(Majalah Rasmi SBM)
Diterbitkan tiga kali setahun
Januari - April 2007
NO. Permit KDN 10066/9/2007
Presiden: Mah Hassan bin Hj. Omar
Penyunting: Mohd Fekkeri bin Mat Jusoh
Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia
(Society of the Blind in Malaysia)
40A, Jalan Padang Belia, 50470 KUALA LUMPUR
Telefon: 03 - 22746162
Faks: 03 - 22743818
E-Mail: admin@sbm.org.my
Ahli-ahli Lembaga Penyunting
Sokonglah Perjuangan Kami
Dari Meja Penyunting
Aktiviti SBM:-
Fokus:-
Forum:-
Berita IT:-
Berita dan Peristiwa:-
Bersama Ahli SBM:-
Sudut Karya:-
Cermin Mutiara:-
Senarai Ahli Majlis Presiden SBM Bagi Penggal
Jun 2006 Hingga Jun 2008
Alamat Pejabat Cawangan dan Kawasan SBM
Pengerusi - Encik Mohamed (Zaki) bin Ismail PJK Pengerusi JPLK
Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM) adalah sebuah organisasi sukarela kebangsaan yang ditubuhkan dan diterajui sendiri oleh warga cacat penglihatan yang mencakupi semua bangsa dan pelbagai lapisan masyarakat.
Objektif pertubuhan adalah untuk meningkatkan taraf kedudukan sosioekonomi orang cacat penglihatan di negara ini serta membimbing mereka supaya menjadi warganegara Malaysia yang berguna dan produktif.
Untuk mencapai matlamat tersebut, kami memerlukan bantuan kewangan yang banyak bagi menampung segala kos yang berhubung dengan pentadbiran, pemberian bantuan, penganjuran pelbagai kegiatan dan aktiviti yang dijalankan di peringkat kebangsaan dan menerusi cawangan-cawangan persatuan ini yang terdapat hampir di setiap negeri di Malaysia.
Semua sumbangan kewangan dalam bentuk cek hendaklah ditulis atas nama Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia dan dihantar ke alamat yang berikut:-
Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia
(Society of the Blind in Malaysia)
40A, Jalan Padang Belia, 50470 KUALA LUMPUR
Telefon: 03 - 22746162
Faks: 03 - 22743818
E-Mail: admin@sbm.org.my
Salam sejahtera.
Kita bertemu sekali lagi setelah empat bulan berlalu sebagaimana kehendak dan keperluan penerbitan berkala ini yang hanya mensasarkan tiga kali penerbitan untuk setahun atau dalam tempoh empat bulan bagi setiap isu. Penerbitan kali ini adalah bagi isu Januari - April 2007.
Kami sentiasa inginkan yang terbaik untuk dipersembahkan. Justeru, kami akan terus melaporkan berita, peristiwa dan perkembangan terkini yang berlaku yang ada hubung kaitnya dengan OKU penglihatan amnya dan Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM) khususnya.
Sebagaimana isu-isu sebelumnya, keluaran kali ini juga terus melaporkan aktiviti dan program terpilih yang dijalankan oleh SBM sama ada di peringkat pusat mahupun di peringkat Cawangan dan Kawasan SBM yang wujud hampir di setiap negeri di Malaysia kecuali di Sabah.
Isu berhubung dengan peluang pekerjaan sememangnya tidak putus-putus diperbincangkan. Yang lebih menarik daripada itu, menerusi ruangan FOKUS, isu kali ini mengetengahkan perbandingan tugas dan tanggungjawab seorang guru pendidikan khas berbanding dengan tugas dan tanggungjawab seorang guru biasa. Sementara, menerusi ruangan sudut karya pula, cerpen kali ini memaparkan sebuah kisah penghidupan yang menyayat hati yang terpaksa dilalui oleh Nurul Ain, ekoran sikap kedua ibu bapa yang sayang tidak bertempat. Malah bukan itu sahaja, banyak lagi pengetahuan dan pengalaman yang boleh diperolehi dengan membaca keseluruhan isu kali ini.
Akhir sekali kita berharap agar penerbitan Majalah Wawasan akan terus menjadi rangsangan dan medan pencetus idea penulis-penulis khususnya yang terdiri daripada ahli-ahli SBM sendiri dan sesiapa sahaja yang berminat untuk terus menyumbangkan hasil nukilan dalam apa bentuk penulisan sekalipun. Yang pasti, setiap bahan yang terpilih untuk diterbitkan akan menerima ganjaran sewajarnya daripada SBM.
Sehubungan itu, jika anda mempunyai sebarang maklumat, cadangan dan artikel untuk dikongsi bersama, sila e-mailkan artikel tersebut kepada admin@sbm.org.my
Terima kasih atas sokongan yang berterusan.
"BERSATU MEMBAWA KEJAYAAN"
Oleh: Saifuddin bin Mohamad - PPN
Pada 4 Mac 2007, semasa perhimpunan mingguan sekolah diadakan. Encik Saifuddin bin Mohamad PPN mewakili Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Latihan Kepimpinan (JPLK), Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM), telah menyampaikan sumbangan RM2,600.00 kepada Pengetua, Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Abd Malek, Alor Star, Kedah.
Sumbangan kewangan ini adalah untuk membiayai kos mengadakan kelas tuisyen subjek Bahasa Melayu pelajar tingkatan enam program inklusif masalah penglihatan di sekolah tersebut yang akan menduduki peperiksaan STPM pada penghujung tahun ini.
SBM melalui JPLK, setiap tahun menyediakan sejumlah peruntukan yang agak besar untuk membantu sekolah pendidikan khas atau program inklusif masalah penglihatan yang memerlukan bantuan bagi melaksanakan aktiviti pembangunan pelajaran murid-murid kurang upaya penglihatan. Mana-mana sekolah atau program inklusif yang memerlukannya bolehlah memajukan permohonan kepada SBM melalui JPLK untuk dipertimbangkan.
SBM berharap sekolah-sekolah lain juga turut menganjurkan aktiviti-aktiviti pendidikan untuk para pelajar kurang upaya penglihatan dan SBM bersedia memberi bantuan sama ada dalam bentuk kepakaran atau kewangan demi menjayakan aktiviti yang pastinya memberi banyak manfaat kepada pelajar-pelajar kurang upaya penglihatan.
Oleh: Mohamed bin Ismail PJK, Pengerusi
Jawatankuasa Belia dan Sukan, SBM Cawangan Terengganu telah berjaya menganjurkan Pertandingan Pingpong Piala Menteri Besar (M.B) pada 9 dan 10 Mac 2007. Pertandingan yang diadakan dua tahun sekali ini dikhususkan kepada cawangan-cawangan SBM sebelah pantai timur yang terdiri daripada SBM Kelantan, SBM Pahang dan SBM Terengganu. Penganjurannya adalah diadakan secara bergilir-gilir dan pada kali ini SBM Terengganu telah diberi kepercayaan sebagai tuan rumah.
Dengan penuh bersemangat, para peserta yang mengambil bahagian dari ketiga-tiga Cawangan SBM telah mula tiba sejak awal-awal pagi 9 Mac, 2007. Pada sebelah malamnya, sesi taklimat telah diadakan dan disampaikan oleh Pengerusi Belia dan Sukan dan Pengerusi SBM Cawangan Terengganu. Undian bagi menentukan pasukan perlawanan turut juga diadakan.
Pada keesokan harinya, pertandingan telah dimulakan dengan perlawanan pertama ialah antara SBM Terengganu dan SBM Kelantan, perlawanan kedua antara SBM Terengganu dan SBM Pahang, manakala perlawanan ketiga pula adalah antara SBM Kelantan dan SBM Pahang.
Pemain-pemain yang mewakili SBM Kelantan adalah terdiri daripada Mustapha bin Yusof, Ramli bin Seman, Latif bin Husin dan Junuh bin Mat. Sementara SBM Pahang pula diwakili oleh Bidin bin Ali, Uyub bin Abdullah, Ehsan bin Mohd, Ooi Kee Bing dan Mohd Bakri bin Md Said. Manakala SBM Terengganu menurunkan pemain-pemain pingpong harapannya yang terdiri daripada Ramli bin Mat Shom, Anwar bin Ismail, Mohd Azaha bin Endut dan mengimport dua orang pemain dari Kuala Lumpur, iaitu Aziz bin Sharif dan Imran bin Abdullah.
Pengadilan sepanjang perlawanan telah diadili oleh Ahmad bin Awang dan Arbian bin Jambot yang didatangkan khas dari Kuala Lumpur. Pertandingan telah dimulakan pada jam 9.00 pagi hingga jam 12.30 malam.
Pertandingan Piala M.B. pada tahun ini telah dapat menyaksikan SBM Terengganu yang juga selaku tuan rumah telah muncul sebagai juara sementara tempat kedua telah dimenangi oleh SBM Kelantan dan tempat ketiga dimenangi oleh SBM Pahang.
Pertandingan telah dapat dijalankan dengan lancar tanpa sebarang insiden yang tidak diingini. Upacara penutup dan penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Encik Mohamed bin Ismail, Pengerusi SBM Cawangan Terengganu pada jam 3.00 petang 10 Mac 2007.
Pada 13 dan 14 April 2007, (Jumaat dan Sabtu), iaitu selama dua hari, SBM Cawangan Terengganu telah mengadakan sukan tahunannya bertempat di premisnya sendiri. Seramai 60 orang ahli SBM Terengganu berserta keluarga masing-masing telah turut hadir dan mengambil bahagian dalam pelbagai pertandingan yang telah diadakan.
Bagi pertandingan catur, Encik Ramli Mat Shom telah menduduki tempat pertama, diikuti Encik Che Ibrahim bin Che Man, di tempat kedua dan Encik Mohammad Abdul Nasir di tempat ketiga. Manakala bagi pertandingan dam telah dimenangi oleh Encik Mohammad Abdul Nasir, di tempat pertama, Encik Ramli Mat Shom di tempat kedua dan Encik Che Ibrahim bin Che Man di tempat ketiga.
Bagi acara sukaneka, pelbagai pertandingan juga telah diadakan untuk semua ahli, termasuk ahli bersekutu dan anak ahli. Antara acara-acara yang dipertandingkan termasuklah pertandingan lumba jalan kaki lelaki dan wanita, terompah gergasi, berlari sambil menjunjung air, membawa bola pingpong dalam sudu, boling kelapa dan mengisi air dalam botol dan banyak lagi.
Ahli-ahli bersekutu juga diberi peluang untuk bertanding di dalam acara yang disediakan iaitu membawa bola pingpong dalam sudu dan boling kelapa dengan menutup mata. Acara sukaneka telah diakhiri dengan acara meneka barang misteri. Semua yang hadir dihidangkan dengan makan tengah hari. Upacara penutup dan penyampaian hadiah telah diadakan sebaik sahaja selesai makan tengah hari yang telah disempurnakan oleh Encik Ismail bin Mamat, selaku Naib Pengerusi SBM Cawangan Terengganu.
Pada 22 April 2007, di bawah kelolaan Jawatankuasa Usahawan SBM Cawangan Terengganu yang dipengerusikan oleh Encik Ismail bin Mamat, satu lawatan sambil belajar ke Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Padang Pak Amat, Pasir Puteh, Kelantan telah diadakan. Lawatan sambil belajar ini telah disertai oleh seramai 13 orang ahli biasa dan dibantu oleh 2 orang ahli bersekutu yang berminat dalam bidang keusahawanan.
Sebaik sahaja sampai pada jam 9.50 pagi setelah menghabiskan masa selama dua jam dalam perjalanan, peserta lawatan telah dihidangkan dengan sarapan pagi sebelum di bawa ke bilik taklimat untuk diberi penerangan tentang aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh pihak MARDI Pasir Puteh, di samping pendedahan dan pengetahuan berhubung dengan cara-cara untuk membuat cuka dan memproses sos cili. Taklimat telah disampaikan oleh Penyelia Makmal Teknologi Pemprosesan Makanan MARDI, Encik Wan Mohamed @ Adnan bin Ab. Hamid.
Setelah selesai taklimat kira-kira jam 11.30 pagi, peserta lawatan telah dibawa ke kilang membuat cuka dan sos. Di sini peserta diberi peluang untuk membuat latihan secara praktikal bagi menghasilkan cuka dan sos cili. Sebelum pulang, peserta lawatan telah dibekalkan dengan cuka dan sos yang dibuat sendiri.
Walaupun dalam tempoh yang singkat, lawatan ini dianggap sangat berjaya dan sangat bermanfaat bagi peserta rombongan kerana telah mendapat pengetahuan tentang cara-cara untuk membuat cuka dan memproses sos cili yang boleh dijadikan sebagai suatu sumber pendapatan jika diusahakan secara komersial. Rombongan telah bertolak pulang pada jam 1.30 tengah hari.
Oleh: Mat Darus bin Sulaiman, Pengerusi
Sesebuah organisasi yang teguh sudah semestinya mempunyai barisan kepimpinan yang berwibawa. Untuk membolehkan sesebuah organisasi itu bertahan lebih lama merentasi dekad demi dekad sudah tentu ada golongan pelapis yang akan meneruskan kepimpinan sekali gus meneruskan perjuangan. Bak kata pepatah "Yang patah kan tumbuh, yang hilang kan berganti". Menyedari hakikat itulah, SBM Cawangan Kelantan telah mengadakan kursus kepimpinan kepada semua Ahli Jawatankuasanya dan beberapa orang ahli biasa. Kursus selama dua hari itu telah diadakan pada 11 hingga 13 Mac 2007, bertempat di Redwans Beach Resort Melawi, Bachok, Kelantan. Kursus ini telah dihadiri oleh seramai 15 orang ahli SBM Cawangan Kelantan.
