperti menggunakan program Microsoft schedule dan lain-lain program lagi yang akan diperkatakan untuk isu-isu yang akan datang

Kembali ke ISI KANDUNGAN

Pentingnya Mengetahui Nombor Siri Telefon Bimbit

Oleh: Mohd Hisham Hashim

Untuk mengetahui Nombor Siri telefon bimbit anda: Sila dail - star hash zero six hash (atau begini *#06#). No. Siri 15 digit akan muncul terpapar di skrin handset anda. Catatkan Nombor Siri ini dan simpan di mana-mana untuk rujukan anda kemudian. Apabila handset anda dicuri orang atau pun kehilangan, telefon saja ‘telco’ (syarikat pembekal perkhidmatan GSM anda seperti 012, 019, 013, 014, 016, 017, dll) dan berikan No. Siri handset anda ini.

Dengan adanya nombor ini, mereka (telco) boleh blok penggunaan handset telefon bimbit anda itu. Dengan ini walau pun pencuri tersebut bertindak menukar kad SIM, telefon bimbit anda itu tidak akan boleh digunakan langsung. Jadi sipencuri tidak dapat menggunakannya sendiri atau menjualkannya kepada orang lain.

Jika semua pemilik telefon bimbit melakukan langkah bijak ini, tiada siapa yang berani mencuri handset lagi.

Majukan mesej ini kepada semua ahli keluarga serta kawan-kawan yang mempunyai handset untuk sama-sama membantu dalam membanteras kegiatan mencuri handset..

Cubalah sendiri dulu untuk melihat nombor siri telefon bimbit anda sekarang.

Kembali ke ISI KANDUNGAN

BERITA DAN PERISTIWA

Kursus Pengucapan Awam dan Protokol

Oleh: Mohamed (Zaki) bin Ismail PJK, Pengerusi JPLK

Peserta kursus sedang mengikuti ceramah

Dalam meneruskan agendanya sebagai sebuah jawatankuasa yang berfungsi untuk memberi pelbagai kursus dan latihan yang berkaitan dengan kepemimpinan, sekali lagi jawatankuasa ini (JPLK) telah mengadakan Kursus Pengucapan Awam dan Protokol pada 2 hingga 4 Jun 2007, bertempat di Hotel Grand Pacific, Kuala Lumpur. Kursus ini telah dihadiri oleh seramai 30 orang peserta yang terdiri daripada ahli-ahli biasa SBM dan lain-lain persatuan OKU Penglihatan.

Antara lain, kursus ini bertujuan untuk meningkatkan keberanian dan kemahiran berucap di khalayak ramai serta memberi pendedahan kepada peserta kursus dalam aspek protokol semasa mengendalikan majlis rasmi terutama apabila adanya kehadiran VVIP.

Keperluan untuk mengadakan kursus seumpama ini adalah kerana terdapatnya ramai dalam kalangan ahli-ahli SBM yang berpotensi menjadi pemimpin amnya dan pemimpin SBM khususnya, tetapi mereka enggan menjadi pemimpin semata-mata kerana takut untuk berucap di khalayak ramai. Justeru, melalui kursus ini, peserta kursus diharap dapat memupuk keyakinan diri untuk berdepan dengan orang ramai. Kurangnya keyakinan diri menyebabkan pengendalian majlis-majlis rasmi tidak dapat dijalankan secara lancar terutama dalam mematuhi protokol etika majlis rasmi.

Secara khususnya, kursus ini disasarkan kepada ahli-ahli biasa SBM sama ada penjawat atau yang difikirkan berpotensi menjadi penjawat SBM layak dicalonkan menyertai kursus ini. Setiap Cawangan / Kawasan SBM dan Jawatankuasa Utama SBM diperuntukkan dua orang wakil. Penyertaan juga dibuka kepada wakil-wakil daripada Majlis Kebangsaan Bagi Orang Buta Malaysia (NCBM), ST. Nicholas Home, Persatuan Bagi Orang-orang Buta Malaysia (MAB), Sabah Society for the Blind,, Sarawak Society for the Blind, Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS), Persatuan Bekas Pelajar St. Nicholas dan beberapa persatuan OKU Penglihatan yang lain juga dijemput bagi menghadiri kursus ini. Setiap penyertaan daripada lain-lain organisasi dikenakan yuran penyertaan sebanyak RM150.00 seorang.

Kursus ini dijalankan secara ceramah umum, bengkel penyediaan teks ucapan dan pembentangan secara individu. Pada hari pertama, kursus dimulakan dengan ceramah bertajuk Pembinaan Keyakinan Diri dan Etika Dalam Pidato yang telah disampaikan oleh seorang penceramah berpengalaman luas iaitu Puan Suzana Ibrahim dari INTAN. Ceramah kedua ialah berkaitan dengan Jenis-jenis Pengucapan Awam dan Cara Membina Pelbagai Bentuk Teks Ceramah ini juga sekali lagi disampaikan oleh Puan Suzana Ibrahim. Peserta kursus sangat berminat dan memberikan perhatian sepenuhnya sepanjang ceramah yang disampaikan secara bersahaja dan dipenuhi dengan unsur-unsur jenaka yang membuatkan pendengar tertawa.

Selepas makan tengah hari, acara diteruskan dengan ceramah seterusnya bertajuk Komunikasi Berkesan Semasa Pengucapan Awam. Ceramah ini telah disampaikan oleh Encik Sungip bin Semaun dari Jabatan Pendidikan Khas, Kementerian Pelajaran Malaysia.

Aktiviti berbengkel mula diadakan selepas minum petang dan diteruskan selepas makan malam. En. Ghazali Tocheh, Pengerusi SBM Cawangan KL / Selangor, yang juga merupakan seorang penulis telah bertindak sebagai fasilitator sepanjang aktiviti perberbengkel ini. Peserta kursus diberikan peluang secara bimbingan menyediakan teks ucapan masing-masing yang perlu disampaikan untuk dinilai sebagai salah satu kriteria bagi melayakkan seseorang diberi Sijil Penyertaan.

Pada hari kedua, kursus diteruskan dengan ceramah yang keempat berkaitan dengan Protokol Semasa Mengendalikan Majlis Rasmi Bersama VVIP. Ceramah ini telah disampaikan oleh Encik Junaidi bin Abdul Rahman dari Bahagian Istiadat, Jabatan Perdana Menteri. Sememangnya banyak perkara baru yang dapat dipelajari daripada ceramah ini.