Penceramah terdiri daripada Encik Mat Darus Sulaiman, Pengerusi SBM Cawangan Kelantan, Encik Mohamed Ismail PJK Pengerusi SBM Cawangan Terengganu dan Tn. Hj. Mohamed Nazari Hj. Othman, Setiausaha Agung SBM.
Pada hari pertama kursus iaitu pada 12 Mac 2007, kertas kerja pertama yang bertajuk "Sikap Yang Perlu Ada Pada Seorang Pemimpin" telah dibentangkan oleh Encik Mat Darus bin Sulaiman. Kemudian diadakan satu bengkel. Dalam bengkel tersebut para peserta dibahagikan kepada tiga kumpulan. Setiap kumpulan diberi pilihan untuk menulis laporan atau minit mesyuarat.
Pada jam dua petang, pembentangan kertas kerja kedua yang berjudul "Peranan Ahli Jawatankuasa Dalam SBM" oleh Tn. Hj. Mohamed Nazari bin Hj. Othman, Setiausaha Agung SBM. Sementara pada sebelah malamnya pula telah diadakan latihan pengucapan awam. Semua peserta diberi peluang untuk menyampaikan ucapan masing-masing dan dikomen oleh Tn. Hj Mohamed Nazari bin HJ. Othman.
Pada hari berikutnya, pembentangan kertas kerja ketiga yang berjudul "Kepimpinan Yang Berkesan" telah disampaikan oleh Encik Mohamed bin Ismail PJK, Pengerusi SBM Cawangan Terengganu. Selain daripada itu, hasil kerja bengkel telah dibentangkan oleh ketua kumpulan masing-masing. Hasil kerja bengkel ini telah dikomen oleh Setiausaha Agung SBM. Beliau berpendapat para peserta telah menunjukkan kerjasama dalam berkumpulan bagi menghasilkan kerja yang baik.
Pada jam 11.00 pagi, rumusan dan perasmian penutupan kursus kepimpinan telah disempurnakan oleh Tn. Hj. Mohamed Nazari bin Hj. Othman mewakili Presiden SBM. Beliau juga telah menyampaikan Sijil Penyertaan kepada para peserta kursus. Sebelum berpisah, semua yang hadir telah dihidangkan dengan makan tengah hari.
Kursus ini berakhir dengan jayanya. SBM Kelantan telah membelanjakan sebanyak RM 2,457.00 bagi menjayakan kursus ini yang meliputi pelbagai kos termasuk tambang perjalanan, penginapan, sewa dewan, makan dan minum. Usaha ini hendaklah diteruskan dari semasa ke semasa bagi melahirkan pemimpin yang berwibawa.
Pada 21 April 2007, bersempena dengan Hari Keluarga SBM Cawangan Kelantan, pertandingan karaoke telah diadakan bertempat di Dewan SBM Cawangan Kelantan, Jalan Bekelam, Jelawat, Kelantan, bermula jam 10.00 pagi.
Kehadiran ahli amatlah menggalakkan. Bilangan peserta yang mengambil bahagian ialah seramai 17 orang. Ini adalah bilangan yang paling ramai sepanjang 12 tahun aktiviti ini diadakan.
Pertandingan bermula jam 10.30 pagi. Sebelum diumumkan nama-nama pemenang pertandingan, para jemputan dipersilakan menikmati minuman ringan. Tempat pertama dimenangi oleh Siti Rahmah binti Yaacob, tempat kedua oleh Syed Sharifuddin bin Syed Ahmad dan tempat ketiga oleh Mat Yaacob bin Majid. Hadiah kepada pemenang telah disampaikan oleh pengerusi Jawatankuasa Sukan & Rekreasi SBM Cawangan Kelantan, Encik Mustapha Jusoh. Setelah pertandingan berakhir, semua yang hadir dijemput menikmati hidangan tengah hari.
Oleh: Habsah binti Saad, Setiausaha
Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia Cawangan Pulau Pinang memulakan aktiviti yang pertama bagi tahun 2007 dengan mengadakan majlis tahun baru. Pada majlis itu juga, penyampaian sijil kursus refleksologi bagi ahli-ahli yang tamat kursusnya pada 7 Januari 2007 telah disempurnakan.
Seramai 100 orang telah menghadiri majlis tersebut termasuk ahli dan pengiring. Penceramah juga telah dijemput bagi menyampaikan ceramah yang berkaitan dengan cara-cara untuk menjadi seorang usahawan yang berjaya.
Majlis tersebut telah dapat diadakan dengan suasana yang agak meriah kerana semua yang hadir bukan sahaja telah dihidangkan dengan makan dan minum malah dapat membawa pulang pelbagai hadiah daripada pelbagai acara yang diadakan lantaran banyak menerima hadiah dari penaja-penaja yang sudi memberikan sumbangan.
Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Sosial telah mengadakan Kelas Kraf Tangan pada 4 Februari 2007. Seramai 5 orang ahli mendaftar bagi mengikuti kursus tersebut. Tenaga pengajarnya adalah Pn. Maziah @ Jamilah Abu Bakar, Naib Presiden SBM.
Dengan adanya aktiviti sedemikian, ahli-ahli dapat mengisi masa lapang mereka dengan menghasilkan kraf tangan yang berasaskan manik di samping menambahkan pendapatan.
Memandangkan refleksologi masih lagi mendapat tempat di kalangan ahli-ahli, maka Jawatankuasa Pembangunan Usahawan SBM Pulau Pinang membuka peluang kepada ahli-ahlinya yang berminat tetapi belum berpeluang untuk mengikuti kursus refleksologi.
Sesi pertama kursus tersebut telah diadakan pada 4 Mac 2007 yang lalu. Seramai 8 orang peserta telah menyertainya. Peserta kursus perlu melalui beberapa sesi bagi melengkapkannya. Sesi-sesi seterusnya akan diadakan dari masa ke semasa.
Pada 8 April 2007, di bawah kelolaan Jawatankuasa Sukan dan Rekreasi SBM Pulau Pinang, seramai 11 orang ahli telah mengikuti kursus boling bagi sesi pertama yang telah diadakan di Ampang Superbowl, Summit, Bukit Mertajam.
Program ini bertujuan menyediakan pasukan boling SBM Cawangan Pulau Pinang yang akan bertanding di peringkat kebangsaan dalam bulan September 2007. Sesi kedua pula akan diadakan dalam jangka masa yang terdekat.
Pada 27 hingga 29 April 2007, Jawatankuasa Sukan dan Rekreasi SBM Pulau Pinang telah mengadakan lawatan jarak jauh dan kali ini ke Terengganu. Lawatan selama tiga hari ini mendapat sambutan yang sangat menggalakkan. Seramai 44 orang termasuk ahli dan pengiring mengikuti lawatan tersebut. Banyak tempat menarik yang telah dilawati di sekitar Kuala Terengganu.
Oleh: Hashim bin Ishak, Setiausaha
Seramai 15 orang ahli SBM Kawasan Melaka telah menghadiri kursus membuat mi kuning di Pusat Latihan Pertanian Sungai Udang, Melaka pada 21 Mac 2007. SBM Melaka telah mengambil langkah proaktif bekerjasama dengan Jabatan Pertanian melalui Pusat Latihan Pertanian Sungai Udang untuk mengadakan satu kursus memproses makanan membuat mi kuning bersama-sama peserta biasa yang lain.
Lebih kurang 40 peserta telah menyertai kursus itu, Turut ikut serta dalam kumpulan 15 orang ahli SBM ialah 5 orang ahli yang mewakili Jawatankuasa Pembangunan Usahawan Pusat. Inilah julung kali Pusat Latihan Pertanian Sungai Udang, Melaka menerima orang cacat penglihatan menyertai kursus yang diadakannya. Kursus berjalan selama sehari itu telah berlangsung dengan jayanya.
Ahli-ahli SBM rata-rata telah menyambut baik dan telah melahirkan rasa puas hati mereka mengikuti secara aktif kursus tersebut. Bagi SBM Melaka, program ini telah membuka peluang kepada ahli-ahli SBM Melaka mendapat dan menerima ilmu pembuatan mi kuning. Mudah-mudahan ilmu yang telah dipelajari itu dapat digunakan bagi meningkatkan sumber pendapatan.
Pusat Latihan Pertanian Sungai Udang sememangnya mengadakan berbagai-bagai kursus jangka pendek yang dibuka kepada individu dan kumpulan sepanjang tahun dalam bidang pemprosesan makanan seperti membuat air kacang soya, cincau, tauge, cendol dan tempe. Juga turut diadakan ialah kursus menjahit kain langsir dan simenfero. Memandangkan sambutan untuk kursus yang telah berlangsung itu adalah sangat baik, SBM Melaka, JPU SBM dan Pusat Latihan Pertanian Sungai Udang sedang merancang untuk membuka peluang bagi membolehkan ahli-ahli SBM mengikuti kursus-kursus yang dikendalikan di pusat latihan ini pada masa-masa akan datang.
Oleh: Zailina bte Sahat, Kuala Lumpur
Nota: Zailina bte Sahat adalah seorang guru bermasalah penglihatan yang kini sedang bertugas di salah sebuah sekolah pendidikan khas di Kuala Lumpur.
Guru pendidikan khas merupakan salah satu komponen penting untuk menjayakan program pendidikan khas. Mereka bertugas sama ada di sekolah segregasi atau Program Integrasi. Menurut Ten Shin Min (1986), guru pendidikan khas merupakan guru terlatih yang pernah mengikuti latihan perguruan khas dalam bidang pendidikan khas.
Pada umumnya tugas, peranan dan tanggungjawab yang dipikul oleh seorang guru khas mungkin lebih sedikit jika dibandingkan dengan tugas, peranan dan tanggungjawab yang perlu dipikul oleh seorang guru biasa. Namun, hakikatnya apabila dikatakan sebagai guru, semuanya inginkan para pelajarnya berjaya dalam apa yang mereka cita-citakan. Dalam hal ini, aspek kemahiran yang perlu dikuasai oleh seorang guru yang mengajar pelajar berkeperluan khas bermasalah penglihatan dengan seorang guru yang mengajar pelajar biasa sudah tentu terdapat beberapa perbezaan yang ketara memandangkan keperluan pelajar itu sendiri yang jauh berbeza.
Semua tugas, peranan dan tanggungjawab seorang guru biasa yang mengajar di sekolah biasa juga merupakan tugas, tanggungjawab dan peranan yang harus dipikul oleh seorang guru pendidikan khas yang mengajar di sekolah pendidikan khas bermasalah penglihatan baik dalam aspek akademik, kokurikulum dan juga pentadbiran.
Dalam aspek akademik misalnya, seseorang guru pendidikan khas yang mengajar di sekolah pendidikan khas bermasalah penglihatan juga diperuntukkan sejumlah waktu yang tertentu dalam seminggu untuk mengajar mata pelajaran akademik mengikut kelayakan masing-masing. Dengan kata lain, guru berkenaan juga perlu membuat persediaan mengajar sebelum masuk ke dalam kelas untuk mengajar mata pelajaran akademik seperti Sejarah, Matematik, Ekonomi, Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan sebagainya. Dalam hal ini, guru-guru yang mengajar sekolah pendidikan khas masalah penglihatan juga mengikut sukatan pelajaran yang sama dengan sekolah biasa tanpa sebarang pengubahsuaian dari segi isi kandungan pelajaran. Hal ini demikian kerana pelajar bermasalah penglihatan juga akan menduduki peperiksaan awam yang sama seperti pelajar-pelajar normal sama ada peperiksaan UPSR, PMR, SPM, STPM dan lain-lain peperiksaan dengan menggunakan soalan peperiksaan yang sama dengan sedikit pengubahsuaian jika perlu.
Dalam aspek kokurikulum pula, guru-guru yang mengajar di sekolah pendidikan khas masalah penglihatan juga memikul tanggungjawab yang sama dengan guru-guru biasa untuk mengajar kokurikulum yang terdiri daripada kegiatan badan beruniform seperti Pengakap dan Pandu Puteri. Aktiviti kelab dan persatuan seperti persatuan Bahasa Melayu, Persatuan Sejarah serta aktiviti sukan dan permainan.
Guru yang mengajar di sekolah pendidikan khas bermasalah penglihatan juga memikul tanggungjawab yang sama seperti guru yang mengajar di sekolah biasa dalam aspek pentadbiran di mana mereka juga terpaksa menjalankan pelbagai tugas dan tanggungjawab dengan memegang pelbagai jawatan seperti sebagai Guru Penolong Kanan (GPK) Hal Ehwal Murid, GPK Kokurikulum. Bertanggungjawab berhubung dengan Skim Pinjaman Buku Teks, menguruskan hal-hal yang berhubung dengan kebajikan pelajar, sebagai ketua panitia, memegang jawatan tertentu dalam Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan lain-lain jawatan yang bersesuaian bukan setakat di peringkat sekolah malahan ada juga yang terlibat dengan memegang beberapa jawatan rasmi di peringkat daerah dan juga negeri atau di tahap yang lebih tinggi.
Lebih daripada itu, guru-guru yang mengajar di sekolah pendidikan khas bermasalah penglihatan juga memikul tugas dan tanggungjawab yang lebih besar. Dalam situasi-situasi tertentu, guru juga berperanan sebagai ibu bapa angkat kepada pelajar-pelajar istimewa ini. Tidak terhad kepada tugas-tugas di bilik darjah dan aktiviti kokurikulum, guru-guru juga perlu melakukan pelbagai tugas dan tanggungjawab di luar bilik darjah dan di luar waktu bekerja seperti mengajar pelajar dalam aspek-aspek penjagaan diri, berdikari dan juga orientasi dan mobiliti.
Walaupun tugas dan tanggungjawab yang dipikul oleh guru biasa dan guru yang mengajar pelajar bermasalah penglihatan hampir sama namun dari aspek kemahiran yang perlu dikuasai oleh mereka adalah jauh berbeza. Misalnya, guru yang mengajar di sekolah pendidikan khas bermasalah penglihatan perlu menguasai kemahiran Braille. Hal ini penting memandangkan braille adalah media utama yang digunakan oleh pelajar bermasalah penglihatan. Seorang guru yang tidak dapat menguasai kemahiran braille samalah seperti seorang guru yang tidak menguasai abjad ABC. Justeru apakah kemahiran yang dapat diajar sekiranya kemahiran asas ini tidak dapat dikuasai oleh seorang guru yang mengajar pelajar bermasalah penglihatan.
Dalam aspek ini, kemahiran braille yang perlu dikuasai oleh seorang guru yang mengajar pelajar bermasalah penglihatan adalah berkaitan dengan mata pelajaran yang mereka ajar sama ada kemahiran Kod Braille Bahasa Melayu, Kod Braille Bahasa Inggeris, Kod Braille Sains, Kod Braille Matematik, Kod Braille Jawi dan Kod Braille Muzik. Walau bagaimanapun, setiap orang guru yang mengajar pelajar bermasalah penglihatan sekurang-kurangnya perlu mengetahui dua Kod Braille asas iaitu Kod Braille Bahasa Melayu dan Kod Braille Bahasa Inggeris. Kemahiran ini sudah tentu tidak perlu dikuasai oleh guru yang mengajar di sekolah biasa.
Selain daripada itu, guru yang mengajar di sekolah pendidikan khas bermasalah penglihatan juga perlu menguasai teknik-teknik untuk menghasilkan gambar rajah timbul. Hal ini penting kerana dengan penggunaan gambar rajah timbul, sesuatu pengajaran akan menjadi lebih berkesan dan hanya kaedah ini sahajalah yang dapat membantu pelajar bermasalah penglihatan dalam merealisasikan penggunaan apa-apa gambar rajah dan peta.
Guru-guru yang mengajar pelajar bermasalah penglihatan di sekolah-sekolah khas juga perlu menguasai kaedah dan teknik pengajaran yang tertentu. Antara lain pengajaran secara "chalk and talk" tidak sesuai untuk diaplikasikan apabila mengajar pelajar yang bermasalah penglihatan walaupun di dalam kelas berkenaan terdapat juga pelajar yang rabun. Hal ini demikian kerana pada kebiasaannya pelajar rabun masih tidak dapat memanfaatkan apa yang tertulis di papan hitam lantaran batasan penglihatan yang ada pada mereka.
Hal ini lebih tidak berguna lagi kepada pelajar yang langsung tidak dapat melihat. Justeru, pengajaran secara auditori adalah kaedah yang paling baik. Segala penerangan, arahan dan penjelasan perlulah diungkapkan dengan kata-kata. Sekiranya pelajar masih tidak dapat memahami apa yang diucapkan, maka kaedah yang lebih sesuai adalah memberikan penerangan dan penjelasan secara individu. Contoh-contoh yang diutarakan perlulah dalam lingkungan pengetahuan pelajar dan penggunaan barangan atau peralatan yang maujud adalah sangat berkesan. Bahan-bahan yang dikemukakan perlulah diberi peluang kepada pelajar untuk menyentuh dan merabanya di samping pada masa yang sama diberikan penjelasan secara terperinci supaya pelajar akan mendapat gambaran yang lebih tepat.
Guru-guru yang mengajar pelajar bermasalah penglihatan juga perlu menguasai kemahiran untuk membuat pengubahsuaian. Dalam aspek ini, seorang guru itu perlulah bersifat kreatif. Sebagai contoh, dalam pengajaran membuat karangan berpandukan gambar misalnya, para pelajar bermasalah penglihatan sudah pasti tidak mendapat manfaat daripada gambar yang ditunjukkan. Justeru, guru mestilah membuat pengubahsuaian dengan memberikan keterangan tentang aspek-aspek yang digambarkan oleh setiap gambar yang ditunjukkan bagi membolehkan pelajar berkenaan membina imaginasi untuk menghasilkan penulisan berdasarkan gambar rajah yang ditunjukkan.
Pengubahsuaian juga banyak dilakukan dalam aspek sukan dan permainan. Dalam permainan catur misalnya, bentuk buah hitam adalah lebih tajam berbanding dengan buah putih. Selain daripada itu, papan-papan catur juga perlu ditebuk supaya buah-buah catur dapat ditegakkan dan tidak mudah rebah atau beralih tempat apabila disentuh oleh pelajar yang bermasalah penglihatan.
Demikian juga dalam beberapa perkara lain yang mana beberapa pengubahsuaian perlu dilakukan supaya apa yang tidak dapat dilakukan oleh pelajar bermasalah penglihatan yang akhirnya dapat juga dilakukan oleh mereka setelah dilakukan pengubahsuaian.
Selain daripada itu, guru-guru yang mengajar pelajar bermasalah penglihatan di sekolah pendidikan khas juga perlu menguasai kemahiran orientasi dan mobiliti. Kemahiran ini perlu dikuasai memandangkan ia adalah teknik-teknik yang sistematik yang boleh diaplikasikan oleh para pelajar bermasalah penglihatan dalam mengharungi kehidupan harian mereka dengan lebih bermakna. Ia adalah berkaitan dengan penggunaan tongkat putih secara sistematik, cara bergerak dari satu tempat ke suatu tempat yang lain dengan selamat. Bagaimana untuk bersosial, menggunakan peralatan berisiko seperti pisau, peralatan elektrik dan sebagainya dengan selamat. Jadi ia merupakan tugas dan tanggungjawab guru pendidikan khas untuk mengajarnya kepada pelajar bermasalah penglihatan.
Selain daripada kemahiran-kemahiran di atas, kemahiran lain yang juga perlu dikuasai oleh guru yang mengajar pelajar bermasalah penglihatan di Sekolah Pendidikan Khas adalah dari aspek kemahiran kraf tangan. Hal ini penting kerana walaupun pada hakikatnya tiada perbezaan dari segi kandungan mata pelajaran yang diajar di Sekolah Pendidikan Khas Bermasalah Penglihatan dengan sekolah biasa, namun dalam subjek lukisan dan kemahiran hidup, sedikit pengubahsuaian biasanya dibuat. Bagi kedua-dua mata pelajaran ini, pelajar bermasalah penglihatan biasanya diajar dengan pelbagai kemahiran yang berkaitan dengan kehidupan harian seperti pengurusan diri, kebersihan, kekemasan, berdikari dan juga pelbagai corak kraf tangan seperti anyaman rotan, mengait benang dan sebagainya yang akhirnya boleh digunakan oleh para pelajar itu sebagai punca pendapatan.
Lebih daripada itu, guru yang mengajar pelajar bermasalah penglihatan di Sekolah Pendidikan Khas Bermasalah Penglihatan ialah dari aspek kemahiran untuk membaiki peralatan braille. Mesin braille yang digunakan oleh para pelajar bermasalah penglihatan memerlukan kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan. Memandangkan kos penyelenggaraan dan pembaikan bagi peralatan braille ini adalah agak mahal dan akan mengambil masa yang lama, justeru demi untuk mengelakkan daripada terjejasnya proses pembelajaran murid, kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan ini perlu dilakukan oleh guru-guru yang mengajar di sekolah ini.
Bersesuaian dengan era kemajuan dalam bidang komputer dewasa ini, banyak peralatan bagi kemudahan pelajar bermasalah penglihatan juga menggunakan kemudahan komputer. Sebagai contoh, dengan menggunakan "Software Duxbary", semua cetakan biasa boleh dipindahkan kepada tulisan braille dan dengan menggunakan mesin "emboser" tulisan braille dapat dihasilkan secara cetakan berkomputer. Pelajar bermasalah penglihatan dewasa ini juga boleh menggunakan komputer biasa dengan menggunakan perisian bersuara seperti "JAWS" "Vocal-Eyes" "DECtalk PC" "Appollo 2" dan sebagainya. Sementara bagi pelajar-pelajar yang masih lagi mempunyai sisa penglihatan khususnya pelajar rabun, pelbagai perisian seperti "Zoom Text, Super-Nova" dapat digunakan bagi membesarkan saiz text pada skrin. Justeru, guru yang mengajar pelajar bermasalah penglihatan khususnya di sekolah Pendidikan Khas Bermasalah penglihatan sudah semestinya perlu menguasai kemahiran teknologi yang digunakan oleh golongan ini.
Sebagai kesimpulannya, seorang guru pendidikan khas, yang mengajar pelajar bermasalah penglihatan seharusnya mempunyai peranan dan perlu menguasai beberapa kemahiran yang tertentu. Guru pendidikan khas seharusnya berupaya untuk menjelaskan perkembangan semasa dalam pendidikan, menginterpretasikan laporan dan memperoleh maklumat daripada pelbagai sumber (profesion), mengubahsuai dan menggunakan instrumen-instrumen penilaian, membuat laporan dan menyimpan rekod, mengembangkan strategi-strategi individu dan memilih serta menggunakan teknologi-teknologi yang sesuai untuk mencapai objektif tertentu. Guru pendidikan khas juga perlu mahir untuk melaksanakan dan mengekalkan perancangan yang umum dan menyediakan serta mendapatkan bahan-bahan pengajaran yang telah diubahsuai. Mereka juga bertanggungjawab untuk mewujudkan sesuatu persekitaran pembelajaran yang optimum bagi pelajarnya.
Pada hakikatnya, tugas dan tanggungjawab yang dipikul oleh seorang guru pendidikan khas sebenarnya lebih berat jika dibandingkan dengan tugas dan tanggungjawab seorang guru biasa. Namun, sejauh mana tugas dan tanggungjawab itu dilaksanakan terpulanglah kepada individu itu sendiri.
Oleh: Khairuddin bin Wahab, UKM, Bangi
Nota: Khairuddin bin Wahab adalah seorang guru bermasalah penglihatan yang terpilih untuk mengikuti Program Khas Pengsiswazahan Guru (PKPG) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, dalam bidang Pendidikan Khas Masalah Penglihatan.
Mengikut Encyclopaedia of Special Education (1987), cacat penglihatan merupakan satu istilah yang merujuk kepada mereka yang tidak mempunyai daya penglihatan. Dalam konteks pendidikan khas, mereka yang cacat penglihatan akan belajar melalui kaedah tektual, auditori dan pengalaman estetik tanpa memerlukan daya penglihatan.
Konsep cacat penglihatan dapat dihuraikan daripada dua perspektif iaitu perundangan dan pendidikan. Danial P. Hallahan dan James M. Kauffman (2000), telah menghuraikan kedua-dua perspektif mengenai cacat penglihatan. Dari sudut perundangan, ahli-ahli perubatan mengkategorikan seseorang itu sama ada bermasalah penglihatan atau tidak berdasarkan aspek Ketajaman penglihatan (Visual acuity) dan Lapangan penglihatan (Field of Vision).
Seseorang itu boleh dikategorikan sebagai bermasalah penglihatan secara perundangan apabila ketajaman penglihatan seseorang itu adalah 20/200 atau kurang pada mata yang terbaik dengan pembetulan. Perpecahan 20/200 jika seseorang yang mempunyai penglihatan normal boleh melihat sesuatu objek sejauh 200 kaki, maka ketajaman penglihatan bagi orang yang mempunyai masalah penglihatan hanya dapat melihat objek tersebut dalam lingkungan jarak 20 kaki.
Sementara dari aspek lapangan penglihatan (Field of Vision) mengikut perspektif perundangan, lapangan penglihatan bagi orang cacat penglihatan pula adalah tidak lebih daripada 20 darjah pada keluasan diameter. Sebaliknya, keupayaan penglihatan bagi orang biasa adalah 180 darjah.
Selain daripada orang cacat penglihatan (buta), terdapat satu lagi kategori orang cacat penglihatan, iaitu penglihatan separa atau rabun (partially sighted). Ketajaman penglihatan bagi kategori ini adalah di antara 20/70 dan 20/200 pada mata yang terbaik dengan pembetulan.
Jika kita melihat istilah orang cacat penglihatan dari perspektif perundangan, ia kelihatan mempunyai banyak kontroversi. Ini adalah kerana ramai daripada mereka yang dikenali sebagai buta masih melihat. Jika melihat daripada perspektif pendidikan, definisi orang cacat penglihatan lebih menekankan kaedah pengajaran dan pembelajaran. Ahli pendidikan berpendapat bahawa golongan penglihatan terhad adalah mereka yang masih berupaya melihat bahan cetakan.
Gallagher Kirk dan Anastasiow (2000) membincangkan istilah cacat penglihatan dari perspektif pendidikan khas. Mereka berpendapat bahawa cacat penglihatan boleh diklasifikasikan kepada tiga kategori yang utama iaitu:
Oleh: Zamzuri bin Ghani
Nota: Zamzuri Ghani adalah seorang OKU Penglihatan berkelulusan Sarjana dalam bidang Kaunseling. Merupakan seorang penceramah bebas dalam bidang tersebut.