Setelah mengikuti beberapa ceramah dan berbengkel sekian lama, saat dan ketika yang paling mencabar tiba jua. Setiap peserta yang menghadiri kursus ini perlu berucap atau bercakap di depan khalayak. Memandangkan tiada seorang pun yang sanggup untuk tampil sebagai peserta pertama, penentuan giliran ditetapkan secara undian.

Setelah berkampung selama tiga hari, Kursus Pengucapan Awam dan Protokol tiba ke penghujungnya. Majlis perasmian penutupan dan penyampaian Sijil Kehadiran telah disempurnakan oleh En. Mah Hassan bin Hj. Omar, Presiden SBM. Presiden SBM mengucapkan syabas kepada JPLK kerana telah berjaya menganjurkan kursus ini dan pada masa yang sama, setelah menyaksikan persembahan hampir setiap peserta, beliau penuh yakin bahawa ramai dalam kalangan ahli SBM yang berpotensi bukan sahaja dalam aspek berucap tetapi yang lebih penting daripada itu juga menjadi pemimpin yang berkesan dan berwawasan.

Kesimpulannya kursus ini dapat dimanfaatkan bagi menambah kemahiran peserta kursus dalam bidang pengucapan awam di samping memupuk semangat keyakinan diri untuk menjadi seorang pemimpin yang pandai berkomunikasi dan dapat mengendalikan majlis rasmi secara teratur.

Kembali ke ISI KANDUNGAN

Penubuhan Tabung Pembangunan Usahawan SBM

Melalui Mesyuarat Agung Luar biasa Ahli-ahli SBM yang bersidang pada 17 Disember 2006, mesyuarat telah bersetuju untuk menubuhkan satu tabung yang dikenali sebagai Tabung Pembangunan Usahawan SBM.

Penubuhan unit ini antara lain akan berfungsi untuk menyedia dan mengurus dana secara berkesan serta membantu ahli-ahli SBM ke arah melahirkan usahawan-usahawan cacat penglihatan yang berjaya.

Antara lain, penubuhan Tabung Pembangunan Usahawan SBM ini bermatlamat seperti berikut:

a) Membantu ahli-ahli SBM yang berhasrat untuk berkecimpung dalam bidang keusahawanan.

b) Mewujudkan peluang yang saksama kepada golongan cacat penglihatan untuk bersaing dalam bidang perniagaan.

c) Sebagai suatu alternatif yang “viable” untuk mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan orang kurang upaya.

d) Sebagai pemangkin kepada usaha Kerajaan bagi membasmi kemiskinan seraya mewujudkan masyarakat cacat penglihatan yang produktif dan menyumbang ke arah kemakmuran Negara.

Unit ini diuruskan oleh sebuah Jawatankuasa Pengurusan yang dilantik dan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap Majlis Presiden SBM. Jawatankuasa ini adalah terdiri daripada seorang Pengerusi dan empat anggota lain yang mana salah seorang daripada mereka hendaklah merupakan ahli Majlis Presiden yang dipertanggungjawabkan dengan hal-ehwal keusahawanan. Tempoh perkhidmatan setiap anggota ialah setahun melainkan Pengerusi yang akan berkhidmat selama dua tahun, dan mereka boleh dilantik semula. Semua anggota Jawatankuasa adalah tidak bergaji (non-salaried).

Atas syor Jawatankuasa, SBM boleh melantik pekerja yang bersesuaian bagi tujuan melaksanakan arahan Jawatankuasa serta menjalankan aktiviti unit ini.

Jawatankuasa boleh mengadakan peraturan berkaitan pentadbiran, pengurusan dana, permohonan pinjaman, kaedah pembayaran dan lain-lain hal yang difikirkan perlu. Setiap peraturan tersebut atau mana-mana pindaan daripadanya tidak boleh berkuat kuasa sehingga diendorse oleh Majlis Presiden.

Melalui resolusi Mesyuarat Agung Ahli-ahli, SBM akan memperuntukkan sejumlah RM 100,000.00 sebagai dana permulaan, RM 50,000.00 sebagai modal operasi dan RM 30,000.00 sebagai modal penubuhan.

Unit ini berkuasa menambah dana semasanya melalui berbagai sumber yang sesuai termasuklah sumbangan pihak kerajaan atau swasta, caj, faedah, dan bayaran balik pinjaman.

SBM pada setiap masa mempunyai hak perundangan dan tuntutan yang sah ke atas semua dana terkumpul, aset serta liabiliti yang terakru atau dimiliki oleh unit ini.

Secara realitinya, tabung ini telah mula beroperasi mulai awal Ogos yang lalu di bawah pengawasan seorang pengurus dengan dibantu oleh beberapa orang staf sokongan. Pejabat urusan tabung ini adalah di bangunan SBM sendiri di alamat 134-2 Taman Sri Setapak, Jalan Gombak, Kuala Lumpur.

Sebarang sumbangan bolehlah disalurkan kepada Tabung Usahawan SBM dan dihantar ke alamat seperti di atas atau dikreditkan terus ke akaun No. 0050-20-000117-0. Untuk keterangan lanjut sila hubungi talian Tel. No. 603-40212942

Kembali ke ISI KANDUNGAN

BERSAMA AHLI SBM

Bakhri, Usahawan OKU Penglihatan Yang Berjaya

Oleh: Mohd. Nazri bin Nawi

Bakhri,  sentiasa mencari peluang untuk peningkatan  diri dengan menghadiri pelbagai kursus

Nota: Mohd. Nazri Nawi merupakan salah seorang ahli SBM yang menjadikan bidang penulisan sebagai kerjaya sepenuh masa. Beliau telah banyak menghasilkan karya seperti cerpen dan puisi serta giat dalam penulisan drama radio.

"Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan." Itulah pepatah yang sering kita dengar, yang menjadi pendorong kepada sesiapapun untuk melakukan sebarang usaha hingga berjaya. Selain daripada itu, minat juga memainkan peranan penting, biarpun ada cabaran dan rintangan, namun kerana minat segala permasalahan dapat diatasi dengan mudah.

Inilah yang ditonjolkan oleh En. Mohd Bakhri Bin Mat Said, seorang usahawan tidak upaya penglihatan yang berjaya dalam pelbagai lapangan perniagaan yang diceburinya bukan setakat menjadi pengusaha menternak ikan dalam sangkar yang tak asing lagi di kampungnya, ia itu Kampung Lubuk Paku, Maran, Pahang Darul Makmur, tetapi juga dalam beberapa bidang lain yang baru diceburinya. Menurut beliau, kecacatan bukanlah suatu penghalang untuknya membina kerjaya.