Peluang pekerjaan yang terhad dan kesukaran orang-orang cacat penglihatan mendapat pekerjaan adalah fenomena yang tidak dapat dielak oleh golongan ini. Ia disebabkan oleh pelbagai faktor iaitu keterbatasan daya penglihatan, persepsi negatif majikan dan pekerja yang tidak cacat, sikap orang-orang cacat penglihatan itu sendiri, faktor guna tenaga, perkembangan teknologi dan lain-lain. Keadaan seumpama ini menyebabkan kebanyakan orang-orang cacat penglihatan hanya menceburi sektor pekerjaan tertentu sahaja dan kebanyakan mereka bertumpu di Lembah Klang. Namun begitu, sebenarnya tidak ada data dan rekod statistik yang jelas dan tepat dari mana-mana NGO yang berkaitan dengan orang-orang cacat penglihatan berkaitan dengan hal ini. Kalau ada pun kebanyakannya adalah maklumat lama dan tidak boleh digunakan lagi untuk menggambarkan populasi kajian. Ini terbukti apabila saya dan rakan-rakan dari Universiti Malaya yang telah berhadapan dengan masalah untuk mendapatkan data-data terkini berkaitan dengan pekerjaan orang-orang cacat penglihatan. Justeru saya berharap agar satu inisiatif baru dilakukan oleh SBM bagi mengumpulkan data terkini yang berkaitan dengan pekerjaan orang-orang cacat penglihatan dari masa ke semasa bagi digunakan untuk tujuan kajian dan pembangunan kerjaya orang-orang cacat penglihatan itu sendiri.
Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh saya dan rakan-rakan dari Universiti Malaya, kebanyakan orang-orang cacat penglihatan yang bekerja lebih tertumpu di Lembah Klang dan mereka terlibat dengan pekerjaan seperti operator telefon, juru urut, juru trengkas, guru, pensyarah, juru teknik audio, juru Braille, pegawai dalam sektor awam dan lain-lain. Malah ramai juga yang bekerja sendiri seperti menjual tisu, pemuzik jalanan dan seumpamanya demi menyara hidup masing-masing. Perbincangan kita kali ini akan menumpukan perhatian kepada isu-isu kerjaya yang berkaitan dengan pekerjaan-pekerjaan ini kerana ia paling banyak diceburi oleh orang-orang cacat penglihatan.
Kegawatan Ekonomi yang bermula pada tahun 1998 sedikit sebanyak telah memberi impak negatif kepada pekerja cacat penglihatan yang bekerja di sektor swasta. Ada di antara mereka yang bekerja sebagai operator telefon dan perkilangan telah diberhentikan kerja. Keadaan ini telah menambahkan bilangan golongan cacat penglihatan yang menganggur. Fenomena ini juga menyebabkan banyak syarikat swasta terpaksa "gulung tikar" dan yang mana masih dapat bertahan telah mengambil langkah drastik bagi mengurangkan kos operasi dengan mengurangkan kakitangan mereka. Justeru permintaan di pasaran untuk jawatan operator telefon agak lembap dan tidak ramai orang cacat penglihatan yang ditawarkan jawatan ini.
Selain itu, jawatan sebagai operator telefon yang ditawarkan juga memerlukan penjawatnya melakukan kerja-kerja lain seperti menyambut tetamu, menjadi receptionist, dan lain-lain bukan semata-mata menjawab telefon sahaja. Keadaan ini memberi sedikit kesukaran kepada golongan cacat penglihatan terutama mereka yang tidak dapat melihat langsung. Tambahan pula, mereka terpaksa bersaing dengan mereka yang celik yang sudah tentulah memberi banyak kelebihan kepada mereka berbanding dengan mereka yang cacat penglihatan.
Di samping itu, perkembangan teknologi ICT dan komunikasi juga telah memberi kesan kepada jawatan operator telefon terutamanya kepada golongan cacat penglihatan. Penggunaan sistem komputer yang memerlukan penglihatan dan kos yang tinggi yang terpaksa ditanggung oleh majikan bagi menyediakan teknologi yang bersesuaian bagi kegunaan golongan cacat penglihatan telah memberi kesukaran kepada mereka untuk menjawat jawatan ini. Senario ini telah mengurangkan lagi peluang pekerjaan di kalangan golongan cacat penglihatan.
Kalau dulunya peluang untuk orang-orang cacat penglihatan menjawat jawatan ini amat mudah sekali, kini ia tidak mudah lagi. Apa yang berlaku pada waktu ini ialah ada segelintir golongan yang cacat penglihatan yang telah mendapat latihan dalam bidang operator telefon masih menganggur.
Bagi mereka yang tidak mendapat pekerjaan sebagai operator telefon, menceburi bidang urut adalah satu alternatif bagi mereka walaupun mungkin mereka tidak begitu berminat menjadi seorang juru urut. Tetapi bagi yang bekerja mereka menceburi bidang urut ini adalah kerana untuk menambahkan pendapatan mereka akibat dari kos sara hidup yang meningkat dan untuk mendapatkan wang lebihan demi kesenangan hidup. Tidak ketinggalan juga mereka yang telah diberhentikan kerja yang kini telah berhijrah kepada pekerjaan juru urut.
Kegawatan ekonomi yang berlaku di Negara kita telah memberi impak yang besar terhadap kerjaya sebagai operator telefon di kalangan orang-orang cacat penglihatan selain dari perkembangan teknologi dan wujudnya persaingan oleh orang-orang yang celik. Natijahnya, peluang untuk orang-orang cacat penglihatan menjawat jawatan ini dalam sektor swasta terutamanya semakin terhakis. Oleh yang demikian, bagi individu yang cacat penglihatan yang berminat untuk menjadi operator telefon sudah tentulah mereka mestilah berusaha lebih gigih untuk meningkatkan penampilan diri dan keupayaannya berkomunikasi dengan baik dalam Bahasa Melayu dan Inggeris semasa temuduga bagi memikat hati majikan supaya mengambil mereka bekerja kerana mereka terpaksa bersaing dengan orang-orang celik yang memohon jawatan yang sama. Kecekapan menggunakan komputer dan ICT juga perlu dimiliki dan dikuasai demi memenuhi tuntutan pasaran pekerjaan sekarang.
Bagi yang sudah mendapat pekerjaan ini, terutamanya di sektor swasta pengekalan prestasi bekerja di tahap terbaik perlu diteruskan dari semasa ke semasa bagi menjamin kredibiliti orang-orang cacat penglihatan yang bekerja dalam bidang ini. Jika tidak, sudah tentulah ia memberikan impak yang negatif kepada golongan ini dan memberi ruang kepada majikan atau pihak atasan sesebuah syarikat menggunakan isu ini untuk tidak menerima orang-orang cacat penglihatan menjawat jawatan ini. Mereka mestilah sentiasa bermotivasi kerja yang tinggi. Jika tidak, ia akan menimbulkan tekanan kerja kepada mereka.
Justeru, SBM perlu bertindak dengan lebih agresif dan pragmatik bagi menangani kemelut ini. Usaha-usaha yang dijalankan sebelum ini sememangnya sudah cukup baik tetapi ia perlu ditambah baik lagi dengan meningkatkan dan memantapkan modal insan cacat penglihatan itu sendiri. Mempromosi peluang pekerjaan dan program kesedaran kepada majikan untuk mengambil pekerja cacat penglihatan serta menggalakkan mereka menjadi usahawan dan mengajar kemahiran ICT mesti diteruskan dari semasa ke semasa dengan ditokok tambah dengan program pemantapan modal insan iaitu dari aspek pembangunan rohani dan profesionalisme bidang pekerjaan mereka agar mereka dapat mengharungi persaingan global dan mampu serta berupaya meningkatkan prestasi kerja.
Oleh: Saifuddin bin Mohamad PPN
Nota: Saifuddin bin Mohamad adalah seorang OKU Penglihatan dan bertugas sebagai seorang guru. Kini sedang mengikuti Kursus Setahun Perkhidmatan Keguruan (KSPK) Pendidikan Khas, di MPIK, Kuala Lumpur.
Sebagai seorang yang cacat penglihatan sejak kecil, Braille dan alat audio merupakan dua kaedah utama yang saya guna untuk memperkayakan kehidupan harian dari sudut ilmu pengetahuan dan kemahiran sama ada berbentuk akademik atau bukan akademik, ekonomi, sosial, hiburan dan meningkatkan perkembangan rohani. Braille dan alat audio seperti radio, pemain mp3, kaset, cakera padat dan sebagainya amat penting dalam kehidupan dan telah saya manfaatkan sepenuhnya agar kekurangan penglihatan yang dialami dapat diatasi dengan bantuan Braille dan alat audio berkenaan.
Dari sudut memperkayakan sumber ilmu saya, Braille yang saya guna sejak di bangku sekolah menjadi media utama untuk mendapatkan ilmu. Walaupun bilangan buku-buku Braille amat sedikit, saya telah menggunakannya secara yang maksimum. Sebagai contoh, semasa di sekolah saya suka membaca buku-buku sejarah sama ada sejarah Tanah Melayu atau pun sejarah dunia. Saya sering pergi ke perpustakaan milik Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB) dan perpustakaan mini kepunyaan Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM) untuk meminjam buku-buku sejarah dalam tulisan Braille. Cerita-cerita tentang tokoh-tokoh pejuang kemerdekaan seperti Mat Kilau, Tok Janggut di Kelantan, sejarah pembukaan Melaka dan banyak lagi bahan bacaan dalam Braille telah memperkayakan pengetahuan saya.
Selain daripada menggunakan bahan bacaan dalam Braille, saya juga menggunakan radio dan buku bersuara (talking book) untuk memperkayakan sumber ilmu saya. Buku bersuara itu banyak memberi pengetahuan luar negara kepada saya kerana ia disediakan oleh Sekolah St. Nicholas yang menerima bekalan rakaman dari negara luar.
Pada tahun tujuh puluhan dan lapan puluhan dahulu, untuk pelajar-pelajar sekolah telah disediakan "Radio Pendidikan". Rancangan seperti itu telah memberi banyak pengetahuan kepada saya dalam bidang akademik. Bagi pengetahuan am pula, saya sering mendengar rancangan rencana di radio yang disiarkan pada jam 10.30 malam di samping mendengar siaran berita dan sidang pengarang dalam bentuk ulasan yang menerangkan usaha-usaha kerajaan yang perlu dilaksanakan oleh rakyat untuk pembangunan negara.
Dari sudut ekonomi dan kewangan pula, Braille membantu saya melaksanakan pekerjaan saya dengan lebih mudah. Semasa saya bekerja sebagai Jurutrengkas dahulu, saya menggunakan tulisan Braille untuk mengambil catatan (dictation) daripada pegawai atasan sebelum menaip kembali catatan berkenaan menggunakan komputer atau mesin taip. Sekiranya catatan yang perlu saya buat adalah rumit misalnya menyediakan catatan perbicaraan tindakan tatatertib atau mengambil catatan minit mesyuarat, saya menggunakan kaedah audio iaitu pita rakaman. Daripada Audio yang telah saya rakam itu, saya akan mendengar kembali perbicaraan itu untuk membuat deskripsi bertulis.
Kini, setelah saya bertukar kepada profesion perguruan, Braille dan audio masih lagi penting untuk membantu saya dalam peningkatan prestasi kerja. Sebagai contoh, saya menggunakan Braille untuk menulis seni kata lagu yang akan digunakan dalam pengajaran dan dengan bantuan alat audio sama ada pemain cakera padat atau kad memori telefon digunakan bagi memainkan lagu berkenaan semasa pengajaran tersebut.
Untuk menambah sumber kewangan keluarga, saya membantu isteri saya dan rakan-rakan beliau menguruskan perniagaan jualan langsung mereka dengan menyediakan katalog harga barangan dalam tulisan Braille dan penerangan atau maklumat tentang produk dibuat dalam bentuk cakera padat audio atau pita kaset. Cakera padat digunakan untuk membuat promosi kepada orang-orang berpenglihatan, manakala pita kaset dan katalog Braille digunakan untuk membuat promosi kepada orang-orang kurang upaya penglihatan.
Saya dan rakan-rakan kurang upaya penglihatan juga ada membuat pelaburan melalui pasaran saham bagi memperkayakan sumber ekonomi keluarga kami. Setakat pengetahuan saya tiada maklumat dalam Braille untuk mengetahui turun-naik Pasaran saham. Oleh itu kami terpaksa bergantung kepada alat audio iaitu radio dan televisyen melalui berita ekonomi yang kerap disiarkan selepas siaran berita utama.
Dalam bidang sosial pula, Braille penting kepada saya untuk mewujudkan hubungan yang akrab antara rakan-rakan cacat penglihatan melalui surat-surat Braille kerana ketika itu teknologi komputer di Malaysia belum lagi berkembang. Setelah penggunaan komputer bertambah maju, hubungan sosial masih diteruskan melalui e-mail dan saya baca secara audio oleh "screen reader". Bagi mengekalkan ingatan sosial saya terhadap rakan-rakan sama sekolah dahulu, saya masih menyimpan pita rakaman ucapan penghargaan mereka (seperti buku autograf berbentuk audio) yang dirakam menggunakan pita kaset sekitar tahun 1977 hingga 1980. Apabila sesekali mereka berkunjung ke rumah, saya akan memperdengarkan rakaman tersebut bagi mengembalikan nostalgia silam kami.