Kedudukan rumahnya tidak berapa jauh dari sungai Pahang dan kejayaan seorang warga Kemboja yang menjalankan usaha tersebut secara besar-besaran mencetuskan minat beliau untuk menceburi bidang ini. Dengan mendapat bantuan daripada Jabatan Perikanan Malaysia sebagai modal permulaan di mana jabatan tersebut telah membekalkan satu sangkar, benih-benih ikan dan makanannya juga khidmat nasihat. Pihak FAMA juga ada menyediakan benih-benih ikan dan makanannya dengan kadar harga seperti di pasaran bagi memudahkan beliau mendapatkan bekalan untuk langkah seterusnya.

Peranan isteri tercinta Puan Khalijah dan anak-anak tidak kurang pentingnya dalam meneruskan kerjaya ini hampir dua puluh tahun. Dengan kegigihannya, bermula daripada satu unit sangkar kini telah berkembang menjadi dua puluh unit sangkar kesemuanya. Kos pembinaan sangkar-sangkar ikan ini memerlukan belanja yang agak besar. Setiap satu unit sangkar luasnya 12 X 10 kaki persegi atau 12 X 15 kaki persegi menelan belanja sebanyak dua ribu tujuh ratus hingga tiga ribu ringgit. Setiap sangkar boleh memuatkan lebih daripada seribu ekor ikan. Benih-benih ikan yang dimasukkan ke dalam sangkar perlu dijaga dengan rapi. Anak-anak ikan ini diberi makan yang mencukupi agar pembesarannya tidak terbantut. Tempoh pembesaran anak-anak ikan ini mengambil masa enam bulan barulah boleh dipasarkan.

Di antara ikan air tawar yang diternaknya ialah ikan Talapia dan Patin. Menurut beliau, jenis ikan tersebut mendapat permintaan yang menggalakkan di pasaran. Harga ikan Talapia dan Patin di pasaran hari ini boleh mencecah sepuluh ringgit sekilogram. Selain daripada peraih-peraih yang datang membeli ikan-ikannya di kawasan penternakannya, En. Bakhri juga memasarkan ikan-ikannya di Pasar Tani Pekan Maran. Beliau juga ada menerima pesanan bekalan ikan daripada pengusaha-pengusaha restoran.

Selain daripada melibatkan diri dalam bidang penternakan ikan air tawar dalam sangkar, Bakhri juga seorang pengusaha kebun kelapa sawit. Kebun kelapa sawit yang seluas enam ekar miliknya itu terletak kira-kira dua puluh lima kilometer dari rumahnya. Sejak tujuh tahun proses penanaman dan penjagaan pokok-pokok kelapa sawit yang diusahakan kini menampakkan hasilnya. Bagi melicinkan pengurusan kebunnya daripada proses pemotongan tandan buah kelapa sawit hinggalah penghantaran ke kilang, beliau dibantu oleh beberapa orang pekerja kontrak. Setiap pekerja diupah dengan kadar bayaran RM 35.00 untuk satu tan termasuklah proses pemotongan dan mengangkutnya ke dalam lori. Sementara kos pengangkutan bagi lori yang disewa adalah sebanyak RM 65.00 setan.

Kebolehannya untuk mengurut sejak akhir-akhir ini menambahkan satu lagi kerjaya baru yang diceburi. Bidang urutan yang begitu ramai diceburi oleh golongan tidak upaya penglihatan tidak mematahkan semangat untuk beliau membuka kedai urut di pekan Maran. Sebuah premis yang bersesuaian milik Majlis Perbandaran Maran telah disewa dengan kadar bayaran sebanyak RM 54.00 sebulan bagi dijadikan tempat untuk menjalankan perkhidmatan urutnya. Kedai urutnya itu dibuka mulai jam dua petang hingga dua belas malam. Setakat ini kedai urutnya tidak mempunyai tukang urut lain sebagai pekerja. Beliau sendirilah yang mengurut pelanggan-pelanggan yang datang ke kedainya. Di antara perkhidmatan yang diberikan kepada pelanggan-pelanggannya ialah urut tradisional dan Refleksologi.

Hasrat untuk memperkembangkan usaha niaganya bukanlah suatu impian semata. Dengan peluang yang disediakan oleh pihak kerajaan menerusi Jabatan Tenaga Kerja, beliau telah memohon geran galakan Perniagaan OKU yang sedang diwujudkan sekarang oleh jabatan tersebut. Menurut beliau, apabila perniagaannya lebih besar lagi, beberapa orang OKU akan diambil bekerja dengannya.

Kesibukan mengurus penternakan ikan, kebun kelapa sawit dan kedai urut tidak mengabaikan kewajipannya sebagai ketua keluarga sekaligus bapa kepada tiga orang anak. Ketiga-tiga orang anaknya dapat menjejakkan kaki ke institusi pengajian tinggi, anak sulungnya, Khalik, kini belajar di Universiti Teknologi Mara (UITM) Dungun Terengganu, Kamal anak keduanya sedang belajar di Institut Pertanian Bumbung Lima, Kepala Batas, Pulau Pinang dan anak bongsunya Nor Azirah pula masih menuntut di Universiti Teknologi Mara (UITM) Shah Alam, Selangor.

Setiap usaha yang dilakukan dengan bersungguh-sungguh serta pengurusan yang cekap pasti membuahkan hasil yang memuaskan. Jika dijumlahkan hasil penternakan ikan dalam sangkar, hasil kelapa sawit dan hasil mengurut, pendapatannya hampir mencecah empat ribu ringgit sebulan.

Sesungguhnya bukan mudah untuk bergelar seorang usahawan yang Berjaya seperti Bakhri, Menurut beliau, jatuh bangun dalam perniagaan adalah lumrah, kecekalan dan kesungguhan serta diiringi dengan doa itulah resipi kejayaannya. Benarlah kata pepatah, "Rajin dan usaha tangga kejayaan."

Kembali ke ISI KANDUNGAN

SUDUT KARYA

Cerpen -Sekeping Papan, Pembaris Besi dan Paku

Oleh: Yong Chwan Fwu, Kuching, Sarawak

Nota: Yong Chwan Fwu adalah seorang guru bermasalah penglihatan berkelulusan Ijazah Sarjana Muda, dari Universiti Malaya (UM). Kini bertugas sebagai guru sekolah menengah di Kucing, Sarawak.

Sudah hampir sepuluh minit waktu rehat berlalu. Cikgu Zailan belum lagi melhatkan kelibatnya di dalam kelas. Masa yang diperuntukkan untuk mata pelajaran Bahasa Malaysia cuma berbaki dua puluh minit. Murid-murid tahun enam yang seramai tujuh orang itu mulai dilanda perasaan resah. Dua/tiga orang di kalangan mereka yang agak nakal mulai membuat bising sambil mengganggu rakan-rakan sedarjah.

Mathew, seorang murid yang mengalami kecacatan berganda [multiple handicap] tetap tidak terpengaruh oleh gelagat rakan-rakannya. Punggungnya tetap betah melekat di kerusi, memanaskan kerusi plastik yang baru digantikan oleh pihak sekolah. Sambil, dia hanyut di dalam alamnya sendiri. Ketika kelas kecoh dengan perangai pelajar yang pelbagai, Mathew membuat persembahan muzik yang dipanggilnya dengan istilah one man show. Dia melaga-lagakan buntut stylus pada sekeping papan dan sebatang rangka besi [writing slate] yang digunakan oleh orang cacat penglihatan untuk menghasilkan Tulisan Titik Timbul bagi mengiringi irama melodi yang dikumandangkan melalui mulutnya. Antara irama yang sering meniti bibirnya termasuklah lagu bahasa ibundanya yang pernah didengarnya menerusi corong radio, juga melodi yang lahir daripada otak kreatifnya sendiri.

Sekilas pandang, mungkin tiada orang yang akan terhibur mendengar persembahan Mathew yang hanya memanfaatkan peralatan Braille dan anggota tubuh badan sebagai kelengkapan pancaragam. Mungkin dirinya sendiri sahaja yang pandai menghayati corak persembahan seperti itu. Malah, ramai guru yang menegurnya kerana perbuatan mengetuk-ngetuk alat tulis dianggap tidak sopan jika dilihat oleh orang luar. Maka, tingkah-laku buruk itu mesti segera dihentikan. Malangnya wujud terowong di antara kedua-dua belah telinga Mathew. Walaupun berbuih sudah mulut guru-gurunya yang berprihatin melontarkan kata-kata nasihat, namun teguran mereka ibarat masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Nasihat mereka bagai mencurah air ke daun Keladi, tiada satu pun yang tersemat di hati Mathew. Perangai persis kehendak mereka hanya berlangsung sejenak sahaja. Dia berhenti menggendang-gendang alat tulisnya sejurus larangan itu dikuatkuasakan. Namun perlakuan sama diulanginya lagi kemudian.

Ketika ramai guru yang meluat melihat sikap buruk Mathew itu, ada juga di kalangan mereka yang memihak pelajar yang dianggap bermasalah itu. Golongan itu berpendapat Mathew tidak mempunyai tempat untuk menyalurkan bakat semulajadinya. Justeru, menumpahkan bakat itu di atas alat tulis.

Selain itu, muncul beberapa orang guru cacat penglihatan yang mengajar di sekolah itu turut tampil mempertahankan tindakan Mathew. Mereka melihat Mathew berbakat besar dalam bidang seni suara. Jika bakat itu dipupuk, Mathew bakal menjadi seorang penyanyi atau komposer terjulang. Pada masa sama mereka bersetuju Mathew harus membuang tabiat jeliknya itu.

Mengimbau kembali ruang dan masa sekitar tahun 1980an, masyarakat umum ketika itu sangat menghargai potensi yang dimiliki oleh golongan kurang upaya penglihatan dalam bidang seni muzik. Lantaran itu, Yayasan Kebajikan Negara sering menganjurkan konsert demi menyediakan peluang kepada golongan tersebut mempamerkan kebolehan mereka. Untuk satu jangka waktu, nama-nama seperti Abang Halim, Adam Lee, Zurina Hassan, dan ramai lagi mengambil giliran membarisi program tayangan stesen televisyen negara. Namun sekali bah sekali pantai berubah. Trend sepanjang tahun 1980an sudah berubah kebelakangan ini. Pembabitan orang cacat penglihatan di dalam arena sukan lebih dialu-alukan kini berbanding dengan bidang muzik.

"Apa faedahnya main muzik kalau kesudahannya nanti ialah di kaki lima kedai? Lainlah kalau mereka mampu menyamai taraf Stevy Wonder dan Jose Phillisiano," kata mereka yang sempurna pancaindera. Namun sama ada pandangan itu mengandungi kebenaran ataupun sebaliknya, yang nyata pandangan itu lebih didorong oleh fenomena semasa. Tidak dapat dinafikan kegiatan sukan telah mendatangkan durian runtuh kepada ramai atlet kurang upaya. Dan, bagi mereka yang dapat melihat, sekurang-kurangnya mereka berkesempatan pergi makan angin jika mereka dilantik menjadi pegawai pengiring dalam temasya sukan itu. Ini kerana pertandingan sukan bukan setakat dilangsungkan di negeri tempat asal atlet-atlet berkenaan. Namun turut dilangsungkan di merata-rata tempat di dunia ini. Akibatnya, nasib orang seperti Mathew akan semakin terpinggir daripada arus perdana. Tiba-tiba Cikgu Zailan menjelma di tengah-tengah mereka, menyentakkan murid-murid yang berkeliaran di dalam kelas, juga Mathew yang sedang galak melakukan persembahan. Mereka kembali duduk di kerusi masing-masing.

"Bangun!" arah Abu selaku ketua darjah.

"Tak payah buat baiklah!" kata Cikgu Zailan apabila mendengar ketua darjah mengarahkan semua pelajar berdiri untuk memberikan hormat. Para pelajar tidak jadi berdiri. Senyap. Sambil Mathew sedang mengagak tahap mood cikgu mereka pada pagi itu.

"Mood cikgu bagus pagi ini," bisik hati Mathew.

Cikgu Zailan berjalan merapati Mathew. Bunyi ketak-ketuk kasut kulit yang melapiki kakinya bagai sesangkak sangga yang telah menopang tubuh Mathew yang serta-merta duduk tegak di tempatnya. Cikgu Zailan berdiri di samping Mathew sambil membongkokkan sedikit badannya ke hadapan.

"Apa ini?" Tanya Cikgu Zailan sambil mencapai sekeping papan yang tertiarap di atas meja. Berbekalkan pengalaman sepuluh tahun mengajar pelajar-pelajar cacat penglihatan, papan itu bukan lagi benda asing bagi Cikgu Zailan. Namun kata orang, kura-kura di dalam perahu, pura-pura tak tahu. Bermula dua tahun yang lalu sejak hari pertama Mathew melaporkan diri untuk belajar di sekolah itu, soalan itu gemar bermain di bibir Cikgu Zailan acap kali dia bertentang muka dengan pelajar itu.

"Ini papan tulis, Cikgu!" jawab Mathew dengan tepat sungguhpun soalan itu kabur di pendengarannya. Dia sudah dapat meneka Cikgu Zailan akan mengemukakan soalan itu.