Demi mendapatkan kehidupan yang bebas daripada stres, saya perlu memperkayakan aktiviti hiburan. Saya akui bahawa peralatan seperti pemain MP3, DVD dan alat audio yang lain merupakan sumber hiburan utama, namun Braille juga boleh memberi hiburan kepada kita apabila hobi membaca dijadikan sebagai satu sumber hiburan. Misalnya saya menjadikan buku-buku cerita lucu atau antologi puisi dalam tulisan Braille sebagai hiburan untuk melepaskan tekanan perasaan. Pantun, sajak atau syair yang dibaca daripada buku-buku Braille dapat menghiburkan hati saya selain mendengar lagu-lagu melalui peralatan audio.
Satu lagi aspek yang mesti saya perkayakan dalam kehidupan ini adalah pembangunan rohani. Setiap manusia tidak boleh lari daripada pergantungan kepada Tuhan. Sebagai seorang penganut agama Islam, bahan-bahan bacaan Braille seperti Al-Quran, kitab bacaan doa dan buku-buku tafsir amat berguna untuk menyuburkan rohani saya. Memandangkan saya tidak menghafal Al-Quran, maka setiap kali saya ingin membacanya, saya terpaksa menggunakan Al-Quran Braille. Semasa saya menghadiri majlis-majlis kematian, kitab doa dalam bentuk braille akan saya guna sebagai bahan rujukan. Selain daripada menggunakan Braille sebagai alat pengukuhan jiwa, saya menggunakan peralatan audio seperti mendengar ceramah atau soal jawab agama dari radio, pita rakaman dan cakera padat. Sekiranya saya tidak mempunyai masa untuk menghadiri majlis-majlis ceramah agama atau kelas pengajian, maka saya akan meminta rakan-rakan membuat rakaman ceramah berkenaan untuk saya dengar secara audio bila saya lapang kelak.
Menyedari peripentingnya tulisan Braille dan peralatan audio terhadap orang kurang upaya penglihatan, maka pertubuhan Orang Cacat Penglihatan ini sentiasa menyediakan majalah dan dokumen-dokumen bagi rujukan ahli-ahli dalam bentuk Braille dan audio CD/kaset. Bagi memberi berita atau maklumat pula, Pertubuhan ini menyediakan talian maklumat menerusi telefon yang boleh dihubungi dari mana-mana sahaja ahli-ahli pertubuhan ini berada. Cawangan dan Kawasan pertubuhan ini juga telah dibekalkan mesin talian maklumat bagi kepentingan ahli-ahli setempat. Selain daripada itu, Unit Audio dengan bantuan pembaca-pembaca sukarela telah menerbitkan bahan bacaan dalam bentuk audio dan diedarkan secara percuma kepada ahli-ahli yang berminat.
Kesimpulannya, Braille dan alat audio tidak dapat dipisahkan daripada kehidupan orang-orang cacat penglihatan. Braille dan alat audio perlu digunakan setiap hari bagi memperkayakan kehidupan orang-orang cacat penglihatan seperti saya dari aspek kekayaan ilmu pengetahuan, harta benda, perhubungan, hiburan dan meningkatkan kesuburan jiwa kemanusiaan. Kehidupan orang cacat penglihatan akan menjadi semakin pincang sekiranya Braille tidak dapat digunakan akibat tidak mahir dalam Braille atau tidak boleh mendengar audio kerana masalah pendengaran.
Oleh: Mohd Fekkeri bin Mat Jusoh
Selepas beberapa tahun penggunaan Windows XP, Microsoft kini telah melancarkan sistem operasi terbarunya iaitu Windows Vista. Pada perancangannya, sistem perisian terbaru ini ingin dilancarkan sejak tahun 2003 lagi namun atas beberapa sebab teknikal, hanya pada bulan Januari 2006 Windows Vista secara rasmi dilancarkan di pasaran antarabangsa dan meliputi seluruh dunia.
Sebagai perbandingan, sejak Microsoft melancarkan sistem windowsnya, penggunaan Windows XP merupakan tempoh yang paling lama iaitu hampir 6 tahun sebelum beralih kepada pelancaran Windows Vista. Windows XP telah dilancarkan pada tahun 2001. Sementara peluncuran Windows 95 dan Windows 98 adalah 3 tahun, sementara dua tahun kemudian Microsoft merilis Windows 2000 dan Windows ME dan diikuti dengan pelancaran Windows XP setahun kemudian iaitu pada tahun 2001.
Pada umumnya, Windows Vista terdiri daripada enam versi yang terdapat di pasaran. Setiap edisi ini dijual dengan harga berbeza-beza dan setiap edisi itu juga mempunyai kelebihannya yang tersendiri. Namun secara umum kita dapat membaginya menjadi dua edisi yang utama iaitu Vista untuk edisi pemasangan di rumah dan Vista untuk bisnes. Selain itu terdapat edisi dengan fitur maksimal (Vista Ultimate Edition) dan edisi khusus untuk negara-negara membangun (Windows Vista Starter Edition)
Untuk kegunaan biasa, memadai dengan penggunaan Windows Vista Home Premium. Edisi ini sudah dilengkapi dengan tampilan gres yang menawan, Aero Glass, serta penggunaan antara muka yang lebih mesra pengguna dan dilengkapi dengan Windows Flip 3D.
Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa windows Vista menyediakan pelbagai kemudahan tambahan yang tidak diperolehi di dalam Windows XP. Pengguna dapat mempelajari penggunaan Windows Vista dengan mudah. Walau bagaimanapun, keupayaan untuk Windows Vista beroperasi dengan sempurna sangatlah bergantung kepada hardware atau komponen komputer yang dimiliki. Komputer dengan hardware yang tidak kompatibel tidak akan mampu memaksimumkan seluruh fungsi Windows Vista.
Microsoft menyediakan kemudahan untuk memeriksa keupayaan hardware sesebuah komputer sebelum ianya diinstallkan dengan Windows Vista. Kemudahan tersebut boleh diperolehi di Windows Vista Upgrade Advisor yang boleh dimuat turun dari http://www.microsoft.com/windows/products.
Windows Vista Upgrade Advisor ini dapat berjalan baik di Windows XP Service Pack 2 mahupun Windows Vista. Kemudahan ini mensyaratkan Microsoft .NET Framework 1.1 dan MSXML 4.0.
Apabila kedua peranti lunak tersebut tidak terpasang di Windows XP, Vista Upgrade Advisor akan mewujudkannya. Selain memeriksa hardware, utiliti ini juga memeriksa kesesuaian program aplikasi yang terpasang di Windows XP. Pada kebiasaannya, masalah utama yang sering dihadapi ialah ketidaksesuaian pada sound card.
Windows Vista dapat diinstall dengan dua cara sama ada menerusi boot dari CD / DVD atau install dari dalam Windows XP. Cara terakhir ini lebih mudah dan lebih sesuai apabila anda sudah punya Windows XP sebelumnya.
Semasa install, Vista akan memberi pilihan untuk memuat turun driver peranti keras terbaru dari Internet. Abaikan sahaja pilihan ini memandangkan anda boleh melakukannya kemudian sebaik sahaja proses install sudah lengkap. Proses install akan mengambil masa sekitar setengah jam. Semasa install, beberapa maklumat diperlukan seperti di mana install itu perlu ditempatkan serta juga perlu memasukkan nombor siri produk (product key). Proses seterusnya akan dilakukan secara automatik sehingga selesai dan lengkap.
Pada tahap terakhir install, anda diminta untuk membuat satu akaun pengguna (user account). Akaun perdana ini secara default memiliki hak administrator yang membolehkan kita membuat akaun-akaun tambahan untuk pemakai lain. Setelah melalui proses logon, anda akan disambut oleh tampilan desktop Vista. Kalau edisi atau komputer anda mendukungnya, Vista akan menggunakan tampilan Aero Glass.
Seperti versi-versi Windows sebelumnya, Microsoft menyertakan berbagai aplikasi sebagai nilai tambah. Misalnya saja Windows Internet Explorer 7, Windows Media Player 11, dan Windows Movie Maker seperti yang dapat ditemu di Windows XP.
Namun terdapat juga aplikasi yang belum pernah ditemui di Windows sebelumnya dan hanya ditemui di Windows Vista seperti Windows Mail (menggantikan Outlook Express), Windows Meeting Place (menggantikan NetMeeting), Windows Calendar, Windows Contacts, Windows Photo Gallery dan Windows DVD Maker.
Windows Mail yang menggantikan Microsoft Outlook Express menyediakan kemudahan untuk menapis surat yang tidak sepatutnya (junk mail). Fitur anti-phishing membantu pengguna mengesan e-mail yang tidak diundang.
Dari aspek multimedia, Windows Vista juga menyediakan fungsi tambahan dengan versi yang terkini di mana terdapatnya Windows Photo Gallery untuk menyunting dan mengelola gambar dan foto, Windows Movie Maker untuk menyunting video, dan juga Windows Media Player untuk memutar video dan muzik.
Yang lebih menarik, terdapatnya Windows Media Center, dimana apabila komputer anda memiliki TV tuner yang kompatibel dengan Vista, anda dapat menyelinap PC anda menjadi pusat hiburan dan multimedia. Kemudahan antara muka yang disediakan oleh Windows Media Center membolehkan pengguna mengendalikan PC menggunakan remote control. Dari Windows Media Center, misalnya, kita dapat merakam program TV secara langsung atau pada masa-masa yang ditentukan. Selain daripada itu, jika disambungkan dengan internet, pengguna juga boleh menikmati siaran TV internet.
Pada keseluruhannya, Windows Vista menjanjikan persembahan dan keupayaan yang lebih berkemampuan dan berkeupayaan tinggi daripada sistem operasi sebelumnya. Itulah sebenarnya yang dicari-cari sebelum ini oleh semua pengguna PC. Untuk itu, Windows Vista telah mengimplementasikan sebuah instrumen yang bernama WinSAT yang dapat diakses melalui control panel dengan nama 'Solution to Problem'. Sistem baru ini mampu mengukur berbagai indikator, mulai dari berapa lama waktu boot, waktu untuk membuka start menu, dan lain-lain. Selain itu, WinSAT ini juga mampu membantu user menemukan masalah dan memperbaikinya.
Hakikatnya, hanya "Jauhari yang mengenal maknikam". Belum cuba belum tahu. Sendiri cuba baru tahu.
Oleh: Mohd. Ghazali Tocheh, Pengerusi, SBM KL/Selangor
Pada awal Mac 2007 yang lalu, Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia Cawangan Kuala Lumpur/Selangor (SBM Cawangan KL/Selangor) telah mengemukakan memorandum kepada Y.A.B. Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia dan disalinkan juga kepada Y.B. Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat Malaysia dan Y.Bhg Dato' Ketua Pengarah, Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia.
Isi kandungan memorandum tersebut antara lainnya termasuklah memohon:-
a. Supaya Kerajaan meminda perundangan/peraturan agar tidak lagi mengklasifikasikan warga OKU cacat penglihatan sebagai pengemis atau peminta sedekah hingga menyebabkan mereka dihalang dan disekat daripada bergiat sebagai peniaga jalanan untuk mencari rezeki harian, dan
b. Supaya pihak berkuasa Jabatan Kebajikan Masyarakat mendaftar dan menyediakan KAD TANDA NAMA khas sebagai dokumen pengiktirafan kepada warga OKU cacat penglihatan yang tiada sebarang pekerjaan untuk membolehkan mereka tanpa sekatan daripada mana-mana pihak menjalankan kegiatan berniaga jalanan untuk maksud penghidupan.
Memorandum ini pada asalnya disediakan oleh sekumpulan warga cacat penglihatan pemastautin Lembah Klang yang sebilangan besarnya terdiri daripada ahli-ahli SBM Cawangan KL/Selangor. Atas inisiatif Encik Muhamad Ali Ahmad, Ahli Jawatankuasa SBM Cawangan KL/Selangor, memorandum tersebut akhirnya disalurkan melalui Encik Mohd Ghazali Tocheh, Pengerusi SBM Cawangan KL/Selangor untuk disampaikan kepada Y.A.B. Perdana Menteri Malaysia atas restu Presiden Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM), Encik Mah Hassan Hj. Omar.
Pada peringkat permulaannya, hanya sekumpulan kecil ahli SBM Cawangan KL/Selangor sahaja yang sedia menandatangani memorandum tersebut. Namun sebelum memorandum itu dikemukakan secara rasmi kepada Y.A.B. Perdana Menteri, lebih kurang 40 orang ahli SBM KL/Selangor menandatanganinya.
Memorandum ini telah disampaikan sendiri oleh Encik Mohd Ghazali Tocheh, Pengerusi SBM Cawangan KL/Selangor bersama dua orang AJK lain iaitu Encik Muhamad Ali Ahmad dan Encik Mohd Yusof Abdullah ke Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.
Berikutan memorandum tersebut, satu mesyuarat dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia telah diadakan melibatkan semua agensi berkaitan penguatkuasaan pembasmian pengemis di bandar-bandar besar Malaysia amnya dan Bandaraya Kuala Lumpur khususnya.
Pada mesyuarat ini, SBM telah diwakili oleh Encik Abd. Kadir Haji Othman, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan SBM dan Encik Mohd Ghazali Tocheh, Pengerusi SBM Cawangan KL/Selangor mewakili Presiden SBM. Wakil Polis Diraja Malaysia, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Jabatan Imigresen, Jabatan Tenaga Kerja Malaysia dan beberapa buah lagi badan-badan sukarela turut hadir.