"Pelik betul rupa papan tulis awak?" kata Cikgu Zailan seolah-olah menyindir.

"Hah?" Mathew meminta agar ungkapan itu diulang, sambil memusingkan kepalanya ke kiri bagi mendekatkan cuping telinga sebelah kanan yang lebih jelas pendengarannya ke mulut Cikgu Zailan.

"Telinga awak tak dengarkah?" Cikgu Zailan mengunjurkan soalan baru. Sengaja merendahkan nada suaranya, garau. Sambil, menjentik-jentik lembut telinga Mathew.

"Hah?" sentak Mathew lagi.

"Kasihan!" kata Cikgu Zailan pula. "Inilah yang dikatakan orang dahlah buta pekak pula."

Mathew terpinga-pinga, menggeleng-gelengkan kepalanya seperti kepala robot. Pelajar-pelajar lain pula sudah tidak sabar lagi menunggu supaya proses pengajaran dan pembelajaran segera dilaksanakan.

"Ini apa pula?" Tanya Cikgu Zailan lagi sambil mengambil objek logam yang seakan-akan berbentuk pembaris besi itu daripada Mathew. Tidak menghiraukan kemusykilan yang masih merusuh di dalam hati Mathew.

"Itu writing frame, cikgu!" jawab Mathew, betul juga jawapannya kali ini.

"Bukan pembaris besi?" Cikgu Zailan mengusik, sambil melurut-lurutkan jari telunjuknya pada dua deretan liang yang terukir di permukaan "writing frame" itu.

"Bukan, Cikgu!" jawab Mathew, ringkas.

Cikgu Zailan ketawa terbahak-bahak. Hatinya bagai digeletek jawapan yang telah dihamburkan Mathew. Mathew membungkam.

"Ini apa pula?" Kini Cikgu Zailan mengacah tangan Mathew dengan benda tajam yang menyerupai sebatang penebuk itu yang terikat pada hujung writing frame.

"Itu paku, Cikgu!" jawab Mathew, selamba. Membalas sindiran Cikgu Zailan. Cikgu Zailan ketawa sekuat hati.

"Itu Stylus. Bukan paku, Mathew!" Cikgu Zailan membetulkan jawapan Mathew, meletak balik barang-barang itu di atas meja yang tersusun di hadapan Mathew.

"Padan muka Cikgu Zailan," kata Mathew di dalam hati. "Sebab itu jangan perli saya."

Cikgu Zailan menjarakkan dirinya daripada Mathew. Mundar-mandir di dalam kelas.

"OK, kelas! Hari ini kita akan belajar cara-cara membuat ringkasan karangan!" Cikgu Zailan bersuara. Semua pelajar menumpukan perhatian.

"Keluarkan buku kerja kamu!" arah Cikgu Zailan. Namun, buku yang dimaksudkan tidak bertapuk di meja.

"Kami tak ada buku kerja, Cikgu!" Abu mencelah.

"Oh, ya! Cikgu terlupa bahawa kamu semua tak ada buku kerja!" keluh Cikgu Zailan. Mereka mengangguk, termasuk Mathew yang main angguk sebarang.

"Apa yang kamu anggukkan tu, Mathew?" Cikgu Zailan menguji. Ketawa kecil. Sekali lagi mendekati Mathew. Mathew tercengang-cengang.

"Kenapa kamu tak tulis pakai mesin Braille?" Tanya Cikgu Zailan lagi, mengulangi pertanyaan yang boleh dianggap sudah basi di pendengaran Mathew.

"Tulis pakai papan lebih bagus, Cikgu!" terang Mathew.

"Awak ni sudah ketinggalan zaman, Mathew. Macam katak di bawah tempurung. Kanak-kanak buta di USA sudah tak pakai mesin Braille lagi, apatah lagi writing slate. Mereka menggunakan komputer untuk membaca dan menulis. 20 tahun lagi, mungkin tulisan Braille akan pupus di kalangan orang-orang buta di sana," penjelasan Cikgu Zailan panjang lebar.

"Ada sesiapa yang pandai menggunakan komputer di sini?" Tanya Cikgu Zailan lagi, niatnya sekadar ingin memperolokkan mereka. Mereka tercungap-cungap.

"Kamu kena belajar cara-cara menggunakan komputer. Kalau tidak, bagaimana kamu hendak bersaing dengan pelajar-pelajar celik?" nasihat Cikgu Zailan sambil mengutarakan cadangan. Insaf sekolah itu tidak dilengkapi dengan kemudahan ICT.

"Ya!" Mathew mengiakan. Cikgu Zailan tergelak. Pelajar-pelajar lain ikut ketawa. Suasana sunyi bertukar riuh-rendah.

"Syyy!... senyap. Tolong jangan bising sangat!" tegur Cikgu Zailan, menenangkan keadaan. Suasana kembali terkawal.

"OK, cikgu pun tak mahu menyusahkan kamu semua. Teks karangan yang akan kita gunakan telah pun cikgu tolong braillekan!" kata Cikgu Zailan sambil mengagih-agihkan petikan rencana itu kepada semua pelajar. "Artikel ini bertajuk Khasiat Buah Anggur," tambahnya lagi.

"OK, semua sudah dapat?" Tanya Cikgu Zailan pula. Secara spontan, para pelajar menjawab sudah.

"Seperti mana yang telah saya nyatakan tadi, hari ini kita akan belajar cara-cara membuat ringkasan karangan. Kamu dikehendaki meringkaskan karangan ini sehingga menjadi 50 patah perkataan sahaja!" kata Cikgu Zailan, memulakan proses pengajaran dan pembelajaran yang telah dirancang. "Tapi sebelum itu, kita kena kenalpasti dulu isi-isi penting karangan ini." Pelajar-pelajar istimewa mengikuti pelajaran itu dengan teliti.

"Mathew! Tolong baca!" arah Cikgu Zailan tiba-tiba.

"Er… er… er…" sambil jari-jemarinya meraba-raba tulisan Braille yang berbintik-bintik di atas dada kertas, mulutnya tergagap-gagap kerana gagal menterjemahkan mesej yang dihantarkan ke otak oleh deria sentuhan.

"Nampaknya awak ni bukan setakat buta mata dan buta telinga. Bahkan juga buta kayu dan buta huruf!" komen Cikgu Zailan apabila melihat Mathew yang lemah dalam akademik. Ini bukan kali pertama Cikgu Zailan berkata demikian. Namun sudah banyak kali. Pendek kata setiap kali dia masuk kelas. Dan, tindak-tanduknya itu seolah-olah sudah menjadi satu jenis gurauannya terhadap Mathew.