Tujuan mesyuarat diadakan untuk menubuhkan Jawatankuasa Penyelarasan Pembanterasan pengemis di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia. Di samping lain-lain perkara yang diambil tindakan dan dirumuskan, mesyuarat ini juga bersetuju supaya SBM yang merupakan salah sebuah badan bukan kerajaan turut disenaraikan sebagai ahli Jawatankuasa.
Oleh: Mohd Fekkeri bin Mat Jusoh
"Selagi ada usaha, di situ ada jalan". "Buta bukan penghalang untuk meraih kejayaan" Inilah kata-kata hikmat dan sebagai pendorong kepada Siti Nurjannah Zamzuri, 20, yang telah muncul sebagai pelajar buta terbaik Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2006 apabila memperoleh 3A dan 1B.
Siti Norjannah merupakan pelajar program Inklusif Masalah Penglihatan di Sekolah Menengah Kebangsaan St. John Kuala Lumpur yang mengalami masalah penglihatan sejak berusia tiga tahun. Beliau telah mendapat A untuk mata pelajaran Bahasa Melayu, Kesusasteraan Melayu dan Sejarah serta B untuk Pengajian Am.
Bagi beliau, kejayaan yang diperoleh bukanlah kerana usahanya semata-mata tetapi kerana banyak dibantu oleh guru, ibu, ayah, adik, dan rakan-rakan samada di dalam kelas atau semasa mengulang kaji pelajaran. "Saya bersyukur dan gembira di atas kejayaan ini dan mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah membantu saya," kata beliau semasa dihubungi.
Atas kejayaan itu, beliau telah menerima anugerah pelajar cemerlang STPM 2006 dengan menerima RM1,000, sijil penghargaan dan plak daripada Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), Prof. Datuk Dzulkifli Abdul Razak pada satu majlis yang telah diadakan di ibu kota baru-baru ini.
Siti Norjannah merupakan anak kedua daripada lima orang adik beradik. Selain daripada Norjannah, seorang kakak dan seorang adiknya juga menghadapi masalah penglihatan seperti beliau. Kakaknya kini sedang mengikuti Kursus Perguruan di Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) sementara adiknya masih lagi di sekolah rendah iaitu di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas, Cacat Penglihatan, Jalan Batu Kuala Lumpur.
Seperti kakaknya, Siti Norjannah juga bercita-cita untuk menjadi pendidik dan memohon untuk melanjutkan pengajiannya di UPSI. Sebelum ini, Siti Norjannah mendapat pendidikan menengah sehingga ke tingkatan lima di Sekolah Menengah Pendidikan Khas, (SMPK) Setapak Kuala Lumpur.
Bagi Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pula, Rajiven a/l Gopal telah muncul sebagai pelajar buta terbaik bagi peperiksaan tersebut dengan mendapat 4A, 3B. Beliau telah mendapat A bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris, Bahasa Malaysia, Ekonomi dan Perdagangan. Walaupun mendapat B bagi mata pelajaran matematik, sebenarnya merupakan suatu pencapaian terbaik bagi pelajar bermasalah penglihatan memandangkan mata pelajaran ini merupakan suatu mata pelajaran yang paling sukar bagi golongan ini.
Meneruskan cita-citanya, kini beliau melanjutkan pengajiannya ke peringkat 'A Level' di Kolej Universiti HELP, Damansara, sebagai persediaan untuk ke luar negara bagi memenuhi cita-citanya.
Oleh: Mohd. Nazri bin Nawi, Bachok, Kelantan
Nota: Mohd Nazri Nawi adalah merupakan salah seorang ahli SBM yang menjadikan bidang penulisan sebagai kerjaya sepenuh masa. Telah banyak menghasilkan karya seperti cerpen dan puisi serta giat dalam penulisan drama radio.
Che' Ahmad Bin Che' Soh, atau lebih dikenali dengan panggilan Pak Mat adalah seorang ahli SBM yang tidak upaya penglihatan yang tinggal di kampung Rusa tidak berapa jauh dari pekan Jelawat, Bacuk, Kelantan. Rumahnya di pinggir sawah bendang yang terbentang luas menarik minatnya untuk menangkap ikan belut dan ikan air tawar yang lain seperti ikan keli, haruan, sepat dan sebagainya untuk dijadikan sumber pendapatannya. Menurut beliau, penangkapan ikan belut boleh mendatangkan pendapatan yang lumayan kerana harga belut di pasaran agak mahal terutama pada musim kemarau iaitu pada bulan Januari hingga Mac di mana ikan-ikan belut ini susah didapati.
"Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan." Begitulah dengan Pak Mat tiga bercucu, Muhamad Isa dan Ismail, seusia remajanya tidak berat tulang untuk membantu datuknya dalam usaha penangkapan ikan belut. Saban petang mereka ke sawah bendang untuk menangkap ikan-ikan belut. Alat untuk menangkapnya dikenali sebagai tukir yang diperbuat daripada buluh. Di bahagian pangkal buluh itu berlubang serta dilengkapi dengan kayu yang ditajamkan hujungnya, manakala di bahagian hujung buluh hendaklah tertutup agar ikan-ikan belut yang terperangkap tidak dapat keluar untuk membebaskan dirinya. Selain daripada buluh, batang paip juga boleh dijadikan tukir. Sebatang tukir boleh memuatkan tiga ekor belut.
Belut merupakan sejenis ikan air tawar, bentuk badannya panjang seperti ular tetapi tidaklah sepanjang reptilia itu. Namun ada yang panjangnya mencecah hingga satu meter. Kulitnya licin dan mempunyai lendir, warnanya kehitaman dan ada yang kekuningan. Ia mempunyai insang di antara kepala dan badannya. Terdapat tiga jenis belut yang dikenali iaitu belut pisang, belut gagak dan belut sawa, belut pisang lebih besar daripada belut gagak, ia mempunyai jalur kekuningan di bahagian perutnya, belut jenis inilah lebih disukai oleh penggemar-penggemar belut. Belut sawa lebih panjang daripada belut pisang dan belut gagak, belut ini jarang dijumpai. Habitatnya di dalam sawah bendang yang sememangnya dipenuhi lumpur dan di dalam sungai atau tali air yang dasarnya berselut.
Makanannya samalah seperti ikan iaitu memakan cacing, belalang, lumut, tumbuh-tumbuhan renek di dalam air dan sebagainya. Namun bagi penternak yang mengkomersialkan haiwan ini, ia diternak di dalam kolam yang lebih luas dan dalam permukaan airnya.
Benarlah, apa jua yang dijadikan oleh Tuhan di muka bumi ini ada faedahnya. Begitu juga dengan haiwan ini, ia boleh dijadikan lauk-pauk yang istimewa bagi penggemar-penggemarnya. Terdapat berbagai resipi yang sesuai untuk memasaknya, iaitu belut enak dimasak sup, tomyam, kari, goreng, boleh juga dimasukkan dalam resipi membuat kuah laksa. Lantaran itu, terdapat banyak kedai makan di ceruk rantau negeri Kelantan yang ada menyediakan menu-menu masakan berlandaskan belut. Harganya mencecah lima hingga sepuluh ringgit semangkuk. Harga belut mentah di pasaran agak mahal iaitu boleh mencecah tujuh hingga sembilan ringgit sekilogram.
Khasiat dari sudut kesihatan pula, dengan memakan ikan belut boleh melancarkan perjalanan darah, boleh merawat luka dengan berkesan terutama kepada ibu-ibu yang baru bersalin, atau pesakit-pesakit yang lepas menjalani pembedahan. Begitu juga kepada anak-anak lelaki yang baru bersunat. Selain daripada itu darah ikan belut juga boleh digunakan untuk merawat penyakit kulit seperti panau, jerawat dan penyakit gatal-gatal. Manakala lendirnya pula boleh melicinkan kulit. Hempedunya juga boleh dijadikan ubat sakit urat, lemah tenaga batin dan sebagainya.
Khasiat ikan ini boleh dikatakan hampir sama dengan khasiat ikan haruan. Menyedari hakikat itulah ramai pengusaha ubat tradisional telah menghasilkan produk-produk yang berasaskan haiwan ini seperti makjun belut, minyak belut dan tablet-tablet yang mengandungi isi ikan belut. Bagi mereka yang tidak berselera untuk memakan ikan belut secara lauk-pauk, tetapi ingin menikmati khasiatnya, bolehlah menggunakan produk-produk tersebut. Ianya boleh didapati di kedai-kedai ubat tradisional atau daripada penjual-penjual ubat di kaki lima.
Tanpa menghiraukan pacat dan lintah yang menghisap darah, Pak Mat tiga bercucu tekun melakukan kerjanya. Ikan selayang bakar dimasukkan ke dalam setiap tukir untuk dijadikan umpan, kemudian tukir-tukir itu dibenamkan ke dalam sawah, pangkalnya yang berlubang dibiarkan tenggelam di dalam air dan kayu yang dilekatkan di situ dipacakkan ke lumpur, hujungnya disandarkan ke tebing batas bendang, menjadikan tukir-tukir itu berada dalam keadaan condong. Tukir-tukir yang siap berumpan diletakkan berjauhan di antara satu sama lain dan dibiarkan semalaman di situ. Mentari kian condong ke ufuk barat menandakan tirai malam pasti berlabuh lagi. Dengan langkah bertawakal, Pak Mat tiga bercucu bergegas meninggalkan sawah bendang buat seketika.
Pada malamnya pula, sementara menanti hari esok, Pak Mat sering dikunjungi oleh pelanggan-pelanggannya untuk mendapatkan perkhidmatan urut tradisional. Sesungguhnya tidak rugilah orang-orang yang mempunyai kebolehan yang dimanfaatkan untuk dijadikan sebagai punca pendapatan. Pak Mat bukan sahaja seorang penangkap ikan belut, haruan, puyu, dan sepat malahan beliau juga pekebun sayur dan tukang urut tradisional yang terkenal. Menurut beliau, sejak kecil lagi dia telah didedahkan dengan kerja-kerja kampung, membantu ayah ibunya menanam padi di sawah. Situasi beginilah menjadikan beliau tidak kekok meneruskan kehidupannya begini.
Sinar suria pagi mula menampakkan wajahnya. Pak Mat tiga bercucu melangkah penuh harapan ke tempat tukir-tukir itu dipasang. Penantiannya semalam kini terjawab sudah. Banyak tukir-tukirnya telah mengena. Ikan-ikan belut yang terperangkap di dalam tukir-tukir itu dimasukkan ke dalam guni. Tukir-tukir yang telah dikosongkan disimpan untuk digunakan semula petang nanti. Selesai mengutip hasil tangkapan, tangkapan itu dibawa pulang ke rumah untuk ditimbang sebelum dijual kepada peraih di pekan Jelawat.
Terkadang ada juga pelanggan yang memesan lebih awal sebelum tangkapan dibuat. Biasanya, belum pun sampai ke Pekan Jelawat, hasil tangkapan itu telah habis dijual di jalanan. Pak Mat tersenyum lebar, tangkapannya hari itu sungguh memuaskan. Dia dapat mengagak jumlah pendapatannya hari itu.
Begitulah belut, sedikit masa dahulu ia dipandang jijik, geli-geleman, apatah lagi untuk memakannya, tetapi kini haiwan ini lebih berharga dan menjadi sumber rezeki kepada mereka yang tahu menmanfaatnya seperti Che' Ahmad Che' Soh.
Oleh: Zabariah Zakaria, Selama, Perak
Nota: Zabariah Zakaria merupakan seorang graduan cacat penglihatan dalam bidang Penulisan Kreatif di Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur. Telah banyak menghasilkan cerpen dan puisi. Beliau akan melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana di Universiti Malaya tidak lama lagi.
Hari ini perkara yang sama masih tetap dilakukan. Perkara yang itu, perkara yang ini, tetap sama. Sama seperti kelmarin dan semalam. Perkara yang itu, perkara yang ini, tetap sama. Esok, lusa dan entah bila. Perkara yang sama, yang itu juga, yang ini juga, tetap sama. Sampai bila?
Setiap pagi di rumah, gegendang telinga Nurul Ain menangkap laungan suci dari masjid berdekatan. Laungan yang menghambat syaitan dan iblis durjana yang cuba bersatu dengan roh untuk mengajak berlakon sama di atas pentas mimpi.
Nurul Ain berkumat-kamit membaca sepotong doa, menjadi kalimah pertama tatkala bersua di hari baru.
Selesai menunaikan solat Subuh, dia berbaring-baring. Merenung dan bermenung menjangkau sesuatu yang dia sendiri tidak tahu kesudahannya. Kotak fikirnya tidak lepas memikirkan masa depan yang masih panjang. Adakah selamanya harus begini? Bagaimana keadaannya bila mak dan ayah sudah tiada? Adakah kakak dan abang akan mempedulikannya?
Ah! Tidak mungkin kakak dan abang akan bertindak begitu. Mustahil! Mereka baik dan sentiasa mengambil berat tentangnya.
Tapi...
Bukankah hati manusia fitrahnya berbolak-balik? Berubah-ubah bagai pantai dipukul ombak? Sekarang memanglah mereka mengambil berat halnya. Tapi bagaimana di kemudian hari? Sampai masa dan ketikanya mereka akan berumah tangga. Kakak akan mengikut suaminya. Abang pula; Adakah isterinya boleh menerima dirinya?
Nurul Ain melepaskan keluhan berat. Dia bangun mengemas tempat perbaringannya. Kemudian menuju ke tingkap.
Sebaik sahaja daun tingkap mengkeriuk luas, wajah mulusnya disapa hembusan pagi yang mendamaikan. Kedengaran siulan burung menyanyi menyambut pagi, ayam jantan yang meneriak nyaring dan derum-deram kenderaan di jalan berhampiran.
Di celah-celah kedamaian itu, telinganya untuk ke sekian kalinya dicuit oleh suara kanak-kanak dan remaja seusianya ke sekolah. Bunyi gelak tawa mereka memilukan hatinya.
"Ain!" Dia tersentak. Lamunannya hancur-lumat dibawa angin pagi.
"Beranganlah tu!"
"Tak pun."
"Ain tau kan pagi ni ada tetamu nak datang?" Dia tidak langsung menjawab. Bibirnya bergerak tetapi tidak bersuara. Dia mengangguk kecil.
"Bukan apa, takut lupa saja."
Wanita bergelar ibu yang telah menerannya dari rahim 14 tahun lalu berlalu. Sememangnya dia sudah tahu kedatangan tetamu itu. Dia gembira tetapi sedih. Dia khuatir. Dia tahu tujuan tetamu itu.
Dia ingat lagi suatu ketika dahulu, dia menangis semahu-mahunya dalam bilik. Semua orang tidak tahu dia menangis. Orang tidak tahu dia terkilan. Pada masa yang sama dia memang tidak mahu orang tahu dia menangis dan terkilan.
Dia tahu ayah menyayanginya. Dia tahu ayah mengasihaninya. Ayah tidak mahu dia berjauhan darinya. Ayah tidak mahu orang menganiayainya.
Dia memahami dan mengerti maksud ayah.
Akhirnya tetamu yang datang itu pulang dengan kekecewaan. Mereka tidak berjaya memujuk ayah agar menyekolahkannya. Meskipun jaminan diberikan, keputusan ayah tidak berubah. Kalau hitam, hitamlah, kalau putih, putihlah.
Naluri kanak-kanaknya waktu itu memprotes. Namun dia tidak mampu bertindak. Dia sayang ayah. Dia tidak mahu ayah terasa hati. Justeru itu, dia merela dalam keterpaksaan.
Nurul Ain di sebelah emak. Ayah di satu sudut menghadap tetamu.
"Nurul Ain akan diberi latihan di pusat kami. Nurul Ain akan menerima latihan mengikut peringkat. Setiap peringkat mengambil masa enam bulan. Nurul Ain akan belajar menulis dan membaca tulisan braille. Kemudian Nurul Ain akan menerima latihan berbentuk kemahiran membuat kraf tangan."
Ayah senyap. Nurul Ain tahu apa yang tersirat di hati ayah.
"Kami akan uruskan semuanya. Nurul Ain akan tinggal di asrama bersama-sama pelatih lain. Makan dan minum disediakan. Pak cik, mak cik sekeluarga tidak perlu membayar apa-apa. Malah Nurul Ain akan diberi elaun setiap bulan." Pegawai itu berhenti sekejap.
"Kalau pak cik dan mak cik bersetuju, bolehlah hubungi kami. Kami akan bantu dan uruskan."
Begitu sekali mereka ingin membantu. Bersusah-payah datang ke rumah dan menerangkan dengan jelas kemudahan yang disediakan. Suatu ketika dahulu mereka datang untuk memujuk ayah agar menghantarnya ke sekolah, tetapi kali ini mereka datang untuk memujuk ayah menghantarnya mengikuti kursus di pusat latihan.
Ayah tetap dengan keputusannya. Harapan yang dibawa oleh tetamu-tetamu itu bagai dipulangkan kembali. Dibawa bersama pulang ke pusat latihan. Sama seperti dahulu, mereka gagal lagi.
Ayah tidak berkata apa-apa. Dia diam. Nurul Ain mengerti tentang itu dan tidak pernah menyuarakan apa-apa tentang hal itu.
Hari ini dia tetap begini. Sama seperti hari-hari berlalu.
Setelah puas menikmati hembusan angin pagi dia berlalu. Dia meninggalkan peristiwa-peristiwa itu di situ. Dia ke dapur. Dia mengambil cerek lalu memasukkan air dan menjerangnya. Dia tahu emak akan ke dapur sebentar nanti. Membancuh air untuk ayah. Dia tahu dan itulah rutin hariannya.
Ketika dia habis mencuci pinggan mangkuk yang diguna malam tadi, matahari mula menggarang. Dia kembali ke bilik. Diambilnya dan dikumpulkannya pakaian kotor. Kemudian ke bilik air.
Desas-desus mula kedengaran dari bilik air. Emaknya tahu, ayahnya tahu, Nurul Ain sedang membasuh. Begitulah setiap hari.
Setelah mandi dan bersiap seadanya, dia menyenget mengangkat baldi ke ampaian, disidai satu persatu. Jiran-jiran tahu itu. Mereka tahu kerana setiap hari Nurul Ain melakukannya.
Nurul Ain akui dan tidak menafikan bahawa dia diberi kepercayaan buat itu dan ini. Membasuh, menyidai, menyapu, mengemas dan kadang-kadang memasak. Emak dan kakak mengajarnya, menggalakkannya dan menyuruhnya berbuat begitu. Kata mereka, Nurul Ain perlu berdikari. Sekurang-kurangnya boleh mengurus diri sendiri.
Kelincahan ke sana ke mari dalam rumah, turun naik tangga, buat itu dan buat ini, menjadi pujian jiran sebelah menyebelah. Mereka kagum dan kadang-kadang pelik dan hairan Nurul Ain bertindak seperti orang yang boleh melihat.
Cuma satu sahaja yang tidak lengkap dalam kehidupannya. Dia tidak berpeluang bersekolah. Ayahnya keberatan menyekolahkannya. Bukan ayahnya tidak tahu tentang wujud sekolah khas. Ayahnya bukan tidak tahu itu semua. Ayahnya tahu dan mendengar berita beberapa orang anak kampung sebelah, malah di kampung itu juga ada anak yang tidak dapat melihat dihantar ke sekolah khas. Ayahnya tahu.
Mengapa dan kenapa ayahnya keberatan menghantar Nurul Ain ke sekolah, semua orang tidak tahu. Ramai juga yang datang berjumpa dengan ayahnya. Memujuk dan menyarankan Nurul Ain dihantar ke sekolah khas. Malah Pak Othman yang mempunyai anak sebaya Nurul Ain juga tidak dapat melihat pernah berjumpa dengan ayahnya. Pak Othman menceritakan tentang perkembangan anaknya yang sudah belajar di sekolah menengah dan bakal menduduki peperiksaan Sijil Penilaian Malaysia. Menceritakan kehidupan anaknya di sekolah. Menyatakan kemudahan yang diperoleh dan keseronokan belajar.
Ayahnya tidak pula berkecil hati pabila orang bercakap tentang hal itu. Dia tidak marah malah membuka telinga mendengarnya. Tetapi keputusannya tetap sama. Ayah tetap berkeras tidak mahu menyekolahkan Nurul Ain.
Kini Nurul Ain sudah berumur 17 tahun. Namun di usia itu Nurul Ain masih tidak mengenal huruf apatah lagi membaca dan menulis. Namanya 'Nurul Ain' juga dia tidak tahu untuk mengejanya. Hatinya sedih. Namun dia pasrah menghadapinya.
Dia pernah juga mendengar tentang cerita anak Pak Othman yang bersekolah khas. Mereka bercerita anak Pak Othman membaca menggunakan hujung jari telunjuk. Anak Pak Othman menulis dengan menggunakan sebuah mesin taip yang hanya mempunyai sembilan kekunci. Apabila ditekan, pada kertas akan keluar bintik-bintik kecil yang pelbagai posisi dan kelihatan timbul.
Nurul Ain juga pernah mendengar maklumat dari radio memaklumkan kegiatan orang-orang kurang upaya sepertinya. Diajar membuat kraf tangan, mengurut, menjahit dan sebagainya.
Nurul Ain ke dapur semula. Membuka tudung saji dan menjamah sedikit sarapan pagi. Sesekali dia akan bersama-sama emak dan ayahnya bersarapan. Ketika dia sedang mencuci cawan dan pinggan, dia terdengar deruman motosikal berhenti di depan rumahnya. Seketika kemudian terdengar suara lelaki memberi salam.
"Waalaikummussalam. Ha! Man, jemput masuk, masuk."
Nurul Ain dengar ayahnya menjemput masuk. Siapa? Dia tidak pula mengecam pemilik suara itu. Nurul Ain tahu tugasnya. Dicapai cerek. Dimasukkan air yang sudah suam itu ke dalam bekas. Kemudian memasukkan air untuk dijerang. Sebentar nanti tentu emak ke dapur membancuh air untuk tetamu.
"Yana ni ha beria-ria sangat nak jumpa anak Pak Wan. Dah lama diajaknya ke mari."
"Ain, Ain, ada kawan nak jumpa ni."
Kawan? Siapa? Hatinya berteka-teki. Sepanjang kehidupannya dia tidak punya kawan. Cuma ada ayah, emak, kakak, abang, jiran dan saudara-mara. Tidak pula dia punya kawan lain di kampung itu. Siapa agaknya?
"Ain, kawan nak jumpa ni. Sinilah dulu."
Nurul Ain melangkah perlahan ke ruang tamu.
"Ke kiri sikit. Dekat tv tu. Ha sikit lagi."
Pencariannya berhasil. Dia terpegang seseorang.
"Salam Ain. Anak Pak Othman tu. Datang nak jumpa Ain."
Dua gadis yang kali pertama berjumpa itu bersalaman.
"Hai senyap saja. Beria-ria suruh ayah hantar. Ni dah jumpa diam saja." Tegur Pak Othman apabila melihat kedua-dua anak istimewa itu membisu seribu bahasa.
"Budak-budak memang macam tu. Kalau ada kita bukan nak bercakap."
"Kalau macam tu ayah balik dululah. Nanti petang ayah datang jemput."
Setelah minum dan berbual seadanya, Pak Othman meminta diri untuk pulang dahulu. Pak Othman meninggalkan anaknya bersama Nurul Ain.
Emak dan ayah Nurul Ain mengerti. Mereka meninggalkan dua orang anak itu di situ.
"Nama saya Norliana. Panggil Yana pun boleh." Anak Pak Othman memulakan bicara.
Perbualan mereka semakin rancak. Nurul Ain membawa Norliana ke sudut lain. Selepas bertanya hal-hal keluarga, perbualan mula menjurus kepada persoalan semasa.
"Kenapa Ain tak mahu ke sekolah?"
"Bukan saya tak mahu ke sekolah. Tapi ayah tak benarkan."
"Ain boleh baca?"
"Tak. Dulu masa kecil kakak ada juga ajarkan. Tapi dah lupa."
"Ain tak mahu masuk kursus apa-apa? Sekurang-kurangnya ada juga perkara yang boleh dibuat. Belajar buat bakul ke?"
"Saya memang nak. Tapi masalahnya ayah tak izinkan. Dulu ada orang datang. Kalau ayah setuju mereka akan uruskan semua. Tapi nak buat macam mana ayah tak izinkan."
"Tak apalah Ain. Kalau dah macam tu tak boleh buat apalah. Tapi Ain mesti pandai masak kan? Saya ni makan tahulah. Masak tak tahu."
"Taklah pandai sangat. Biasa saja. Untuk diri sendiri tu bolehlah. Alah... Yana bukan tak boleh tapi mungkin tak biasa buat. Nanti bolehlah tu."
Norliana makan tengah hari bersama Nurul Ain. Mereka mesra dan seperti sudah lama mengenali antara satu sama lain. Selesai menunaikan solat Zuhur, mereka berbual lagi.
"Bersabarlah Ain. Saya yakin Ain tak akan selamanya begini. Masanya akan tiba cuma lambat atau cepat sahaja.
"Harap-harap begitulah Yana." Ain sedikit sebak.
"Nanti saya datang lagi. Saya bawakan kertas yang sudah ditulis dengan tulisan braille."
"Saya tak pandai bacalah Yana."
"Tak apalah. Sekurang-kurangnya Ain dapat bayangkan."
Petang itu Pak Othman datang menjemput Norliana. Selepas solat Asar di masjid berhampiran, Pak Othman terus ke rumah Nurul Ain. Pertemuan antara Nurul Ain dan Norliana itu bakal menjanjikan satu perkenalan yang baik. Sekurang-kurangnya Nurul Ain ada teman untuk mengadu nasib dan meluah perasaan. Norliana pula tidak lokek bercerita itu dan ini. Bukan untuk menambah kesedihan di hati Nurul Ain tetapi untuk berkongsi sesuatu yang dinikmatinya.
Malam itu seperti hari-hari lalu, selepas menunaikan solat Maghrib, Nurul Ain hanya sekadar berada di bilik. Kadang-kadang dia membantu emak menyediakan makan malam di dapur. Selepas solat Isyak mereka akan makan malam beramai-ramai. Kemudian menonton televisyen.
Jika tidak ada rancangan yang menarik, Nurul Ain akan ke bilik. Berbaring-baring sambil mendengar radio.
Perkara yang sama sahaja setiap hari. Suasana mungkin sedikit berbeza apabila ada sanak saudara yang datang ke rumah dan bermalam.