"Cuba awak baca pula, Abu!" secara rawak, Cikgu Zailan memilih Abu untuk menggantikan Mathew.

"Baiklah, Cikgu!" Dengan bangga, Abu memulakan pembacaannya. "`~^ USDA National Nutrient <> Database for Standard ^<> 2005 mendedahkan ~` hidangan 15 |* biji ^ anggur |^ tanpa biji &*^ berwarna merah ~ atau hijau,| terkandung puluhan khasiat *^~ seperti 8.1 mg (vitamin C); ~^ 10.9 mg (vitamin K) `^ dan | 50 mg |^ (vitamin A).

"Cukup, Abu. Berhenti!" potong Cikgu Zailan seakan menyergah. "Cikgu suruh baca petikan yang cikgu beri. Tapi kamu menyimpang entah sampai ke mana-mana? Bila masanya ada buah Carrot, Papaya dan Jambu Air?"

"Betullah apa yang saya baca ni, Cikgu!" Abu mempertahankan dirinya, tidak puas hati.

"Awak jangan nak jual temberang, Abu? Rupa-rupanya awak pun buta huruf juga macam Mathew!" tegas Cikgu Zailan.

"Betullah, Cikgu. Kalau Cikgu tak percaya, nah… cuba Cikgu tengok ini," Abu memperlihatkan petikan setebal dua setengah muka surat Braille atau kira-kira 300 patah perkataan itu kepada Cikgu Zailan.

"Awak jangan main-main, Abu. Kalau cikgu tengok tak ada Buah Carrot, Papaya dan Jambu Air, muka awak saya tempeleng!" Cikgu Zailan memberi amaran, meluru ke arah Abu. Merampas keratan rencana itu daripada Abu, terus meniliknya. Cikgu Zailan termangu.

"Pelajar-pelajar lain pun ada Buah Carrot, Papaya dan Jambu Airkah?" Tanya Cikgu Zailan, inginkan kepastian. Semua pelajar memperdengarkan jawapan positif kepada pertanyaan itu. Cikgu Zailan menghela nafas. Matanya tertancap pada helaian kertas berwarna coklat yang masih tersisip di celah-celah jarinya.

"Ini bukan tulisan saya. Ini tulisan komputer. Cikgu scan bahan ini pakai scanner. Seterusnya memindah-alihkan hasil scanning ini pakai Braille translator software," terang Cikgu Zailan, menyembunyikan kesilapannya. Cikgu Zailan keruan dia tidak terlebih dahulu mengedit bahan bacaan itu yang dicetak dengan alat pengimbas sebelum memindah-alihkannya kepada tulisan titik timbul dengan bantuan perisian khas penterjemahan kod Braille. Natijahnya, hadir simbol-simbol ganjil dalam teks yang diedarkan. Para pelajar semakin kehairanan, tidak faham.

"Nasib baik mereka buta ICT. Kalau tidak, hmm… malunya aku," desis hati Cikgu Zailan. Cikgu Zailan kembali berdiri di hadapan kelas sambil menghadap pelajar-pelajarnya.

"OK, jangan buang masa. Biar cikgu bacakan petikan ini kepada kamu semua dan kamu semua salin… boleh?" soal Cikgu Zailan. Mereka menjawab boleh.

"Habis tu, nak buat apa dengan kertas ni, Cikgu?" tanya Abu.

"Ah… suka hati kamu lah. Kamu nak pakai lipat Buah Carrot ke, atau kapal terbang. Itu terpulang kepada kamu. Asalkan kamu jangan sengaja sepahkan kertas itu. Tanggung sendiri kalau kena tangkap oleh Guru Besar!" jawab Cikgu Zailan, bersahaja. Reaksi spontan yang diterima daripada pelajar-pelajar, mereka mencipta aneka lipatan dengan kertas itu.

"Masukkan kertas ke dalam mesin Braille masing-masing!" arah Cikgu Zailan, berjalan-jalan di dalam kelas sambil menjinjit petikan rencana yang hendak dibacanya.

Para pelajar bergegas memasangkan kertas pada mesin Braille mereka. Pelbagai bentuk rekaan kertas diketepikan seketika di penjuru meja.

"Semua sudah sedia?" Tanya Cikgu Zailan.

"Sudah, Cikgu!" jawab Abu, mewakili rakan-rakannya.

"OK, dengar sini baik-baik. Cikgu akan baca sekali saja. Kalau ada siapa-siapa yang tak dapat ikut,… itu bukan pasal saya. Itu pasal kamu. Jangan cuba suruh cikgu ulang-ulang banyak kali. Nanti cikgu hukum minum air lombong!" gertak Cikgu Zailan, terus mengubah teks bercetak tulisan biasa itu kepada bentuk suara yang boleh diakses oleh pelajar-pelajar cacat penglihatan. Bacaannya serta-merta disambut dengan bunyi gemuruh mesin Braille yang menggamatkan bilik darjah.

"Cuba cikgu tengok apa yang kamu tulis!" Cikgu Zailan menyemak tulisan mereka. Tulisan Abu yang pertama diperiksanya. Abu dapat menyalin dengan laju, mengagumkannya.

"Patutlah kamu laju, Abu… siapa suruh awak tulis pakai singkatan?... Bukankah sebelum ini saya sudah berpesan jangan tulis pakai singkatan?" tengking Cikgu Zailan setelah membaca tulisan Abu.

"Pakai singkatan baru dapat tulis dengan laju, cikgu!" sahut Abu.

"Ha, menjawab!" dengan geram, Cikgu Zailan mencubit telinga Abu. "Apa? Awak nak tunjuk samsengkah?" bentaknya lagi.

Abu diam. Namun hatinya berkata: "Saya pakai singkatan gred 2. Singkatan gred 2 ialah kod Braille standard. Pelik kerana Cikgu Zailan tidak memahaminya?"

"Kalau awak pakai singkatan, siapa yang nak semak kerja awak nanti?" Cikgu Zailan menyambung leterannya.

Senyap.

"Ada siapa-siapa yang tak pakai singkatan?" Tanya Cikgu Zailan, masih terpacak di sisi Abu.

"Saya!" tiba-tiba Mathew bersuara.

"OK, Mathew! dipersilakan baca apa yang telah kamu salin!" pinta Cikgu Zailan.

"Er… er… er…" sekali lagi Mathew tergagap-gagap, menggelabah.

"Apa ni, Mathew? Bunyi macam katak menyembah busut saja!" selar Cikgu Zailan, geram. Mathew terpempan.