Kebiasaan itu akan terhibur sedikit apabila kakak atau emak membawanya ke pekan membeli-belah. Terubat sedikit kesedihannya apabila dia dibawa ke rumah sanak saudara atau kawasan percutian.
Namun perkara itu dan perkara ini sahaja yang dilakukan ketika dia di rumah. Sampai bila dia sendiri tidak tahu. Dia berdoa dan berharap ayahnya akan berubah fikiran. Dia juga seperti insan kurang upaya lain. Mahu mempunyai kawan dan teman. Mahu bergaul. Mahu mencari rezeki dan mempunyai pendapatan sendiri.
Kata Norliana, masanya akan tiba. Cuma lambat atau cepat. Lambat? Cepat? Bila?
Oleh: Yong Chwan Fwu, Kuching, Sarawak
Cikgu!
Kau umpama jambatan ilmu,
Di kampungku.
Kata ayahku,
Ketika usiaku lima tahun,
Cikgu ke mari,
Meniti di jambatan ini.
Sambil,
Di bahumu menggalas sekarung harapan,
Misi murni,
Ingin membawa aku ke sekolah.
"Er, sekolah?"
Seluruh isi rumahku tersentak,
Disentap rasa pelik:,
"mungkinkah seorang anak buta dihantar bersekolah?"
"Ya, mungkin!" cikgu meyakinkan.
Orang tuaku semakin kehairanan,
Direntap ungkapan ajaib:
"Seorang anak buta
Bisa diajar membaca menulis."
Aku juga bertambah gelisah,
Merengek-rengek dalam dakapan ibu,
Resah,
Tidak mengerti
Rencana mereka terhadap hidupku.
Dua puluh tahun kemudian,
Aku kembali meniti di jambatan ini,
Menyusuri jejak tinggalan cikgu.
Aku kagum,
Tatkala teringat garau suara cikgu
Yang gigih membariskan ilmu,
Menstruktur mindaku.
Kini,
Aku tidak lagi khuatir,
Kalau kakiku tergelincir,
Di hamparan stigma yang menghambur.
Tidak juga gentar
Mengharungi akar stereotaip yang menjalar.
Aku tidak lagi keliru,
Di manakah harus kuletakkan diri,
Sebaik tiba di jalan bersilang.
Kerana
Cikgu pernah menuntunku
Berjalan berpandukan tongkat pedoman.
Dan apabila aku pergi lebih jauh,
Sehingga langkahku
bertemu suatu gubuk usang,
Berdegap-degup jantungku
Disentuh pesan cikgu:
"hari ini, kaulah harapan mereka!" dan
sewaktu mata hatiku
terus menjelajah ke setiap pelosok jambatan ini,
aku insaf menghadapi persoalan
apakah insan senasib seperti cikgu sahaja
sanggup meniti di jambatan ini
setelah penat berperahu kuasa dua pendayung?
Cikgu!
Demi masa depanku,
Kau rela gadaikan kesenanganmu,
Berani menyahut cabaran benak di Batang Lupar.
Atas nama sebuah kemanusiaan yang ikhlas,
Kau menyambut panggilan serangkap diksi:
"pendidikan untuk semua!" Dan
acap kali aku melalui jambatan ini,
hatiku tak henti-henti memanjatkan ucapan syukur,
kerana tanpamu cikgu,
di manakah aku detik ini?
Oleh: Raihan binti Makhtar, Kelantan.
Teman,
Hadirmu tika kegelapan menyapa hidupku,
Kau hulurkan tali persahabatan bersulam keikhlasan,
Kau hulurkan naskah si keceriaan,
Membimbing aku meninggalkan daerah beku dan sunyi,
Biarpun sepanjang pencarian itu,
Dentuman guruh cabaran dan hujan kalimah dingin mengiringiku,
Tanpa noktah bahtera kejujuranmu tetap teguh,
Teman,
Kau semai benih harapan,
Kau tanam benih keazaman,
Kau sirami dengan baja harmoni dan kasih sayang,
Dan kini,
Tirai kejayaan mula menjengukkan wajahnya,
Teman,
Akan ku singkap tabir kecurigaan,
Akan ku lontar tirai keresahan,
Bertemankan hembusan nafas semangat yang jitu,
Hamparan permaidani kejayaan pasti akan aku bentangkan,
Teman,
Alunan nasihatmu mengiringi langkahku,
Kenangan bersamamu menemani pelayaran hidupku,
Sungai kemesraan tak ku biar mengalir lesu,
Pelantar persahabatan pasti ku simpul menjadi satu,
Kerana kaulah temanku.
Sebelum adanya pelbagai kemudahan kenderaan pengangkutan, manusia pada suatu masa dahulu ada yang menggunakan keldai untuk mengangkut pelbagai barangan atau sebagai binatang tunggangan.
Pada suatu hari, seorang bapa bersama seorang anaknya ingin pergi ke suatu tempat dengan menunggang seekor keldai. Kedua-dua mereka menaiki keldai itu dan lalu di sebuah pekan. Keadaan ini menarik perhatian orang ramai. Ada di antara mereka berkata "Ini kes aniaya. Keldai tu dah le kecil. Dua orang pulak naik. Kan tu menyeksa binatang. Tak ada peri kemanusiaan langsung".
Si bapa mendengar komen mereka. Lalu si bapa turun dan membiarkan anaknya sendirian di atas keldai. Si bapa meneruskan perjalanan sambil berjalan kaki. Mereka pun melalui sekumpulan orang ramai. Sekali lagi ada yang komen, "Kurang ajar punya anak. Dia sedap-sedap naik keldai. Bapanya dibiarkan berjalan kaki."
Si anak mendengar komen mereka, lalu dia turun dan menyuruh bapanya pula menunggang keldai. Si anak berjalan kaki mengiringi bapanya di atas keldai. Mereka pun melalui sekumpulan orang. Sekali lagi mereka mendengar rungutan "Bapa tak ada otak, dia sedap naik keldai, anaknya dibiarkan berpeluh berjalan."
Mendengar komen itu, si bapa pun turun dan berjalan bersama-sama anaknya. Keldai itu dibiarkan berjalan sendirian. Mereka pun melalui sekumpulan orang. Masih ada yang komen "Apalah bodohnya orang tua ni. Ada keldai tapi tak mahu naik. Kalau macam ni, lebih baik tak payah bawa keldai!"
Mendengar segala macam rungutan dan ada sahaja yang tak kena dengan apa yang kedua beranak itu lakukan lalu si bapa mengambil keputusan untuk tidak meneruskan perjalanan mereka sehingga keesokkan harinya. Mereka dua beranak terus berfikir apakah yang sepatutnya mereka lakukan bagi meneruskan perjalanan mereka sehingga sampai ke destinasi yang dituju tanpa dicemoh oleh orang di jalanan.
Pengajaran: Hal seumpama inilah yang sering kita hadapi di mana ramai orang yang hanya pandai membuat teguran dengan menyatakan ini salah dan itu tidak betul dengan apa yang orang lain buat sedangkan mereka sendiri pun belum tentu dapat melakukannya dengan sedemikian baik.
Apa pun pandangan yang diberikan, kita tidaklah boleh menerimanya secara melulu sebaliknya perlu membuat pertimbangan sewajarnya berdasarkan keadaan dan senario yang dihadapi.
ENCIK MAH HASSAN BIN HJ. OMAR
Presiden
Pengerusi Jawatankuasa Penasihat & Pengurusan Pelaburan
PUAN MAZIAH BTE ABU BAKAR
Naib Presiden
Pengerusi Jawatankuasa ExCo,
Pengerusi Jawatankuasa Wanita dan Pembangunan Sosial
ENCIK MOHAMMED NAZARI BIN HJ OTHMAN
Setiausaha Agung
Pengerusi Jawatankuasa Kewangan,
Pengerusi Task Force Pembangunan Tanah Anugerah Kerajaan
PUAN JASMINE KHOO
Bendahari Kehormat SBM
ENCIK ABDUL KHADIR BIN HJ. OSMAN
Pengerusi
Jawatankuasa Pembangunan Usahawan (JPU)
ENCIK ROSHAM BIN SIDEK
Pengerusi
Jawatankuasa Belia dan Sukan (JBS)
ENCIK WONG HUEY SIEW
Pengerusi
Jawatankuasa Pekerjaan & Pembangunan Komputer (JPPK)
ENCIK TASLIM BIN KOSNI
Pengerusi
Jawatankuasa Informasi dan Kesedaran Awam (JIKA)
ENCIK MOHAMED (ZAKI) BIN ISMAIL PJK
Pengerusi
Jawatankuasa Pendidikan dan Latihan Kepimpinan (JPLK)
Pengerusi Lembaga Penyunting Majalah Wawasan Orang Cacat Penglihatan
ENCIK MOHD GHAZALI BIN TOCHEH
Pengerusi
SBM Cawangan KL / Selangor
ENCIK SIAU GING LOCK
Pengerusi
SBM Cawangan Sarawak
ENCIK MOHAMED BIN ISMAIL PJK
Pengerusi
SBM Cawangan Terengganu
ENCIK TAN AH BAH
Pengerusi
SBM Cawangan Pulau Pinang
ENCIK ABD MAJID BIN ABD RASHID
Pengerusi
SBM Cawangan Perak
ENCIK MAT DARUS BIN SULAIMAN
Pengerusi
SBM Cawangan Kelantan
ENCIK HARUN BIN AWANG NGAH
Pengerusi
SBM Cawangan Pahang
ENCIK NOH BIN ABD RAHMAN
Pengerusi
SBM Kawasan Johor
ENCIK AIZROL ALFAZ BIN ABDULLAH
Pengerusi
SBM Kawasan Negeri Sembilan
ENCIK RAZALI BIN SUDIN
Pengerusi
SBM Kawasan Melaka
ENCIK SUMAIRI BIN ZAINOL
Pengerusi
SBM Kawasan Kedah
PERTUBUHAN ORANG CACAT PENGLIHATAN MALAYSIA
CAWANGAN PULAU PINANG
29 Lorong Inang Dua
Taman Bunga Raya
14000 Bukit Mertajam
Pulau Pinang
Tel./Fax: 04 - 3971649
E-mail: sbmpg@streamyx.com
PERTUBUHAN ORANG CACAT PENGLIHATAN MALAYSIA
CAWANGAN KL/SELANGOR
123A Jalan Sultan Abdul Samad
50470 Kuala Lumpur.
Tel./Fax: 03 - 22742794
PERTUBUHAN ORANG CACAT PENGLIHATAN MALAYSIA
CAWANGAN PAHANG
G46G Jalan Mentakab, Kg. Batu 1
28000 Temerloh
Pahang Darul Makmor
Tel./Fax: 09 - 2964197
E-mail: sbmphg@tm.net.my
PERTUBUHAN ORANG CACAT PENGLIHATAN MALAYSIA
CAWANGAN SARAWAK
Lot 7887 Sublot 61
Tingkat 2. Blok A Queen Court
Jalan Wan Alwi
93350 Kuching,
Sarawak.
Tel./Fax: 082 - 571486
E-mail: pocpm@tm.net.my
PERTUBUHAN ORANG CACAT PENGLIHATAN MALAYSIA
CAWANGAN TERENGGANU
Wisma Promacatera
Lot PT 5970, Kg. Teluk Ketapang
Seberang Takir
21300 Kuala Terengganu
Terengganu Darul Iman
Tel./Fax: 09 - 6661320
E-mail: hbmtrgnu@streamyx.com
PERTUBUHAN ORANG CACAT PENGLIHATAN MALAYSIA
CAWANGAN KELANTAN
Jalan Bekelam
16070 Jelawat
Kelantan Darul Naim
Tel./Fax: 09 - 7780741
E-mail: sbmkltan@tm.net.my
PERTUBUHAN ORANG CACAT PENGLIHATAN MALAYSIA
CAWANGAN PERAK
No. 22B & C, Jalan Medan Kidd
30200 Ipoh
Perak Darul Ridzuan
Tel/Fax: 05 - 2533029
E-mail: sbmcawpk@tm.net.my
PERTUBUHAN ORANG CACAT PENGLIHATAN MALAYSIA
KAWASAN JOHOR
24A Jalan Meranti 2
Taman Sri Pulai
81110 Kangkar Pulai,
Johor Darul Takzim
Tel./Fax: 07 - 5211635
PERTUBUHAN ORANG CACAT PENGLIHATAN MALAYSIA
KAWASAN NEGERI SEMBILAN
56-1/F Jalan Toman 4
Kemayan Square
70200 Seremban
Negeri Sembilan Darul Khusus
Tel./Fax: 06 - 7628548
PERTUBUHAN ORANG CACAT PENGLIHATAN MALAYSIA
KAWASAN KEDAH
No. 221A Kompleks Shahab Perdana,
Jalan Shahab 4,
Off Jalan Sultanah Sambungan
05150 Alor Star, Kedah Darul Aman
Tel.: 04 - 7302568
PERTUBUHAN ORANG CACAT PENGLIHATAN MALAYSIA
KAWASAN MELAKA
No. 35-D-1 Jalan Kenanga 3/25
Taman Kenanga Sek 3
75200 Kampung Lapan, Bachang
Melaka.
Tel.: 06 - 2828710
Dicetak Oleh:Meteor Doc. Sdn. Bhd.
Lot 47-48 Jalan SR 1/9
Seksyen 9 Jalan Serdang Raya
Taman Serdang Raya
43300 Seri Kembangan, Selangor.