"Cuba awak tolong baca apa yang dia telah tulis, Abu!" Cikgu Zailan mencabut dengan kasar kertas yang dikepit dengan ketat oleh "writing frame" dan menyerahkannya kepada Abu.

"Dia hanya tulis huruf ‘A’ sampai ‘Z’ saja, Cikgu!" Abu memaklumkan hasil siasatannya.

"Berapa kali sudah saya cakap jangan tulis pakai writing slate. Tapi awak degil. Kepala batu!" jerit Cikgu Zailan, bertindak merebut alat tulis itu daripada Mathew. Dia mengetuk sekali kepala Mathew dengan papan "writing slate" yang berjaya ditawannya. Sejurus itu, mencampakkan alat tulis antik itu ke dalam tong sampah.

"Awak tahu apa itu kepala batu?" Tanya Cikgu Zailan dengan nada suara tinggi. Mathew mengangguk.

"Dengar sini, Mathew! Bila balik karang, tolong minta mesin Braille daripada Guru Besar. Ingat, mulai hari ini saya tak mahu tengok awak tulis pakai writing slate lagi. Nanti perkembangan minda awak terbantut. Sampai bila-bila pun awak tak pandai menulis!" meleret-leret celoteh Cikgu Zailan. Namun, suara Cikgu Zailan hanya sayup-sayup kedengaran melintasi bahagian bawah daun telinga Mathew. Fikiran Mathew terganggu memikirkan musibah yang akan menimpa papan tulis, frame besi dan stylus yang telah memberikan kebaikan yang tidak terhingga kepadanya selama ini. Sekejap lagi segala peralatan itu akan dipungut oleh tukang sapu. Peralatan itu akan diangkut oleh lori sampah, akhirnya dihanyutkan orang di sungai, atau dibakar orang di pusat pelupusan sampah. Terbayang di benaknya betapa kabur hari muka, dan betapa murah nilai harga diri di hadapan orang yang kononnya sedang memperjuangkan slogan pendidikan untuk semua.

Kembali ke ISI KANDUNGAN

Sajak - Gadisku

Oleh: Raihan binti Makhtar, Kelantan

Gadisku ...

Bersama senyum mentari dan sinar fajar,
Daerah asing ini aku singgahi,
Berkelana bertemankan azam dan amanah yang keramat,
Kulabuhkan hamparan mindaku,
Di sini ... di daerah ini,
Kau dan aku diketemukan,
Alunan kehidupan dan irama yang sama,
Kubimbing tanganmu yang lembut dan halus,
Mencari sinar mentari yang syahdu,
Demi meneruskan perjalanan hidup ini,

Gadisku,
Deru angin bagaikan irama di hatimu,
Kicauan beburung adalah simfoni kasihmu,
Sentuhan jemariku jalur kejayaan bagimu….

Gadisku,
Kejayaan milikmu,
Bangkitlah gadisku,
Demi masa depanmu yang lebih bermakna,
Jaluran pelangi ... itulah kehidupanmu nanti wahai gadisku ...

Kembali ke ISI KANDUNGAN

Sajak - Ada Udang di Sebalik Batu

Oleh: Yong Chwan Fwu, Kucing, Sarawak

Di lubuk itu,
Nampak jernih airnya.
Banyak udang berenang-renang,
Di sebalik batu.

Di lubuk itu,
Ada macam-macam spesies udang,
Ada udang galah, udang geragau, udang kara, udang karang, dan udang kertas.
Ada yang terapung,
Sambil menjulurkan misainya.
Ada yang menyelam,
Sambil minum air.
Dan ada yang makan lumut,
Yang tumbuh di celah-celah batu.

Di lubuk itu,
Banyak udang banyak garam,
Banyak orang banyak ragam.

Sekumpulan orang kurang upaya penglihatan,
Yang menyelam ilmu di lubuk itu,
Tiada seorang pun yang lulus sampai ke menara gading.
“di manakah silapnya?”

Khabarnya,
Ada orang yang berotak udang.
Ada orang yang tabiatnya seperti udang di sebalik batu.
Ada orang yang lagaknya seperti pejuang,
Tapi sebenarnya petualang.
Ada orang yang manis bicaranya,
Tapi menghisap habis zat mereka,
Orang kurang upaya penglihatan,
Kelompok yang kononnya diperjuangkan.

Kembali ke ISI KANDUNGAN

CERMIN MUTIARA

Kera Dengan Tukang Gunting

Sebenarnya banyak yang kita pelajari dengan cara meniru apa yang oran lain buat. Mungkin tidak ramai yang menyokong kenyataan ini tetapi itulah hakikatnya. Pada zaman kanak-kanak, kita mula belajar bercakap dengan cara meniru orang di sekitar kita bercakap. Demikian juga dengan lain-lain perbuatan. Kita akan meniru apa sahaja yang orang lain buat tanpa berfikir panjang kerana pada saat itu fikiran kita belum matang.

Namun yang peliknya, setelah remaja, dewasa dan lanjut usia, kita masih ramai yang mengamalkan taabiat yang serupa iaitu suka meniru tanpa usul periksa dan ini mengingatkan saya kepada sebuah cerita tentang seekor kera dan tukang gunting.

Pada suatu hari, terlihat oleh seekor kera di atas sebatang pokok akan seorang tukang gunting sedang menggunting rambut seorang budak di bawah pokok di mana kera itu berada. Sang kera sangat tertarik akan aksi tukang gunting tersebut menggunakan gunting dan pisau cukur dalam pekerjaannya.

Setelah selesai, sementara menunggu pelanggan yang lain, tukang gunting itu beredar dari situ dan naik ke rumah. Dia meninggalkan perkakasannya di bawah pokok itu. Sang Kera segera turun dari pokok untuk melihat gunting dan cukur yang digunakan oleh tukang gunting tadi.

Tergerak di hatinya untuk meniru perbuatan tukang gunting. Dia pun mengambil gunting lalu menggunting bulu di badan dan kepalanya. Setelah itu dia mengambil pisau cukur pula. Cepat-cepat dia meraut bulu di badannya. Dalam kegopohannya pisau cukur itu memotong sebahagian hidungnya. Kera menjerit kesakitan. Sang Kera mula menyesa kerana meniru apa yang dilakukan oleh tukang gunting itu. Namun semuanya sudah terlambat.

Pengajaran:

Dalam apa jua keadaan sekalipun, kita mestilah mempunyai jati diri dan tidak mudah untuk terikut-ikut dengan apa yang orang lain lakukan. Meniru secara membuta tuli akan merosakkan diri sendiri. Oleh itu, gunakanlah akan fikiran yang waras untuk menimbang baik buruknya sebelum bertindak.

Kembali ke ISI KANDUNGAN

Ahli Majlis Presiden SBM dan Jawatan Bagi Penggal Jun 2006 - Jun 2008

ENCIK MAH HASSAN BIN HJ. OMAR
Presiden
Pengerusi Jawatankuasa Penasihat & Pengurusan Pelaburan

PUAN MAZIAH BTE ABU BAKAR
Naib Presiden
Pengerusi Jawatankuasa ExCo,
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Sosial

TUAN HAJI MOHAMMED NAZARI BIN HJ OTHMAN
Setiausaha Agung
Pengerusi Jawatankuasa Kewangan,
Pengerusi Task Force Pembangunan Tanah Anugerah Kerajaan

PUAN JASMINE KHOO
Bendahari Kehormat SBM

ENCIK ABDUL KHADIR BIN HJ. OSMAN
Pengerusi
Jawatankuasa Pembangunan Usahawan (JPU)

ENCIK ROSHAM BIN SIDEK
Pengerusi
Jawatankuasa Belia dan Sukan (JBS)

ENCIK WONG HUEY SIEW
Pengerusi
Jawatankuasa Pekerjaan dan Pembangunan Komputer (JPPK)

ENCIK TASLIM BIN KOSNI
Pengerusi
Jawatankuasa Informasi dan Kesedaran Awam (JIKA)

ENCIK MOHAMED (ZAKI) BIN ISMAIL PJK
Pengerusi
Jawatankuasa Pendidikan dan Latihan Kepimpinan (JPLK)
Pengerusi Lembaga Penyunting Majalah Wawasan Orang Cacat Penglihatan

ENCIK MOHD GHAZALI BIN TOCHEH
Pengerusi
SBM Cawangan KL / Selangor

ENCIK MAOH ANAK JANTING
Pengerusi
SBM Cawangan Sarawak

ENCIK MOHAMED BIN ISMAIL PJK
Pengerusi
SBM Cawangan Terengganu

ENCIK TAN AH BAH
Pengerusi
SBM Cawangan Pulau Pinang

TUAN HAJI MOHD SAIDI BIN HARUN
Pengerusi
SBM Cawangan Perak

ENCIK MAT DARUS BIN SULAIMAN
Pengerusi
SBM Cawangan Kelantan

ENCIK HARUN BIN AWANG NGAH
Pengerusi
SBM Cawangan Pahang

ENCIK KHUSAINI BIN SAIMON
Pengerusi
SBM Kawasan Johor

ENCIK AIZROL ALFAZ BIN ABDULLAH
Pengerusi
SBM Kawasan Negeri Sembilan

ENCIK RAZALI BIN SUDIN
Pengerusi
SBM Kawasan Melaka

ENCIK MUSA BIN ABD RAHMAN
Pengerusi
SBM Kawasan Kedah

Kembali ke ISI KANDUNGAN

Pejabat Cawangan / Kawasan SBM

PERTUBUHAN ORANG CACAT PENGLIHATAN MALAYSIA
CAWANGAN PULAU PINANG
29 Lorong Inang Dua
Taman Bunga Raya
14000 Bukit Mertajam
Pulau Pinang
Tel./Fax: 04 - 3971649
E-mail: sbmpg@streamyx.com

PERTUBUHAN ORANG CACAT PENGLIHATAN MALAYSIA
CAWANGAN KL/SELANGOR
123A Jalan Sultan Abdul Samad
50470 Kuala Lumpur.
Tel./Fax: 03 - 22742794

PERTUBUHAN ORANG CACAT PENGLIHATAN MALAYSIA
CAWANGAN PAHANG
G46G Jalan Mentakab, Kg. Batu 1
28000 Temerloh
Pahang Darul Makmor
Tel./Fax: 09 - 2964197
E-mail: sbmphg@tm.net.my

PERTUBUHAN ORANG CACAT PENGLIHATAN MALAYSIA
CAWANGAN SARAWAK
Lot 7887 Sublot 61
Tingkat 2. Blok A Queen Court
Jalan Wan Alwi
93350 Kuching,
Sarawak.
Tel./Fax: 082 - 571486
E-mail: pocpm@tm.net.my

PERTUBUHAN ORANG CACAT PENGLIHATAN MALAYSIA
CAWANGAN TERENGGANU
Wisma Promacatera
Lot PT 5970, Kg. Teluk Ketapang
Seberang Takir
21300 Kuala Terengganu
Terengganu Darul Iman
Tel./Fax: 09 - 6661320
E-mail: hbmtrgnu@streamyx.com

PERTUBUHAN ORANG CACAT PENGLIHATAN MALAYSIA
CAWANGAN KELANTAN
Jalan Bekelam
16070 Jelawat
Kelantan Darul Naim
Tel./Fax: 09 - 7780741
E-mail: sbmkltan@tm.net.my

PERTUBUHAN ORANG CACAT PENGLIHATAN MALAYSIA
CAWANGAN PERAK
No. 22B & C, Jalan Medan Kidd
30200 Ipoh
Perak Darul Ridzuan
Tel./Fax: 05 - 2533029
E-mail: sbmcawpk@tm.net.my

PERTUBUHAN ORANG CACAT PENGLIHATAN MALAYSIA
KAWASAN JOHOR
24A Jalan Meranti 2
Taman Sri Pulai
81110 Kangkar Pulai,
Johor Darul Takzim
Tel./Fax: 07 - 5211635

PERTUBUHAN ORANG CACAT PENGLIHATAN MALAYSIA
KAWASAN NEGERI SEMBILAN
56-1/F Jalan Toman 4
Kemayan Square
70200 Seremban
Negeri Sembilan Darul Khusus
Tel./Fax: 06 - 7628548

PERTUBUHAN ORANG CACAT PENGLIHATAN MALAYSIA
KAWASAN KEDAH
No. 221A Kompleks Shahab Perdana,
Jalan Shahab 4,
Off Jalan Sultanah Sambungan
05150 Alor Star, Kedah Darul Aman
Tel./Fax: 04 - 7302568

PERTUBUHAN ORANG CACAT PENGLIHATAN MALAYSIA
KAWASAN MELAKA
No. 35-D-1 Jalan Kenanga 3/25
Taman Kenanga Sek 3
75200 Kampung Lapan, Bachang
Melaka.
Tel./Fax: 06 - 2828710

Kembali ke ISI KANDUNGAN


Dicetak Oleh:Meteor Doc. Sdn. Bhd.
Lot 47-48 Jalan SR 1/9
Seksyen 9 Jalan Serdang Raya
Taman Serdang Raya
43300 Seri Kembangan, Selangor.